Tuesday, November 2, 2010

Apa beza wakil rakyat dengan pegawai kerajaan?


Apa beza wakil rakyat dengan pegawai kerajaan?

1.0 STRATEGI keempat Bajet 2011 ialah memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam. Ia merupakan usaha kerajaan yang berterusan untuk memastikan sistem penyampaian (delivery system) jabatan kerajaan lebih berkesan. Jika rakyat berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan, seharusnya ia bersifat lebih menyenangkan bukan bertambah menyusahkan.

2.0 Setiap kita adalah 'rakyat' lantaran itu seorang pegawai kerajaan berjawatan tinggi apabila berurusan dengan jabatan lain, mereka juga akan menjadi 'rakyat' di kaunter kerajaan. Oleh itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) haruslah sentiasa membuat lawatan mengejut terhadap agensi-agensi kerajaan agar mereka lebih mengetahui masalah yang selalu dihadapi oleh rakyat biasa.

2.0 Tersembunyi di sebalik langkah memastikan sistem penyampaian ini, pegawai kerajaan adalah penyelesaian strategik bagi sebarang masalah dan penyelewengan. Pegawai kerajaan sering memberi reaksi yang sangat sinis terhadap kenyataan dan desakan wakil-wakil rakyat baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun Ahli Parlimen.

3.0 Kata pegawai kerajaan, jika hendak membanteras rasuah, hendaklah didahulukan tindakan terhadap golongan ADUN atau Ahli Parlimen. Jika makin banyak surat sokongan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat sama ada ADUN atau Ahli Parlimen yang ditujukan kepada pegawai kerajaan di peringkat atasan, maka bertambah jijiklah mereka.

4.0 Mungkin mereka yang berpendidikan dan berpangkat tinggi belum faham 'apakah peranan' wakil rakyat yang mereka pilih. Kepada rakyat Malaysia, wakil rakyat yang baik ialah yang berjaya dan cepat menyelesaikan masalah harian rakyat seperti masalah orang miskin tiada rumah, jalan berlubang dan yang boleh diajak minum petang bersama dan sebagainya. Malah bil telefon tertunggak pun mohon wakil rakyat menjelaskannya.

5.0 Wakil rakyat yang baik pada hemat rakyat adalah yang dapat menyelesaikan hal-hal sedemikian dengan cepat dan kalau boleh serta-merta. Tidak mengapa kalau wakil rakyat tersebut ponteng sidang Dewan Rakyat atau DUN, asalkan dapat menyelesaikan masalah mereka ini.

6.0 Walau sebaik mana pun 'prestasi' wakil rakyat, jika mereka tidak dapat segera menyelesaikan masalah rakyat, mereka mungkin kalah dalam pilihan raya akan datang. Begitu sinis bunyinya tapi itulah realiti cara pemikiran sebahagian rakyat Malaysia mengenai peranan wakil rakyat.

7.0 Rakyat lupa bahawa yang sebenarnya peranan wakil rakyat ialah penggubal undang-undang atau 'pembuat dasar' dan mereka akan memastikan setiap undang-undang atau dasar negara yang digubal dilaksanakan oleh pegawai kerajaan (eksekutif).

8.0 Jika di Britain (asas kepada sistem ini di Malaysia), apabila timbul sesuatu kes berkaitan masalah rakyat, akan dicari jalan dalam bentuk penggubalan undang-undang dan pengubahan dasar agar ia 'tidak menyusahkan' dan 'menekan' rakyat.

9.0 Pada suatu masa di Britain, terjadi satu peristiwa seorang kanak-kanak dibaham hingga mati oleh seekor anjing. Wakil rakyat Britain yang baik bukan wakil rakyat yang bergegas ke tempat kejadian, sebaliknya dia segera menimbulkannya dan berdebat di Parlimen dan mendesak Parlimen serta Kerajaan Britain supaya menggubal satu undang-undang supaya mereka yang memelihara anjing agar dikenakan tindakan tegas jika binatang peliharaan mereka mencederakan atau membunuh rakyat Britain.

10.0 Hari ini pun begitu, bila tanah runtuh dan adanya berlaku kematian, maka wakil rakyat kita pun bergegas ke tempat kejadian. Bila ada berlakunya kemalangan maut, mereka ke sana. Walhal ini bukan pertama kali rakyat berhadapan dengan peristiwa tanah runtuh dan kemalangan yang menyebabkan kematian.

11.0 Jika sudah ada undang-undang, di Parlimen akan dipersoalkan kebertanggungjawaban pihak eksekutif iaitu pegawai kerajaan (pihak peguat kuasa yang melaksanakan undang-undang dan peraturan itu). Jika ada kecuaian, dewan akan memastikan mereka mesti dihukum atau dilucutkan jawatan.

12.0 Jika ada orang lapar kerana miskin, wakil rakyat yang baik bukan serta-merta memberi wang untuk mereka dapat makan. Wakil rakyat yang baik ialah memastikan kerajaan dan Parlimen menggubal undang-undang supaya tidak ada rakyat lapar kerana kemiskinan. Selepas undang-undang digubal, wakil rakyat yang baik sentiasa memantau dasar itu terlaksana melalui sistem penyampaian berkesan oleh pegawai kerajaan.

13.0 Oleh kerana rakyat tidak faham peranan sebenar wakil rakyat seperti sekarang, maka wakil rakyat yang ada sekarang perlu memiliki banyak wang untuk diberikan kepada rakyat yang datang meminta. Gaji wakil rakyat tidak mencukupi untuk melakukan itu semua. Mereka terdedah kepada permainan para 'penaja' yang membantu mereka sewaktu pilihan raya dan jika wakil rakyat tidak membantu 'penaja' ini, mereka akan kalah dalam pilihan raya yang akan datang.

14.0 Sedangkan, pihak jentera eksekutif (KSN atau KSU serta pegawai kanan kerajaan) pula dilantik oleh wakil rakyat yang menjadi Ahli Kabinet setelah memenangi pilihan raya bagi setiap lima tahun. Berkesan atau tidak berkesan setelah dilantik, mereka boleh terus berkhidmat sehingga bersara atau tamat kontrak. Tak mengapa jika mereka tidak ikut arahan wakil rakyat atau Menteri kerana mereka tetap ada di sana sehingga bersara.

15.0 Sebahagian pegawai kerajaan sangat selamat dan mungkin tidak pernah pun berasa bersalah jika berlakunya rasuah di kalangan mereka. Inilah yang menjadi penyebab utama berlakunya ketirisan sistem penyampaian sehingga rakyat yang tidak memahami sistem kerajaan, percaya rasuah adalah angkara wakil rakyat atau Menteri.

16.0 Sistem penyampaian kita mesti mendahulukan rakyat sebagaimana harapan Perdana Menteri. Apakah salah jika pegawai kerajaan bertindak seperti wakil rakyat - turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat bersama?

17.0 Jika semua wakil rakyat dan pegawai kerajaan boleh menjalankan fungsinya dengan baik, mungkin tidak timbul lagi istilah wakil rakyat yang tidak menjalankan kerjanya kerana semua kerja adalah tanggungjawab bersama. Jangan sampai rakyat yang terpaksa menunggu lama di kaunter-kaunter agensi kerajaan mengeluh dan mengeluarkan ungkapan 'inilah kerajaan Barisan Nasional', lambat dan lembab serta menyusahkan rakyat.

Mohamad Ghazali Zainal Abidin Ampang, Selangor
utusan malaysia 02112010
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm)

No comments: