Thursday, November 25, 2010
Apa ada dengan RM1 - seringgit?
ARKIB UTUSAN: 24/11/2010
Apa ada dengan RM1 - seringgit?
Oleh Zaini Hassan
HENTIKAN dulu cakap politik dan kebarangkalian tindakan repot polis yang boleh memeningkan. Jom kita teliti not seringgit, atau RM1 kita.
Teliti betul-betul wang kertas itu. Saya pun sambil menaip turut mengeluarkan not itu dan membelek-beleknya.
Ia berwarna biru. Di bahagian belakang ada gambar gunung Kinabalu, landskap tertinggi negara ini dan di Asia Tenggara. Wau bulan serta gambaran kepulauan nelayan dari arah laut turut terpapar di atas kertas itu.
Sebelum ini tiada siapa yang benar-benar membeleknya. Apalah sangat RM1. Mungkin ia hanya dibelek oleh pelancong yang baru pertama kali melihat not itu. Peniaga pun tak bimbang jika itu not palsu. Tiada apa yang istimewanya.
Nak kata ia menarik, biasa saja. Berbanding dengan rekaan matawang asing lain, mungkin nilai seringgit kita itu tidaklah hebat mana.
Itu dari segi rupa bentuknya. Bagaimana pula dengan nilainya? Denominasi seringgit itu dibentuk daripada mata desimal 100 sen. Dari nilai siling sekecil 5 sen, 10 sen, 50 sen ia boleh dicampur-campur membentuk RM1.
Kini Bank Negara Malaysia (BNM), autoriti yang mengesah lakukan wang ringgit di negara ini tidak lagi mengeluarkan wang siling 1 sen. Mungkin BNM ada alasan berbuat demikian. Difahamkan untuk mengeluarkan siling 1 sen kosnya ialah sekitar 20 sen? Oleh itu ia dihentikan pengeluaran. Jadi nilai wang kita hanya bermula dari siling 5 sen.
Dari segi ilmu hisab, kita sudah rugi 4 sen. Tapi 5 sen pun sudah jarang digunakan oleh pekedai. Oleh itu kita sudah rugi 5 sen.
Pekedai lazimnya akan mula mengira mulai 10 sen. Maka kita pengguna sudah rugi 9 sen!
Sering dulu jika harga gula naik 10 sen sekilogram, maka mamak-mamak stall akan menaikkan harga minuman kegemaran orang Malaysia, teh tarik dengan harga 10 sen segelas. Maka harga segelas teh tarik sekarang ialah RM1.20 sen.
Mamak (harap jangan saman saya kerana guna istilah ini) enggan menggunakan 5 sen untuk menaikkan harga minuman itu. Mereka lebih gemar memilih 10 sen. Entah kenapa saya pun tak tau.
Budaya menggunakan 1 sen sudah hilang di negara ini. Sepatutnya nilai RM1 ialah 100 sen dan setiap sen patut diambil kira. Dulu jika kita beli kasut Bata, harga mengikut pecahan sen-sen amat popular, begitu juga di McD dan bayar bil elektrik dan air. Kini semuanya dibulatkan kepada 5 sen dan 10 sen.
Nilai 100 sen itu sudah mengecil. Dalam suasana inflasi yang semakin ketara sekarang, walaupun BNM hanya melaporkan angka yang rendah, nilai RM1 sudah hampir tiada. Harga teh tarik melebihi RM1. Masuk tandas awam kini ialah 50 sen, dua orang RM1. Belanja budak sekolah sekurang-kurangnya RM3.
Jika BNM mahu menjimatkan kos pengeluaran 1 sen, pengguna juga yang tertekan dengan kos barangan, turut rugi dari segi nilai sen-sen itu.
Mungkin, jika nilai 1 sen itu dibudayakan semula - seperti di Amerika Syarikat yang masih aktif menggunakan Penny (1 sen), Nickel (5 sen), Dime (10 sen), Quarter (25 sen), Half dollar (50 sen) - maka nilai RM1 kita akan lebih bernilai lagi.
Pada masa itu mamak mungkin akan memikirkan untuk menaikkan teh tarik hanya kepada RM1.21 sahaja berbanding RM1.30 sekarang.
Walaupun cadangan ini nampak bodoh dan mengarut kerana nilai 1 sen sudah dimansuhkan, kita berharap BNM boleh memikirkan sesuatu atau semula.
Rakyat kini sebenarnya mulai gelisah kerana nilai mata wang mereka semakin mengecil. Jika dulu orang kampung boleh berbelanja dapur dan petrol motosikal sekitar RM300 sebulan, kini nilainya sudah menjadi RM250 dan ke bawah dan ke bawah.
Ia lebih memeritkan bagi mereka yang tinggal di bandar dan kota raya. Gaji RM2,500 ialah miskin bandar. Tapi majikan masih kedekut dan amat berkira untuk menaikkan gaji. Gaji yang diperoleh tidak setaraf dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kelok gaji dan kelok kos barang dan perkhidmatan tidak seimbang.
Kita berharap pakar-pakar ekonomi negara dapat memikirkan sesuatu mengenainya. Jika ke Britain nilai 1 Pound itu masih cukup besar, tapi RM1 kita sudah terlalu kecil.
Bagi saya yang minum teh tarik bersama kawan malam tadi, nilai RM1 hanya untuk disedekahkan kepada orang buta yang silih berganti ke kedai-kedai makan sekitar ibu kota.
RM1 sudah mulai tidak dipedulikan. Tapi bagi orang buta yang mengutip RM1 bagi setiap meja - dan berjaya melakukannya ke atas beratus meja setiap malam - mereka itulah sebenarnya yang mewah.
Dan dalam keadaan ekonomi baik atau tidak seperti sekarang, jumlah orang buta (dan buat-buat buta) seperti itu semakin hari semakin ramai...
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment