Thursday, July 21, 2011
Berjalan kaki boleh kurangkan risiko diserang penyakit berbahaya
Karnival 10,000 Langkah Sehari My Sihat: Bakar kalori 6 gelas teh tarik
Oleh Ziauddin Sharuddin, Serimah Mohd Sallehuddin dan Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2011/07/21
Berjalan kaki boleh kurangkan risiko diserang penyakit berbahaya
KUALA LUMPUR: Individu dengan berat kurang 70 kilogram (kg) mampu membakar sehingga 50 kalori jika berjalan kaki sejauh satu kilometer (km) dalam tempoh 10 minit iaitu bersamaan dengan segelas teh tarik.
Ini bermakna, seseorang itu mampu membakar kandungan kalori dalam enam gelas teh tarik jika mereka berjalan kaki 10,000 langkah sehari seperti disyor Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MY Sihat) melalui Cabaran 10,000 Langkah Sehari MY Sihat yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 2, Sabtu ini.
10,000 langkah bersamaan berjalan kaki sejauh 6.5km, manakala berjalan satu km bersamaan 1,200 langkah.
Ketua Pegawai Eksekutif MY Sihat, Dr Yahya Baba, berkata secara purata rakyat Malaysia berjalan 2,000 langkah sehari berikutan perubahan gaya hidup moden dan kehadiran teknologi komunikasi dan pengangkutan yang menyebabkan mereka kurang berjalan, sekali gus meningkatkan risiko kepada penyakit seperti hipertensi, kencing manis dan serangan jantung.
Katanya, penyakit tiga serangkai yang menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia itu mampu dikurangkan dengan mengamalkan berjalan 10,000 langkah sehari.
“Cara senang mencapai 10,000 langkah adalah dengan berjalan dalam setiap aktiviti, kurangkan penggunaan lif tetapi guna tangga, kalau makan tengah hari itu cuba berjalan ke kafe terdekat berbanding menaiki kereta,” katanya kepada Berita Harian, semalam, mengulas bagaimana seseorang itu boleh berjalan 10,000 langkah sehari ketika berdepan dengan kesibukan kerja harian.
Katanya, aktiviti berjalan kaki dalam tempoh sederhana menggunakan tenaga membakar kalori dan seterusnya membakar lemak yang menjadi punca banyak penyakit.
Penganjuran Karnival 10,000 Langkah Sehari itu disokong Berita Harian dan Kementerian Kesihatan diadakan di 14 lokasi bermula dengan Putrajaya Sabtu ini, sebelum diikuti Bentong, Pahang, Kuala Terengganu, Muar, Melaka, Seremban, Arau, Sungai Petani, Teluk Intan, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Ia juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti antaranya Rozita Che Wan, Tasha Shila, Zain Saidin, novelis popular Ain Maisarah dan seniman veteran Datuk Aziz Satar, Datuk Mustapha Maarof, Zaibo, Kismah Johari, Tawil dan Hail Amir.
terima kasih (sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Karnival10_000LangkahSehariMySihat_Bakarkalori6gelastehtarik/Article)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment