Thursday, January 24, 2013

Ahli Pas bantah Karpal



Sebahagian ahli Pas mengadakan demonstrasi berhubung pemintaan Pengerusi DAP supaya Pas kaji semula penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 22 Jan. - Sekumpulan ahli Pas hari ini mengadakan demonstrasi membantah tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta parti itu mengkaji semula penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Kumpulan yang diketuai bekas Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin itu berarak kira-kira 100 meter bermula di hadapan Dewan Sri Pinang menuju ke firma guaman Karpal di Jalan Green Hall dekat sini.

Mohamed Hafiz berkata, kenyataan Karpal yang mahukan Majlis Syura Ulama Pas mengkaji semula pendirian itu merupakan tindakan biadab serta cuba mencampuri urusan agama Islam.

"Tujuan kami berkumpul di hadapan pejabat beliau kerana ingin memberitahu kami menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulama Pas berhubung isu kalimah Allah.

"Dalam masa sama, kami ingin memberi amaran kepada Karpal supaya jangan berterusan bersikap biadab dan cuba mencampuri urusan Pas kerana partinya sendiri tidak bersih," katanya kepada pemberita di hadapan pejabat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di sini.

Kumpulan yang turut disertai beberapa ahli Pas kawasan Tanjong itu juga membawa pelbagai sepanduk yang tertera perkataan seperti 'Pas wajib keluar pakatan', 'Kami pertahankan Majlis Syura Pas' dan 'Meminta orang Melayu jangan undi Karpal di Bukit Gelugor' serta mengibarkan bendera Pas dan melaungkan slogan anti-Karpal.

Kemuncak demonstrasi menyaksikan bendera DAP dipijak sebagai simbolik kemarahan mereka terhadap parti berkenaan.

Bagaimanapun tiada sebarang kejadian buruk berlaku kerana kakitangan pejabat guaman Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak keluar.

Karpal sebelum ini meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya untuk umat Islam.

Karpal dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan awal yang dicapai pemimpin pembangkang pada 8 Januari lalu.

Selain Karpal, turut menjadi sasaran kemarahan ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man yang mana menurut Mohamed Hafiz, terlalu 'takut' menyuarakan pandangan tegas Pas negeri berhubung isu terbabit.

"Salleh boleh angkat kaki daripada terus memimpin Pas negeri jika beliau tidak mampu berbuat demikian.

"Apa yang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Karpal Singh beri kepadanya sehingga takut bersuara mempertahan Majlis Syura Ulama yang dipandang mulia ahli Pas?" tegasnya.

Turut menjadi sasaran kecaman ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130123/po_02/Ahli-Pas-bantah-Karpal#ixzz2IogBs6bl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

terima kasih(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130123/po_02/Ahli-Pas-bantah-Karpal)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Ahli PAS bantah tindakan Karpal

Cetak
Beberapa ahli PAS mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, Georgetown, semalam. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin
Beberapa ahli PAS mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, Georgetown, semalam. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin
Georgetown: Hampir 20 ahli PAS Pulau Pinang semalam, mengadakan bantahan di hadapan pejabat guaman Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana mencampuri hal dalaman PAS berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. 

Kumpulan itu yang berhimpun kira-kira sejam turut memijak bendera DAP sambil melaungkan takbir. 
Mereka meluahkan perasaan marah dengan tindakan Karpal mendesak Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang meminta Majlis Syura Ulama PAS mematuhi keputusan Mesyuarat Majlis Presiden pembangkang pada 8 Januari lalu. 


Bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, berkata pihaknya mengecam dan membantah perbuatan Karpal yang dianggap sebagai melampau apabila mendesak Hadi mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama PAS. 

Desak hormat keputusan 

Beliau yang juga ahli seumur hidup parti itu berkata, Karpal sepatutnya menghormati keputusan Majlis Syura Ulama yang selaras dengan tuntutan syariat dan tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun. 

Katanya, dia dan rakan-rakan adalah ahli PAS dan bukan mewakili parti politik lain sama ada Barisan Nasional (BN) atau badan bukan kerajaan (NGO). 
“Kebanyakan anggota PAS di Pulau Pinang sebenarnya kecewa dengan kepemimpinan PAS negeri yang hanya berdiam diri dengan kenyataan Karpal itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, di sini, semalam. 

Hadir sama, Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong, Zaidi Abu Bakar. 

Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang tertera ‘Kalau Hang Nak Lawan Ulama Kami Langkah Mayat Kami Dulu’, ‘Orang Melayu Jangan Undi Karpal’, ‘PAS Wajib Keluar PR’, ‘Kami Pertahankan Majlis Syura Ulama’ dan ‘Karpal+Azmin Tidak Hormat Dasar PAS’. 

Mohamed Hafiz yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang berkata, dia juga kesal kerana Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana tetap berdiam diri dalam isu berkenaan. 

Pemimpin bersekongkol 

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin Melayu Islam itu seperti bersekongkol serta takut mengeluarkan pendapat terhadap Karpal dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. 

“Mengapa perlu takut untuk bersuara demi menjaga hati pakatan pembangkang berbanding menjaga kesucian kalimah Allah. 

“Jika takut bersuara. Sudah tiba masanya PAS tinggalkan pakatan dan jangan jadi pengecut,” katanya. 

Tuesday, January 22, 2013

RUMAH BAKAL CALON PAS LARUT? - MAKAN DUIT DERMA PAS?








Pemimpin PAS selalu berkata orang UMNO/BN hidup mewah kerana makan duit rasuah, tipu rakyat dan sebagainya. Ayat-ayat tersebut selalu dijadikan modal bagi mengutip derma untuk duit poket mereka sendiri.

Tetapi hakikatnya mereka juga sebenarnya hidup bergaya dengan kemewahan yang luarbiasa... hinggakan ada diantara mereka yang memiliki mahligai mewah, kenderaan mewah pendek kata segala-galanya mewah.
Jadi apa bezanya PAS dengan sendikit peminta sedekah dikaki lima?

Umum mengetahui bahawa pemimpin Pas dan pakatan haram memang bijak bermain silap mata di hadapan rakyat. Kehadiran mereka ke ceramah-ceramah dengan menaiki kenderaan biasa berjaya mengaburi mata rakyat yang menyangka mereka adalah orang yang biasa-biasa sahaja.

Lebih celaka, dalam ceramah, mereka pula tuduh orang lain hidup mewah kerana amalan rasuah dan pelbagai. Jadi itu antara modal yang digunakan untuk mengutip wang rakyat melalui derma politik di dalam ceramah pakatan haram.

Sedangkan, di belakang rakyat mereka juga sebenarnya hidup senang lenang dengan kemewahan yang menakjubkan. Ada yang memiliki kenderaan mewah lebih dari sebuah. Ini tidak termasuk kapal layar peribadi, rumah penginapan di luar negara dan macam-macam lagi yang rakyat tidak tahu. Walaupun hakikatnya, mereka ini tidak punya pekerjaan melainkan menghambakan diri kepada parti politiknya dan siang-malam asyik maki hamun di dalam ceramah sahaja.

Jadi, mana datangnya sumber kekayaan itu?

Lain ceritanya pula, gambar di atas menunjukkan kediaman milik bakal calon Pas bagi parlimen Larut pada pilihan raya umum akan datang (PRU-13). Kediaman adalah milik bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato' Mohd Fauzi bin Shaari yang terletak di No 7 Jalan 15/10, Seksyen 10, 40000 Shah Alam. Pembinaan banglo mewah ini pernah mendapat bantahan penduduk di situ kerana dibina di kawasan riadah. Namun ketika itu, penduduk tidak tahu banglo mewah itu milik siapa. Rupa-rupanya milik salah seorang pemimpin Pas.

Mana datangnya duit untuk membina sebuah mahligai mewah yang dikatakan punya kemudahan lif ini? Adakah kekayaan ini dikumpul ketika berkhidmat di dalam kerajaan dahulu? Ataupun benar dakwaan kononnya beliau menerima RM15,000 setiap kali b
erceramah?
K7L : Siapa yang makan duit derma PAS?...jeng jeng jeng...

(TERIMAKASIH SUMBER:http://keris7lok.blogspot.com/2013/01/rumah-bakal-calon-pas-larut-makan-duit.html)



Dilema isu kalimah Allah kepada ahli Pas



SEKURANG-KURANGNYA dua orang yang telah mengisytihar dan membuat seruan agar isu kalimah Allah ditamatkan perdebatannya.

 Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya memberitahu dengan resolusi Majlis Syura Ulama Pas yang terbaru, maka isu itu telah berakhir dengan rasminya.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula melalui kenyataan akhbar Presidennya, Amidi Adnan meminta kesemua pihak menghormati keputusan Majlis Syura Pas.

Malah beliau menggunakan istilah 'gencatan' dalam kenyataannya bagi menggambarkan isu ini seakan-akan perang antara kumpulan pro-Pas dan pro-kerajaan.

Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR sebaliknya menyatakan bahawa PKR menghormati keputusan Majlis Syura namun keputusan itu hanya berlaku untuk Pas. Keputusan asal Pakatan Rakyat masih kekal, iaitu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam, termasuklah untuk versi cetakan kitab agamanya.

Jika saya seorang ahli Pas, saya pasti akan mengalami kompleks hala tuju politik yang amat pelik dan kontradik di tahap maksimum. Dalam parti, saya diminta mendokong bahawa penggunaan kalimah oleh bukan Islam tidak dibolehkan. Sekiranya saya berbuat sebaliknya, saya boleh dianggap mencemarkan akidah saya sendiri, sesuatu yang menjadi sebahagian akar perjuangan saya dalam parti.

Sementara di peringkat nasional, di mana saya diikat dan tunduk kepada konsensus yang lebih besar, saya dikehendaki tunduk dan bersetuju bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam.

Implikasinya boleh membawa makna kitab-kitab agama Kristian boleh dicetak dalam bahasa Melayu menggunakan nama Allah di dalamnya sebagai terjemahan God dan boleh disebarkan di negeri-negeri pakatan pembangkang termasuklah di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang ataupun seluruh Malaysia sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Saya sebagai ahli Pas akan diingatkan bahawa di peringkat nasional juga, Presiden parti saya mewakili konsensus tiga parti yang telah pun bersetuju berkenaan penggunaannya. Sekalipun Pas mungkin menarik balik kebenaran awal yang diberi, namun dua parti lain nampaknya teguh dan tegap dengan pendirian sebelumnya.

Apakah selaku Muslim tradisional dan konservatif, yang merupakan ahli Pas seumur hidup, akidah saya adalah betul sebagai Islam di peringkat keahlian Pas sahaja, tetapi saya menjadi seorang murtad di peringkat nasional apabila turut bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam, jika mengikut tafsiran beberapa ulama tertentu.

Dengan demikian, cara penyelesaian oleh Pas dan pakatan pembangkang dalam isu kalimah Allah ini boleh dilihat dari banyak sudut. Dari sudut Pas, ia boleh dibaca sebagai Pas dilihat mengambil mudah isu yang mengancam akidah umat Islam. Adakah isu yang begitu besar dan signifikan akan ditamatkan dengan keputusan Mursyidul Amnya. Mungkin ia mudah kepada politik Pas apabila isu ini nampaknya tidak menguntungkan mereka dari segi politik.

Namun, sesetengah pihak menganggap isu ini amat menguntungkan DAP. Melaluinya, DAP yakin sekiranya pakatan pembangkang menang, mereka akan dapat mengawal Pas daripada menguasai kepimpinan politik tanah air sekiranya Pas mahu meletakkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.

DAP berjaya mendedahkan bahawa Pas sebuah parti yang tidak berupaya menjadi parti yang boleh menjaga kepentingan warga Malaysia pelbagai kaum. Banyak pihak dalam pakatan bimbang sekiranya Pas menjadikan model Mesir sebagai modus operandinya selepas pilihan raya akan datang.
Ikhwanul Muslimin mempergunakan parti-parti sekular dan Kristian untuk mendapat kuasa dan memungkiri janji mereka apabila Mohammad Morsi berjaya dilantik menjadi Presiden. Ini yang ditakuti oleh DAP.

Sekiranya saya seorang pro-kerajaan dan ahli UMNO pula, saya tidak akan cepat-cepat menerima 'gencatan mulut' (bukan senjata) yang disyorkan oleh ABIM itu. Saya boleh menerimanya secara bersyarat disebabkan 'dosa' Pas dalam isu kalimah Allah bukan boleh untuk dibersihkan dengan mudah. Ia telah menjatuhkan maruah semua orang Islam di Malaysia, bukan ahli Pas sahaja.

Sebagai ahli UMNO, saya akan memberikan dua syarat utama sebagai janji penyelesaian kepada isu ini.

Pertama, saya akan meminta Pas menyelesaikan isu akidah ahli-ahlinya dahulu di peringkat parti dan di peringkat gabungan pakatan pembangkang. Ini bermakna Presiden Pas harus memilih untuk mengisytiharkan bahawa Pas bermufarakah dengan pakatan pembangkang dan mengisytiharkan bahawa Allah hanya untuk orang Islam. Ini bermakna Pas hanya bersetuju dalam perkara lain dalam gabungan, bukannya dalam isu 'menggadai' akidah umat Islam.

Kedua, saya akan meminta Presiden Pas dan Mursyidul Amnya menghentikan dan menarik balik serta-merta tuduhan-tuduhan serta kata-kata yang membawa makna UMNO sebagai kafir, taghut dan sebagainya tanpa berselindung di sebalik mainan kata-kata yang akhirnya membawa makna yang sama.

Keikhlasan yang kedua itu dituntut supaya mereka, menjelang pilihan raya tidak lagi mengungkit soal akidah orang UMNO sebagai bahan untuk memancing undi . UMNO tidak akan mendapat sebarang untung daripada perisytiharan berkenaan, melainkan agama Islam akan terbela daripada kumpulan orang yang menjual agama untuk dana dan undi pilihan raya.

Sekiranya saya sebagai orang UMNO, mendapati Pas masih berdegil tidak berganjak daripada tuntutan yang dibuat, saya cadangkan isu ini diteruskan dengan ingatan, bahawa orang Pas keseluruhannya boleh diragui akidahnya di peringkat gabungan pakatan pembangkang kerana mereka yang diwakili oleh Presiden Pas terus bersetuju dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu.

Dengan itu, perjuangan UMNO amat penting dalam usaha menjaga kemurnian akidah umat Islam daripada digadai oleh pihak yang bertopengkan Islam.



(terimakasih sumber:utusanonline)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130122/re_02/Dilema-isu-kalimah-Allah-kepada-ahli-Pas#ixzz2IgNu67Il
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kita jangan terus tunduk, lentuk



TOK PERAK
20 Januari 2013
tok perak













(gambar dari sumber:google)

*PATRICK Teoh, juruhebah suara hebat dan pelakon yang sinonim dengan watak komedi itu, memang tidak sensitif, sekali gus tidak pandai. Saya tidak perlu meminta maaf kerana menuduh dia begitu.

Sekiranya dia sensitif tentu dia tidak menyatakan sesuatu yang menyinggung perasaan orang lain. Sekiranya dia pandai tentu tidak mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati orang Islam.
Dia ingat oleh sebab dia hebat dan terkenal, dia boleh menyatakan sesuatu – menerusi laman sosial– mengikut suka hati. Mentangmentang dia pelakon yang diminati, dia ingat semua boleh dijadikan bahan seperti dalam lakonan. Maka menerusi Facebook dia berani menyatakan penghinaan terhadap Islam.

Seperti yang dilaporkan media, dia memperlekeh amalan solat dan menutup aurat wanita Islam sebagai reaksi terhadap tindakan kerajaan Pas Kedah meletakkan syarat kepada peserta yang terlibat dengan persembahan pentas majlis sambutan 1Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di negeri Kedah.

Setelah ditentang keras dan dihentam habis-habisan, Teoh memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial.

*MUDAH sangat dia meminta  maaf! Setelah menyentuh, mengguris dan mencabar perasaan dan kesabaran orang Islam, dia meminta maaf. Dia boleh sujud dan mencium kaki memohon maaf. Kalau dia hendak berlakon menangis pun dia boleh.

Tetapi saya tidak fikir keterlanjurannya – sebenarnya bukan terlanjur, tetapi kurang ajar! – itu boleh dengan mudah dimaafkan. Saya percaya kalau ada orang Islam menghina agama lain ke tahap itu, pasti dia orang kata “tiada maaf bagi mu!”
Maka, saya tidak akan memaafkan Teoh. Saya setuju dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa tindakan tegas patut dikenakan terhadap Patrick Teoh yang menghina Islam dalam laman Facebooknya baru-baru ini.

Minta maaf tidak cukup kerana kecederaan telah dilakukan dengan parah terhadap orang Islam. Ini bukan lakonan, tetapi yang dinyatakan adalah dalam kenyataan umum. Maka fikirkan apa-apa tindakan wajar untuk mengajarnya.

*MEMETIK kata-kata Khairy, seperti yang dilaporkan Bernama: “(Teoh) dah sampai tahap terlalu kesat, kita tak mahu lepas ini sesiapa sahaja menghina Islam kemudian minta maaf begitu sahaja. Dia patut dipanggil pihak berkaitan dan disoal siasat.”

Pada hemat saya amaran Ketua Pemuda itu bukan sahaja kepada pelakon berkenaan, tetapi kepada mana-mana orang bukan Islam – tidak kira kedudukan dan pangkat – supaya jangan celupar dan menghina Islam sesuka hati.

Sebenarnya bukan Teoh seorang, ramai lagi pemimpin bukan Islam termasuk dari parti komponen BN dan PR, semakin berani mengeluarkan kenyataan yang menghujah dan seperti mencabar Islam.

Kita ambil isu hudud sebagai contoh, begitu ramai pemimpin bukan Islam berani menghujah hukum tersebut, macamlah mereka pandai sangat dalam hal-hal yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis.

Mereka menghujah kewajaran hukum ALLAH itu, pada hal mereka tidak tahu secara terperinci mengenai hudud. Mereka mencemuh dan memperlekeh peraturan-peraturan Islam seolah-olah mereka lebih bijak dari ulama. Apa hak orang kafir untuk menghujah hukum ALLAH?

*MALANGNYA, kita masih terlalu bertolak ansur, selalu malu alah. Kita terasa disinggung dan tersedu diperlekeh, tetapi masih boleh tersenyum dan tidak berani berbuat apa-apa. Agama kita, bahasa kita, budaya kita dicemuh pagi petang siang malam, kita masih kelu.

Orang bukan Melayu hina bendera kita dalam internet, kita tidak ambil tindakan. Kalau orang Melayu hina bendera cepat-cepat kita tangkap, dan tuduh penderhaka. Kalau Melayu buat kita kata penderhaka, kalau bukan Melayu buat kita tidak berani bertindak.

Kalau orang Melayu (Islam) tegur mengenai agama lain, cepatcepat kita dituduh dan dicap tidak sensitif agama. Kalau usik agama lain itu sensitif, tetapi orang lain bebas menegur dan menghina agama Islam, dan kita tidak berbuat apa-apa.
Apa sebenarnya yang kita takut sangat? Islam agama rasmi kita, kenapa biarkan orang lain memberi komen-komen negatif terhadap agama suci itu? Kita terus menghormati agama-agama lain, tetapi mereka semakin berani mengusik kesucian Islam.

Kenapa mereka terlalu berani dan kurang ajar? Sebab kita terlalu memberi muka kepada mereka. Jangan tunduk lagi!


TOK PERAK

(terima kasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/tok-perak/kita-jangan-terus-tunduk-lentuk-1.123275)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Monday, January 21, 2013

Dr M: Melayu serah banyak hak atas nama perpaduan



MOHD IDROS MOHD ALI
20 Januari 2013
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad














PERMATANG PAUH - Melayu sudah menyerahkan banyak hak mereka kepada kaum lain di negara ini semata-mata untuk mewujudkan perpaduan dan suasana yang harmoni.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Melayu suatu ketika dahulu mempunyai 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini tetapi sanggup berkorban dan menyerahkan sebahagian hak itu kepada kaum lain.

“Selepas itu, jumlahnya berkurangan kepada 60 peratus. Tiada penduduk di mana-mana negara di dunia ini yang mahu berbuat demikian.

“Hanya orang Melayu yang sanggup melakukannya. Kita banyak menyerah dan berkorban hak untuk orang lain.

“Segala-galanya kita serah kepada orang asing. Kita sanggup tukar nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia. Tiada lagi unsur Melayu yang ada. Orang Melayu tidak marah tetapi merelakannya,”
katanya ketika menyampaikan ucaptama Program Transformasi Ekonomi dan Pelajaran MelayuPulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di
sini, semalam.

Selain itu, orang Melayu memberi hak warganegara atau kerakyatan kepada orang asing walaupun ia tidak berlaku di negara lain sejak dahulu lagi.

“Walaupun kita penduduk majoriti tetapi orang Melayu hanya menguasai 30 peratus ekonomi.
“Berbanding penduduk kaum lain berjumlah 40 peratus, mereka menguasai 70 peratus dari ekonomi negara ini.

“Orang Melayu masih menyerah dan merelakannya.

Tetapi apabila peluang 30 peratus yang ada pun masih mahu diganggu orang lain, orang Melayu mulai gusar dan menjadi marah,”
katanya.

Sehubungan itu katanya, penduduk kaum lain di negara ini perlu bersyukur dan berterima kasih kepada Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mewujudkan keamanan di Malaysia.
Mahathir turut membidas sikap sesetengah kaum di negara ini yang masih belum puas, sebaliknya mahu pula menguasai politik tanah air, yang selama ini didominasi orang dan parti politik Melayu.
“Tak cukup lagikah dengan penguasaan 70 peratus dalam ekonomi selama ini. Apa matlamat mereka untuk menguasai politik pula,”
katanya.

Menurutnya, Melayu perlu sedar keadaan itu dan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang untuk memastikan nasib mereka terus terbela hingga generasi akan datang.
 (terima kasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/dr-m-melayu-serah-banyak-hak-atas-nama-perpaduan-1.123399)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Sunday, January 20, 2013

Henti cetak, edar Bible dalam bahasa Melayu


(sumber gambar dari google)


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkenaan menghentikan pencetakan kitab Bible versi bahasa Melayu yang dilihat boleh mengelirukan dan memecah belahkan umat Islam.

Wakilnya, Aminuddin Yahaya yang merupakan Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia berkata, isu tersebut tidak akan wujud sekiranya semua pihak menghormati Perlembagaan negara ini yang melarang mana-mana agama menyebarkan dakyah kepada kaum Melayu.

"Larangan itu telah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang berlaku sekarang kerana usaha mencetak dan mengimport kitab Bible tidak disekat.

"Ibarat lalat yang datang kerana adanya bangkai. Buang bangkai hilanglah lalat tersebut. Jadi pihak kami percaya jika langkah sedemikian diambil, isu salah guna kalimah Allah tidak timbul," katanya selepas membuat laporan berhubung isu kalimah Allah dibuat di Balai Polis Travers di sini hari ini.

Laporan polis tersebut dikemukakan terhadap sebuah firma guaman yang dipercayai telah menghina kedaulatan Sultan Selangor serta boleh menyebabkan perpecahan harmoni, perpaduan, rasa tidak puas hati dan prejudis terhadap terhadap agama.

Surat tersebut dipercayai menyifatkan kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyiarkan titah Tuanku Sultan Selangor berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible bahaya Melayu sebagai bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kementerian Dalam Negeri pada 8 April 2011.

Dalam pada itu, jelas Aminuddin, laporan itu dibuat supaya pihak polis menyiasat kandungan surat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan rasa tidak puas hati penganut Islam dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencetuskan kontroversi kerana meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu sehingga mengundang bantahan umat Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_12/Henti-cetak-edar-Bible-dalam-bahasa-Melayu#ixzz2ITXRnPhn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

(terima kasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_12/Henti-cetak-edar-Bible-dalam-bahasa-Melayu)

Thursday, January 17, 2013

TIADA PEGAWAI DAERAH CINA


ISU-ISU AKHBAR CINA

TIADA PEGAWAI DAERAH CINA

1.0 AKHBAR China Press bertarikh 11 Januari 2013 melalui ruangan Kedai Kopi Orang Ramai memaparkan tulisan Lai Shao Kuang berkenaan DAP tidak melantik Pegawai Daerah dalam kalangan orang Cina. Pegawai Daerah Cina, seperti jenama baru. Dikhabarkan sebelum merdeka, di Melaka pernah mempunyai Penolong Pegawai Daerah Cina yang dilantik secara rasmi. Dalam kerajaan Perikatan dahulu Namanadhan, pernah menjadi Datuk Bandar George Town.

2.0 Ada juga orang Cina yang menyandang jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran tetapi selepas UMNO memerintah secara rasis, orang Cina telah berputus arang dengan jawatan-jawatan itu.

3.0 Sudah menjadi perkara biasa dan lumrah kepada orang Cina bertanggapanbahawa orang Melayu menjadi Pegawai Daerah itu sudah menjadi peraturan kekal dan tidak boleh diubah, satu realiti dalam politik.

4.0 Tetapi baru-baru ini, Pulau Pinang ada melakukan rombakan jawatan Pegawai Daerah, menunjukkan Ketua Menteri memegang kuasa penuh penentu dan nasib Pegawai Daerah di mana semua mahu melihat dan menunggu Lim Guan Eng melantik Pegawai Daerah Cina yang pertama di negara ini.

5.0 Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik seorang wanita menjadi Pegawai Daerah, sudah tentu juga boleh melantik mana-mana wanita kaum lain sebagai Pegawai Daerah, kecuali DAP khuatir PKR dan Pas rasa tidak puas hati pula.

6.0 Sebelum ini, Guan Eng melantik Datuk Patahiyah Ismail menjadi YDP Perbandaran Pulau Pinang, dan Maimunah Mohammad Sharif sebagai YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Selepas itu, tambah lagi dua Pegawai Daerah wanita, ini bukan secara kebetulan. Sebenarnya, ini kerana Guan Eng berselindung yang dia sendiri tidak berani melantik Pegawai Daerah dan YDP Majlis Perbandaran dalam kalangan orang Cina.

7.0 Beliau cuba mengambil kesempatan menonjolkan kaum wanita, menunjukkan seperti tidak mengabaikan cara pemilihan itu berlatarbelakangkan kaum. Ini adalah taktik ‘one stone two birds’, yang pertama boleh dianggap prihatin dengan kaum wanita dan dapatkan sokongan kaum wanita, kemudian boleh menutup bahawa kerajaan negeri sebenarnya tidak berani berdepan isu perkauman.

8.0 Sejak pakatan pembangkang memerintah selama 4 tahun, Pulau Pinang yang bilangan penduduk Cinanya lebih ramai, masih belum ada orang Cina yang menyandang jawatan Pegawai Daerah. Ini tidak menepati konsep Malaysian Malaysia. Benarkah dalam DAP langsung tiada cerdik pandai (Cina) yang layak menjadi Pegawai Daerah ataupun YDP Majlis Perbandaran?

9.0 Kerajaan Negeri Selangor juga mengikut rentak sama, melantik Alina Ahmad sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya. Selangor dan Pulau Pinang berturut-turut melantik wanita menggantikan jawatan Pegawai-Pegawai Daerah, YDP dan Datuk Bandar, adakah ini secara kebetulan?

10.0 Jika benar kedua-dua negeri ini mahu berebut-rebut siapa yang melantik lebih ramai wanita, pilihlah seorang YDP dalam kalangan kaum Cina, sekurang-kurangnya lantik seorang Cina jadi pegawai daerah pun boleh!

11.0 Sedangkan DAP sendiri berpantang melantik Pegawai Daerah dan YDP Majlis Perbandaran dalam kalangan kaum Cina, adakah selepas ini nanti apabila laksanakan sistem mengundi untuk melantik jawatan di kerajaan tempatan, DAP risau dalam sekelip mata jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Bandar Petaling Jaya, Klang, Selayang, Melaka, Ipoh dan Seremban orang-orang Cina yang menang?

12.0 Adakah jawatan ketua-ketua dalam kerajaan tempatan giliran DAP yang menyandangnya? Bukankah DAP sendiri tiada sumber tiket undi dalam kalangan orang Melayu? Sebab itu selepas tsunami politik 2008, pilihan raya undi kerajaan tempatan tidak lagi menjadi agenda utama politik DAP.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130117/re_06/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2IF5WYiO0
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130117/re_06/ISU-ISU-AKHBAR-CINA)

Wednesday, January 16, 2013

Mengenal si penipu dalam bisnes


NORDEN MOHAMED
16 Januari 2013
Semalam, seorang teman saya, Fairus mengadu yang dia hampir ditipu dalam urusniaga. Fairus yang menjual buku secara online itu menerima tempahan 21 buah buku yang sama judulnya daripada seseorang.

Oleh kerana dia baru berniaga, pesanan 21 buah buku yang berilai lebih RM400 itu amat besar bagi perniagaan yang berpendapatan kasar tidak sampai RM1000 sebulan. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pesanan yang banyak itu. Mujur Fairus juga ada rakan-rakan yang berniaga secara online.

Daripada nasihat kawan-kawannya, Fairus diminta berhati-hati. Jarang sekali seseorang individu memesan banyak judul secara online. Hanya pengedar buku sahaja yang memesan sesuatu judul dengan jumlah yang banyak.

Itupun biasanya secara pembelian runcit secara bersemuka. Dengan nasihat itu, Fairus menghubungi si penempah untuk mempastikan jumlah pesanan.

Fairus meminta nombor telefon, alamat, e-mel dan juga bayaran tempahan secara online sebelum menempah buku daripada pembekal. Tiba-tiba si penempah mula mengurangkan jumlah pesanan daripada 21 naskhah kepada 10 naskhah.

Kemudian apabila dihubungi untuk melangsaikan bayaran, panggilan Fairus sudah tidak berjawab. Sejam dia menelefon dan setiap kali juga panggilannya dimatikan. Akhirnya, Fairus tahu sendiri bahawa si pembeli bertujuan untuk menipu. Andainya dia tidak mendengar kata hatinya, mungkin Fairus putih mata.

Dunia perniagaan sama ada yang kecil mahupun yang besar sentiasa berdepan dengan manusia yang menipu. Para peniaga baru yang inginkan bisnes biasanya akan terpesona dengan pembeli yang memperagakan personaliti yang mengagumkan. Kad niaga yang cantik dengan alamat premis di Segitiga Emas, pakaian yang kemas, beg bimbit yang berkilat atau kenderaan import yang menjalar amat mudah mengaburi mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Tawaran menjadi rakan kongsi, joint-venture, bekalan berterusan, kontak baik, pasaran ke luar negara dan kabel besar dengan pihak atasan adalah di antara gula-gula yang ditayang oleh si penipu untuk memenangi kepercayaan yang akhirnya menjerat orang yang baru hendak mula berniaga.

Kalau pun sudah menjadi rakan niaga atau pelanggan, tidak mustahil si peniaga akan tertipu apabila memberi kredit kepada si penipu. Bayaran akan mula lewat daripada 30 hari kepada 60 hari, 90 hari dan akhirnya si penipu akan lesap meninggalkan hutangnya.

Bagaimana untuk mengenal si penipu? Sukar sekali. Namun sebagai orang bisnes, kita sendirilah yang harus sentiasa bersedia dan berwaspada untuk tidak tertipu. Dalam dunia perniagaan, adalah baik bila kita sentiasa meletakkan rasa waspada dan berhati-hati terhadap mereka yang hendak berurusan dengan kita.

Yang penting, bukannya jumlah wang dan peluang membuat keuntungan yang menjadi ukuran bagus atau tidaknya urusniaga itu. Siapa kata, peluang hanya datang sekali?

Dan, bila seseorang yang hendak berurusniaga dengan kita itu mempamerkan peluang, jangan terus merebutnya. Kalau peluang itu mendatangkan kerugian, tunggulah berpuluh-puluh peluang lain yang akan mendatang.

Yang mustahak buat kita adalah orang yang ingin berusniaga itu sendiri. Bukan pakaiannya, bukan kenderaannya, bukan gayanya yang harus kita lihat tetapi tutur katanya.

Orang yang sentiasa berkata boleh, boleh dan boleh biasanya tak boleh. Begitu juga orang yang sentiasa berkata okey, okey dan okey biasanya tak okey. Orang bisnes yang selalu bermain dengan janji biasanya tidak akan menepatinya.

Maknanya, mereka yang tidak hanya berkata yang indah-indah tentang perniagaan dan sebaliknya memperkatakan mengenai masalah itulah yang boleh diletak kepercayaan.

Riak wajah dan gerak laku orang yang menipu juga mudah dikenali. Dia akan mencuri pandang ketika kita tidak memandangnya, mencuri pandang apa yang ada di atas meja kita, di sekeliling kita mahupun apa yang kita bawa. Awal-awal lagi sudah mencuri dengan pandangan, akhirnya akan mencuri pula kepercayaan kita.

Orang yang benar-benar berbisnes biasanya tidak akan membuang masa. Bualan bertanya khabar hanya sekadar berbasa-basi sebelum soal perniagaan dibicarakan. Ketika perbincangan, gangguan panggilan lain akan dimatikan kerana ia gambaran seseorang yang fokus dengan apa yang dia lakukan. Setelah perjanjian dimeterai, dia akan segera berlalu kerana dia juga fokus kepada matlamatnya. Orang beginilah yang harus kita contohi.

Bila kita berwaspada dengan mereka yang begini, insya-ALLAH kita tidak akan tertipu. Dalam pada itu, kita pula mesti elakkan daripada berperangai begitu jika tidak mahu menjadi seorang penipu pula.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/norden-mohamed/mengenal-si-penipu-dalam-bisnes-1.121802)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Patrick Teoh dikecam hina Islam


RAZIATUL HANUM A. RAJAK
16 Januari 2013
Patrick Teoh
Patrick Teoh dikecam hina Islam













My Photo
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Laman sosial Facebook dan Twitter hari ini menyaksikan satu lagi kontroversi - kali ini berkaitan dengan kenyataan dikeluarkan salah seorang pelakon tanah air, Patrick Teoh.

Kenyataannya yang menyentuh Islam mengundang kemarahan banyak pihak termasuk ahli politik dan selebriti tempatan yang mengenali pelakon itu secara dekat.

Teoh pernah berlakon dalam filem Buli, BAIK Punya Cilok, Buli Balik, Sumolah, The Red Kebayadan Nasi Lemak 2.0.

Dalam kenyataan yang dibuat di laman Faebook itu, Teoh yang mengulas soal garis panduan 1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah, turut mempersoalkan amalan sembahyang lima kali sehari Muslim dan pemakaian tudung.
Garis panduan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah melibatkan aspek pakaian, nyanyian dan tarian. Ia menetapkan cara berpakaian pegawai dan artis yang terlibat hendaklah bersopan, tidak menjolok mata, artis digalakkan membuat persembahan nyanyian dan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau.

Dalam kenyataan itu juga, Teoh menyentuh sembahyang lima waktu dan wanita Islam menutup aurat.

Pagi tadi, kenyataan itu nyata turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

“Komen yang sangat kasar terhadap Islam. Patrick Teoh mungkin boleh mengkritik keputusan kerajaan Pas tanpa komen yang kesat terhadap Muslim. Tolong jangan turun ke tahap dia,” tulis Khairy melalui laman mikro Twitternya yang berharap bukan Teoh menulis kenyataan itu.

Ekoran kritikan pelbagai pihak, Teoh menerusi laman Facebooknya telah meminta maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkannya itu.

“Sekarang saya sedar apa yang saya buat itu salah. Saya silap. Kenyataan saya betul-betul di luar batas. Saya minta maaf dengan ikhlas kepada semua orang Islam. Tetapi saya tidak minta maaf kerana menyebut orang itu... anda tahu maksud saya. Saya harap,” tulisnya.

Menerusi mesej Twitter kira-kira 12.30 tengah hari tadi, Teoh menulis, "2 (to) all Muslims, my sincere apologies for d (the) offending FB post. It's been deleted n (and) reasons are there for ur (your) scrutiny. Thank you for ur (your) patience. [Kepada umat Islam, saya minta maaf secara ikhlas atas mesej FB yang menyinggung perasaan. Ia sudah dikeluarkan dan sebab berkaitan (ada disertakan) untuk penilaian anda. Terima kasih atas kesabaran anda]."

Pelakon dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal pula menulis, “tolong lupakan fahaman politik kita apabila Patrick Teoh mengutuk dan mengeji agama Islam kita. Tidak kira anda Umno atau Pas."

Beberapa artis lain seperti Tomok, Danny X-Factor dan Natasha Hudson turut mengecam tindakan itu melalui laman mikro Twitter masing-masing.

(terimakasih sumber;http://www.sinarharian.com.my/nasional/patrick-teoh-dikecam-hina-islam-1.122007)

Wednesday, January 9, 2013

Nik Aziz Setuju Bukan Islam Guna Kalimah Allah

 08 Januari, 2013 16:51 PM

KOTA BAHARU, 8 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.

Menurutnya langkah itu sebagai memberi ruang kepada orang bukan Islam mengenali ajaran agama Islam sebenarnya.

"Bagi (pendapat) saya, orang bukan Islam perlu diberi ruang menggunakan perkataan itu kerana ia merupakan gerakan dakwah untuk mendekatkan orang bukan Islam kepada agama Islam," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan anggota majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, Selasa.

Pendapat Nik Abdul Aziz itu sekali gus menimbulkan percanggahan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama serta kalangan pemimpin PAS.

Ditanya mengenai pendirian PAS berhubung isu itu, Nik Abdul Aziz berkata ia akan diputuskan di peringkat Dewan Syura Ulama parti itu yang akan bermesyuarat di Kuala Lumpur Sabtu ini.

"Bagaimanapun, saya akan menerima apa sahaja keputusan parti dalam mesyuarat itu nanti," katanya.

Kontroversi penggunaan kalimah Allah itu dibangkitkan semula oleh Setiauasaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini dengan mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk Bible versi bahasa Melayu.

-- BERNAMA

(terimakasih sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920125)

Perokok Tidak Dilantik Anggota PBT Kelantan - Nik Aziz


08 Januari, 2013 18:24 PM

KOTA BAHARU, 8 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan tidak akan melantik individu yang merokok bagi mengisi jawatan anggota majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata langkah itu sebagai salah satu usaha mendisiplinkan pemimpin dalam sesebuah agensi kerajaan negeri di bawah pentadbirannya.

"Sebagaimana parti (PAS) sebelum ini tidak memilih calon mereka yang merokok, kita (kerajaan negeri) juga tidak akan pilih ahli majlis daerah atau anggota PBT yang merokok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan anggota PBT dari seluruh negeri ini di sini, Selasa.

"Bagi saya tidak pilih mana-mana ahli majlis daerah yang merokok sebagaimana juga calon pilihan raya,...lainlah kalau saya tak tahu," katanya.

Nik Abdul Aziz dalam ucapannya sebelum itu menegur sesetengah penyokong dan pemimpin Pas yang menghisap rokok di kalayak umum sambil memakai ketayap (kopiah) dan berimejkan orang Islam.

"Mereka ini seolah-olah berlagak seperti seseorang yang mempunyai pistol menunjuk-nunjukkan kepada khalayak umum walaupun mempunyai lesen," katanya.



-- BERNAMA
(terimakasih sumber:http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920157)

Palanivel Minta India Beri Tumpuan Bantu Orang Keturunan India



Daripada Mikhail Raj Abdullah

COCHIN (India), 9 Jan (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel meminta India memberi lebih tumpuan bagi memperjuang kepentingan orang keturunan India di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Beliau menyuarakan pandangan itu kerana kesal perhimpunan ke-11 Pravasi Bharatiya Divas (PBD) anjuran kerajaan negeri Kerala yang dihadiri lebih 2,000 peserta, hanya memberi tumpuan kepada warga India yang menetap di luar negara ini (NRI) dalam usaha mendekati rakyat India di seluruh dunia.

NRI merupakan warga India yang berhijrah, kebanyakannya untuk bekerja di negara lain manakala orang keturunan India (PIO) adalah semata-mata orang keturunan India, yang bukan warga India seperti rakyat Malaysia keturunan India.

Jumlah NRI dan PIO adalah begitu besar di seluruh dunia, dianggarkan sekitar 25 juta.

Palanivel berkata daripada memberi tumpuan terhadap NRI, yang nampaknya menjadi kes pada masa ini, India perlu mencontohi China dimana diaspora atau orang keturunan Cina bekerjasama rapat dengan Beijing dalam pembangunan perniagaan, pendidikan dan perubatan.

"Diaspora Cina begitu rapat dengan China (tetapi) asal usul mereka di China hampir hilang (dan) asal usul baharu mereka di negara-negara Asia Tenggara," katanya dalam pembentangannya mengenai "Overseas Indians and India" semasa sidang pleno PBD 2013 di sini, Rabu.

Beliau rakyat Malaysia keturunan India masih mempunyai hubungan dengan India tetapi semata-mata mengenai agama dan budaya dan sedikit berhubung ICT, sukan, industri kecil, latihan kemahiran, bioteknologi, inovasi dan pertanian.

PBD merupakan perhimpunan terbesar PIO yang diadakan setiap tahun, yang menyediakan platform unik bagi orang India di seberang laut untuk berhubung di kalangan mereka dan dengan kerajaan negeri dan pusat.

Meskipun orang India dari seluruh dunia bertumpu untuk PBD, Palanivel kesal kerana tumpuannya berat sebelah ke atas NRI daripada PIO.

Beliau menjelaskan walaupun banyak skim dan program baru bagi membantu rakyat Malaysia keturunan India diperkenalkan, masih terdapat orang yang kurang bernasib baik di kalangan mereka dan dalam keadaan inilah di mana India boleh datang untuk membantu.

"Kita mahu kerajaan India bekerjasama dengan kita bagi memperkasa kumpulan yang tidak bernasib baik, kata Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kita mahu kumpulan profesional kita, dewan-dewan perniagaan, ahli akademik kita, golongan profesional kita dalam bidang perubatan dan undang-undang dan ahli perniagaan kita, untuk mengukuhkan hubungan kita dan kerjasama dengan India (dan) kita mahu lebih ramai pemimpin India melawat kita dengan lebih kerap," katanya.

Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (FICCI) perlu meningkatkan hubungan dengan PIO di Malaysia, yang berjumlah lebih dua juta, memandangkan hubungan dagang antara orang India di India dan Malaysia amat berkurangan.

Ini merupakan satu keadaan hubungan yang menyedihkan memandangkan Malaysia mempunyai satu daripada jumlah PIO terbesar berbanding Singapura (300,000), Thailand (135,000) dan Indonesia (55,000), katanya.

"Saya merupakan generasi pertama rakyat Malaysia keturunan India. Saya masih mempunyai kaum keluarga di Selatan India (dan) apabila saya membaca akhbar India dan mendengar semua ucapan, termasuk dalam majlis perasmian, PIO tidak disebut langsung."

PBD 2013, dirasmikan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh pada Selasa.

Palanivel berkata: "Kami, rakyat Malaysia keturunan India, telah maju. Kami telah melahirkan ribuan doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru dan ahli akademik. Perdana Menteri kami telah memperkenal banyak skim dan program baru untuk membantu rakyat Malaysia keturnan India. Bagaimanapun, masih wujud keperluan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik."

Sebagai contoh, beliau berkata India, yang terkenal di seluruh dunia bagi industri teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), boleh membantu rakyat Malaysia keturunan India dan membawa mereka ke tahap tertinggi dalam sektor ICT.

Dalam bidang sukan, India juga merupakan kuasa besar dalam sukan kriket.

"Pada sutau masa, kriket juga satu sukan yang sangat popular di negara kami. Kami mahu pemain kriket India untuk mula melatih belia kami dan membawa pulang kemegahan itu yang pernah dinikmati sebelum ini dan melangkah jauh lagi," katanya.

Kagum dengan kehalusan seni kraf India yang dihasilkan industri kecilnya, beliau meminta India untuk mendapatkan mereka yang terbabit dalam industri itu untuk melatih rakyat Malaysia, terutama wanita rakyat Malaysia keturunan India.

"Kami melihat kepada usaha untuk memperkasa dan bekerjasama dalam bidang-bidang pendidikan, latihan guru, perniagaan dan hubungan dagang, ICT, pembangunan sukan terutama kriket dan dalam bidang latihan kemahiran, pertanian, bioteknologi dan inovasi baharu," katanya.



-- BERNAMA

(terimakasih sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920539)