KOTA BHARU: Mentaliti dan sikap rakyat yang meminta wang serta bantuan, termasuk berkaitan hal remeh kepada wakil rakyat perlu dihapuskan, bagi mengelak Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tersepit sehingga mendorong kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pakar undang-undang dan penganalisis politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari, berkata sikap rakyat yang meminta pelbagai tuntutan termasuk bantuan wang itu menyebabkan wakil rakyat tiada pilihan dan perlu memenuhi permintaan bagi mengelak dilabel tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, sesuatu perlu dilakukan oleh semua parti politik bagi mendidik rakyat supaya memahami tanggungjawab wakil rakyat sebenarnya adalah penggubal undang-undang dan dasar, bukan menjalankan kerja pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya fikir ini (memperbetulkan sikap rakyat) baik untuk semua parti politik, kalau rakyat melihat Ahli Parlimen untuk meminta itu ini termasuk duit, kesudahannya mereka (rakyat) juga yang menanggung akibatnya (wakil rakyat terbabit salah guna kuasa dan penyelewengan).
"Sehubungan itu, perangai meminta-minta ini harus dihentikan dan rakyat perlu melihat wakil rakyat sebagai pembuat undang-undang dan dasar, bukannya pegawai kebajikan," katanya kepada pemberita selepas Forum Kepemimpinan Integriti dan Masyarakat di sini, semalam.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas yang membuat kajian terhadap peraturan, sistem dan prosedur serta kawalan dalaman perbelanjaan yang diperuntukkan kepada wakil rakyat bagi menghalang perlakuan rasuah.
Abdul Aziz yang juga Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, amalan pemberian wang walaupun dengan tujuan membantu rakyat yang memerlukan pertolongan boleh ditafsirkan sebagai politik wang kerana perkara itu disebut dalam undang-undang.
"Tinggal lagi nak melaksanakannya susah sebab ramai sangat yang buat (memberi bantuan kewangan kepada rakyat). Kalau seba-hagian saja ahli politik komited dan yang lain meneruskan amalan politik wang ini, susah juga nak dihentikan," katanya.
Beliau berkata, dalam situasi politik sekarang, wakil rakyat kebanyakannya berlumba-lumba memperagakan diri masing-masing sebagai 'pegawai kebajikan masyarakat' kerana dengan cara itu rakyat akan menerima mereka sebagai pemimpin yang prihatin.
"Peranan Ahli Parlimen dan Adun memang membuat undang-undang, nak tolong rakyat ini pegawai JKM, kita ada hospital, bomba, pegawai pelajaran, wakil rakyat jangan dibebankan dengan masalah rakyat.
"Kalau suami isteri cerai berai, mahkamah dan pegawai jabatan agama ada, jadi kenapa pula nak ditarik Adun atau Ahli Parlimen ini, mereka tak dilatih untuk buat kerja itu," katanya yang mengakui masa yang lama perlu diambil untuk mengubah sikap rakyat.
(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20091113001739/Article/index_html)
No comments:
Post a Comment