Sunday, January 4, 2009
UMNO: Bersama Datuk Seri Dr Rais Yatim
Soal Jawab: Gandingan generasi lama, baru perkukuh kesinambungan parti
(sumber; berita minggu 04012009)
BAHANG pemilihan Umno semakin dirasai. Selain jawatan Timbalan Presiden, pertandingan peringkat Naib Presiden dianggap sengit kerana menyaksikan sembilan pemimpin menawarkan diri. Setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang bukan saja dianggap kanan dalam parti dan kerajaan, malah berpengalaman bertanding jawatan ini memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Rohaniza Idris menemubual Datuk Seri Dr Rais Yatim, manakala Ziauddin Sharuddin bersama Datuk Seri Syed Hamid Albar.
PENCALONAN ini bukan yang pertama mengapa Datuk Seri terus menawarkan diri.
Ini percubaan keempat untuk jawatan Naib Presiden. Percubaan pertama pada 1981, ketika ini saya kalah lima undi saja. Antara yang bertanding ketika itu, bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris; Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithauddeen dan bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
Kali kedua, saya dicalonkan pada pemilihan 1987, ketika itu gandingannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan lain-lain. Kali ketiga pada 2000 dan kali ini adalah percubaan keempat.
Saya sebagai pejuang mempunyai jiwa untuk terus berjuang dan mahu melihat Umno meningkat dan cemerlang membawa perjuangannya. Oleh kerana saya agak lama dalam parti, saya ingin melihat gandingan nilai dalam yang ada pada pembawa obor perjuangan Umno dengan pemimpin sekarang.
Obor perjuangan dan nilai yang dibawa pemimpin terdahulu dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dibawa untuk jawatan Naib Presiden bagi membentuk dasar parti.
Saya tahu usia sudah lanjut berbanding rakan lain yang turut dicalonkan, namun kekentalan perasaan dan pandangan saya masih jelas. Justeru, gabungan lama dan baru mesti direalisasikan menerusi kesinambungan Umno itu sendiri. Namun, saya akui melalui sedikit kesukaran kerana sebagai Menteri Luar agak terbatas bertemu dengan Umno bahagian.
Saya hanya gunakan hubungan peribadi dengan bersua rakan-rakan dan sama sekali tidak mahu melanggar garis panduan etika yang dikuatkuasakan Umno.
Kali ini ada dua wakil dari Negeri Sembilan termasuk Datuk Seri. Adakah faktor negeri turut memainkan peranan penting meraih sokongan atau kemungkinan berlaku pecah undi.
Saya tidak fikir faktor itu penting kerana mengikut sejarah Umno, keterampilan calon daripada sesebuah negeri itu bukannya faktor utama walaupun ia masih dipertimbangkan perwakilan.
Contohnya, suatu masa dulu di Pulau Pinang dilahirkan tokoh seperti Pak Lah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala di Johor ada ramai pemimpin, begitu juga Perak dan Kedah. Namun, terlalu ramai calon di sesebuah negeri berkemungkinan perwakilan akan berfikir mengenai kewajarannya.
Jika dua calon dari sebuah negeri maka ia lebih kepada pertandingan yang sihat. Kalau hendak ikutkan faktor negeri dari Johor kini sudah ada tujuh calon bertanding.
Pada saya, pencalonan untuk jawatan Naib Presiden semakin menarik kerana sudah ada sembilan pencalonan termasuk satu lagi calon yang layak minggu lalu. Ini juga bermakna saingannya lebih hebat. Lebih ramai bertanding lebih baik kerana ini memberi peluang kepada perwakilan membuat penilaian sendiri. Cuma saya harap penilaian tidak dibuat berdasarkan wang.
Mengenai politik wang, ada ahli dan masyarakat bertanggapan calon yang menang menggunakan wang? Tidakkah ia tidak adil kepada mereka yang menang.
Soalnya sekarang hendak pilih pemimpin atau duit. Umno sekarang berada di persimpangan jalan. Setiap perwakilan dan ahli Umno perlu menjawab soalan mengenai arah tuju Umno. Umno mahu dibawa ke mana? Adakah Umno betul mahu memainkan peranan sebagai penyelamat orang Melayu, agama dan negara atau sekadar berfoya-foya dengan kemewahan wang yang tidak kekal lama.
Umno sekarang sedang diduga oleh parti politik lain. Umno sering dilaporkan terbabit dengan rasuah dan ini sangat memalukan.
Sebab itu, saya masuk arena (bertanding jawatan Naib Presiden), untuk cuba menyerlahkan mesej politik tanpa wang, politik tanpa membeli undi. Ini perlu diterima Umno. Jika saya tidak menang dalam pertandingan kali ini, yakinlah saya bahawa orang yang tidak main politik wang, tidak ada peranan dalam Umno pada masa depan. Itulah rumusan saya. Saya agak lama dalam parti yang melihat perkembangan Umno ini.
Apa pendapat Datuk Seri mengenai calon yang mempunyai sejarah peribadi atau rekod buruk yang turut bertanding dan Datuk Seri sendiri dikenali sebagai calon 'Mr Clean'.
Ini sukar dijawab. Bagi rakan yang mempunyai rekod yang samar dan negatif termasuk terbabit rasuah atau politik wang, penilaian sepatutnya dinilai anggota dan perwakilan Umno sendiri. Calon tidak perlu mempertikai atau memperkecilkan calon dalam kategori sama. Namun, perlu saya sebutkan peribadi, personaliti, sejarah perjuangan seseorang itu perlu bersih dari luar dan dalam.
Ini penting untuk menguatkan penjiwaan Umno. Setiap yang bertanding perlu melihat perjuangan itu sebagai obor dan penarikan yang sebenar, bukannya pangkat atau wang dan elemen lain.
Mereka yang mempunyai rekod samar sebelum ini, perlu mengetahui kedudukan masing-masing dan perwakilan perlu menilainya.
Berdasarkan senarai calon jawatan Naib Presiden, dilihat mereka yang ada rekod negatif termasuk kes politik wang dicalonkan. Apa pandangan Datuk Seri mengenai perkara ini dan apakah ciri yang perlu ada pada seorang Naib Presiden.
Ini bermakna rekod seseorang itu bagi pemilihan pencalonan tidak diambil berat perwakilan bahagian. Ini merunsingkan perjuangan kita pada masa depan.
Kriteria dan syarat kepemimpinan belum jelas kepada perwakilan. Maka, asuhan perlu dilakukan terus menerus supaya Umno tidak digambarkan mempunyai pemimpin yang rasuah atau mempunyai rekod samar.
Ciri untuk jawatan Naib Presiden dan pemimpin Majlis Tertinggi (MT) sepatutnya bersih daripada rasuah, rekod samar, salah guna kuasa dan tidak dijangkiti prasangka latar belakang, perlakuan dan penyampaiannya.
Ini boleh kita lihat daripada rekod pemimpin terdahulu seperti Presiden Umno yang lalu. Mereka bukan saja mempunyai rekod bersih, luhur, tiada rekod rasuah, tidak mempunyai rekod samar atau latar belakang tercemar.
Kebolehan mereka berfikir, bertindak, berani untuk negara dan bangsa serta boleh menjadikan parti unggul adalah ciri pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik juga tahu isu berkaitan kepentingan orang Melayu, kepentingan kenegaraan dan agama serta ia mengatasi kepentingan peribadi. Pemimpin Umno juga perlu berani perjuangkan semua itu menerusi pendapat dan perbuatan.
Bagi menjawab soalan kenapa bertanding lagi? Saya percaya kepada lumrah perjuangan untuk menyumbang kepada Umno dengan gabungan era lama dan baru. Percantuman dua era ini perlu supaya Umno ada kesinambungan perjuangannya, terutama untuk merealisasikan Fasal 3, Perlembagaan Umno.
Jika ditakdirkan menang, apakah keutamaan yang Datuk Seri lakukan sebagai Naib Presiden parti.
Seperti dikatakan tadi, saya mahu merealisasikan Fasal 3, Perlembagaan Umno. Saya mahu melihat setiap rangkai dan klausa Fasal 3 direalisasikan menjadi kenyataan.
Pertama, meluhurkan Undang-Undang Negeri dan Persekutuan khususnya Perlembagaan Persekutuan. Kedua, mewujudkan sistem hormat kepada Raja dan budaya Melayu. Ketiga, utamakan ekonomi orang Melayu ke tahap 60 peratus sekurang-kurangnya bukannya 30 peratus lagi kerana orang Melayu sudah melebihi 60 peratus di negara ini. Jadi, kita perlu ada perjuangan perolehan ekonomi sama ada korporat dan kepentingan lain 60 peratus. Ini sejajar dengan tuntutan Perlembagaan Umno.
Keempat, kedudukan sosioekonomi di Malaysia berada pada tahap memberi faedah terus kepada rakyat tanpa banyak kerenah birokrasi. Kelima, saya mahu pastikan bahasa Melayu dan budaya Melayu seperti tertera dalam Fasal 3.5 dijadikan pegangan kuat kepada Umno. Keenam, Umno juga mengepalai konsep parti menguasai kerajaan bukannya kerajaan menguasai parti.
Akhir sekali, saya mahu hubungan kaum di negara ini berjalan setiap masa bukan hanya pada pilihan raya. Inilah keutamaan menyebabkan saya menawarkan diri sebagai Naib Presiden.
Bagaimana peluang Datuk Seri berdasarkan sokongan dan jumlah pencalonan serta pertambahan satu lagi calon, baru-baru ini menjadi sembilan yang bakal bertanding.
Dari segi pencalonan saya adalah antara yang tercorot. Jadi, sebelum jawatan ini menjadi kenyataan, saya tidak fikir perwakilan tidak mahu berfikir ketika mengundi. Ketika mengundi, kebanyakan perwakilan akan menggunakan rasa hati mereka, bukannya apa yang diberi atau disogokkan.
Realitinya, Umno sekarang sudah nazak dari segi perjuangan dan cabaran oleh pelbagai pihak. Jika, mereka tidak mengingatkan diri seperti 'ayam dalam raga' maka akan amat mendukacitakan bagi Umno.
Saya yakin jika pemikiran positif kepada calon, saya mempunyai peluang yang menggalakkan, sama ada dari segi pengalaman, pencapaian atau rekod. Saya kira tidak begitu ketinggalan berbanding rakan lain yang dicalonkan.
Faktanya bahawa lebih 34 tahun, saya masih berada dalam sistem kerajaan dan parti. Ini jelas membuktikan pemimpin yang kini dan lampau terus diberi kepercayaan.
Benarkah sekarang sudah ada calon sesama calon membentuk 'team' untuk memastikan kemenangan.
Saya kira semua itu ada kemungkinan, tetapi kita kena lihat kepada kepemimpinan dari segi rekod, kewibawaan, ketulusan dan sumbangannya. Jika seseorang itu dikaitkan dengan pemimpin tertinggi parti, dalam politik itu perkara biasa. Misalnya, seorang menteri sering dikaitkan dengan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.
Apa yang mudarat bagi Umno, kelompok yang memberi keruntuhan kepada parti atau kelompok yang mempunyai selera 'tajam' yang melumpuhkan Umno. Kalau setakat mengaitkan pemimpin dengan mana-mana pemimpin lain, itu tidak mudarat bagi mana-mana pihak.
Saya sendiri tiada gandingan dengan mana-mana pemimpin. Ini semua diketahui Pak Lah dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak. Saya tidak mirip kepada mana-mana 'team' yang kononnya wujud ketika ini. Saya harap ahli Umno berfikiran tajam untuk menilai bagi menentukan kepemimpinan parti.
Tidakkah pertandingan sengit dengan ramai dicalonkan akan menjejaskan kekuatan parti.
Kekuatan Umno bukannya bergantung kepada 3.3 juta ahli saja. Kekuatannya berada pada hakikat bahawa pemimpin yang dilahirkan sanggup memikul tanggungjawab. Jadi tidak sepatutnya ada halangan untuk mana-mana pihak bertanding.
Lantaran itu, saya yakin lebih cepat kita buang sekatan seperti kuota, lagi baik untuk Umno. Namun, menggantikannya sistem pemilihan Umno perlu dibuat hingga ke peringkat akar umbi. Kuasa mengundi tidak hanya kepada 2,500 perwakilan tetapi lebih ramai yang memilih.
Ini akan memberi kekuatan kepada Umno pada masa depan. Insya-Allah kalau saya berjaya, mesej ini akan dibawa supaya perubahan dalam Umno berlaku ke arah jalan lebih demokratik dan adil.
Satu lagi, kita kena buang amalan pada perhimpunan agung yang mana hanya orang tertentu dapat berucap untuk satu-satu topik saja. Sepatutnya, perhimpunan agung memberi peluang kepada wakil bahagian bercakap untuk melahirkan isi hati akar umbi bukan lagi wakil yang ditunjuk Menteri Besar atau Badan Perhubungan Negeri.
Diakui mungkin menyukarkan pentadbiran tetapi jika ada segmen khas untuk wakil bahagian berucap, maka pandangan ikhlas suara ahli dapat didengar.
Timbul kebimbangan pemimpin Umno terlalu ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang.
Ini memang benar dan saya berasa hal ini berlaku. Itu sebab saya ingatkan diri sendiri, tugas sebagai Menteri Luar perlu diutamakan.
Sebab itu, saya memang dilihat tidak berkempen walaupun ada berhubung dengan rakan di bawah. Saya tidak gunakan peluang untuk berkempen tambahan pula pendekatan yang ada perlu dihormati.
Mengikut buku 'merah' Etika Umno, memang kita tidak boleh berkempen ke bawah, pergi ke bahagian, jauh sekali menjamu orang, membuat janji dan memberi duit. Sepatutnya perwakilan menilai berdasarkan perjuangan, cara kita bekerja melaksanakan tugas rasmi dan parti. Malangnya, semua ini tidak berlaku sebegitu.
Saya lihat ramai yang macam 'lipas kudung' ke hulu ke hilir utara dan selatan berkempen, tapi saya tidak menyertai golongan ini kerana menghormati apa yang Umno putuskan.
Dalam sistem demokrasi, perlu ada peluang untuk memperkenalkan diri apabila mahu bertanding tetapi di dalam Umno, ini semua tiada. Ini menjadi masalah kepada calon. Perkara ini sudah disuarakan dalam MT, perlu ada majlis memperkenalkan diri yang diaturkan Badan Perhubungan Umno Negeri atau Umno Malaysia.
Jika ini tidak dapat dilakukan, Umno nampak sebagai parti mengharamkan kempen sedangkan pada pilihan raya umum kempen boleh diadakan dengan poster dan pelbagai cara lain, meraih undi.
Sebab itu, perlu ada cara berkempen sihat yang diawasi Ibu Pejabat Umno. Sebagai orang lama walaupun sudah dikenali, saya perlu menyuarakan visi, untuk meraih sokongan. Inilah kelemahan yang perlu diatasi Umno ketika ini.
Cetak artikel | Hantar pada kawan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment