Wednesday, September 22, 2010

'Gurau' dengan TNB: Hassan Skodeng didakwa


'Gurau' dengan TNB: Hassan Skodeng didakwa

Joseph Sipalan

Seorang penulis blog, Irwan Abdul Rahman, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap tuduhan menggunakan aplikasi internet bagi menghantar komen palsu pada Mac lalu.

Beliau yang menggunakan nama Hassan Skodeng di laman web, didakwa membuat dan memulakan hantaran komen palsu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Menurut peguamnya, Jahaberdeen Mohamed Yunoos, ini adalah kali pertma seorang penulis blog didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat-naik artikel berbentuk parodi atau satira di blognya.

Jika didapati bersalah, Irwan berdepan dengan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Irwan yang juga editor eksekutif akhbar Malay Mail bagi seksyen gaya hidup dan hiburan itu, memuat-naik artikel yang berjudul "TNB to sue WWF over Earth Hour" pada 25 March tahun ini.

Tindakannya itu menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat aduan rasmi kepada SKMM pada 2 April lalu.

"Tuduhan seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap perkembangan sastera dan penulisan di Malaysia,” kata Jahaberdeen di luar mahkamah.

SKMM diwakili oleh timbalan pendakwa raya Badius Zaman Ahmad dan pegawai pendakwanya, Zairul Nahar Zakaria.

Hakim kemudiannya membenarkan Irwan dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Penasihat Kumpulan Red Berry Media, Datuk Ahiruddin Atan yang juga dikenali dengan nama Rocky bertindak sebagai penjaminnya.

Hayatul kemudian menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan.

Sementara itu, DAP dalam satu kenyataan membidas tindakan SKMM mengheret Irwan ke mahkamah berhubung tulisannya yang berbentuk satira itu.

DAP: SKMM tak faham gurauan?

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata tindakan itu bukan sahaja “keterlaluan tetapi juga mengarut.”

"Adakah ini bermakna satira atau gurauan sekarang ini adalah salah dari segi undang-undang di Malaysia? Apa yang terjadi dengan negara sekarang ini?” soalnya.

Irwan pada artikelnya itu secara bersenda mengambarkan presiden dan ketua pegawai eksekutif TNB, Datuk Che Khalid Mohd Noh sebagai berkata kempen 'Earth Hour' itu menjejaskan kewangan syarikatnya dan menuduh penganjur kempen berkenaan, World Wide Fund for Nature sebagai "pengganas hijau".

Lim yang berkata satira itu sepatutnya diterima - berhujah bahawa tokoh wartawan negara dan pejuang kebangsaan, Datuk Ishak Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Pak Sako juga menggunakan satira dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan.

Beliau juga memetik penulis satira berbangsa Inggeris yang terkenal, Jonathan Swift, yang pernah berkata: "Satire is sort of glass, wherein beholders do generally discover everybody's face but their own."

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/141707)

No comments: