Monday, December 29, 2008

UMNO; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi


Soal Jawab: Sokongan akar umbi beri kelebihan tanding jawatan

(SUMBER: BERITA MINGGU)

JAWATAN Naib Presiden adalah hierarki ketiga terpenting dalam Umno. Pada pemilihan Umno yang akan diadakan Mac depan, menyaksikan sembilan orang layak bertanding, jumlah yang dijangka menjadikan suasana agak sengit. Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Hussain Said dengan dua calon jawatan itu iaitu masing-masing Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Rahim Tamby Chik yang berjaya melayakkan diri bertanding jawatan itu semalam.



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BERITA MINGGU; MENGAPA Datuk Seri membuat keputusan bertanding jawatan Naib Presiden.



Saya berpegang kepada prinsip bahawa pemimpin harus ditolak dari bawah ke atas dan bukan perlu sangat menonjolkan diri untuk memegang sesuatu jawatan. Demi menghormati kehendak ahli akar umbi, saya memberi pertimbangan sedalam-dalamnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

BERITA MINGGU; Sebelum ini, Datuk Seri mengisytiharkan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi kemudian menarik diri. Adakah peluang lebih cerah pada peringkat Naib Presiden.

Walaupun sebelum ini, saya berhasrat menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden, itu sudah berada dalam lipatan sejarah politik saya.

Saya ingin menghormati kepemimpinan parti, maka keputusan menawarkan diri (jawatan Timbalan Presiden) dan kemudian hanya bertanding sebagai Naib Presiden adalah kerana kedua-dua pemimpin di atas memberikan pandangan dan menasihati saya menumpukan jawatan lebih rendah.

BERITA MINGGU; Apakah kriteria seorang Naib Presiden. Pelengkap kepada Presiden dan Timbalan Presiden atau menjadi seorang yang vokal dan kritikal.

Tidak adil untuk saya menentukan kriteria tertentu, tetapi mengikut pandangan pelbagai pihak, terutama ahli akar umbi, saya mempunyai latar belakang sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno selama lebih 11 tahun. Ini bererti saya berada dalam kepemimpinan Pemuda Umno nasional lebih sedikit dari satu dekad.

Saya juga pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT). Pada pemilihan 2000, saya menduduki tempat keempat dan empat tahun kemudian (2004), saya menduduki tempat kedua. Jadi sudah tiba waktu untuk saya menawarkan diri berada pada peringkat lebih tinggi dari MT.

Ahli akar umbi juga berpendapat kepemimpinan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memang diterima semua ahli dan ini adalah hasil kemantapan kepemimpinan yang digarap beliau. Namun sebagai seorang yang pernah berkhidmat kira-kira tujuh tahun dengan Najib sebagai setiausaha politik sepanjang beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, jadi ahli akar umbi juga berpendapat saya harus mendampingi beliau yang akan menjadi Presiden Umno.

Ini adalah untuk terus bersama-sama beliau kerana sebagai Naib Presiden, lazimnya menganggotai Jawatankuasa Pengurusan dan menduduki Biro Politik. Mungkin dengan kedudukan saya sebagai Naib Presiden, hubungan dengan Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri ketika itu boleh terus diberikan kesinambungan seperti saya pernah berperanan sebagai setiausaha politik sebelum ini.

BERITA MINGGU; Adakah kedudukan sebagai anggota Kabinet memberi kelebihan kepada calon yang bertanding.

Kedudukan dalam Kabinet memberikan pendedahan kepada seseorang calon untuk bergerak lebih jauh jangkau jaraknya ke semua negeri. Saya fikir walaupun kurang setahun sebagai menteri, ketika saya seorang pemimpin dalam Pergerakan Pemuda, kebanyakan kawan-kawan saya kini berada pada peringkat bahagian.

Jika tidak pun sebagai ketua bahagian, sebahagian mereka adalah timbalan atau naib ketua atau sekurang-kurangnya perwakilan. Mungkin ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk terus mengetengahkan jaringan persahabatan dengan rakan peringkat akar umbi, khususnya kepemimpinan peringkat bahagian dan perwakilan.

BERITA MINGGU; Mendapat pencalonan kedua tertinggi. Adakah ini menunjukkan populariti Datuk Seri di kalangan ahli Umno yang bakal memberi kelebihan dalam pemilihan nanti.

Saya mengucapkan terima kasih terhadap kepercayaan melalui pencalonan yang diberikan kepada saya oleh bahagian. Kepada saya, pencalonan itu menggambarkan bahawa itulah kehendak perwakilan, cawangan dan bahagian terhadap mana-mana calon, termasuk saya.

Namun ada juga bahagian yang tidak berkesempatan untuk mencalonkan saya. Mungkin kerana ketika itu ruangan sudah mencukupi untuk turut mencalonkan saya dan mungkin ada faktor dalaman lain yang menyebabkan saya tidak mendapat pencalonan.

Atas dasar itu pada saya, walaupun jumlah pencalonan adalah ukuran untuk menentukan kelayakan, populariti seseorang calon sebenarnya banyak bergantung kepada sejauh manakah calon itu mengakar umbi dan membumi di kalangan perwakilan.

BERITA MINGGU; Datuk Seri pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib dan ketika Pemuda mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau hingga dilihat sebagai orang Najib. Adakah faktor ini memberi kelebihan.

Semua orang dan calon pada mana-mana zaman, terutama mereka yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi sedaya mungkin yang boleh mahu menggambarkan bahawa mereka adalah orang Presiden.

Dalam hal ini, umum mengetahui bahawa memang saya rapat dengan Najib bukan hanya ketika hendak menjadi calon Naib Presiden.

Saya mula menjadi setiausaha politik beliau pada 1 Oktober 1987 dan saya belum pernah merungkaikan hubungan peribadi dan rasmi saya dengan Najib sejak itu. Proses ini berjalan lebih 21 tahun dan saya fikir itu adalah tempoh seseorang memahami bosnya, bukan sekadar arahan dan kehendaknya, tetapi tentu sekali wawasan dan bentuk kerja yang diperlukan jika seseorang itu diberi kesempatan sebagai orang yang akan memperkukuhkan institusi kepresidenan sendiri, apatah lagi berada pada tahap kepemimpinan ketiga dalam parti.

BERITA MINGGU; Apakah yang Datuk Seri boleh tawarkan jika menang jawatan Naib Presiden.

Prinsip pertama, seseorang Naib Presiden mesti dapat bekerjasama dengan Timbalan Presiden dan Presiden sendiri. Institusi Naib Presiden adalah hierarki ketiga bagi memperkukuhkan institusi kepresidenan.

Sebagai anggota Jawatankuasa Pengurusan dan Biro Politik, seseorang Naib Presiden mesti mampu bukan saja bekerjasama dengan Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkukuhkan parti, Naib Presiden mesti mampu bekerja untuk meremajakan Umno supaya parti terus relevan dan program parti dapat dilaksanakan pada peringkat akar umbi.

Selain itu, ada portfolio tertentu yang akan diberikan oleh Presiden seperti bertanggungjawab terhadap keahlian, latihan dan peraturan parti. Itulah peranan yang akan dimainkan oleh mana-mana Naib Presiden di samping jaringan di bawah itu akan dapat menyebabkan seseorang Naib Presiden lebih diterima di bawah dengan dijemput untuk menyampaikan ceramah dan menjalankan gerak kerja untuk memperkukuhkan parti, terutama bagi meraih sokongan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

BERITA MINGGU; Adakah perbezaan kedudukan seseorang sebagai Naib Presiden dan yang menduduki Naib Presiden atas tiket Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri mempunyai sayap masing-masing. Mereka mempunyai pergerakan yang boleh dipimpin. Sebagai Naib Presiden yang dipilih, dia tidak mempunyai sayap namun tugas yang diberikan dalam portfolio oleh Presiden nanti akan menentukan tugas secara khusus seperti yang dijalankan oleh Naib Presiden sebelum ini.

Bagi saya, portfolio agama dalam Kabinet boleh membantu parti untuk menterjemahkan agenda merapatkan hubungan antara ulama dan umara (pemerintah). Kedua-dua golongan ini mesti disatukan bagi menterjemahkan agenda agama demi kepentingan ummah.

Di samping itu, jika saya terus diberi kepercayaan dalam Kabinet untuk memegang portfolio agama, dengan jawatan sebagai Naib Presiden, ia adalah kombinasi yang baik untuk juga membawa pemuka dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk terus bekerjasama menterjemahkan program keislaman sama ada yang ditentukan oleh kerajaan atau NGO sendiri.

Kita juga boleh merapatkan hubungan dengan pemimpin agama lain supaya mereka memahami Islam itu sendiri dan Umno sebagai sebuah parti yang mendukung Islam. Namun ada tiga pemimpin bahagian yang beragama Kristian.

Selain itu, kita mahu terus merelevankan Islam untuk semua zaman kerana perjuangan yang didukung oleh Umno termasuk mendukung Islam tanpa mengetepikan agama lain.

BERITA MINGGU; Isu politik wang masih diperkatakan dalam proses pencalonan kali ini. Mengapa keadaan ini berlaku dan apakah kesannya jika masyarakat mempunyai tanggapan bahawa pemimpin Umno bertanding dan menang terbabit dalam politik wang.

Dalam politik, jika tiada pemberi tidak ada penerima. Begitu juga tidak ada penerima jika tiada pemberi. Dalam hal ini, menuduh secara jamak (umum) bahawa semua perwakilan memerlukan wang untuk menaikkan seseorang adalah lemparan yang kurang adil kerana masih ramai perwakilan yang rasional dan tidak menjadikan wang sebagai kriteria utama menentukan pemilihan.

Pada hemat saya, cara terbaik adalah untuk tidak menggembar-gemburkan politik wang kerana ia hanya membabitkan segelintir daripada perwakilan atau calon.

BERITA MINGGU; Isu lain ialah kesan pertandingan terhadap perpaduan parti. Ada pandangan pertandingan memberi kesan negatif dan ada yang melihat adalah proses biasa demokrasi. Pandangan Datuk Seri.

Jika jawatan tertinggi ditandingi, pada hemat saya ada banyak kesan negatif. Tetapi kalau jawatan nombor dua, tiga dan seterusnya, walaupun ada sedikit sebanyak kesan negatif, tetapi ia berbentuk sementara kerana dalam demokrasi, jika tiada proses pemilihan dalam kepemimpinan parti, maka parti itu menjadi jumud.

Mungkin ia menempatkan pemimpin ditonjolkan dan bukan pemimpin yang dilonjakkan oleh akar umbi untuk berada di atas.

BERITA MINGGU; Timbul kebimbangan pemimpin yang bertanding lebih ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting ialah memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Walaupun tempoh kempen kali ini agak panjang, sebenarnya seseorang calon itu tidak melupakan tugas asal jawatan yang dipegang dalam parti, iaitu memperkukuhkan parti, apatah lagi saya adalah antara yang datang dari negeri yang diperintah pembangkang.

Saya yakin semua pemimpin yang bertanding, sama ada menang atau kalah selepas perhimpunan agung nanti akan terus memperkukuhkan parti dengan bergerak pada peringkat akar umbi kerana pilihan raya umum tidak terlalu jauh, tetapi masih mempunyai ruang waktu yang mencukupi jika kita bekerja keras dan bijaksana untuk terus menterjemahkan agenda parti.

No comments: