Wednesday, December 17, 2008

Prof. Diraja Ungku Aziz: Orang Melayu perlu Menang



Orang Melayu perlu menang

(petikan dari utusan 231108)

Sebagai mengiktiraf kecemerlangan sumbangan kepada negara, Petronas bersama Exxon Mobil dan Shell mewujudkan Anugerah Merdeka yang merupakan sebuah anugerah berprestij seperti mana konsep Hadiah Nobel di peringkat antarabangsa.
Selain menghargai dan meraikan kecemerlangan, Anugerah Merdeka yang dilancarkan tahun lalu turut dilihat mampu menyemarakkan semangat rakyat negara ini ke arah mencapai kejayaan tertinggi di peringkat antarabangsa.

Setelah setahun penilaian dilakukan, pada 21 Ogos lalu, nama-nama pemenang sulung Anugerah Merdeka diumumkan yang menyaksikan Prof. Diraja Ungku Aziz menerima bagi kategori Pendidikan dan Komuniti sementara Persatuan Pencinta Alam Malaysia penerima kategori Alam Sekitar.

Prof. Datuk Dr. Khalid Kadir dan kumpulan pengkaji yang menemui virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Prof. C.T Tan dipilih sebagai pemenang bersama kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi manakala rakyat Britain, Datuk Leslie Davidson menerima anugerah kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia. Bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik tiada pemenang.

Wartawan Mingguan Malaysia, HERMAN HAMID dan AMRAN AHMAD berkesempatan mewawancara empat daripada lima pemenang Anugerah Merdeka untuk menyelami perasaan, perjuangan dan berkongsi kecemerlangan yang dicapai

MINGGUAN: Pertama sekali boleh Pak Ungku ulas kemenangan ini

UNGKU AZIZ: Tak disangka, saya pun terkejut, dengan wang yang banyak seperti itu. Apa pun saya terhutang budi dengan Petronas. Maka saya terima seperti mana pepatah Melayu sebut, ‘kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan’.

Kategori Pendidikan dan Komuniti Anugerah Merdeka agak berbeza dengan fahaman umum tentang pendidikan yang biasanya dibataskan di kelas dan bilik kuliah.

MINGGUAN; Bagaimana pula sejarah Pak Ungku dalam bidang ini

UNGKU AZIZ: Pengalaman hidup saya sendiri banyak berkisar sebagai guru dan ia bermula apabila saya menjadi guru dewasa di Singapura dengan bayarannya sebanyak RM1 sejam. Semasa Perang Dunia Kedua, saya menjadi guru Bahasa Jepun sebelum melanjutkan pengajian di Jepun dan kemudiannya teruskan pula pengajian di Raffles College.

Selepas itu saya berjaya menjadi anak Melayu pertama masuk ke Universiti Malaya (UM) dan seterusnya menjadi pensyarah. Sampai sekarang pun pada usia 86 tahun, saya masih menjadi penasihat dan penyelia kepada penuntut doktor falsafah (Ph.D) dan beri ceramah di universiti serta tempat lain. Saya tidak jadi usahawan, jutawan atau diplomat.

Saya pernah ditawar menjadi ahli politik, jadi menteri dan sebagainya pada era Tun Abdul Razak namun saya mahu menjadi intelektual di universiti. Masa saya mengajar di UM, saya ada pilihan untuk melanjutkan pengajian di London School of Economics (LSE) beserta dengan biasiswa, tetapi saya kata tidak payahlah, sebabnya, apa yang orang LSE boleh ajar, saya boleh dapatkannya di sini. Maksudnya kalau saya pilih London maka saya tak akan dapat tahu tentang kemiskinan orang Melayu. Kemiskinan orang Melayu itu hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan di sini. Sampai sekarang saya masih menulis dan memikirkan kenapa orang Melayu tinggal dalam kemiskinan.

MINGGUAN; Boleh ceritakan bagaimana bermulanya kajian kemiskinan orang Melayu - bidang yang sehingga kini telah menyebabkan Pak Ungku dikenang kerana sumbangan yang cukup besar kepada masyarakat?

UNGKU AZIZ: Permulaan kajian saya adalah di Ulu Tiram, Johor pada tahun 60-an dengan orang di sana menoreh getah, makan lempeng, tidak dapat makan nasi, kalau nasib baik dapatlah makan nasi sekali pada waktu malam. Lepas itu saya di Kedah dan Perlis, keadaan pun sama. Kemudian ke Pantai Timur. Mula-mula kaji di Beserah, Pahang. Setahun saya jalankan kajian di kampung itu untuk kumpul rekod. Kemudian saya ke Kemaman pula, dan pengalaman ketika itu lebih dahsyat apabila wujudnya kebuluran. Mereka hanya menangkap ikan dan hasil tangkapan itulah dijual untuk membeli barang keperluan lain seperti beras. Saya juga ke Kelantan buat kajian dan keadaan juga hampir sama. Dari rumah ke rumah kita selidik.

Saya rasa sangat sedih memikirkan semua itu. Saya berfikir macam mana hendak lepaskan orang Melayu dari belenggu kemiskinan. Sampai sekarang kita boleh tengok mengapa mangsa perpindahan banjir, 95 peratus adalah orang Melayu. Sebabnya mereka tidak mampu tinggal di tempat yang baik. Sebab itu dalam soal mengikis kemiskinan kita kena cari program khusus untuk orang Melayu. Selain itu, ada lagi pelajar Melayu yang tidak dapat menamatkan persekolahan terutama apabila emaknya seorang ibu tunggal. Saya kaji dan tulis artikel sebab-sebab orang terjerumus dalam kemiskinan.

Minat saya ini dari tahun 50-an lagi dan sampailah sekarang tetap sama iaitu tentang kemiskinan. Kerajaan ada keluar statistik bahawa tiada kemiskinan tegar tapi kalau saya masuk ke kampung, saya masih boleh jumpa mereka yang tak dapat ke sekolah kerana kemiskinan.

MINGGUAN; Bagaimana pula pandangan tentang konteks orang Melayu dalam pendidikan?

UNGKU AZIZ: Kita nak pastikan orang Melayu menang, jadi kita kena kiasu, tetapi orang Melayu mesti peka terhadap apa yang mereka makan. Buktinya, kalau anak orang Melayu banyak cacing, kerajaan kena ada program menghapuskan masalah ini. Program ini tidak boleh lagi dengan hanya beri dua biji pil untuk setahun. Orang yang hendak melaksanakan program itu mesti betul, buat masa kanak-kanak itu berumur tiga atau empat tahun.

MINGGUAN; Pak Ungku sangat diingati melalui Lembaga Urusan Tabung Haji. Boleh Pak Ungku ceritakan tentang penglibatan dalam penubuhannya?

UNGKU AZIZ: Asal usul penubuhan Tabung Haji adalah bermula daripada saya dan kerana Tabung Haji jugalah nama saya dikenali di seluruh dunia. Rancangan penubuhan Tabung Haji bukan sahaja tentang mendidik orang Melayu untuk kumpul wang bagi menunaikan fardu haji tetapi juga untuk kumpul wang bagi tujuan pelajaran. Tapi dari sudut untuk belanja haji memang bagus. Sekarang satu-satu musim, 30,000 orang pergi naik haji. Tetapi sekarang Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dah jadi macam bank, wang boleh keluar masuk. Sudah hilang matlamat asalnya, iaitu untuk membolehkan orang kita kumpul duit.

MINGGUAN; Mengenai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula, apa pandangan Pak Ungku yang terlibat di peringkat awal penubuhannya?

UNGKU AZIZ: DBP tidak ada gigi. Kalau di Perancis ada juga sebuah badan macam DBP tapi bezanya ia mempunyai kuasa. Jadi bila ada orang salah guna bahasa maka badan itu boleh ambil tindakan serta-merta. Selain itu, DBP ada bermacam-macam jawatankuasa tetapi pada saya kalau kita tengok di Indonesia, mereka mampu jalan terus dan sistematik.

DBP mesti dikaji semula, beri ‘taring’ kepadanya untuk ‘gigit orang’. Kalau nak pujuk- pujuk bukan caranya lagi. Masalah papan tanda jalan pun macam tak selesai. Sebab apa, DBP tak ada kuasa. Lama-lama benda itu tak jadi. Selain itu DBP juga perlu ada tokoh- tokoh yang berwibawa. Ya, mereka banyak terbit buku, itu memang baik tetapi selebihnya? Siapa yang membuat diskusi lanjut tentang khazanah Melayu, pantun misalnya bagaimana pantun menunjukkan jiwa orang Melayu.

No comments: