Tuesday, December 16, 2008
Tan Sri Muhyiddin Yassin; Jangan ragui saya
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO. Jangan ragui saya
(petikan dari mingguan malaysia 12102008)
Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah ada cakap-cakap bahawa itulah agenda sebenar Muhyiddin mendesak pelan peralihan kuasa dilakukan.
Tidak cukup dengan itu, Muhyiddin yang dianggap calon ‘favourite’ bagi menduduki jawatan nombor dua dalam parti dan kerajaan tersebut mula ‘diancam’ oleh pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan kesetiaannya kepada pemimpin di atas.
Bagaimanapun dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dalam kenderaan rasminya ketika beliau dalam perjalanan ke Seremban, Muhyiddin menolak semua andaian berkenaan. Sebaliknya beliau menegaskan, ‘‘Apabila saya menyebut sesuatu itu tidak bermakna saya tidak setia sebaliknya ia menunjukkan kesetiaan saya kepada parti mengatasi lebih daripada yang lain.’’
Malah sambil meminta mana-mana pihak tidak meragui kesetiaan beliau, Muhyiddin memberi jaminan bahawa beliau akan mewujudkan gandingan yang mantap dengan Najib demi melaksanakan agenda negara dan parti. Bagaimanapun beliau menolak `cakap-cakap ‘ bahawa gandingan dengan Najib akan kembali mewujudkan pentadbiran 2M yang pernah dilalui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam.
“Kita kena tahu di mana kedudukan kita dan memahami bahawa kita adalah orang nombor dua, bukan ‘MM’ macam orang kata wujud 2M baru ‘Mohd Najib dan Muhyiddin’, ini tidak ada,’’ katanya.
Muhyiddin juga mengingatkan perwakilan UMNO bahawa dalam membuat keputusan mereka harus melihat track record perkhidmatan seseorang calon di dalam parti dan kerajaan kerana cabaran yang menanti dalam tempoh empat tahun mendatang amat getir dan memerlukan satu kombinasi kepimpinan yang mantap serta berpengalaman demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan UMNO.
MINGGUAN: Penawaran diri Tan Sri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dikatakan mewujudkan tafsiran bahawa inilah agenda sebenar Tan Sri mendesak supaya peralihan kuasa dipercepatkan?
MUHYIDDIN: Saya tidak fikir bahawa inilah hasil daripada desakan saya. Apa yang berlaku adalah atas pertimbangan budi bicara yang dibuat oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui perbincangan dengan Timbalan Presiden. Sudah tentulah Abdullah sudah mengambil kira banyak perkara dan kemudiannya membuat kenyataan yang saya rasa amat tepat dengan mengambil kira soal kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta demi memastikan kita terus relevan. Di samping itu beliau fikir sudah sampai masanya Najib mengambil alih bagi meneruskan perjuangan kita ini.
MINGGUAN; Tetapi orang tetap mentafsirkan bahawa keputusan mempercepatkan peralihan kuasa adalah kejayaan Tan Sri?
MUHYIDDIN: Saya tidak fikir begitu walaupun saya terlibat secara langsung dalam mengusulkan supaya Presiden memikirkan bila masa sesuai untuk menyerahkan pucuk pimpinan parti dan kerajaan kepada Najib. Tetapi dalam soal ini, walaupun saya ada peranan dan mengambil kesempatan menyuarakan perkara-perkara yang ada kepentingan dari segi soal masa depan UMNO dan orang Melayu, tidak kurang pentingnya ialah peranan Najib mengambil inisiatif berbincang dengan Abdullah.
Saya mengikuti beberapa pertemuan yang mereka adakan dan Najib sendiri memahami situasi dan percaya Abdullah pun tahu situasi politik negara selepas pilihan raya seperti bagaimana reaksi masyarakat terhadap kepimpinan beliau dan kerajaan BN. Jadi saya kira semua pemimpin utama kita membuat pelbagai penilaian, saya tidak fikir ia berlaku atas desakan saya. Soalnya siapakah saya? Saya hanya memberi pandangan dan tidak berhak untuk meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan, saya tidak pernah menggunakan istilah itu.
Saya hanya meminta beliau membuat pertimbangan yang mendalam tentang situasi semasa kerana kita hendak melihat UMNO khususnya mampu mempertahankan kedudukan dan kuasa politik Melayu kekal. Kalau lihat senario selepas pilihan raya kita rasa cukup takut dan berpendapat jika tidak ada langkah drastik dalam soal kepimpinan dilakukan, kita mungkin akan melihat masalah yang lebih besar. Jadi dalam soal ini kita harus mengambil kira apa pertimbangan yang Presiden dan Najib buat. Apa yang paling eloknya tidak berlaku pertembungan atau pertandingan. Kalau kita lihat peralihan dibuat atas dasar pertimbangan yang bijaksana. Malah Najib sendiri pernah menyatakan kepada saya bahawa beliau tidak mahu lihat sesuatu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam parti kerana kita sudah cukup lemah.
Atas dasar itu kedua-dua mereka mencari formula yang terbaik dan akhirnya mereka merumuskan satu pendekatan dan penyelesaian terbaik. Walaupun di peringkat awal pelan peralihan kuasa itu hendak dilaksanakan pada Jun 2010 namun reaksi yang diterima bukan sahaja dalam UMNO tetapi di luar sana agak tidak positif justeru saya menyuarakan supaya tempoh tersebut dipertimbangkan semula. Jadi tidak wajar jika saya hendak mendakwa ini adalah kejayaan saya berikutan apa yang berlaku kerana apa pun saya bercakap kalau tidak ada respons daripada Presiden maka tidak berlakulah. Jadi kita harus memberi penghormatan kepada Perdana Menteri kerana membuat keputusan yang bijaksana dan melakukan pengorbanan yang agak besar.
MINGGUAN; Bagaimanapun tindakan Tan Sri tidak begitu disenangi sehinggakan ada usaha mewujudkan calon `kuda hitam’ bagi memastikan Tan Sri tidak menang mudah kalau bertanding jawatan Timbalan Presiden?
MUHYIDDIN: Itu tidak apalah. Saya terima keadaan tersebut dan selagi kita melihat pemilihan ini sebagai satu proses demokrasi kita tidak boleh menghalang niat, hasrat atau tujuan mana-mana pihak untuk menghalang saya daripada menang tanpa bertanding atau percubaan untuk bersaing bagi melihat siapa yang terbaik. Apa pun saya terima. Mungkin ada pihak yang kurang senang terhadap apa yang saya suarakan tetapi ia bukan mempunyai niat tidak baik atau hendak merosakkan sesiapa sebaliknya ia lahir daripada kecintaan saya kepada parti. Ini terbukti apabila parti tidak rosak dan keputusan peralihan kuasa terbaru tersebut diterima baik oleh umum. Apa yang penting ialah ia bukan soal UMNO atau BN sahaja, pelan peralihan kuasa ini mempunyai implikasi besar kepada negara terutama bagaimana pendirian masyarakat sama ada mereka terima atau tidak. Maknanya, kalau kita buat sesuatu keputusan tetapi tidak diterima baik oleh pengundi maka kesan buruknya kita akan terima semasa pilihan raya. Jadi saya tidak rasa terkilan kalau ada yang hendak bertanding. Tetapi apa pun kita berharap ahli-ahli parti melihat ini sebagai satu proses pembentukan kepimpinan yang sesuai dan terbaik bagi membantu memulihkan situasi politik UMNO dan menguatkan kedudukan BN.
MINGGUAN; Ketika ini ada orang meragui kesetiaan Tan Sri kerana berpendapat Tan Sri mungkin akan melakukan tindakan yang sama ke atas Najib jika menjadi Timbalan Presiden?
MUHYIDDIN: Saya setia kepada Presiden dan parti sepanjang masa. Apabila saya menyebut sesuatu itu tidak bermakna saya tidak setia sebaliknya ia menunjukkan kesetiaan saya kepada parti mengatasi lebih daripada yang lain. Ini kerana perkara yang saya ketengahkan adalah soal masa depan orang Melayu dan survival UMNO. Selain itu masalah yang kita hadapi sekarang memerlukan satu keupayaan baru dan bentuk kepimpinan yang berkesan. Jadi ia adalah satu kewajipan dan tanggungjawab saya sebagai pemimpin dan ahli UMNO memberi pandangan kepada pihak atasan.
Walaupun ia mungkin jarang berlaku dalam sejarah UMNO tetapi kerana kita berhadapan dengan masa yang agak lain daripada biasa, maka kita harus mengambil kira soal tersebut.
Kesimpulannya, mereka tidak harus meragui kerana kesetiaan saya kepada parti itu paling utama, begitu juga kesetiaan saya kepada kepimpinan. Bila saya menegur kepimpinan bukan bermakna saya benci atau tidak setia kepada kepimpinan. Kesetiaan tidak bermakna kita membuta tuli atau mengambil langkah sesuatu tanpa mengambil kira apa kesan dan tujuannya. Ini kerana saya membuat itu atas niat yang baik.
Saya melihat ada keperluan untuk menyuarakan walaupun mungkin tidak disenangi oleh pemimpin tetapi saya juga diajar oleh pemimpin supaya bercakap mana yang betul. Kadang-kadang mungkin ia menyinggung perasaan tetapi kalau saya tidak berbuat begitu saya mungkin tidak bertanggungjawab dan tidak menjadi seorang pemimpin yang berwibawa.
Tidak sekalipun saya menyebut dalam mana-mana forum untuk meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan sebaliknya apa yang saya anjurkan ialah pelan peralihan dan ini yang telah diambil kira oleh Presiden.
MINGGUAN; Sejauh mana Tan Sri boleh memberi jaminan bahawa Tan Sri boleh menjadi Timbalan Presiden yang setia kepada Presiden?
MUHYIDDIN: Saya sememangnya bersedia mahu bekerjasama tentulah dalam tempoh beberapa bulan Insya-Allah jika kita diberi kesempatan orang akan menilai dan sekarang ini orang tidak boleh tunggu lama-lama, dia tidak mahu tunggu setahun dua sebaliknya dalam tempoh beberapa bulan mereka hendak tahu apa rancangan dan pelan bagi kita. Ini sudah tentulah terletak kepada Presiden sendiri. Saya tentu perlu berhubung rapat dan memahami pemikiran Najib seperti apa yang perlu beliau utamakan dan selepas itu kita akan bersama-sama memikirkan apakah pendekatan terbaik umpamanya soal pokok memperkukuhkan UMNO sama ada sudah ada atau tidak jentera atau pelan tindakan. Ini adalah bentuk-bentuk kerja yang perlu disusun. Jadi dalam soal itu saya fikir mungkin ia adalah lebih kepada saya bagaimana saya boleh mewujudkan satu hubungan kerja yang baik supaya ia dilihat satu gandingan yang mantap. Semua itu terletak kepada saya dan saya akan berusaha sebaik mungkin bagi mewujudkan jalinan persefahaman nanti.
Apa yang penting jika saya diberi peluang menduduki jawatan itu, saya adalah orang kedua sama ada dalam parti mahupun kerajaan yang biasanya kita sebagai timbalan membantu Presiden, segala apa dasar, wawasan dan keputusan yang dibuat oleh beliau, saya harus akur dan melaksanakannya. Tetapi dalam masa yang sama kita sebagai rakan seperjuangan dalam parti tentulah berpeluang berbincang dan memberikan pendapat untuk menyumbang kepada usaha mengukuhkan kepimpinan Presiden dan menguatkan kedudukan parti serta kerajaan. Saya fikir itu adalah salah satu tanggungjawab yang harus saya laksanakan, bermakna kita harus mengeluarkan buah fikiran, apa pun keputusan muktamad adalah kuasa Presiden. Saya tidak harus dilihat melanggar keputusan atau membuat sesuatu dengan memandai-mandai tanpa merujuk kepada beliau. Oleh itu harus ada satu hubungan kerja dan persefahaman yang agak baik dalam soal ini dan ini akan saya cuba lakukan.
MINGGUAN; Sudah ada tafsiran bahawa gandingan Najib dan Tan Sri kalau jadi kenyataan akan mengembalikan sejarah pentadbiran negara seperti berlaku pada zaman Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam, apa komen Tan Sri?
MUHYIDDIN: Saya juga belajar daripada sejarah erti kata saya mengikut perkembangan waktu dulu ketika zaman Dr. Mahathir dan Musa. Seperti mana yang dikatakan ketika menawarkan diri bahawa kita kena tahu di mana kedudukan kita dan memahami bahawa kita adalah orang nombor dua, bukan ‘MM’ macam orang kata wujud 2M baru ‘Mohd Najib dan Muhyiddin’, ini tidak ada. Itu harus kita lupakan, ini bukan soal nama tetapi soal siapa yang bos dan siapa nombor satu.
Maknanya, kita tidak boleh duduk sebaris dengan menganggap seniority sama dan sebagainya. Saya sudah fikir daripada awal lagi bahawa jika saya diberi peluang ertinya kedudukan saya adalah orang nombor dua dan sebagai orang nombor dua kena bersikap seperti orang nombor dua lah. Ini bagi mengelakkan dilihat saya bersaing atau saya seolah-olah ada rencana terasing atau hendak lebih menonjol daripada Najib, apa pun tindakan yang hendak dibuat saya harus berbincang dengan beliau dan selepas berjaya mewujudkan satu bentuk kerja yang agak teratur, maka saya akan bertindak atas dasar itu. Saya tidak fikir saya boleh bertindak seperti lebih sudu daripada kuah, itu kita kena faham. Kita tidak mahu melihat sejarah yang tidak elok berulang.
MINGGUAN; Soal kelantangan Tan Sri juga mula menjadi bualan...
MUHYIDDIN: Kalau melihat kepada sejarah, saya tidak pernah lantang. Saya melihat situasi yang memerlukan saya bersuara. Ini kerana tidak ada orang yang bersedia bersuara dalam keadaan yang bagi kita amat kritikal yang menyentuh soal survival parti kita dan orang Melayu. Atas sebab itu saya terpanggil apabila melihat situasi selepas pilihan raya bukanlah satu perkara yang agak biasa. Kita berada dalam zon bahaya, kita berada dalam kedudukan terancam jadi jika tiada sesiapa yang bersedia bercakap, apakah saya juga harus berdiam macam orang lain? Ini bagi saya tidak bertanggungjawab. Jadi kalau disebabkan beberapa kenyataan dan tindakan saya membawa kepada sedikit perubahan yang bagi masyarakat khususnya rakyat Malaysia sesuatu yang diharap-harapkan ertinya saya sudah melakukan suatu kebaikan untuk negara, apakah itu salah bagi saya?
MINGGUAN; Berikutan kelantangan yang ditonjolkan Tan Sri dilihat bukanlah seorang ‘yes man’, apakah sikap ini akan berterusan jika terpilih menjadi Timbalan Presiden?
MUHYIDDIN: Saya berpendapat apa pun yang kita hendak laksanakan atau putuskan seperti juga dalam Kabinet ia berasaskan kepada konsep tanggungjawab bersama. Dalam parti pun begitu juga, ia berdasarkan kepada konsensus dan dalam kebanyakan hal walaupun kita mempunyai pandangan-pandangan kita sendiri tetapi kalau kita buat keputusan secara ber kumpulan, maka kita kena patuhi amalan itu. Tetapi ia bermakna bahawa kita tidak boleh mengemukakan pendapat
Pandangan manusia kadang kala berbeza dan kalau kita wajar kita kemukakan adalah tidak salah untuk berbuat demikian. Sama ada soal kerajaan dan parti. Jadi hasrat ‘yes man’ ini tidak seharusnya dirujuk hanya kerana kita hendak menunjukkan kesetiaan, kadang kala orang tidak faham apa kesetiaan kepada parti.
Kesetiaan kepada parti bermaksud prinsip perjuangan parti harus diutamakan. Ada apa-apa yang kita lihat tidak berapa betul, saya berpendapat tidak salah untuk kita memberi teguran. Pokoknya jangan ada satu niat yang tidak baik. Contohnya buat sesuatu perkara itu untuk kepentingan diri. Dalam soal peralihan kuasa, apa kepentingan yang saya dapat? Ada orang marah saya pun, tetapi apa yang penting saya sudah melaksanakan tanggungjawab saya.
MINGGUAN; Apakah diletakkan sebagai calon favourite memberikan apa-apa tekanan?
MUHYIDDIN: Saya tidak tahu sama ada saya dianggap calon favourite atau tidak kerana ini adalah proses penawaran diri untuk berkhidmat dan bukan merebut jawatan. Oleh itu sesiapa juga boleh menawarkan diri, apa yang saya harap ahli parti khususnya perwakilan akan membuat pertimbangan semasak-masaknya kerana untuk memilih jawatan kedua dalam parti dan kerajaan ini bukanlah satu perkara yang kecil, bukan sekadar hendak mengisi kekosongan atau untuk mendapat jawatan.
Ini kerana saya kira terletak di atas jawatan itu beban dan amanah yang cukup besar seperti mana saya kata ketika membuat pengumuman ialah membantu kepimpinan Presiden parti. Melihat dalam konteks beberapa tahun ke depan saya tidak pernah melihat seberat itu cabaran yang akan kita tempuh kerana saya bimbang kalau kita tidak berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO, BN dan kepimpinan kerajaan, kita akan ditolak dalam pilihan raya.
Situasi sekarang ini pun masih belum pulih lagi jadi bagi saya ia adalah suatu amanah yang cukup besar bagaimana kalau saya dipilih dapat membantu Najib, contohnya siapa yang hendak melihat politik dan dalam masa yang sama harus mengurus negara bagi menangani isu-isu seperti tekanan ekonomi global yang sudah pasti membawa kesan kepada negara tetapi dalam waktu yang sama memulihkan keadaan politik UMNO.
Ini bukan mudah tetapi saya fikir saya boleh membantu dan sedia berbincang bagi mendapatkan panduan serta arahan, contohnya saya diberi masa lebih bagaimana untuk mengukuhkan BN dan UMNO dalam situasi di mana Najib terus boleh mentadbir negara manakala saya menjurus kepada kerja-kerja politik. Ertinya ada pembahagian kerja yang sanggup saya pikul. Ini termasuklah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan parti-parti, menggerakkan program pemulihan parti, membentuk imej dan keyakinan baru. Semua ini adalah tanggungjawab yang cukup besar, bukan atas saya sahaja tetapi juga pengurusan UMNO, MT dan kepimpinan negeri.
Saya ditemui oleh semua pemimpin komponen BN yang menyatakan kebimbangan mereka dan ingin tahu apa yang UMNO hendak lakukan bagi menguatkan parti serta bagaimana proses pemilihan dalam UMNO, semua itu mereka hendak tahu. Ini kerana bagi mereka kalau UMNO lemah, mereka lemah. Oleh itu UMNO mesti dipulihkan, diperkuat dan disatukan dulu. Kemudian kita perlu membantu parti-parti komponen.
Saya bersedia kerana sekarang ini pun saya duduk dalam jawatankuasa tertinggi. dan kalau selepas ini perlu memainkan peranan lebih utama saya juga bersedia terutama bagi mendapat pemahaman apa yang kita hendak buat dalam menangani masalah-masalah pokok yang menyebabkan sikap pengundi-pengundi Cina, India dan bukan Melayu lari daripada kita. Ini banyak terletak kepada apa peranan yang parti-parti komponen boleh mainkan dan bagaimana pula UMNO memahami mereka bagi menarik semula sokongan tanpa mengorbankan asas-asas yang diperjuangkan oleh parti itu seperti mempertahankan hak orang Melayu, pendidikan, agama dan sebagainya.
Apa yang perlu difahami, pengundi dengan profail baru yang sebahagian besar umur 30-an dan 40-an memerlukan pandangan berbeza, kalaulah UMNO berfikir secara lama, kalau UMNO dan BN tidak berubah, orang akan mengubah kita. Ini yang paling utama untuk memikirkan apa yang kita hendak buat.
MINGGUAN; Walaupun jawatan Timbalan Presiden amat penting tetapi ada juga yang melakukan penawaran diri yang menjadi bahan jenaka.
MUHYIDDIN: Saya tidak tahu mengapa mereka berbuat demikian, mungkin dilihat dari luar mereka macam memperli atau mempermain-mainkan jawatan tersebut, ini bukan saya kata tetapi orang luar. Saya tidak mahu berkata demikian kerana saya ada kepentingan dalam pemilihan kali ini tetapi mereka harus faham bahawa ini adalah jawatan yang kedua tertinggi dalam parti dan kerajaan. Ia adalah satu kedudukan yang bukan sekadar untuk duduk atas kerusi empuk sebaliknya satu tugas berat.
Kalau hendak berkhidmat kajilah kemampuan kita, apakah kita bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar itu dan bagaimana pula hubungan kerja dengan Presiden?
Secara tradisi, orang nombor dua mesti rapat dan boleh bekerjasama dengan Presiden ini memerlukan kefahaman, justeru kita kena ambil kira faktor-faktor itu sebelum kita menimbang untuk bertanding. Malah saya sendiri walaupun orang kata saya sudah layak, kadang-kadang saya berasa takut juga kerana ini adalah satu amanah yang besar, saya bukan boleh main-main. Wajarkah saya duduk di situ kalau tidak boleh memikul amanah, tambahan lagi zaman sekarang bukan zaman-zaman senang, empat tahun akan datang adalah satu tempoh yang cukup getir. Itu perkiraan yang saya buat.
Tetapi selepas mengambil kira semua pandangan dan mendengar nasihat orang lama dalam UMNO dan pemimpin komponen BN, barulah saya menawarkan diri.
MINGGUAN; Dalam menentukan barisan kepimpinan terutamanya bagi jawatan Timbalan Presiden, apa seharusnya ahli UMNO lakukan?
MUHYIDDIN: Kita harus meletakkan apa keutamaan kita biarpun pemilihan ini adalah proses biasa dalam demokrasi. Dalam soal ini yang paling utama ialah bagaimana hendak mengukuhkan perpaduan bukan sahaja di peringkat atas tetapi juga di bawah.
Bagi saya ini cabaran besar. Kita boleh kata kita bersatu tetapi kalau kita turun ke bawah contohnya ketika waktu pemilihan sekarang kita dengar bermacam-macam cerita. Ini termasuklah bagaimana tindakan pemimpin di sesetengah bahagian yang sewenang-wenangnya bertindak melanggar batas kuasanya. Oleh itu UMNO harus bermuhasabah bagaimana hendak memperbetulkan budaya politik supaya lebih sihat, ini adalah satu cabaran besar.
Kedua, apa yang kita hendak buat dalam tempoh empat tahun ini. Saya lihat dalam UMNO ramai yang tidak berapa peka seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Saya bimbang sangat sikap ini.
Apa yang harus diberi keutamaan ialah memulihkan keyakinan rakyat kepada parti, kita mungkin boleh menang tetapi kalau rakyat tidak menerima mungkin kita kalah. Kita tidak mempunyai masa begitu lama, kalau zaman dahulu kalau kita kalah dalam pilihan raya, kita tidak rasa bimbang sangat kerana akan pulih semula tetapi yang terbaru ini saya kurang pasti sama ada boleh atau tidak kita pulih. Kita harus melihat semula amalan-amalan kita yang dikatakan menjadi punca kekalahan dalam pilihan raya. Kita kena cari jalan bagaimana memperbetulkannya.
MINGGUAN; Apa mesej kepada perwakilan UMNO
MUHYIDDIN: Bagi saya mereka harus melihat bahawa pemilihan kali ini bukan setakat untuk memilih barisan kepimpinan untuk parti tetapi kepimpinan yang bakal diterima oleh rakyat kerana di luar sana terdapat pengundi yang meneliti, menganalisis dan membuat kiraan siapa bakal pemimpin UMNO yang akan menerajui parti dan kerajaan.
Selain itu, mereka juga harus melihat pemimpin yang boleh memberikan sumbangan berdasarkan kepada pengalaman yang jauh dan bersedia bersama-sama untuk bekerja sebagai satu pasukan yang mantap membantu Najib menghala masa depan yang cukup getir Bagi urusan yang perlu kita buat seperti memulih dan melakukan pembaharuan dalam parti. Ia bukan sahaja dari segi bentuk tetapi juga pengisian yang akan dikemukakan semula kepada rakyat supaya mereka kembali menyokong BN. Jika ini gagal dilakukan sudah pasti kita menjadi satu parti yang ditolak oleh rakyat.
Oleh itu dalam menentukan barisan kepimpinan, mereka harus berfikir dengan semasak-masaknya apakah bentuk pemimpin yang kita mahu dan siapa pemimpin yang kita fikir layak serta berkemampuan. Biasanya kita menilai dari segi kerja yang mereka buat dan hasilnya serta pengalaman dalam parti dan kerajaan. Mereka juga menilai dari segi kesesuaian kepimpinan termasuklah barisan bermula dari timbalan Presiden sehinggalah kepada MT yang akan berganding dengan Najib.
Atas sebab itulah dalam proses pemilihan ini, kita melonggarkan kebenaran berkempen. Ini bagi memberi peluang kepada ahli parti membuat penilaian terhadap pemimpin yang bertanding. Bagi diri saya, saya serah kepada mereka, ahli-ahli UMNO sudah tentulah melihat tentang sumbangan saya lebih 37 tahun berjuang dalam UMNO dan kerajaan. Saya fikir mereka sudah boleh menilai sama ada saya layak atau tidak. Apa yang penting bagi saya saya sudah bersedia melaksanakan satu tanggungjawab yang lebih besar demi parti dan negara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment