Saturday, January 24, 2009

Pengajaran; Anak Memungkiri Janji

myMetro » Mahkamah 22012009

‘Gaji saya tidak cukup’

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam diberitahu seorang pensyarah sebuah universiti dan suaminya yang sebelum ini bersetuju memenuhi beberapa tuntutan termasuk menyara nafkah sepanjang hayat ibu bapanya, pendapatannya tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan mereka.

Raja Suzana Kassim, 39, berkata pendapatan bulanannya berjumlah RM4,400 tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan menyebabkan kekurangan itu terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43.

Selain itu, dia turut memaklumkan mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank termasuk pinjaman peribadi dan peruntukan gaji yang dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak-anaknya.

Menurutnya, dia memiliki tiga kereta, namun hanya sebuah masih belum selesai bayaran ansuran dengan bank.


Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isteri, Fatimah Salleh, 64, di mahkamah berkenaan pada April 2007 kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim yang juga plaintif pertama dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini, sekitar Ogos 1971.

Plaintif pertama dan kedua (Fatimah) mendakwa mereka mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak termasuk defendan pertama.

Mereka turut memaklumkan defendan pertama dan kedua mendirikan rumah tangga pada 1993.

Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif.

Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan defendan begitu mengecewakan sebelum mereka diusir keluar oleh defendan pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.

Dalam pernyataan itu turut menyebut keadaan itu menunjukkan defendan gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal, abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab member nafkah kepada plaintif iaitu nafkah furu’.

Plaintif menuntut defendan memberi nafkah sepanjang hayat dan dibenarkan tinggal di rumah di Kampung Jiboi Baru seumur hidup selain diberi kebebasan bergerak secara munasabah serta melakukan aktiviti masing-masing dalam rumah itu serta persekitaran.

Malah, plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang munasabah selama hayat mereka, defendan menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya pada tahun lalu terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan mereka mendiami rumah berkenaan yang sudah dijual kepada orang lain tetapi disewa semula Raja Suzana.

Hakim Syarie Mohd Nadzri Abg Rahman menetapkan 24 Februari ini untuk membuat taksiran sama terhadap suami defendan.

emel Emel Artikel cetak Cetak Artikel

(zmsegamat; masih ada lagi "orang-orang" macam ni)

No comments: