Wednesday, July 20, 2011

Utusan: Blogger diarah bayar Rais RM300,000




Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Julai - Angkara fitnah yang dibuat secara meluas terhadap Datuk Seri Dr. Rais Yatim, seorang penulis blog hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Amizudin Ahmat, 42, yang juga merupakan anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 5 Julai lalu, mahkamah memutuskan Amizudin yang diwakili peguam William Leong bertanggungjawab memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Rais selaku plaintif yang diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir memfailkan writ saman terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Rais menyatakan, pada 28 Disember 2010, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel bertajuk 'Hei Pak Menteri...mana mau lari...'

Menurut Rais, seluruh kandungan artikel dalam bahasa Malaysia itu berniat jahat dan memfitnahnya, selain ia bermaksud atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog terbabit menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Zabariah menjelaskan, jumlah ganti rugi itu adalah munasabah dan ia ditetapkan selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dibuat oleh Amizudin selaku defendan selain nilai wang semasa.

Menurut beliau, mahkamah juga memberikan pertimbangan kepada beberapa faktor antaranya, kedudukan plaintif sebagai menteri Kabinet yang telah berkhidmat selama 37 tahun dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Fitnah yang dibuat oleh defendan sangat serius kerana sekiranya seseorang mempercayainya, reputasi plaintif akan terjejas bukan sahaja di negara ini bahkan ke peringkat antarabangsa selain memberi kesan dalam kehidupan menteri itu serta keluarganya.

Dakwaan rogol pula, menurut Hakim Zabariah, melibatkan kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap individu dari negara lain dan dakwaan tersebut sangat menjijikkan terhadap menteri Kabinet.

Katanya, ia juga dakwaan yang tidak sihat terhadap hubungan diplomatik antara dua negara dan menambahkan lagi kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes rakyat negara tersebut didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Selain itu, kata Hakim Zabariah, penyiaran artikel tersebut melalui blog boleh diakses oleh sesiapa sahaja menerusi Internet di seluruh dunia.

Ini merupakan faktor-faktor istimewa yang membezakan kes saman itu dengan kes-kes saman fitnah yang telah diputuskan terdahulu, jelas Hakim Zabariah.

Tambahan pula, kata beliau, daripada keterangan, didapati defendan telah bertindak secara melulu dan cuai apabila dia mengakui hanya pergi ke Jakarta untuk 'menyiasat' dakwaan tersebut selepas artikel itu disiarkan dalam blognya.

Lebih-lebih lagi sepanjang tiga hari berada di negara itu, ujar hakim, defendan gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada wanita tersebut yang dikatakan sebagai 'mangsa' untuk mengesahkan cerita itu.

Rais yang ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan tersebut amat bermakna dan berharap individu lain lebih berhati-hati apabila menulis mengenai orang lain.

''Hari ini hari yang hebat, ia satu lambang sebenar tentang keyakinan terhadap badan kehakiman kita,'' kata beliau.

terima kasih (sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_02.htm)

No comments: