Sunday, July 21, 2013

PERLUKAH SUBJEK TITA? dari AKHBAR China Press

PERLUKAH SUBJEK TITA?

AKHBAR China Press bertarikh 14 Julai 2013 menyiarkan artikel mengenai langkah kerajaan mewajibkan pengajaran subjek teras Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Artikel bertajuk ‘Tamadun paksaan belajar’ yang ditulis oleh Zhi Jian Cheng disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pelajar kolej dan universiti sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ataupun IPTS diwajibkan belajar subjek TITA bermula kemasukan pelajar bulan September ini.

Mereka yang tidak lulus subjek berkenaan tidak akan mendapat sijil dan ini menyebabkan berlakunya gelombang suara bantahan.

Belajar tamadun Islam, adakah ia tidak bagus? Sebenarnya tidak ada yang tidak bagusnya. Islam bermula dari Timur Tengah, lokasi yang lebih tepat sekali di kawasan Asia Barat, di situ juga dinamakan dunia Arab.
Sebenarnya bermulanya pusat tamadun dari situ masih diperkecil-kecilkan. Ramai orang menganggap tamadun Arab kuno hanya berkaitan dengan cerita Hikayat 1,001 Malam. Hakikat dunia Arab yang mempunyai tamadun beribu tahun tidak dapat difahami mereka dengan jelas, seperti tertutup dengan tirai kain.

Di sebelah barat dunia Arab adalah negara-negara Eropah dan di sebelah timur adalah Asia. Oleh kerana tanah di negara mereka tandus dan berpasir, orang Arab bijak berdagang secara berhijrah. Mereka mendapat hasil lumayan daripada luar. Ia dianggap sebagai mutiara untuk dijadikan hak milik sendiri dan dikongsikan keluar.
Orang Arab mengambil teknologi China seperti teknik membuat kertas, belerang (bom) dan kompas, kemudiannya membawanya masuk ke Barat. Ketiga-tiga bahan penting ini telah mengubah buku-buku sejarah dunia dan menyebabkan terjadinya peperangan serta penerokaan laut.

Mereka juga mengambil ilmu angka dari India untuk dibawa masuk ke Barat. Orang Barat yang mempelajari ilmu angka seperti simbol 1,2 dan 3 telah tersalah tafsir dengan menggangap ia sebenarnya datang dari dunia Arab.

Orang Arab memainkan peranan penting dalam membangunkan tamadun Eropah dan ilmu yang diterima daripada dunia Arab ini diibarat seperti ‘ibu kepada ilmu pembelajaran’.

Sejak berlaku zaman kegelapan agama di pertengahan abad, banyak peninggalan kitab-kitab lama Mesir dan Rom kuno telah pupus. Sehubungan itu, orang Arab telah mengambil masa 200 tahun untuk mengumpul semula dan menterjemah kitab-kitab itu. Ia dijadikan hak milik sendiri dan selepas itu baru terciptanya zaman Eropah baru.

Orang Eropah mempelajari kembali ilmu daripada dunia Arab seperti teori-teori oleh Plato dan Aristotle. Ini termasuk ilmu astronomi, matematik dan perubatan. Para ilmuwan Barat sendiri mengakui, jika tiada orang Arab, tidak akan berlaku tamadun baharu di Barat.

Ini adalah sebilangan kecil sumbangan tamadun Islam. Cuba kita baca kitab zaman kerajaan Empayar Othmaniah dengan sistem khalifahnya, sudah tentu ia dapat menambah lagi ilmu pengetahuan kita.
Tetapi persoalannya sekarang, kenapa mahu memaksa pelajar belajar subjek TITA? Adakah mahu pelajar belajar tamadun ataupun supaya mereka belajar berinteraksi dengan agama?

Tamadun yang begitu agung bukan sahaja tamadun Islam. Jika orang Muslim mampu belajar tamadun Kristian ataupun tamadun Buddha dan orang bukan Islam boleh belajar tamadun Islam, barulah dinamakan berinteraksi ilmu.

Lagipun jika pelajar IPT perlu diwajibkan belajar subjek ini, perkara itu sepatutnya termaktub dalam Perlembagaan negara bagi mengelak ia dijadikan isu politik.

Kepada ahli politik kelas kedua dan mereka yang mengutamakan kaum sendiri, adakah anda faham fakta seperti ini?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130718/re_06/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2Zd826bFd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

(terimakasih: utusan online)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Galak persefahaman antara kaum

MUHYIDDIN Yassin dan Zaini Ujang (kanan) bersalaman dengan sebahagian pelajar yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga Kementerian Pendidikan di Sri Satria, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 18 Julai - Perluasan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan bertujuan mengislamkan pelajar tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, TITA yang meliputi pengetahuan mengenai tamadun utama Asia termasuk peradaban Islam, China dan India itu diajar sejak sekian lama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tanpa menimbulkan sebarang isu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, sesetengah pihak membangkitkan isu perluasan TITA daripada IPTA ke IPTS kerana tidak memahami keadaan sebenar.

"Dengan memahami tamadun-tamadun ini, kita akan memahami nilai-nilai agama yang murni serta pencapaian mereka membentuk tamadun yang begitu hebat dalam sains, teknologi, kimia, fizik, perubatan dan sebagainya.
"Dengan memahami nilai-nilai murni setiap agama dapat mengikis sebarang prejudis terhadap agama yang berlainan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berucap dalam majlis berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga Kementerian Pendidikan di Sri Satria, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan Dua, P. Kamalanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan terus memberi penekanan terhadap keharmonian antara kaum serta mengajar nilai-nilai murni agama.
"Hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, cabarannya ialah bagaimana menjadikan pendidikan sebagai wahana perpaduan.
"Murid-murid perlu dibimbing supaya mereka menghormati adat resam, budaya dan agama yang dianuti orang lain," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130719/dn_01/Galak-persefahaman-antara-kaum#ixzz2ZdAH55cc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

(terimakasih: utusan online)

No comments: