Sunday, July 28, 2013

Pinda peruntukan dalam Perlembagaan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 26 Julai - Perkara 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seorang ibu mempunyai hak yang sama rata untuk membesarkan anak-anak dengan didikan amalan agamanya perlu dipinda dengan memberikan pengecualian kepada Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, undang-undang Islam terpakai di negara ini kerana Islam merupakan agama rasmi Persekutuan sedangkan agama-agama lain hanya boleh diamalkan.

"Dalam Perlembagaan sekarang, Islam cuma sebagai amalan sahaja tetapi tidak dari segi undang-undang kerana tidak dilaksanakan. Itu yang susah. Undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan, maka gugur, itu jadi kacau.

"Peruntukan itu (bab agama anak) patut dipinda atau ditambah dengan dikecualikan orang Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam membatalkan pengislaman tiga anak seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, 38, yang telah didaftarkan oleh suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah, 44, seorang mualaf berketurunan India, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit itu menetapkan Perakuan Memeluk Islam ke atas Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal dan tidak sah.

Swee Seng berkata, pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak dilakukan di hadapan Indira Gandhi dan anak-anaknya.

Harussani berkata, sekiranya pindaan terhadap peruntukan tersebut dibuat, isu perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang bukan Islam tidak seharusnya timbul.

Katanya, ini kerana mereka telah bersetuju dengan perjanjian kontrak sosial dan menerima Perlembagaan sebagai syarat untuk dibenarkan tinggal di negara ini sebelum merdeka.

Beliau juga berkata, masalah berkaitan agama anak sepatutnya dibicarakan di mahkamah syariah dan oleh hakim yang beragama Islam.

"Patut bicara di mahkamah syariah tetapi disebabkan melibatkan orang Hindu, kes itu tidak boleh dibicara di mahkamah syariah, maka jadi celaru.

"Kena tanya Peguam Negara macam mana Perlembagaan tidak membenarkan kita (mahkamah syariah) membicarakan orang bukan Islam," katanya.

Muzarakah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 2009 memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130727/dn_05/Pinda-peruntukan-dalam-Perlembagaan#ixzz2aJV4k3o5
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(sumber: terimakasih utusan online)

No comments: