Tuesday, July 9, 2013

Pekerja Malaysia kuat bekerja

Oleh FAIRUS KASSIM         ekonomi@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 7 Julai - "Selagi belum tutup mata, kerja...kerja...kerja..." - itulah antara dialog popular di dalam filem Labu Labi arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang menceritakan mengenai budaya kerja masyarakat Malaysia.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh penyedia tempat kerja fleksibel dunia, Regus baru-baru ini telah menyokong ungkapan tersebut dengan menyimpulkan pekerja profesional Malaysia paling kuat bekerja di dunia sehingga terbawa-bawa tanggungjawab berkenaan ke waktu bercuti.

Firma berkenaan telah melakukan kaji selidik ke atas 26,000 pekerja profesional dari 96 buah negara untuk mengesan pengaruh kerja ke atas percutian mereka.

Di Malaysia, 49 peratus pekerja mendedahkan mereka akan bekerja sejam daripada setiap tiga jam dalam sehari (bersamaan lapan jam sehari) semasa sedang bercuti.

Manakala 27 peratus lagi mengatakan mereka menghabiskan tiga jam dalam sehari dan 49 peratus mengatakan mereka tetap bekerja walaupun bercuti tetapi kurang sedikit berbanding waktu kerja sebenar.
Kaji selidik jelas menunjukkan, pekerja profesional Malaysia bekerja lebih kuat ketika bercuti berbanding negara lain di dunia.

Secara purata di dunia, hanya 17 peratus pekerja merancang bekerja lebih dari tiga jam sehari dan 41 peratus bersedia bekerja sejam dari tiga jam sehari untuk bekerja semasa bercuti.

Kajian menunjukkan, lelaki paling sukar renggang dengan kerja dengan 42 peratus daripada mereka akan tetap bekerja seperti membuat panggilan telefon, membalas e-mel dan mengambil berat mengenai perniagaan semasa bercuti, manakala wanita hanya 34 peratus.

Menurut pandangan pakar, Professor Thomas Cox CBE, kajian menunjukkan memberi pekerja kebebasan mengawal kerja dapat membantu mengurangkan tekanan bekerja.

"Contohnya, memberi kebebasan bila dan di mana mereka bekerja akan membantu mencapai hasil yang lebih baik dan dalam masa yang sama mengimbangi tanggungjawab dengan keluarga serta lebih tenang.
"Boleh dihubungi setiap masa di mana sahaja memang baik, tetapi pekerja sangat memerlukan masa untuk 'bebas' daripada kerja untuk tempoh masa tertentu," katanya.

Teknologi canggih hari ini yang boleh menghubungkan manusia pada bila-bila masa sepatutnya membantu pekerja mengawal waktu kerja dan bukannya menambah tekanan.

Katanya, kawalan berkenaan membolehkan mereka bekerja dengan lebih berkesan dan pantas sekali gus membolehkan mereka menikmati percutian dengan tenang tanpa sebarang gangguan berkaitan kerja.


terimakasih utusan online:


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130708/ek_02/Pekerja-Malaysia-kuat-bekerja#ixzz2YTi86wsk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: