oleh; Ruhanie Ahmad
Politik Malaysia diramalkan jadi lebih menarik. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal memahami aspirasi rakyat jelata menerusi PRU12. Lantaran itulah beliau mengumumkan pada 10 Julai 2008, beliau hanya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Ini bermakna Najib akan terus dibelenggu detik-detik penantian yang amat panjang – penuh dengan getaran jiwa, gegaran jantung dan denyutan sukma yang menjeruk hati.
Tiada sesiapa dapat menyelami isi hati Najib yang sebenar mengenai hal ini. Bagaimanapun, tidakkah kenyataan Najib bahawa “suara parti pada akhirnya akan menentukan keputusannya,” memberikan mesej tersirat daripada hati Najib?
Apakah maksud kenyataan Najib ini? Tidakkah ayat singkat tersebut boleh ditakrifkan sebagai cara berhemah Najib membuka opsyen kepada warga UMNO untuk memuktamadkan keputusan Abdullah – sama ada mereka setuju atau sebaliknya?
Tidak mungkinkah suara hati Najib ini juga selari dengan reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Naib Presiden UMNO?
Untuk memastikan mesej tersirat Muhyiddin yang sedang menjalankan tugas rasmi di Tokyo, Jepun, dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 10 Julai 2008, bacalah kenyataan beliau yang dipetik oleh Utusan Malaysia seperti berikut:
Kebimbangan
Sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama. Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira.
Oleh yang demikian, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti. Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang.
Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing.
(Diharapkan) sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.
Sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.
Keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati. Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan. Mereka ada aspirasi. Mereka juga ada harapan.
Tersirat
Reaksi Muhyiddin di atas mendatangkan pelbagai tafsiran. Abdullah pasti faham mengenainya. Najib pasti dapat membaca maksudnya yang tersirat. Warga UMNO di seluruh peringkat juga pasti bijak menterjemahkan mesej itu kepada tindakan yang selaras dengan perlembagaan parti dan secocok dengan aspirasi mereka mutakhir ini.
Sementara itu, Tengku Razaleigh Hamzah yang kini menawarkan dirinya untuk menandingi Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO pula menyifatkan keputusan Abdullah untuk menyerahkan kuasa kepada Najib “sebagai satu langkah yang silap.” Razaleigh juga dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata seperti berikut:
Mana-mana jawatan dalam UMNO ditentukan oleh ahli dan tidak wajar Perdana Menteri memutuskan sendiri peralihan kuasa yang akan berlaku dan kepada siapa hendak diserahkan.
Ramai orang terlupa bahawa jawatan Perdana Menteri perlu mendapat restu Yang di-Pertuan Agong seperti yang tercatat dalam Perlembagaan.
Dalam Perlembagaan dinyatakan, Perdana Menteri boleh dilantik di kalangan sesiapa Ahli Parlimen yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat.
Apa yang ditegaskan oleh Razaleigh seperti di atas adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimanakah Abdullah akan mematahkan pendapat ini? Atau, adakah pandangan Razaleigh ini akhirnya akan diketepikan begitu sahaja?
Maka, terbuktilah bahawa gagasan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah adalah penuh dengan kelemahan yang struktural dan strategik. Jadi, adakah soal yang struktural dan strategik ini juga akan diketepikan begitu sahaja?
Dalam pada itu, kenyataan Abdullah mengenai peralihan kuasa ini sebenarnya tidak mencerminkan pendirian sebulat suara oleh seluruh ahli MT UMNO.
Berbeza
Walaupun semua ahli MT diberikan peluang oleh Abdullah untuk membicarakan gagasan peralihan kuasa ini, majoriti mereka berbicara secara berlapik dan agak berbelit-belit. Mereka bersetuju, tetapi tidak pula tergamak untuk menyangkal bahawa tempoh yang dicadangkan adalah terlalu lama.
Hanya dua orang ahli MT sahaja yang berani bersuara secara terus terang. Mereka adalah Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo. Kedua-duanya berbeza pendapat dengan majoriti ahli MT lainnya. Mereka berkata, adalah lebih wajar jika peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dilaksanakan dengan seberapa segera.
Pandangan Shafie dan Khir ini lebih mirip kepada aspirasi sebenar warga UMNO bawahan dan segolongan rakyat jelata atas pagar yang mendukung UMNO. Tetapi, mungkinkah ini akan jadi satu pandangan popular yang akan menyebabkan upset kepada gagasan peralihan kuasa Abdullah?
Berasaskan seluruh hujah di atas, jika warga UMNO memilih untuk mengenepikan gagasan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Abdullah, pasti mereka akan membuat pencalonan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun ini berasaskan aspirasi masing-masing.
Jika majoriti bahagian UMNO tidak mencalonkan Abdullah, ini bermakna Abdullah akan dipersarakan menerusi proses parti yang demokratik ini. Jika Abdullah layak bertanding dan ada pula pencabar lain yang juga layak bertanding, ini bermakna masa depan Abdullah akan dipastikan menerusi undi para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.
Jika Abdullah menang, beliau akan meneruskan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti tanpa sebarang dakwa-dakwi rakyat jelata. Ini kerana kehadiran Abdullah ketika itu diputuskan oleh sistem pemilihan yang demokratik. Jika, beliau tewas, Abdullah juga terpaksa akur dengan keputusan yang demokratik.
Senario dan kemungkinan hipotatikal seperti di atas pastinya akan mendorong banyak bahagian berani menafikan gagasan peralihan kuasa oleh Abdullah dan mencalonkan personaliti lain untuk menandingi Abdullah bagi jawatan presiden. Ini kerana penafian terhadap gagasan peralihan kuasa Abdullah ini adalah dilakukan untuk membuktikan UMNO masih terus mengamalkan demokrasi. Sekiranya Abdullah berjaya, kejayaan itu juga adalah hasil tindakan yang demokratik oleh warga UMNO.
Akhir kata, sama-samalah kita insaf bahawa UMNO mesti terus mempertahankan ciri-ciri demokrasinya, mesti diperkasakan semula, dan jangan sekali-kali diizinkan jadi lemah sehingga tidak terdaya menulangbelakangi Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah negara. Dengan keinsafan ini, seluruh warga UMNO wajar bertindak secara bijaksana.
Posted by kudakepang
No comments:
Post a Comment