Tuesday, January 13, 2009

Hanya 'hukuman' Tuhan selamatkan Palestin?






ARKIB UTUSAN: 12/01/2009

Hanya 'hukuman' Tuhan selamatkan Palestin?

SUDAH 16 hari rakyat Palestin dilanyak oleh rejim Zionis. Tidak ada tanda-tanda rejim itu akan berundur walaupun Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi dilaksanakan segera gencatan senjata di Genting Gaza. Begitulah apabila sifat kebinatangan menguasai manusia.

Rejim Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) tidak peka sebaliknya pekak dengan tangisan rakyat Palestin. Mereka sengaja memekakkan telinga dengan tidak mempedulikan desakan masyarakat antarabangsa supaya berundur dan menghentikan serangan. Mata mereka buta. Mereka tidak buka mata melihat paparan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Palestin terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua.

AS pula berdiam diri. Adakah AS mahu membiarkan Zionis menguji senjata mereka di laman Palestin sebelum mendapatkan senjata baru yang lebih canggih? Kenapa AS harus menunggu sehingga Barack Obama menjadi Presiden? Sikap berat sebelah AS amat jelas. AS mampu menghantar kapal perang, pesawat pejuang, kereta kebal, anggota tentera untuk menghapuskan seorang manusia bernama Saddam Hussein tetapi tidak berupaya mengambil tindakan yang sama terhadap kerakusan seorang pemimpin yang seolah-olah mahu melenyapkan rakyat dan bumi Palestin dari muka bumi ini.

Nampaknya tidak ada apa yang boleh dilakukan. Jika diselak kembali lembaran sejarah pada 1982 ternyata, Ehud Olmert sama seperti tindakan Ariel Sharon pada 1982.
Ketika itu, pada 16 September 1982 kem Sabra dan Shatila, yang menjadi khemah pelarian rakyat Palestin di Lebanon digempur oleh rejim Zionis. Ketika itu Sharon bertindak sebagai Menteri Pertahanan. Akibat tindakan ganas itu yang hanya berpunca mahu menghapuskan pejuang PLO, kira-kira 3,000 maut di khemah pelarian itu. Sharon bebas malah 'kegemilangan' itu meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah tindakan ke atas Sharon? Sharon masih hidup walaupun menerima 'hukuman' menderita strok sehingga hilang jawatan Perdana Menteri. Dan impian Sharon yang pernah berkata: ''Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan'' (New York Times 17 Mei 1982).

Itu impian Sharon sekalipun dia 'menderita'. Tetapi berakhirkah penderitaan rakyat Palestin? Apakah masih ada harapan bagi rakyat Palestin hidup di negara mereka?
Kata seorang ibu di Palestin kelmarin: ''Kami akan mati!''.

Jika rejim Yahudi sanggup membelakangkan desakan PBB, apakah lagi harapan yang ada bagi penduduk Palestin?

Masyarakat Islam dunia hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat supaya penduduk Palestin diberikan kekuatan dan dilindungi. Mereka bersama masyarakat pel bagai anutan agama yang lain juga hanya mampu mengutuk dan menganjurkan demonstrasi bantahan - membakar bendera Israel dan AS. Dan mereka juga hanya mampu menangis dan meraung mengenangkan bencana ciptaan manusia yang melanda kehidupan masyarakat Palestin.

Disebabkan tidak ada harapan lagi, ada yang mengharapkan agar peristiwa kemusnahan tentera bergajah yang mahu menghancurkan Kaabah berulang kembali. Ketika itu Allah mengirimkan sekumpulan burung yang menjatuhkan batu dari tanah yang terbakar ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah. Maknanya dalam keadaan seperti di Gaza sekarang, hanya kuasa Tuhan yang dapat menghapuskan kekejaman rejim Zionis itu. Hukuman Tuhan sahaja dapat mengajar keangkuhan rejim Zionis ini.

Namun manusia tidak boleh berputus asa. Selagi mereka masih hidup, ikhtiar dan usaha perlu dilakukan sekali pun sekalipun sekadar menadah tangan berdoa.

Dan salah satu daripada usaha yang giat dilakukan sekarang ialah memboikot produk keluaran AS dan Israel. Tetapi sejauh mana umat Islam berupaya melakukannya? Bukan mudah untuk memboikot barangan yang sudah menjadi satu keperluan atau kemestian seisi keluarga termasuk anak-anak kita. Melihat senarai produk yang dikeluarkan ternyata umat Islam tidak mampu membantu rakyat Palestin melalui kaedah itu.

Jelaslah betapa lemahnya umat Islam dunia dalam bidang ekonomi. Mereka terus bergantung kepada produk berjenama AS. Cuba selak dan belek jenama yang disenaraikan - kebanyakannya adalah satu keperluan kepada umat Islam sama ada diperlukan untuk kegunaan harian walaupun ada pilihan lain atau diperlukan juga untuk mencari rezeki serta meningkatkan ekonomi umat. Maka bagaimana hendak memboikot seratus peratus? Tepuk dada tanya selera!

Memboikot memang mudah. Utusan Malaysia pun ada pihak yang mengajak supaya diboikot dan yang memboikot juga bukannya orang lain, Melayu juga! Hasrat mereka hanya mahu menjahanamkan jenama itu dan pada masa yang sama mahu orang lain mendengar suara mereka sahaja. Tetapi akhirnya manusia tidak boleh disekat untuk mendapat maklumat melalui media.

Berbalik kepada usaha memboikot, umat Islam mulai sekarang perlu berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan jalinan perdagangan mereka. Mungkin syarikat-syarikat berjenama besar yang sudah sebati dengan jiwa umat Islam di serata dunia boleh dikuasai oleh orang Islam melalui negara-negara Arab yang kaya raya. Banyak negara Arab yang menguasai minyak tetapi emas hitam itu tidak dimanfaatkan untuk kekuatan ekonomi umat Islam. Maka sesuatu perlu dilakukan oleh negara-negara minyak ini untuk menguasai empayar perniagaan yang akan didokong sepenuhnya oleh umat Islam dan tidak lagi bergantung kepada Yahudi.

Pada masa yang sama Hamas dan Fatah perlu bersatu. Siapa yang akan menghormati mereka jika di kalangan kaum sebangsa dan seagama pun sanggup berpecah belah? Kuasa dan politik menyebabkan Hamas dan Fatah tidak mampu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka benar-benar bersatu demi Palestin. Ini satu lagi pengajaran bahawa apabila kita tidak mempunyai kekuatan yang jitu, orang luar akan mudah mempermain dan memperdayakan kita.

Bukan setakat ekonomi dan perpaduan sebaliknya bidang ketenteraan juga perlu diberi perhatian. Dunia Islam tidak mempunyai kekuatan ketenteraan. Jika ada pun, di kalangan negara Islam sendiri tidak mahu menyokong sebaliknya terpengaruh dengan dunia barat yang akan menuduh negara itu sebagai paksikan kejahatan.

Maka sampai bila umat Islam terpaksa tunduk kepada jenama AS, tentera AS dan telunjuk AS? Jika ini berterusan, maka tidak ada pilihan lain selain kita mengucapkan selamat jalan kepada anak-anak Palestin.

Hanya Tuhan mampu menyelamatkan mereka.

No comments: