Saturday, January 24, 2009

UMNO; Punca Hilang TARIKAN

ARKIB UTUSAN : 21/01/2009

Punca UMNO hilang tarikan


Kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan UMNO hilang daya tarikan merupakan julung kali seorang pemimpin UMNO mengaku kelemahan parti tersebut. Syabas Tan Sri kerana pengakuan tersebut walaupun saya dapati masih ramai pemimpin BN yang masih memberi berbagai-bagai alasan lain. Ada yang cuba untuk menyejukkan dan menenangkan hati para pemimpin BN dengan menyatakan yang BN masih mendapat lebih 30,000 undi. Tapi kenyataannya walaupun kalah satu undi, ia tetap kalah. Selagi BN tidak mengaku kelemahan parti, BN tidak akan dapat berubah dan memenangi kembali hati rakyat.

Saya merupakan seorang penyokong atas pagar dan tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Undi saya berpandu kepada isu semasa dan juga persepsi semasa.

Persepsi saya adalah politik tidak bersih dan ramai yang menganggotai parti kerajaan mempunyai niat untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya kepentingan rakyat. Mungkin persepsi ini tidak benar 100% tapi saya rasa untuk mencari seorang daripada seratus orang ahli yang benar benar berjuang untuk rakyat teramat susah.

Mari kita renung berapa isu yang saya rasa menjadi beberapa penyebab kenapa BN hilang daya tarikan.

* Elaun YB tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan rumah yang tersergam indah dan deretan kereta mewah. Kebanyakan pengurus di syarikat swasta besar mempunyai gaji yang lebih besar daripada elaun YB. Mereka yang mempunyai gaji sama seperti elaun YB tidak mampu untuk mempunyai sebuah pun kereta mewah yang YB miliki. Persepsi rakyat: Di mana YB mendapat kemewahan ini?

* Bila masalah rakyat seperti rakyat termiskin dan tidak terbela disiarkan di media massa, tiba-tiba ahli-ahli politik dan jabatan kerajaan berkenaan datang menghulur bantuan. Kenapa harus disiarkan di media massa baru bantuan datang? Mungkin ramai yang akan menyangkal kerana banyak lagi bantuan yang diberi tanpa masalahnya disiarkan di media massa. Saya juga setuju yang banyak bantuan diberi tanpa pendedahan di media massa. Tetapi setiap kali masalah rakyat tersiar di media massa, ia menunjukkan kegagalan jentera kerajaan dan wakil-wakil rakyat dalam menjalankan tugas masing masing.

*Penyalahgunaan kuasa yang merupakan 'rahsia terbuka' seperti contohnya penyalahgunaan AP. Tujuan AP amat baik untuk menolong golongan bumiputera berniaga. Tetapi malangnya pelaksanaannya telah disalahgunakan oleh golongan tertentu untuk mencari kemewahan yang teramat sangat tanpa perlu berusaha. Yang menanggung beban adalah rakyat biasa yang terpaksa membayar harga yang tinggi untuk kereta import yang menggunakan AP kerana peniaga akan memasukkan kos yang dibayarkan kepada pemegang AP kepada pembeli.

Walaupun penyalahgunaan AP adalah 'open secret' tetapi nampaknya kementerian Tan Sri Muhyiddin amat berlembut dalam mengambil tindakan. Sebagai rakyat biasa, persepsi saya, terlalu banyak orang yang berpengaruh yang terlibat sehingga pihak kerajaan tidak mampu atau tidak mempunyai kemahuan untuk betul-betul mengambil tindakan tegas.

* Mungkin ada yang akan menyatakan apa yang saya katakan menyentuh isu perkauman. Persepsi saya, semakin ramai pengundi Melayu atas pagar dan juga ahli UMNO yang sakit hati dan menyokong pembangkang. Mari kita tenung-tenung balik berapa banyak kawasan yang majoritinya berpenduduk Melayu tetapi bila pilihanraya, calon BN adalah dari orang bukan Melayu. Mungkin sifat UMNO yang pemurah telah memakan diri sendiri. Mungkin dulu orang sokong lambang 'dacing' tanpa melihat kepada calon, tapi zaman telah berubah dan UMNO kena sedar akan perubahan ini.

* Pelaksanaan undang-undang tali pinggang belakang mungkin mempunyai tujuan yang sangat baik tapi yang peliknya, kenapa kenderaan asing dikecualikan. Jika faktor keselamatan adalah sebab pelaksanaannya, tiada sebab kenapa kenderaan asing dikecualikan. Ini menyebabkan timbul persepsi yang ada udang di sebalik batu. Mungkin selepas ini, kita akan melihat banyak syarikat yang akan mengeluarkan atau mengimpot kenderaan jenis MPV kerana kita tahu terutamanya kaum Melayu yang mempunyai lebih tiga orang anak terpaksa mencari kenderaan yang lebih besar hanya kerana faktor tali pinggang belakang.

Dengan ekonomi yang semakin teruk, rakyat akan merasakan pelaksanaan undang-undang ini akan lebih membebankan rakyat. Kerajaan sepatutnya sedar yang kebanyakan rakyat berpendapat rendah mempunyai keluarga yang besar tetapi kenderaan yang kecil. Ini merupakan undang-undang yang membebankan rakyat dan akibatnya kerajaan akan kehilangan undi rakyat lebih lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang.

* Semua rakyat jelata yang tidak berpelajaran tinggi pun tahu yang sekiranya harga barang telah naik adalah amat susah untuknya turun kembali. Yang kita sangat pelik, kenapa kerajaan sangat marah bila harga barang tidak turun bila harga petrol turun. Tidakkah cerdik pandai di dalam jentera kerajaan memikir akibatnya sebelum melaksanakan kenaikan harga petrol? Ia hanya menunjukkan kelemahan pihak kerajaan.

* Pelaksanaan kenaikan dan penurunan harga minyak juga menunjukkan tiada ketulusan dan pihak kerajaan tidak memegang kepada janji. Mungkin kerajaan dapat menjimatkan beribu juta ringgit dengan menaikkan harga minyak pada bulan Jun dan bukan bulan Ogos seperti dijanjikan, tetapi akibatnya, kerajaan hilang kepercayaan rakyat. Begitu juga dengan penurunan harga minyak, pengumuman menteri menyatakan penurunan akan dibuat pada awal dan pertengahan bulan, tapi bila kita lihat dari tarikh pelaksanaan, ia dibuat tidak seperti dijanjikan dan pengumuman hanya dibuat pada saat akhir seperti pihak kerajaan takut rakyat tidak akan membeli petrol jika mengetahui yang harga petrol akan turun terlebih awal.

Mungkin pihak kerajaan boleh belajar daripada kerajaan Indonesia. Baru-baru ini dilaporkan di dalam media massa tempatan yang kerajaan Indonesia akan menurunkan harga minyak petrol. Apa yang menarik perhatian saya, pengumunan dibuat seminggu lebih awal. Untuk tidak merugikan semua pihak, pihak kerajaan Indonesia mengumumkan penurunan harga petrol untuk rakyatnya dilaksanakan pada hari Khamis dan untuk pengusaha stesen minyak pada hari Isnin iaitu tiga hari lebih awal.

Banyak lagi isu isu yang tidak dapat ditulis di sini yang saya rasa ramai pemimpin pemimpin UMNO dan BN tahu, cuma tepuk dada tanya selera jika ingin memenangi hati rakyat semula.

PENGUNDI ATAS PAGAR

Seri Kembangan, Selangor

1 comment:

naz ilyn said...

salam...

sentiasa berharap umno akan bangkit semula dengan kegemilangannya bagai dulu