Thursday, February 9, 2012

Kena bela diri kes lebih harta: (BERITA HARIAN)



Oleh Petah Wazzan Iskandar

2012/02/09

GEORGETOWN: Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun, 52, semalam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas dakwaan memiliki harta melebihi pendapatan pada Oktober 2010.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz memerintahkan tertuduh yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya, membela diri pada 19 Mac depan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam prosiding, Sitarun Nisa berkata tertuduh diberi peluang membuat keterangan bersumpah selepas mahkamah tidak mendapat penjelasan yang memuaskan dan membenarkan pihak pembelaan mengemukakan saksi.
“Saya menetapkan pada 19, 20 dan 21 Mac depan tarikh perbicaraan akuan bersumpah serta kes pembelaannya dan sekiranya tidak sempat selesai, ia disambung pada 16 dan 17 April depan.

“Bagaimanapun, sekiranya ia selesai dalam tiga hari pada Mac depan, dua tarikh pada April, dijadikan masa untuk membuat hujahan,” katanya.

Abdul Rahman diwakili peguamnya, Zamri Idrus dan Mohd Fadhly Hashim, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Timbalan Pendakwaraya Janariah Abdul Mutalib dan Anthony Kelvin Morais.

Tertuduh yang kelihatan tenang dan ditemani saudara mara, dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, pada 11 Oktober 2010.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki wang dan hartanah bernilai RM817,355 yang merangkumi Akaun Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM334,245, Akaun Lembaga Tabung Haji (RM299,016) dan Akaun Maybank (RM48,094), selain hartanah bernilai RM136,000.

Ini menunjukkan ada lebihan harta yang sepatutnya dimiliki Abdul Rahman selepas diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan sebanyak RM152,081.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah mengekalkan jaminan sebanyak RM15,000 kerana sepanjang proses siasatan yang dijalankan sejak Ogos 2009, tertuduh dan isteri masih bekerja serta tidak wujud krisis kewangan.

No comments: