Tuesday, December 16, 2008
Soal Jawab: Mohd Ali sedia pikul amanah besar demi Umno, Melayu
Soal Jawab: Mohd Ali sedia pikul amanah besar demi Umno, Melayu
(petikan dari Berita Minggu 14122008)
Perkasakan parti misi utama calon Timbalan Presiden
SEBAIK menyatakan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu Mac depan, ramai meragui kemampuannya. Namun Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam membuktikan beliau mampu melepasi kuota pencalonan bagi melayakkannya bertanding. Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur menemubual Ketua Menteri Melaka itu bagi menyelami hati dan hasratnya bertanding serta pelbagai isu lain.
Tahniah kerana layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Apa mendorong Datuk Seri bertanding jawatan itu?
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua bahagian yang mencalonkan saya. Begitu juga kepada bahagian lain yang saya percaya dan yakin akan cuba sebaik mungkin memberi sokongan kepada saya. Seperti masa lalu, ketika saya menawarkan diri bertanding MT Umno (Majlis Tertinggi), terdapat ruang kosong ketika itu. Melaka pula hanya ada seorang calon. Apabila saya menawarkan diri, nampak kehadiran saya diterima. Begitu juga, selepas dua penggal menjadi MT, saya menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden kerana situasi sama. Sekarang ini pula ada kekosongan bagi jawatan Timbalan Presiden, jadi saya tawarkan diri.
Semua itu dilakukan kerana saya sanggup memikul tanggungjawab lebih besar dan berat agar parti terus kuat dan ada keyakinan, sekali gus mendapat sokongan ahli, rakyat, kepemimpinan BN (Barisan Nasional) dan kerajaan. Saya yakin apabila menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, boleh membantu Presiden parti dengan berkesan. Sejak dulu, saya sentiasa membantu ketua tanpa berbelah bahagi dan memang ciri itu ada pada diri saya.
Datuk Seri mendapat 49 pencalonan iaitu kira-kira satu perempat daripada keseluruhan bahagian. Adakah itu gambaran sokongan ahli kepada Datuk Seri tidak begitu menggalakkan?
Selepas bertanya kawan, mereka kata Insya-Allah saya akan dapat cukup pencalonan. Mereka kata tak perlu dapat terlalu banyak pencalonan kerana ramai calon bertanding. Oleh itu, saya berpuas hati dengan jumlah pencalonan diperoleh.
Dalam pertandingan ini, ada dua fasa perlu dilalui. Pertama, memerlukan kelayakan dan kedua, pemilihan sebenar pada Mac. Di situ nanti, semua calon bertanding mempunyai peluang. Bagaimanapun, nampak dan seperti saya dimaklumkan peluang saya baik untuk menang.
Kalau dilihat pada masa lalu (pemilihan pucuk pimpinan terdahulu), jumlah pencalonan tidak menggambarkan undi sebenar yang akan diperoleh. Ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang negatif. Kita mesti ingat, saya menawarkan diri terkemudian, hanya selepas sah ada kekosongan. Sebelum itu saya hanya mengesahkan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandang sekarang. Sebab itu, pencalonan agak perlahan sedikit dan kebetulan ramai pula yang menawarkan diri.
Falsafah Datuk Seri dalam politik?
Mudah saja. Berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan sebaik mungkin ketika kita berpeluang melakukannya, ketika kita masih memegang jawatan. Sesuatu yang baik ingin dilakukan, kita mesti lakukan dengan yakin demi agama, bangsa dan negara. Kalau dah tak ada jawatan, tak ada kuasa, kita tidak boleh membuat keputusan dan tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab itu, ketika mentadbir kerajaan dan parti, saya sentiasa cuba sebaik dan sebanyak mungkin bagi tempoh tertentu.
Misalnya, bila saya jadi Ketua Menteri, saya hanya ada satu penggal, jadi sepanjang tempoh itu, saya buat sebaik dan sebanyak mungkin, sebabnya belum tentu selepas itu saya ada jawatan lagi. Kalau ada, tentunya saya akan tambah lagi. Kalau tak ada peluang, tentunya saya tak boleh buat apa-apa lagi. Kalau nak suruh orang selepas itu, orang akan kata, kenapa tak buat dulu.
Boleh nyatakan pencapaian Datuk Seri di Melaka selepas 10 tahun jadi Ketua Menteri?
Nampak ada kesan positif terutama dalam pertumbuhan ekonomi, pendidikan, pelancongan, alam sekitar, sosial dan pelbagai lagi. Berbanding negeri lain, Melaka tidak banyak hasil mahsul sebab itu kita guna pelbagai pendekatan termasuk menggunakan pengetahuan bagi membangunkan ekonomi.
Sekarang ini kita jadikan Melaka sebagai pusat Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) atau MSC @ MITC. Kita juga sudah jadikan negeri ini sebagai hab pendidikan tinggi... sekarang ada kira-kira 75,000 pelajar peringkat ini di Melaka termasuk yang belajar di tujuh universiti.
Begitu juga dalam bidang pelancongan. Dulu ketika saya mula jadi Ketua Menteri pada 2 Disember 1999, bilangan pelancong setahun hanya kira-kira 1.7 juta, tahun lalu meningkat kepada 6.2 juta. Tahun ini kita sasarkan 6.8 juta. Pertumbuhan ekonomi naik 5.9 peratus, manakala pengangguran hanya 0.9 peratus iaitu terendah di Malaysia. Di Melaka juga sekarang tidak ada lagi penduduk miskin tegar. Dari segi pendapatan penduduk, sudah terkeluar dari garisan kemiskinan. Misalnya pengusaha bot di Sungai Melaka, pendapatan mereka ada yang mencecah sehingga RM2,000 sebulan.
Sektor pembuatan juga berkembang pesat. Misalnya kita berjaya membawa masuk kilang Honda dan hasilnya setiap tahun kita peroleh cukai sebanyak RM1.1 bilion. Malah, setiap tahun Melaka adalah antara pembayar cukai tertinggi di Malaysia. Tahun lalu, kita bayar RM1.9 bilion. Pencapaian cemerlang dalam bidang ini, membolehkan Melaka menerima banyak anugerah seperti bandar raya mapan dan pengurusan daerah terbaik peringkat nasional serta terbaru, anugerah Bandaraya Warisan Dunia dari Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco).
Bagaimana kedudukan politik di Melaka ketika ini, khususnya BN dan Umno?
Saya berpuas hati kerana dapat meningkatkan kerjasama antara Umno dengan semua komponen BN. Perkhidmatan parti kepada rakyat juga bertambah baik. Pada Pilihan Raya Umum 2004, kita dapat rampas Parlimen Kota Melaka daripada DAP selepas 35 tahun mereka pegang dan menang dengan lebih dua pertiga majoriti. Pilihan raya umum lalu, agak malang kita terlepas semula kerusi itu gara-gara tsunami politik, namun saya tetap bangga kerana semua calon Umno menang sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Ini bermakna prestasi Umno dan BN tetap baik kerana tetap menang dua pertiga. Sejak merdeka hingga sekarang, semua calon Umno tak pernah tewas di Melaka.
Biasanya mereka yang dipilih sebagai Timbalan Presiden akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu, kalau Datuk Seri menang pada pemilihan kali ini, tidakkah timbul masalah untuk ke Pusat kerana Datuk Seri hanya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Selain itu, sudahkah Datuk Seri membuat persediaan sebelum meninggalkan Melaka termasuk mencari pengganti sebagai Ketua Menteri?
Rasanya tidak ada masalah. Dulu ketika Tun Mohd Khalil Yaakob berpindah ke Pusat ketika menjadi Menteri Besar Pahang, beliau dilantik Senator untuk menjadi Menteri Penerangan. Begitu juga Tan Sri Abu Hassan Omar yang juga anggota Kabinet ketika hendak dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Dia perlu bertanding dalam pilihan raya kecil. Selepas menang pilihan raya kecil itu, baru dia dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Terpulang kepada Presiden baru kita untuk menentukannya. Jangan bimbang bajet pilihan raya di Melaka pun kecil. Mengenai pengganti saya di Melaka, itu tak perlu risau.
Wawasan Datuk Seri untuk Umno khususnya orang Melayu jika terpilih?
Tugas Timbalan Presiden besar dan berat. Ia perlu membantu Presiden bagi mengembalikan semula keyakinan ahli dan rakyat kepada Umno, BN dan kerajaan. Ini akan menjadi fokus utama kita sehingga Pilihan Raya Umum ke-13. Saya yakin, ia boleh dilakukan dengan pelbagai strategi. Antaranya, kita mesti kembali bersatu padu. Kedua, tunaikan janji dalam pilihan raya dan dalam parti kita. Keputusan parti dan manifesto pilihan raya mesti dilaksanakan.
Sekarang ini, saya lihat masalah kita, banyak keputusan parti tak dilaksanakan. Sebab itu ahli marah, mereka marah pada Umno, marah pada BN dan akhirnya jika tidak dibendung boleh menjejaskan peluang dalam pilihan raya. Sampai sekarang ini, orang Melayu, ahli Umno, pemimpin parti masih komplen mengenai kedudukan ekonomi Melayu. DEB (Dasar Ekonomi Baru) sudah 38 tahun diperkenalkan tapi ekuiti Melayu masih 19 peratus. Begitu juga dalam pendidikan dan pelbagai bidang yang masih belum tercapai, sedangkan kita sudah berjanji dulu.
Hingga hari ini, kita masih bercakap perkara sama. Ahli Umno kata, kenapa tak boleh, kita ada kuasa. Saya lihat, kita kena penuhi kehendak parti yang dirumuskan dalam perhimpunan dan janji pilihan raya. Sebab itu, saya berpendapat, parti perlu menguasai kerajaan dalam melaksanakan dasar supaya ia terlaksana. Kita ada dasar yang baik, cuma pelaksanaannya masih lemah dan inilah perlu diperbaiki.
Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut berhubung isu membabitkan orang Melayu?
Isu orang Melayu amat penting untuk diselesaikan. Macam isu keganasan dunia, kita boleh buat pelbagai usaha tapi selagi isu Palestin tak selesai, selagi itu tak berhenti. Isu utama orang Melayu ialah ekonomi, pendidikan dan kemiskinan. Orang Melayu ini, kalau dia susah, dia akan bising. Bancian kita dapati, kerisauan mereka adalah ekonomi. Sebab itu kita perlu selesaikan, misalnya harga barang mahal, masalah lain akan timbul seperti jenayah, keselamatan.
Lepas itu orang Melayu akan minta dibela. Kaum lain bila tahu, akan minta juga. Lepas itu akan keluarlah suara kurang elok termasuk pertikai hak orang Melayu. Kita (parti komponen) dalam BN, perkara sensitif mesti bincang. Begitu juga, walaupun kita kata sudah berjaya sebab paras kemiskinan hanya tinggal 5.7 peratus, tapi generasi muda berpendapat kita patut boleh lakukan lebih baik daripada itu kerana negara dalam keadaan baik.
Orang muda tidak boleh terima, jika nak bandingkan keadaan dulu seperti ibu bapa mereka yang ke sekolah jalan berkaki ayam, tak ada rumah, tak ada api air, tak sekolah atau guna tandas curah. Orang muda sekarang tak boleh terima alasan begini kerana mereka lahir dalam serba lengkap. Bangun saja, rumah sudah cantik, ada api air, jalan cantik. Kepada mereka, saya fikir lebih baik kita laksanakan janji kita, laksanakan tugas daripada menerangkan cerita dulu. Lebih pantas kita bergerak, maka lebih banyak dapat dilakukan.
Begitu juga, kalau nak bantu kaum lain, janganlah ambil kuota Melayu. Ini orang Melayu tak suka. Kalau nak, tambah saja. Esok jadi isu dan kalau tak terkawal, jadi isu perkauman. Ini merugikan parti kita.
Datuk Seri hanya berpengalaman selama satu penggal sebagai Naib Presiden Umno. Ada yang kata, ia masih belum mencukupi. Sepatutnya Datuk Seri menimba lebih banyak pengalaman untuk memantapkan diri. Komen Datuk Seri?
Saya mempunyai track record yang panjang bersama Umno. Saya menjadi ahli ketika usia 18 tahun dan sekarang usia saya 59 tahun. Jadi saya sudah bersama dan berjuang bersama Umno selama 41 tahun. Selama tempoh itu, saya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno cawangan, Ketua Pemuda Umno cawangan, Setiausaha Umno cawangan dan Ketua Umno cawangan selain Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan kini menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Saya juga pernah menjadi ahli MT selama dua penggal dan kini menyandang jawatan Naib Presiden. Walaupun hanya satu penggal jadi Naib Presiden, saya sudah menyumbang banyak untuk parti. Sebagai contoh di Melaka saja, Umno berjaya mencatatkan rekod cemerlang apabila memenangi semua kerusi ditandingi. Saya berjaya mengekalkan rekod cemerlang Umno itu yang tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak negara mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu.
Saya pernah menewaskan semua calon DAP, Pas dan Semangat 46 ketika bertanding dalam pilihan raya umum sejak 1986. Malah, dalam pilihan raya umum lalu, Melaka adalah satu-satunya negeri di Semenanjung yang berjaya memastikan semua calon BN dari Umno menang. Paling membanggakan, Melaka menjadi negeri pertama mengumumkan penubuhan semula kerajaan negeri di bawah kepemimpinan BN. Sepanjang menjadi Ketua Menteri, saya berjaya meletakkan Melaka pada kedudukan terbaik dalam pelbagai bidang pada peringkat nasional.
Ada pihak mempertikaikan kemampuan Datuk Seri jika menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk mengetuai delegasi negara menyertai pelbagai persidangan peringkat antarabangsa kononnya kerana kurang fasih berbahasa Inggeris?
Saya menjadi Presiden World Assembly Youth atau Presiden Perhimpunan Belia Sedunia (Way) sejak 1993 hingga sekarang. Pertubuhan yang diasaskan bersama mendiang Nelson Mandela, John F Kennedy, Martin Luther King dan Allahyarham Tun Abdul Razak ini dianggotai 130 negara. Naib Presiden saya berasal dari Eropah, Afrika, Asia dan Amerika Latin, manakala beberapa Setiausaha Agung saya dari India, Zimbabwe dan Albania. Sekarang ini juga saya adalah Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sejak 2000. Kita pernah mengadakan pelbagai program di Australia, Indonesia, Kemboja, Sri Lanka, Filipina dan Afrika Selatan. Pada saya isu itu tidak timbul kerana rekod pencapaian saya cukup mengesahkan kemampuan saya.
Tahap pendidikan Datuk Seri?
Saya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pembangunan Ekonomi dari USM (Universiti Sains Malaysia). Saya memperolehnya pada 1984 menerusi Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Saya pernah masuk ITM (Institut Teknologi Mara) di Shah Alam pada 1972, untuk mengikuti pengajian Kejuruteraan Elektrik tapi hanya mampu bertahan selama tiga minggu. Saya terpaksa berhenti kerana keluarga miskin. Sebagai ketua keluarga ketika itu, kerana bapa meninggal dunia ketika usia saya 11 tahun, saya terpaksa menanggung emak dan dua adik lain. Untuk meneruskan kehidupan, saya jadi kerani Lembaga Letrik Negara (ketika itu dan kini Tenaga Nasional Berhad). Oleh kerana hasrat untuk belajar meluap-luap, saya mengambil STP (Sijil Tinggi Pelajaran) pada 1979 dan akhirnya mendapat keputusan cemerlang. Selepas dilantik menjadi Penolong Pengarah Kemas di Kedah pada tahun sama, saya mengambil PJJ di USM.
Pendapat Datuk Seri mengenai politik wang?
Bagi saya politik wang perlu dibanteras dan semua mesti ikut tata cara yang ditetapkan parti.
Apa yang ingin dikatakan kepada perwakilan yang akan menentukan kedudukan Datuk Seri dan calon lain bagi pelbagai jawatan pada pemilihan 24 hingga 28 Mac ini?
Pemilihan pada Mac ini adalah peluang kepada semua perwakilan untuk memilih pemimpin yang dianggap terbaik. Saya menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan semangat ingin menyumbang kepada parti, agama, bangsa dan tanah air. Saya berasa yakin berdasarkan sumbangan sebelum ini kepada parti dan kerajaan, akan mendapat sokongan bermakna dari perwakilan. Saya juga berasa yakin akan bekerjasama baik dengan bakal Presiden baru kita, Datuk Seri Najib Razak bagi masa depan parti, agama dan negara kita. Saya mampu memikul tanggungjawab yang besar dan berat ini berkat sokongan semua pihak, khususnya ahli parti kita dalam Umno.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment