ARKIB : 22/07/2008
AMATLAH menarik menyaksikan perkembangan mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang sehingga Ogos nanti. Paling menjadi tumpuan apabila sudah ada kesediaan pimpinan ketua bahagian sebelumnya untuk mengundurkan diri secara terhormat dan memberi laluan kepada barisan pelapis kepimpinan yang baru.
Usaha ini mampu memanfaatkan UMNO dari beberapa sudut. Pertama mengelakkan pertembungan dan pertandingan yang sudah tentu jika berlaku akan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan terutama di negeri-negeri yang kerajaannya dikuasai Pakatan Rakyat.
Justeru masa, tenaga, wang ringgit dan idea mampu digembleng untuk menjana kembali dan memulihkan UMNO selain menyusun usahanya untuk terus memberi khidmat dan meluaskan pengaruh di kalangan rakyat. Ini cukup penting memandang kemerosotan pencapaian akibat beberapa kelemahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
Kedua, akan berlaku proses penyalinan kepimpinan, supaya keberkesanan pentadbiran UMNO di peringkat bahagian seterusnya negeri akan bertambah mantap. Sekali gus mewujudkan dinamisme kepimpinan kerana proses peralihan kuasa dilakukan secara beradab dan dalam kerangka muafakat Melayu.
Meskipun barangkali ramai yang bertanggapan sinis bahawa UMNO bukannya hak milik pesaka, atau untuk difaraidkan sesama pimpinan tertentu sahaja, namun proses kompromi, dengan penegasan ketua UMNO bahagian yang sudah terlalu lama menabur khidmat mengambil pendekatan untuk mengundurkan diri, seharusnya disanjung tinggi.
Pendirian Datuk Ghazali Ibrahim, dari Bahagian Padang Terap, Datuk Badarudin Amiruldin dari Jerai, Datuk Sarit Yusof (Pahang), Datuk Aziz Shamsuddin, Gopeng (Perak) adalah contoh kebesaran jiwa seseorang pemimpin.
Bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai seorang ketua UMNO bahagian, kemuncak tertinggi bagi karier politik seorang ahli UMNO. Namun pertimbangan bahawa kepentingan parti, kekuatan parti melebihi agenda peribadi maka, kesediaan sebegini adalah rahmat kepada UMNO dalam usaha parti berkenaan menuju agenda perubahan dan pemulihan.
Sebab itu, pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mulai Jun 2010 juga tidaklah boleh dipandang sinis, atau sebagai satu helah politik.
Mana mungkin 'helah politik' dilakukan jika ia melibatkan masa depan, survival bangsa, keutuhan parti, integriti dan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan.
Cuma bagi kepimpinan baru yang bakal mengambil alih, golongan yang mengundurkan diri ini jangan dilupakan. Letakkan golongan ini dalam satu barisan 'majlis penasihat' supaya segala pengalaman, kemahiran politik, pengurusan dan pentadbiran dapat diberikan khususnya untuk membimbing generasi muda.
Peranan golongan lama dan baru ini harus dilihat sebagai pelengkap bukannya pesaing. Amalkan prinsip 'Yang tua dilupa jangan, Yang muda dibimbing tangan, Yang tua kita hormati dan Yang muda kita kasihi.'
Ini memandangkan urusan politik, pentadbiran dan pengurusan parti sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun peringkat Pusat memerlukan pengalaman luas, rantaian hubungan persahabatan yang meluas, kemahiran komunikasi awam yang pelbagai, keupayaan melakar aktiviti dan program bermanfaat, komitmen dan kerjasama padu semua pihak.
Jika ini mampu dihayati, dan jika amalan kompromi ini berterusan menjadi prinsip dan pegangan pimpinan dan ahli UMNO, suasana harmoni, semangat kekeluargaan dalam konteks pemilihan UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun Majlis Tertinggi nanti bakal berjalan dengan kondusif, aman dan harmoni.
Sekali gus mampu meningkatkan kredibiliti UMNO dan ini mampu menjadikan UMNO sebagai role model kepada rakan-rakan komponen Barisan Nasional yang turut sibuk mengadakan perhimpunan agung mereka pada tahun ini.
SOBRI SUDIN
Kuala Lumpur
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
No comments:
Post a Comment