Tuesday, December 16, 2008

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Bantu kukuhkan parti


Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Naib Presiden UMNO; Bantu kukuhkan parti

(petikan mingguan malaysia 12102008)

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam merupakan salah seorang calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Kesediaan beliau itu turut mendapat perhatian banyak pihak. Beliau yang baru sepenggal menjadi Naib Presiden menawarkan diri bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti itu dengan hasrat untuk bersama-sama membantu Presiden UMNO memantapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kehilangan bapa ketika berusia 11 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan ketika zaman kanak-kanak demi mencari sesuap nasi serta terpaksa menamatkan pengajian di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) biarpun baru dua minggu berada di situ akibat bimbang kehilangan pekerjaan bagi menyara keluarga telah menjadikan Mohd. Ali seorang pemimpin yang dianggap begitu memahami perasaan akar umbi.

Oleh itu, Mohd. Ali yakin jika beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Timbalan Presiden beliau mampu menjadi pembantu terbaik kepada Presiden UMNO terutamanya dalam menarik rakyat kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Kejayaan beliau memimpin BN Melaka menahan ‘badai’ tsunami politik pada pilihan raya umum lalu mengagumkan kawan dan lawan. Ini kerana BN negeri itu bukan sahaja kekal sebagai kerajaan malah menjadi satu-satunya negeri yang tidak mempunyai wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD. NOOR dan ZULKIFLEE BAKAR pada malam Khamis lalu, beliau menjelaskan panjang lebar kenapa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor dua dalam UMNO itu. Tanpa mahu mengulas bahawa beliau adalah ‘kuda hitam’ yang dikatakan muncul bagi bersaing jawatan Timbalan Presiden UMNO, Mohd. Ali menegaskan, apa yang paling penting penawaran dirinya adalah untuk berbakti kepada parti, kerajaan dan negara.

MINGGUAN: Datuk Seri merupakan salah seorang calon paling awal menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Apa yang mendorong Datuk Seri untuk bertanding?

MOHD. ALI: Matlamat utama saya ialah untuk ber sama-sama membantu Presiden parti bagi memantapkan lagi UMNO, BN serta kerajaan. Ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ramai bertanya kenapa saya membuat pengumuman terlalu awal sedangkan ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih belum menyatakan pendiriannya sama ada akan mempertahankan jawatan atau tidak. Sebenarnya, saya hanya menyatakan bahawa jika terdapat kekosongan untuk jawatan Timbalan Presiden saya bersedia menawarkan diri dan tidak timbul saya mendahului keputusan Presiden mengenai pelan peralihan kuasa.
Pengalaman saya menempuh pelbagai peringkat pemilihan dalam parti telah membolehkan saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti. Apa pun penawaran diri saya harus dilihat dari sudut positif, ini kerana tidak salah mana-mana pemimpin kanan UMNO berbuat demikian untuk bertanding jika terdapat kekosongan. Tambahan pula, saya menawarkan diri selepas mendapat desakan daripada akar umbi setelah jawatan Timbalan Presiden akan dikosongkan oleh Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak.

MINGGUAN: Datuk Seri dilihat lebih banyak memimpin negeri dan sepenggal menjadi Naib Presiden. Dari sudut apa ahli-ahli perlu menilai Datuk Seri?

MOHD. ALI: Pemimpin-pemimpin yang menawarkan diri mempunyai kelebihan masing-masing dan salah satu yang boleh mereka nilai ialah sumbangan pada masa yang lepas seperti rekod perkhidmatan dalam parti dan kerajaan. Saya memegang pelbagai jawatan dalam parti bermula dari Ketua UMNO cawangan hinggalah kepada Naib Presiden. Dalam kerajaan, saya pernah menjadi exco kerajaan negeri, Timbalan Menteri dan Ketua Menteri. Malah saya juga pernah terlibat dalam Pemuda UMNO. Track record ini boleh dinilai oleh ahli-ahli.

MINGGUAN; Sama ada suka atau tidak, orang akan melihat Datuk Seri sebagai ‘kuda hitam’ yang bertanding semata-mata untuk menghalang mana-mana calon menang mudah, apa pandangan Datuk Seri?

MOHD. ALI: Saya tidak ada komen berhubung pandangan berkenaan. Paling penting, penawaran diri saya untuk berkhidmat kepada parti, kerajaan dan negara serta disebabkan ada kekosongan.

MINGGUAN; Biasanya pemilihan akan mewujudkan pasukan. Adakah pemilihan kali ini tidak akan terlepas daripada amalan berpuak - puak?

MOHD ALI: UMNO adalah parti yang terbuka. Ia tidak mempunyai kem dan langkah mewujudkan kem ini seperti pernah berlaku ketika zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu gejala yang tidak sihat. Kita tidak boleh lagi mengulangi perkara itu kerana ia menyebabkan UMNO berpecah belah. Justeru apabila kita menawarkan diri sebagai satu pasukan UMNO, pemilihan akan dijalankan dalam semangat persahabatan dan saya percaya inilah semangat UMNO yang perlu dipertahankan.

Jika ini dapat dilakukan sudah pasti UMNO akan menjadi parti yang kuat. Apa yang perlu difahami ialah proses pemilihan adalah proses yang tidak dapat dielakkan. Bagi pemilihan kali ini, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi ingin melihat satu perubahan besar di peringkat tertinggi parti bagi memastikan UMNO terus relevan kepada orang Melayu dan menjadi tempat berpaut di kalangan parti komponen BN. Jika UMNO lemah, orang Melayu juga akan lemah dan orang lain tidak akan menghormati kita.

Justeru parti perlu menguasai kerajaan dan ini boleh dilakukan dengan kita memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti, UMNO dan kerajaan. Inilah cabaran yang perlu kita hadapi dan ia memerlukan semua pihak terutama ahli-ahli UMNO di setiap peringkat untuk terus setia dan menyokong. Sokongan mereka terhadap aktiviti parti penting supaya UMNO dihormati dan digeruni oleh lawan lebih-lebih lagi sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita perlu bergerak dari sekarang jika ingin mencapai kejayaan cemerlang.

Demi untuk memperkukuhkan sokongan kepada UMNO juga, kita tidak boleh mengenepikan golongan veteran. Ini kerana mereka adalah aset terpenting kepada UMNO dan BN. Mereka perlu diletakkan dalam badan khas, contohnya sebuah Majlis Penasihat BN atau Majlis Syura boleh dibentuk bagi membolehkan golongan veteran memberi pandangan atau cadangan kepada parti dari semasa ke semasa. Mereka ini juga boleh digunakan sebagai penimbangtara atau pakar rujuk jika berlaku sesuatu krisis dalam UMNO atau komponen BN. Oleh itu pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Tun Dr. Ling Liong Sik dan lain-lain tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Pemimpin-pemimpin itu boleh berfungsi sebagai pakar rujuk untuk memantau isu-isu yang membabitkan kepentingan UMNO dan komponen BN.


MINGGUAN; Ada kebimbangan bahawa pemilihan di peringkat tertinggi boleh memecah belahkan parti, apa pandangan Datuk Seri?


MOHD. ALI: Bagi saya perpecahan mungkin akan berlaku jika ia melibatkan perebutan di peringkat Presiden. Ini kerana sudah tidak ada lagi individu yang boleh kita rujuk memandangkan bos pun terlibat. Jadi Presiden parti tidak boleh ada pertandingan. Lebih baik ia dipilih sebulat suara. Untuk jawatan-jawatan lain termasuk Timbalan Presiden, saya fikir ia tidak akan mewujudkan banyak permasalahan kerana kita ada bos di atas. Saya percaya pemilihan kali ini tidak menjejaskan UMNO.

Atas sebab itulah saya berharap ahli-ahli UMNO akan membuat pertimbangan berasaskan kepada rekod perkhidmatan dan sumbangan calon yang menawarkan diri, pilih yang terbaik. Siapa sahaja yang dipilih harus disokong dan tidak timbul kumpulan- kumpulan selepas pertandingan. Saya percaya UMNO boleh hidup dengan subur begitu juga demokrasi dalam parti itu kerana kita menawarkan diri secara persahabatan dengan semangat untuk menyumbang kepada parti, bangsa, agama dan negara.

MINGGUAN; Sebagai pemimpin negeri, mampukah Datuk Seri menghadapi cabaran lebih besar sebagai Timbalan Presiden?


MOHD. ALI: Saya sedia memikul tanggungjawab lebih besar. Tugas sebagai Timbalan Presiden adalah membantu Presiden supaya dapat memantapkan parti. Ini untuk memastikan BN memenangi majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang dan melaksanakan misi untuk membangunkan Malaysia sebagai negara maju. Bagi mencapai hasrat tersebut, kita perlu meletakkan beberapa keutamaan bagi menyakinkan semula rakyat menyokong BN.

Pertama, kita perlu meningkat dan memantapkan perpaduan di dalam UMNO dan BN. Ini amat penting. Salah satu caranya memberi sokongan kuat kepada kepimpinan baru negara. Ia bagi membolehkan UMNO bersatu dan kita juga berharap bekas pemimpin turut memberi sokongan kepada Najib.

Melalui cara begini UMNO akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi cabaran mendatang di samping kita perlu memperkuatkan hubungan kerjasama dalam BN. Melalui kerjasama itu, BN akan dilihat lebih bersatu dan apabila bersatu ia akan memudahkan kita menghadapi rakyat.

Perpaduan dalam UMNO dan BN amat penting. Kita lihat dalam BN, kalau ada masalah besar dibincangkan secara terbuka ia boleh membawa kekeliruan, oleh itu ia harus didebatkan dalam parti dan apabila keputusan dibuat kita mesti akur. Kalau persefahaman ini dapat diwujudkan, ia pasti menyakinkan rakyat.

Kedua, kita mesti memantapkan dasar dan program yang berkaitan dengan ekonomi supaya dilaksanakan secara berkesan dan tidak dibiarkan tertangguh begitu lama dan akhirnya terbengkalai. Jadi saya ingin membantu memantapkan pelaksanaan dasar dan program tersebut khususnya dalam pembelaan terhadap dasar-dasar untuk orang Melayu.

MINGGUAN; Adakah Datuk Seri berpendapat kelewatan melaksanakan dasar dan program yang ditetapkan itu menjadi punca rakyat menjauhi BN?


MOHD. ALI: Sekarang ini ramai orang Melayu berasa kecewa kerana banyak lagi masalah mereka belum diselesaikan sedangkan kerajaan mempunyai kemampuan, kuasa dan sumber untuk dilaksanakan akhirnya orang Melayu merungut dan kita berbalah dengan orang bukan Melayu .

Ini bukan salah sesiapa tetapi akibat pelaksanaan dasar oleh kita terlalu lambat dan kurang berkesan. Saya fikir ini boleh diperbaiki kerana semua dasar dan program untuk orang Melayu atau kaum lain sudah dipersetujui di semua peringkat sama ada melalui bajet negara, Kabinet, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Bagi saya, ini satu tugas besar yang perlu kita lakukan kerana ia menjadi rungutan semua rakyat sama ada Melayu atau bukan Melayu. Contohnya dalam membasmi kemiskinan dasar kita memang nampak bagus tetapi pelaksanaan itu agak perlahan.

Dalam bidang keselamatan, masih banyak isu yang menghantui kehidupan kita dan semua ini memerlukan gandingan kepimpinan yang mantap.

MINGGUAN; Perkara ini akan menjadi agenda utama Datuk Seri jika dipilih menjadi Timbalan Presiden?

MOHD ALI: Mungkin terlalu awal untuk saya bercakap soal agenda tetapi apa yang paling utama ialah membantu Presiden melaksanakan segala dasar dan perancangan untuk masa depan rakyat dan negara. Bagi saya dalam usaha memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada BN dan kerajaan, terdapat empat aspek yang perlu diberikan penekanan iaitu kestabilan ekonomi, sosial, politik dan keselamatan.

Dalam bidang ekonomi umpamanya, tindakan segera perlu dilakukan supaya mana- mana kaum terutama orang Melayu tidak dipinggirkan dalam arus ekonomi. Sebagai contoh dalam sektor hartanah, bumiputera hanya memiliki 19 peratus dan usaha perlu ditingkat kepada 30 peratus dengan tidak mengambil hak bukan bumiputera. Kita sudah mempunyai segala dasar dan kerajaan perlu campur tangan memastikan kuota 30 peratus itu menjadi kenyataan. Caranya ialah kerajaan membeli hartanah kuota bumiputera yang disiapkan oleh pemaju bukan bumiputera.

Jika ini dapat dilakukan, bukan bumiputera pasti gembira kerana mereka dapat menjual kuota berkenaan dan bumiputera pula gembira kerana dapat membeli atau menyewa hartanah itu dengan harga murah berikutan campur tangan kerajaan. Langkah ini sudah tentu dapat mengelakkan timbulnya rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

Begitu juga dalam bidang sosial, kemiskinan perlu dikurangkan sama ada di bandar atau di luar bandar. Dengan penurunan harga minyak global, harga minyak negara boleh dikurangkan lagi bagi mengatasi masalah kos hidup yang tinggi berikutan kenaikan bahan bakar berkenaan.

Begitu juga isu-isu politik dan keselamatan, ia patut diberi fokus dan ditangani segera untuk memastikan negara ini selamat dan aman untuk didiami. Satu perkara lagi ialah kita perlu cepat bertindak. Rakyat mahu melihat perubahan dan perubahan perlu dilakukan segera tanpa kerenah birokrasi di mana-mana peringkat.

MINGGUAN; Tetapi pelbagai gejala yang berlaku dalam UMNO itu sendiri seperti politik wang dan berebut- rebut jawatan menyebabkan generasi muda turut menolak parti tersebut?

MOHD ALI: Apabila orang berasa gelisah berhubung masalah ekonomi, mereka akan mengaitkannya dengan isu-isu lain yang tidak relevan. Oleh itu bagi memperkuatkan politik, langkah menangani isu ekonomi amat penting kerana kita melihat pengangguran di kalangan siswazah dan golongan anak muda tidak dibimbing dengan sewajarnya.

Keadaan itu menimbulkan masalah kepada kerajaan dan ia boleh dipergunakan oleh parti pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan. Ini termasuklah melakukan serangan dengan membuat pelbagai tuduhan kepada UMNO. Tetapi kalau kita lihat cara pembangkang, mereka juga mengamalkan politik wang apabila berusaha menubuhkan kerajaan dengan cara hendak membeli ahli-ahli Parlimen BN melalui tawaran pangkat dan kedudukan.

Saya fikir kita tidak perlu terperangkap dengan permainan pembangkang kerana mereka lebih besar amalan rasuahnya untuk mempengaruhi ahli Parlimen BN menyeberang kepada mereka. Ini bukanlah satu tuduhan tetapi ia berasaskan kepada aduan-aduan yang telah dibuat oleh beberapa ahli Parlimen BN. Oleh itu saya berpendapat jika isu-isu berkaitan dengan generasi muda dapat difahami dan lain-lain kehendak golongan itu dipenuhi saya yakin sokongan mereka kepada kerajaan akan kembali pulih. Inilah tugas berat Najib dan kita akan cuba membantu.

Suara orang muda perlu didengari, kita perlu rapat dengan mereka, perlu ada mekanisme untuk berkomunikasi secara tetap bersama mereka, mendengar masalah dan cuba menyelesaikannya. Ini memerlukan satu tindakan yang konsisten dan berterusan. Saya berpendapat saya boleh menyumbang dalam hal ini melalui pengalaman sebagai Presiden Perhimpunan Belia Sedunia (WAY), Presiden Gerakan Belia 4B dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Selain itu bagi memperkasakan generasi muda, golongan ini juga waajar diberi ruang dan kesempatan mengambil bahagian dalam perbincangan melaksanakan sesuatu dasar atau program kerajaan. Oleh itu mereka perlu diwakili dalam agensi-agensi kerajaan bagi membolehkan suara generasi muda didengari dan masalah mereka diselesaikan tanpa menunggu rungutan terlebih dahulu.

Bagi UMNO sendiri, parti itu telah memperkenalkan konsep ‘Keluarga ku Ahli UMNO’. Konsep ini perlu diperluaskan dengan melaksanakan pelbagai pendekatan yang lebih drastik. Kita yakin jika keluarga itu ahli UMNO, maka orang lain akan turut menjadi ahli UMNO. Bentuk pendekatan ini yang perlu difikirkan bagi memastikan generasi muda terus menyokong UMNO. Selain itu, sayap Pemuda, Puteri dan Putera UMNO perlu digembleng untuk memastikan setiap kegiatan yang dilakukan itu turut disertai oleh golongan muda. Pendekatan yang lebih mesra perlu dilakukan untuk menjinakkan golongan ini dengan UMNO manakala usaha meremajakan UMNO perlu dilakukan secara berterusan.

MINGGUAN; Sejak kebelakangan ini, hak-hak Melayu semakin dipertikaikan malah di kalangan parti komponen BN sendiri pun berbuat demikian, apa pandangan Datuk Seri?


MOHD. ALI: Dalam hal ini saya menyarankan pendekatan baru diambil bagi memastikan isu sensitif dapat dibincangkan di peringkat tertinggi BN. Jika ada sebarang masalah, kita perlu berdebat dan berbincang serta kemudian mengambil keputusan kolektif untuk menyelesaikannya. Mana-mana pihak tidak wajar menggunakan media untuk meluahkan perasan tidak puas hati kerana jika amalan ini berlaku, pihak lain juga akan menjawabnya. Ini sudah tentulah akan membuang masa dan isu sebenar tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, jika kita ada masalah, ada baiknya kita menggunakan semangat BN untuk menyelesaikannya. Ini penting kerana jika kita terus bertelagah dan bercakaran sesama sendiri yang untung ialah parti pembangkang kerana mereka akan mengambil kesempatan mengeksploitasikan isu ini untuk kepentingan politik mereka.

No comments: