Tuesday, November 23, 2010

Sultan Johor Ulangi Hasrat Supaya Tambak Johor Digantikan

Sultan Johor Ulangi Hasrat Supaya Tambak Johor Digantikan

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Ismail Ibrahim ketika hadir pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-52 di Istana Besar, Johor Bahru semalam. – BERNAMA

Mahu pembinaan jambatan diterus

JOHOR BAHRU 22 Nov. – Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.

Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat. Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang masih belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor,” titah baginda di Istana Besar di sini.

Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberi kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Berangkat ke istiadat berkenaan ialah permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad dan kerabat-kerabat di raja lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof Datin Jamilah Ariffin, barisan exco kerajaan negeri, anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim turut meminta rakyat di Johor supaya hidup secara bertolak ansur, bersederhana dan hormat-menghormati tanpa mengira kaum selaras dengan motto kerajaan Johor “Muafakat Itu Berkat” bagi mengekalkan kesejahteraan negeri.

Baginda mahu semua pemimpin masyarakat sentiasa berusaha menyatupadukan masyarakat yang dipimpin serta mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu mahupun politik.

“Di Johor, tidak kira apa jua kaum, Melayu, India, Cina, mereka semua adalah rakyat negeri saya. Hak dan kepentingan semua akan dijaga. Oleh itu, jangan diungkit apa yang telah berlaku supaya terhindar rasa tidak puas hati dan buruk sangka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan seluruh rakyat Johor supaya merebut peluang daripada pembangunan pesat negeri termasuk pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Dalam titah berkenaan, baginda turut mengisytiharkan penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memberikan bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa kepada pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.

Menurut Sultan Ibrahim, dana untuk yayasan berkenaan disumbangkan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda.

Sultan Ibrahim pada istiadat berkenan turut berkenan mengurniakan gelaran ‘Duli Yang Maha Mulia’ kepada Raja Zarith Sofiah dan gelaran ‘Yang Amat Mulia Enche Besar’ kepada bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor kepada Hajah Khalsom dan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) kepada Tunku Ismail. – BERNAMA

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm)

zmsegamat kata:

DAULAT TUANKU

3 comments:

tungkaran hati.blogspot said...

Salam! Saya sebagai rakyat negeri Johor merasakan(sudah dua kali Sultan bertitah) akan kebaculan Kerajaan negeri juga Kerajaan Malaysia diatas kegagalan pembinaan ini. Andaian mudah, sekiranya Tun Mahathir masih mentadbir Malaysia sehingga hari ini, pastinya kita telah pun menggunakan jambatan baru menggantikan Tambak Johor dan peningkatan perdagangan(Pasir Gudang-Tanjung Pelepas) dan keselamatan terutamanya di Selat Johor akan meningkat. Kepada kepimpinan UMNO Johor laksanakan titah Sultan demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya. Daulat Tuanku!

Anonymous said...

PAK LAH YG KATA RAKYAT JOHOR TAK MAHU JAMBATAN KE 2... TANYA DOLLAH AL SAMDOL AL SURUHANJAYA .. AL FLIB FLOB.. AL BEBAL AL TAK TAU APA-APA////AL SEMUA DIA TAU TP SEBENARNYA TAK TAU.. tanya dia tubuh suruhanjaya untuk dia pulak...

Perakian said...

Saya bukan rakyat Johor tetapi saya amat kecewa apabila pembinaan Jambatan bengkok itu dibatalkan.

Bekas PM Tun Dr. Mahathir yang telah mengilhamkan jambatan tersebut kerana beliau memandang jauh kehadapan. Dengan pembinaan jambatan tersebut maka Pasir Gudang dan Tanjung Pelapas akan menjadi pelabuhan yang sangat maju. Maka bertambah makmur negeri Johor dan negara Malaysia.

Kedua dengan robohnya tambak johor maka air laut dapat mengalir dan dapat meningkatkan kebersihan di tepi pantai tersebut.

Ketiganya Jambatan itu akan menarik pelancong datang berkunjung ke negara kita kerana keindahan dan kecantikannya.

Keempat allahyarham ayahanda Paduka Sultan Johor adalah diantara mereka yang sangat inginkan jambatan itu diteruskan. Maka tidak hairanlah ia terus disuarakan oleh anakandanya.

Tetapi yang paling menyakitkan hati
saya ialah apabila Tun Abdullah menyatakan bahawa rakyat Johor tak mahukan jambatan tersebut maka sebab itulah pembinaan jambatan itu dibatalkan. Betulkah? Rakyat Johor yang mana satu tak hendakkan jambatan tersebut diteruskan?

Harap-harap kerajaan akan dengar permintaan Tuanku Sultan Johor. Daulat Tuanku!