Sunday, July 13, 2008

Politik: Serah kuasa Jun 2010



ARKIB utusan: 11/07/2008
Serah kuasa Jun 2010

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
dan FAUZIAH AROF

KUALA LUMPUR 10 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Justeru, Abdullah memberitahu beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti Disember ini.

Menurutnya, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat sebelum itu dan pada pertemuan dengan Exco Pemuda, Wanita, Puteri dan Ketua UMNO bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

‘‘Saya tidak akan memimpin parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang iaitu yang ke-13.

“Ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan dan sebagaimana yang saya maklumkan kepada MT, ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini.

‘‘Saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Presiden parti dalam Jun atau pertengahan 2010,” katanya kepada pemberita selepas taklimat khas tertutup itu.

Menurut Abdullah, walaupun pelbagai pandangan dilontarkan oleh ahli MT mengenai perkara itu secara umumnya mereka menerima baik keputusan tersebut malah perwakilan pada taklimat khas memberikan tepukan gemuruh ketika beliau mengumumkannya.

Hadir sama pada sidang akhbar yang padat dengan wakil media tempatan dan asing itu ialah Najib, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Bendahari, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Ditanya mengapa memilih Jun 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa, Abdullah menjawab, tempoh dua tahun itu cukup untuk melaksanakan projek pembangunan yang dirancang khususnya membasmi kemiskinan tegar.

Dalam jangka masa proses peralihan kuasa itu berlaku, Abdullah berharap Najib akan terus menjadi timbalannya untuk bersama-sama melaksanakan usaha pemulihan parti bagi mengembalikan kepercayaan ahli seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

Tempoh itu juga katanya, akan memberi masa kepada Najib membuat persediaan mengambil alih jawatan dan menerajui BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 selewat-lewatnya pada 2013.

Menurutnya, beliau menghargai persahabatan dan kerjasama baik yang terjalin antara mereka berdua khususnya ketika sama-sama menghadapi isu-isu dalam parti dan kerajaan.

Najib juga katanya, telah diberi kepercayaan olehnya untuk menjalankan pelbagai tugas penting mempengerusikan banyak jawatankuasa peringkat Kabinet di samping mewakili beliau dalam forum-forum peringkat antarabangsa sebagai persediaan mengambil alih jawatan tertinggi dalam kerajaan dan parti.

‘‘Oleh itu, saya rasa amat senang hati kalau timbalan saya itu ialah Najib sampailah tarikh nanti serahkan kepada beliau. Saya pilih beliau sebab saya yakin dia boleh menjadi pengganti yang baik,” tegasnya.

Menjawab pertanyaan kenapa pengumuman itu dibuat sekarang, Abdullah menjelaskan, ia perlu kerana peralihan kuasa memerlukan masa.

Mengenai sama ada kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan timbalannya akan menjejaskan proses peralihan kuasa itu, Abdullah berkata:‘‘Ia tidak ada kaitan kerana itu keputusan parti dan keputusan saya sendiri.”


Dipertandingkan
Ditanya adakah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan seperti lazimnya apabila kedua-dua pemimpin tertinggi membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan, beliau berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

Bagaimanapun, ujarnya, persetujuan telah dicapai bahawa beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dan keputusan itu direstui oleh ahli MT.

Ditanya kemungkinan beliau mengubah pendirian dalam tempoh dua tahun itu, Abdullah menegaskan: ‘‘Ia tidak mungkin berlaku. Keputusan saya adalah muktamad.”

Presiden UMNO itu yang kemudian ditanya adakah beliau tidak sedih dengan keputusan itu kerana riak wajahnya dilihat begitu bersahaja menjawab: ‘‘Memang saya rasa sedikit sedih. Tidak lebih daripada itu. Saya lebih merasakan satu pencapaian dan saya bersyukur kerana saya telah mengambil satu ketetapan yang diterima baik oleh parti.”

Mengenai kemungkinan beliau akan mencampuri urusan kerajaan selepas mengundur diri, Abdullah berkata: ‘‘Untuk itu, anda perlu tunggu.’’

Ditanya adakah keputusan itu dibuat atas tekanan, beliau menyangkalnya sebaliknya menjelaskan ia tindakan wajar.

‘‘Kalau nak ikutkan tekanan, ada macam-macam pandangan, ada yang suruh (berundur) sebelum Disember dan ada yang suruh saya ketuai pilihan raya umum akan datang... mereka minta saya tebus balik kekalahan.

‘‘Itu pandangan mereka tetapi saya berpendirian akan menyerahkan juga jawatan ini kepada pengganti saya dan inilah jalan yang saya pilih,’’ tegasnya.

Ditanya harapan beliau terhadap Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyatakan hasrat mencabarnya, Abdullah berkata, terpulang kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu untuk membuat keputusan selepas pengumuman hari ini.

Mengenai pembaharuan terhadap sistem kehakiman dan membanteras rasuah yang digerakkannya, Abdullah yakin ia dapat dilakukan dalam tempoh dua tahun proses peralihan kuasa itu.

Mengulas tindakan pembangkang menghantar notis usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata: ‘‘Itu kebebasan dia, nak buat apa pun.”

No comments: