Tuesday, December 18, 2012

Fahaman berbeza, hubungan tetap baik



Kolumnis: RAHMAN SHAARI 
1.0 Antara masalah komunikasi dalam kalangan anggota masyarakat moden ialah perbezaan parti politik. Si Mahmud ialah penyokong kuat parti X, dan Si Morad pula penyokong kuat parti Y. Jika mereka tidak bertemu, tidak mengapa. Apabila bertemu, masing-masing berhujah, bahawa parti masing-masing  baik dan betul.
2.0 Dalam keadaan begini, Brian Tracy bertanya, adakah anda mahu yang betul atau yang membahagiakan? Pertanyaan itu dimuatkan dalam bukunya No Excuses. Brian Tracy menyatakan pengalamannya yang elok benar dicontohi. Katanya, ketika dia bersua dengan kawan-kawan baiknya yang berbeza fahaman politik, hal yang berkaitan parti tidak dicakapkan. Banyak sekali perkara lain yang dapat dipilih untuk diperbualkan.

3.0 Brian Tracy menyatakan satu perkara yang amat mudah. Dia berpesan agar janganlah hanya kerana parti politik anggota masyarakat bercakaran. Dia  bukannya orang Malaysia, jadi dia tidak tahu bahawa di Malaysia ada masalah hubungan antara sejumlah orang Umno, Pas dan PKR yang tidak dapat duduk elok-elok dan berbual-bual molek-molek.

4.0 Sebahagian orang  MIC, DAP dan MCA pun tidak selesa untuk minum kopi bersama-sama. Mereka terlupa bahawa politik sebenarnya mainan orang atasan yang mahu terus di atas, dan sejumlah yang ‘kurang atas’ mahu naik lebih atas. Orang kuat pembangkang mahu jadi kerajaan. Rakyat biasa akan kekal di tahap lama.

5.0 Sesiapa yang mengambil masa sejam dua merenungi politik, akan disedarinya bahawa politik memang berkaitan dengan orang atasan. Jika seseorang yang aktif itu orang bawahan, cita-citanya ialah untuk jadi orang atasan juga, atau bergantung kepada orang atasan.

6.0 Orang-orang yang sedang memulakan aktiviti politik akan mencari jalan agar dikenali orang atasan. Jika dia merasakan dirinya lemah dia akan menolong calon wakil rakyat, selaku  calon orang atasan.

7.0 Renungilah. Jika ada program Umno, peserta yang datang akan bersalaman dengan pemimpin Umno yang mengetuai program itu. Akan dicakapkan apa-apa, misalnya dirinya ketua cawangan. Demikian juga jika PKR melaksanakan program.
8.0 Akan ada sejumlah penyokong yang berdiri tercegat di tempat akan dilalui pemimpin atasan PKR, yang dijangka menjadi pemimpin negara. Diperkenalkan diri, misalnya dia ialah pemimpin cabang. Pemimpin besar tersengih, dalam hati muncul fikiran, “Kamu tolong aku ni ikhlas ke hipokrit? Jika hipokrit pun tak apa, belum tentu aku akan tolong kamu.”

9.0 Dalam hal seperti di atas, kegiatan politik boleh berjalan terus. Masalah yang hendak ditekankan dalam konteks ini ialah ahli-ahli yang berlainan parti menyangka masing-masing di pihak benar. Siapakah benar antara parti-parti yang akan berlawan? Ini ialah soalan retorika Gerald Jampolsky: “Do you want to be right, or do you want to be happy?”

10.0 Jika kita memilih untuk bahagia, janganlah kita terlalu merasakan kita di pihak yang benar. Ini berkaitan politik jenis biasa, seperti DAP, MCA, MIC, Umno, Pas dan PKR. Mungkin pada satu masa akan muncul parti politik yang hanya menyokong kebenaran, tidak memikirkan jawatan. Pada masa itu, bolehlah kita berkata, “I want to be right.”

11.0 Sebelum muncul parti politik yang pemimpinnya ikhlas (iaitu  betul-betul mahu menjadi nelayan atau khadam), kita kenalah menghargai  persahabatan tanpa menyinggung pegangan politik kepartian. Dunia moden tidak begitu mengizinkan kemunculan pemimpin yang mengetepikan kebendaan.

12.0 Dalam dunia moden, ilmu selalu digunakan untuk menaikkan keluarga dan kawan-kawan. Oleh itu, pemahaman terhadap hakikat persekelilingan hendaklah dipertajam. Persahabatan dan persaudaraan perlu kekal, biarpun parti berlainan. Setiap orang yang menyertai atau menyokong satu-satu parti politik sewajibnya sedar, di sekitar kegiatan politik ialah hasutan-hasutan.

13.0 Para penyokong politik rata-ratanya ialah mangsa hasutan. Saya menyedari hal ini kerana membaca tulisan Hishamuddin Rais. Ketika kita memarahi pihak yang menghasut, kita juga sedang menghasut. Jika kita menolak satu hasutan, kita sebenarnya menerima hasutan lain. Itu berterusan.

14.0 Dalam menghadapi suasana seperti di atas, fikiran dan perasaan hendaklah berada di dalam kotak-kotak yang wajar. Perasaan teman-teman tidak usah disinggung.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/fahaman-berbeza-hubungan-tetap-baik-1.113458)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Rendahnya Martabat Melayu Dalam DAP: Kesemua calon Melayu DAP gagal






16 Disember 2012
GEORGETOWN - Kesemua lapan pemimpin DAP Melayu yang bertanding bagi merebut jawatan anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) disingkir apabila kalah dengan keputusan teruk pada Kongres Kebangsaan ke-16 DAP yang berlangsung semalam.

Keputusan tersebut sekaligus membuktikan parti dominasi kaum Cina itu tidak memberi laluan kepada mana-mana calon Melayu termasuklah Zairil Khir Johari, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Zairil cuma memperoleh 305 undi manakala Lim meraih 1,576 undi.

Sejumlah 1,823 perwakilan mengundi bagi memilih 20 orang barisan kepimpinan DAP bagi tempoh 2012-2015.

Calon lain yang disingkir ialah Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor (216 undi),  Senator Ariffin S.M Omar (748), Naib Pengerusi DAP Johor,Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98), Roseli Abdul Ghani (39) dan Harun Ahmad (28).

Zulkifli ketika ditemui berkata mesej yang diperjuangkannya selama 25 tahun untuk menempatkan kaum Melayu dalam CEC parti itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.

"Apabila kita katakan Malaysian Malaysia itu, maknanya kita mesti mewakili semua agama, semua bangsa, semua kaum... seimbang. Mesej yang saya sampaikan selama ini belum sampai ke akar umbi. Mereka masih lagi mengundi, memilih pemimpin berpandu kepada bangsa," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pemilihan itu juga tidak berlandas kepada kebolehan dan pengalaman calon dalam memperjuangkan parti.

"Belum ada perubahan di situ. Keputusan hari ini tak de seorang pun calon Melayu... Mungkin pemimpin atasan yang bertanding mesti nak jaga kepentingan masing-masing, bukan kepentingan parti," katanya.
Sementara itu, Lim Kit Siang melahirkan kekecewaan kerana tidak ada wakil kaum Melayu yang dipilih meskipun lapon calon bertanding bagi merebut tempat dalam CEC.
"Saya kecewa dengan keputusan ini, Zairil Khir Johari dan Ariffin S.M. Omar tidak dipilih. Ini bukan kerana DAP anti-Melayu tetapi 20 kerusi dalam CEC
amat kecil," katanya kepada pemberita selepas keputusan diumumkan.
Kit Siang turut berterima kasih kepada perwakilan atas keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap anggota CEC yang baharu dilantik yang akan menjadi pendorong kepada perjuangan parti itu untuk merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Karpal Singh pula berkata, keputusan itu menunjukkan generasi baru DAP masih mahukan pemimpin veteran seperti beliau dan Lim untuk bersama mereka yang lebih muda meneruskan perjuangan parti.
"Perwakilan sudah bersuara dan keputusannya adalah gabungan kebolehan yang bagus dalam CEC," katanya.
Karpal turut terkejut apabila Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Setiausaha Agung parti itu Profesor P. Ramasamy gagal meraih sokongan daripada perwakilan.
Guan Eng berkata, keputusan mengetepikan calon Melayu untuk menganggotai CEC akan dibincang dalam mesyuarat CEC hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan perwakilan itu perlu dihormati dan berharap calon yang gagal terus berjuang bersama parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/politik/pemilihan-kesemua-calon-melayu-dap-gagal-1.112883)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Thursday, December 13, 2012

Terdesakkah UMNO menang PRU-13?



Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Takiyuddin Hassan (empat dari kiri, duduk) bertemu wakil Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan dan wakil Dewan Perniagaan Cina Kelantan berkenaan dengan kontroversi kedai gunting rambut yang disaman oleh MPKB di Kompleks Kota Darul Naim, baru-baru ini.

AKHBAR Harakah minggu ini memberi gambaran UMNO semakin terdesak menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Terdesak bermakna UMNO semakin kucar-kacir, cemas dan sedang mencari tempat berpaut. Dasar UMNO memperjuangkan agama, bangsa dan negara tetap tidak berubah.

Dasar Pas ke arah negara Islam dan hudud sudah berubahBuku Jingga menyatakan Pas terpaksa berubah kepada Negara Berkebajikan yang bercanggah dengan perlembagaannya. Siapa yang sebenarnya terdesak untuk dapat kuasa sehingga sanggup mengubah hala tuju perjuangan.

Barisan Nasional (BN) terbina atas muafakat UMNO adalah teraju utama. Dasar pembangunan negara dirasakan oleh semua bangsa. Bangsa lain rasa selesa dengan dasar yang ada walaupun pembaikan perlu. BN tidak rasa terdesak untuk menukar pendekatan.

Pakatan pembangkang dari segi ideologi - jaraknya antara bumi dengan langit. Fahaman sosialis demokratik DAP mungkin tidak sama dengan faham liberal dan pluralis PKR. Dan dasar Pas amat bercanggah dengan kedua-duanya. Kalau menang nak bina dasar apa untuk memerintah. Ini yang menyebabkan masing-masing terdesak untuk pertahankan Pakatan walaupun isu prinsip dikorbankan.

Kerajaan Pas di Kedah nak laksana iklan yang lebih beretika. DAP bantah. Kerajaan Kelantan nak laksana dasar salon yang lebih Islamik. DAP bantah. Baru papan iklan dan salon tidak ada kesepakatan. Kalau begitu nak bina dasar negara yang jauh lebih besar bagaimana.

Ini yang menyebabkan Pas terus terdesak dan didesak. Kalau perkara kecil jadi isu, negara Islam dan pelaksanaan hudud, bagaimana? Kasihan Pas makin terdesak. Anwar Ibrahim masih boleh tersengih kerana Nik Abdul Aziz Nik Mat masih percaya kepadanya walaupun akar umbi sudah mula tak percaya.

Perhimpunan Agung UMNO penuh dengan doa-doa ke arah kesatuan umat Melayu. Sembahyang hajat khas ke arah keselamatan Palestin yang sedang menghadapi bencana Israel diadakan. Di tengah-tengah umat Israel menerima bencana, solat hajat Pas mendoakan kehancuran UMNO. Siapa yang sebenarnya terdesak. UMNO tetap tenang dan berjiwa besar. Pas bagaimana?

UMNO tidak menggunakan label-label hodoh terhadap Pas. Tapi Pas baik dari mulut Nik Aziz mahupun dari Hadi Awang tidak pernah kering dengan istilah kafir, firaun, taghut, zalim, tolak Islam, asabiyah dan banyak lagi.

Mengapa Pas tidak gunakan hujah yang syarie untuk berdepan dengan UMNO. Gunakan ilmu dan rasional bila berhujah. Jangan berlagak macam anak kecil bergaduh bila hilang hujah lawan pijak daun. Pijak daun ini bermakna pijak kepala bapanya.

Firaun tidak percaya kepada Tuhan dan berkata "Akulah Tuhan!" Orang UMNO tak pernah kata begitu. Pas selalu mengkafirkan UMNO. Dalam al-Quran tidak ada ayat mengkafirkan sesama Islam. Yang ada ialah syarah mengenai batas iman dan kufur. Hadis Nabi ada menyebut, "Jangan mengkafirkan orang, bimbang kekafiran itu akan kembali kepada diri ".

Zalim juga digunakan sesuka hati. Zalim bermakna tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Anak-anak Pas yang cerdik dihantar ke dalam dan keluar negara untuk belajar. Zalim ke namanya. Anak-anak Pas yang lulus ijazah agama baik ahli PEMERAM yang anti UMNO di Mesir mahupun anggota Pas dari universiti tempatan menjadi guru J-QAF di Kementerian Pelajaran. Zalimkah kerajaan terhadap mereka ini?

Menggunakan istilah-istilah hodoh, buruk dan bercanggah dengan syarak ini adalah bahasa orang terdesak. Kalau menggunakan istilah, label, sindiran yang bukan pada tempatnya bermakna zalim. Kalau begitu siapa sebenarnya zalim.

Cukuplah dengan gelagat hodoh sekian lama. Golongan tegar mungkin taksub dengannya. Tapi golongan yang berfikir, ada rasional pada dirinya, golongan simpatisan atau atas pagar belum tentu selesa dengan apa yang Pas lakukan. Tapi golongan taksub berapa peratus daripada pengundi. Mana tidak terdesak, sikap Pas itu memakan diri.

Pas harus berjiwa besar. Islam yang cuba didukung mendidik penganut bersikap terbuka. Yang baik dari orang lain katakan baik. Yang buruk dari diri sendiri katakan buruk. Ini adalah ajaran Islam. Muhasabahlah!
Jangan menjadikan nafsul amarah sebagai neraca dan pertimbangan. Jangan jadikan dendam kesumat sebagai falsafah perjuangan. Pas parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Perjuangkan Islam bermakna dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah merintis kepada kasih sayang dan bijaksana. Pekerti teladan dan hujah yang terbaik adalah syarat dakwah. Penting Pas kembali kepada dustur (etika dakwah) dan cita-cita Islam sebenar.

Pas adalah parti politik. Islam tetap Islam. Kembalilah kepada Islam yang sebenarnya. Jangan terdesak kerana kuasa perjuangan Negara Islam ditinggalkan. Salah orang lain tak perjuangkan Islam dan hudud tapi bila digertak DAP kecut perut. Kasihan Pas. Inilah gambaran orang terdesak namanya.

(terima kasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121213/re_03/Terdesakkah-UMNO-menang-PRU-13)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121213/re_03/Terdesakkah-UMNO-menang-PRU-13#ixzz2EwiQFo00 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

ATM tegur cara pemakaian Farid Kamil di hari persandingan





















12 Dis – Aktor popular Farid Kamil bakal diberi surat teguran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila dia memakai uniform pasukan keselamatan tanpa kebenaran serta pakaian yang dipakainya pula cacamarba pada majlis resepsi perkahwinannya dengan Diana Danielle.
Dipetik dari sebuah portal hiburan tempatan, menurut Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk tujuan tersebut kerana selama ini mana-mana penerbit yang ingin menggunakan pakaian tentera bagi watak-watak tertentu dalam filem atau drama akan mendapat nasihat cara pakaian sebenar sebagai seorang anggota tentera.

"Kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada Farid berhubung perkara itu tetapi langkahnya mencampur-adukkan pangkat dan pakaian pasukan beruniform di negara ini adalah tidak wajar."
Oleh yang demikian, pihaknya akan menghantar surat teguran kepada aktor tersebut supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut namun tiada tindakan undang-undang dapat dikenakan disebabkan pakaian yang disarungkan itu tidak melambangkan mana-mana pasukan keselamatan di negara ini.
"Seluar dan topi yang dipakai Farid adalah pakaian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lencana pada bahunya adalah pangkat mejar jeneral Tentera Darat. Lencana penerbangan di bahu kanan pula melambangkan seseorang itu adalah anggota Tentera Udara," katanya lagi.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan bahawa Farid mungkin bakal berdepan tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsinya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini.

Thursday, December 6, 2012

Sokong walau siapa calon BN



Dr. Mahathir Mohamad menerima sumbangan untuk Tabung Kecemasan Gaza daripada wakil Koperasi Felda Chemomoi pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul, Bentong, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali

BENTONG 5 Dis. - Semua ahli UMNO diminta bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang walaupun yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain itu, untuk mendapatkan kemenangan dua pertiga, seluruh ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.
"Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita undi sajalah.
"Yang hendak dan perlu menang ialah parti, bukan orang. Kalau Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang saja pun tak guna juga sebab kita masih tidak dapat membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Majlis Bicara Tokoh di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) menerima cek RM3,000 sumbangan Koperasi Felda Kemasul (RM2,000) dan Koperasi Felda Chemomoi (RM1,000) untuk Tabung Kecemasan Gaza.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir Sabtu lalu dilihat memberikan semangat baharu kepada ahli parti.

"Apa yang saya harapkan semangat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya kita menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ditanya seorang peserta dalam sesi soal jawab tersebut mengapa sehingga kini Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata, Najib kini sedang berusaha memulihkan UMNO.
"Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008 ada orang yang tidak berpuas hati dengan kita dan undi parti lawan," katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu terus mendampingi rakyat terutama orang Melayu agar BN kembali mendapat sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

"Orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, tetapi kita telah berpecah kepada UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan kita menjadi minoriti.

"Jadi kita harap orang lain untuk menang kerana kalau semua ahli undi calon UMNO yang dipilih tetap tak boleh menang dan sebab itu perlu sokongan daripada bukan UMNO (komponen BN)," katanya.


(terimakasih sumber)Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121206/po_01/Sokong-walau-siapa-calon-BN#ixzz2EFUNm9W7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lokasi ibarat 'perangkap maut'



Kereta yang dipandu oleh Hamdan Mohd. Ali terbabas selepas dilanggar oleh sebuah treler yang dipandu ke arah utara di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran RTC Gopeng, di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 5 Dis. - Kombinasi jalan berbukit, gelap terutamanya pada waktu malam dan hujan menjadikan laluan dari Kilometer 293 hingga Kilometer 310 Lebuh Raya Utara-Selatan yang merekodkan 19 kemalangan maut dengan 22 kematian tahun ini antara kawasan paling berbahaya di negara ini.
Malah, Kilometer 304.6 iaitu lokasi yang mengorbankan seorang pemandu bas ekspres semalam merupakan antara lokasi paling kerap berlaku kemalangan sepanjang tahun ini iaitu sebanyak tiga kes.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, keadaan laluan berbukit terutamanya berdekatan Gua Tempurung mendorong pemandu kenderaan untuk memandu laju bagi mendapat kuasa pecutan semasa mendaki namun begitu kenderaan akan bergerak lebih laju semasa menuruni bukit.
...


terimakasih sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121206/dn_14/Lokasi-ibarat-perangkap-maut#ixzz2EFTDBvNj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, December 4, 2012

Jangan sekadar ‘menang sorak dan emosi’ di Dewan Merdeka


ARKIB UTUSAN : 03/12/2012

1.0 SELAMA lima hari ‘mata dan telinga’ tertumpu ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kini perhatian beralih pula ke setiap pelusuk bahagian dan kawasan pilihan raya di seluruh negara. Adakah jentera UMNO akan bergerak seperti yang diharapkan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu?

2.0  Sepanjang minggu lalu, orang politik dan masyarakat seluruhnya sudah melihat dan mendengar apa yang berlaku semasa perhimpunan itu sama ada melalui media cetak, media elektronik atau media baru. Perhimpunan kali ini nampak lebih tersusun dan lebih fokus kepada memanaskan suasana pilihan raya umum (PRU). Ia berakhir dengan penuh emosi, menyuntik semangat baru untuk menyatakan kesetiaan kepada parti bagi meneruskan perjuangan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

3.0 Tidak banyak ‘bola tanggung’ yang dilontarkan melalui perbahasan untuk diambil kesempatan oleh musuh-musuh politik yang sentiasa mencari ruang dan bahan untuk disensasikan dengan mengaitkannya sebagai isu yang sensitif, rasis, ekstremis dan macam-macam lagi.

4.0 Perhimpunan ini juga sedikit sebanyak telah mendedahkan wajah sebenar Pas, begitu juga dengan DAP dan PKR. Masih banyak kepincangan Pas, DAP dan PKR perlu didedahkan untuk dijadikan senjata menghadapi penyokong-penyokong tegar pakatan itu.

5.0 Walaupun perbahasan kali ini ‘ selamat’ tetapi akan ada dua tiga perkara yang cuba diputar sebaik mungkin oleh musuh-musuh politik untuk dijadikan isu. Biar apa pun yang cuba disensasikan, sekarang adalah masa untuk anggota UMNO menunaikan ikrar dan janji yang telah dibuat sepanjang perhimpunan itu. Inilah tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebaik sahaja perwakilan UMNO dari Perlis hingga ke Sabah meninggalkan Dewan Merdeka, dewan keramat UMNO yang telah menyaksikan kejayaan dan kekecewaan parti yang sudah menjangkau usia 66 tahun itu. Semangat yang dicetuskan tidak boleh dibiarkan luntur atau padam sebaik sahaja Kuala Lumpur yang dikuasai pakatan pembangkang ditinggalkan.

6.0 Tugas perwakilan yang dipilih untuk duduk di dalam dewan itu bukan sekadar untuk bercakap, mendengar amanat, bertepuk tangan atau menitiskan air mata terharu mendengar hujah perwakilan. Tugas mereka yang lebih besar adalah menghayati segala pesanan yang dibuat oleh pemimpin dan terjemahkannya dalam bentuk tindakan kerja yang lebih bersungguh-sungguh apabila pulang ke kawasan masing-masing. Jangan sekadar menang sorak dan emosi di PWTC. Setiap mereka yang hadir pada perhimpunan itu yang mewakili lebih 3.3 juta ahli perlu menggerakkan jentera untuk menghadapi PRU yang semakin hampir. Setiap pimpinan bahagian perlu bertanya diri sendiri adakah mereka bersedia menghadapi jentera pakatan DAP, Pas, PKR yang berjaya mengejutkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008?

7.0 Memang diakui, cabaran getir yang akan dihadapi oleh UMNO dan BN pada PRU nanti tetapi adakah cabaran itu disebabkan pakatan benar-benar kuat? Senjata dalam menghadapi ‘peperangan’ pada PRU ini bukanlah roket, peluru berpandu atau bom yang boleh memusnahkan seperti yang dirasai oleh rakyat Palestin akibat diganyang tentera Israel. Selain ‘air liur’, senjata utama kepada perjuangan pada PRU nanti, adalah kesiapsiagaan dan kesetiaan setiap anggota parti di setiap peringkat - cawangan, bahagian dan negeri.

8.0 Kesetiaan menjadi fokus utama pemimpin-pemimpin UMNO pada hari terakhir perhimpunan. Sebenarnya, bukanlah kali pertama peringatan seumpama ini dibuat. Pemimpin sudah mengingatkan anggota parti untuk bangkit berubah, meninggalkan fiil buruk yang sering berlaku setiap kali PRU.
Jika setiap anggota berpegang kepada moto, slogan atau lagu UMNO iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, sudah tentu pemimpin tidak perlu mengulangi ingatan berkaitan kesetiaan ini. Berpeganglah kepada bersatu, bersetia dan berkhidmat (3B). Inilah sebenarnya senjata untuk menghadapi peperangan dalam PRU. Dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin, mereka harus berpegang kepada 3B ini.

9.0 Jangan rosakkan jentera ‘perang’ dengan ‘askar’ berpecah membawa haluan masing-masing ketika menuju medan perang. Jangan berpaling tadah apabila bertembung dengan musuh. Jangan pula askar berpeluk tubuh melihat ‘panglima perang’ bertungkus lumus mengatur strategi. Jika masing-masing berpecah, berpaling tadah dan mengambil sikap tunggu dan lihat, jangan haraplah untuk mencapai kemenangan. Maka tidak ada pilihan lain selain memperkukuhkan ‘jentera perang’ ini dengan berpegang kepada slogan 3B.

10.0 Hentikan cah keting dan sabotaj dalam kalangan anggota parti yang merupakan satu ‘penyakit’ yang sering menyerang ‘askar-askar’ di setiap peringkat menjelang PRU. Bilik gerakan pilihan raya atau war room perlu digerakkan sepenuhnya seperti yang diminta oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin. Jangan dibiarkan pemimpin bersendirian ke sana sini untuk menyuntik semangat terhadap anggota parti. Ingatlah PRU akan datang adalah lebih besar cabarannya. UMNO dan BN bukan lagi berada di zon selesa sebaliknya dalam zon berbahaya. Pada masa yang sama jangan ambil mudah dengan label kawasan tertentu sebagai kelabu, hitam atau putih. Biar apa pun warna, gerak kerja perlu dilakukan.

11.0 Dalam tempoh beberapa bulan ini juga, jangan membenarkan sebarang kesilapan berlaku. Jika tersilap langkah ia akan menjejaskan jentera perang ini. Jangan membiarkan diri dirasuk unsur-unsur yang boleh melemahkan semangat. Jika di Kuala Lumpur, anda semua sudah berikrar untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat, maka teruskanlah semangat itu. Jangan apabila sampai masanya, anda semua berpecah membawa haluan masing-masing apabila tidak dipilih sebagai calon atau calon pilihan ditolak.

12.0 Elok diselak kembali ucapan seorang perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2009. Ismail Yaakob atau Man Pen dari Langkawi dalam rangkap pantunnya berkata: Ramai ketua bahagian rasa amat kecewa; Kerana tak dicalon dalam pilihan raya; Kepada parti mereka tidak menderhaka; Cuma hari mengundi depa tak buat apa.

13.0 Begitu juga pantun Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam iaitu: Hang Tuah pahlawan terbilang; Bunuh Jebat kerana raja; UMNO tidak akan hilang; Selagi ahlinya tetap setia.

Begitulah pentingnya semangat bersatu, bersetia dan berkhidmat dalam menghadapi PRU akan datang. Semangat ini tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi slogan.

(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121203/re_03/Jangan-sekadar-?menang-sorak-dan-emosi?-di-Dewan-Merdeka)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121203/re_03/Jangan-sekadar-?menang-sorak-dan-emosi?-di-Dewan-Merdeka#ixzz2E162k2F9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sokong penuh calon UMNO/BN



ASSALAMUALAIKUM warahmatullah, salam sejahtera, salam 1Malaysia Tolak Fitnah... terima kasih.

Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan hinayah-Nya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-63 sampai ke penghujungnya, sempurna dijalankan dan telah mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan.

Sebelum saya meneruskan ucapan saya, saya nak ucap terima kasih kepada Tan Sri Pengerusi Tetap Persidangan, Tan Sri Pengerusi ini banyak keistimewaan yang ada pada dia, antaranya bak orang Kedah kata, 'mangkaq' orangnya, 'keloloh' ada juga orang kata. Tetapi persidangan ini akan jadi boring kalau tidak ada watak teristimewa pengerusi persidangan kita.

(Pengerusi mencelah: Terima kasih Datuk Presiden)

Ini tidak masuk bab kencing manis. Persidangan pada kali ini menarik perhatian bukan sahaja di kalangan ahli UMNO tetapi mereka di luar juga kerana UMNO adalah parti pemerintah, sebab itulah kita mendapat sambutan yang luar biasa.

Kalau perwakilan ini banyak kata I love PM, saya nak beritahu kalau sebut wanita banyak kata I love PM, isteri saya tidak marah, kita dah ada understanding, tetapi dia kata jangan kata I love U sudah.

Perhimpunan kita mengikut maklumat yang saya terima dan bila jadi PM banyak juga maklumat bahawa persidangan UMNO mendapat sambutan luar biasa kali ini. Saya lihat bahawa mood persidangan cukup baik kali ini. Jurucakap pun macam Tan Sri Muhyiddin sebut tadi pengisiannya cukup baik, nak cakap merapu kurang kali ini. Dan tidak ada reaksi yang negatif di kalangan mereka yang sedang memerhati perjalanan perhimpunan kita.

Dan yang cukup teristimewa bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang katanya gah perhimpunan ini menyebabkan mereka lihat bahawa UMNO semakin hari semakin pulih dan padanya UMNO semakin hari semakin layak untuk terus memimpin negara kita.

Dan tidak kurang juga teristimewanya orang bukan Melayu pun hari ini memandang UMNO secara lebih positif daripada masa-masa yang lalu.

Kita juga sebagai sebuah parti telah menunjukkan bahawa kita mampu untuk memulihkan keadaan kita, merapatkan barisan kita, menunjukkan semangat yang luar biasa.

Saya nak sebut di sini antara mereka yang menyentuh perasaan hati saya termasuk rakan sahabat saya yang lama, Cikgu Seman dari Jasin yang gambarnya terpampang besar pada muka hadapan surat khabar. Cikgu Seman umurnya 70 tahun, dia beriya menangis semalam, hiba hati dia bila dia dengar ucapan saya pada hari pertama. Cikgu Seman tidak pernah jadi wakil rakyat tetapi Cikgu Seman kasih, cinta, komited dan setia pada parti.

Saya juga berasa terharu bila saya turun melawat ruang-ruang di PWTC ini semasa persidangan kita, saya diberitahu bahawa di depan skrin yang besar, ramai perwakilan wanita yang datang dari jauh, ada yang dah 'cop' tempat pukul 6.30 pagi lagi, betul tidak? Jangan cuba nak kalih dia dari tempat itu.
Inilah tuan-tuan antara wira-wira yang tidak didendang.

Saya juga tersentuh hati bila wakil Kelab UMNO Luar Negara dengan suara yang sayu, merayu tolonglah ayahanda, tolonglah bonda untuk UMNO terus mara, untuk terus berkuasa, untuk UMNO terus perjuang kepentingan dan hak kita. Ini mengingatkan pada kita mengapa kita berjuang. Kita berjuang bukan untuk kita saja, kita berjuang untuk anak-anak kita, macam saudara Ariff Yasir ini. Dia sedar, dia tahu bahawa masa depan kita akan cukup kelam dan gelap gelita, dia tidak dapat bayangkan seandainya UMNO tidak berkuasa.
Sebab itulah dalam perhimpunan yang cukup bermakna ini, kita hari ini yang menggalas tanggungjawab, amanah sebagai pemimpin mesti melakukan yang terbaik untuk generasi akan datang, beliau meletakkan harapan begitu tinggi kepada kita.

Saya juga terhutang budi kepada dua pemimpin besar yang menjadi ketua saya selama ini.

Yang pertama, saya nak ucapkan penghargaan saya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenapa saya sebut nama Dr. Mahathir dalam perhimpunan ini kerana tanpa disuruh oleh saya, Dr. Mahathir secara sukarela sanggup berjumpa dengan semua pemimpin UMNO di seluruh negara.

Saya tanya Tun kenapa Tun nak jumpa, dia kata saya nak beritahu pada ahli UMNO pentingnya dia sokong UMNO bukan sokong individu tapi sokong parti kerana kalau parti masih berkuasa, perjuangan masih boleh diteruskan.

Sehingga dia bagi contoh yang cukup menarik, saya dapat feedback dalam perjumpaan-perjumpaan dia secara tertutup, Tun kata walaupun si polan-si polan ini saya tak suka pada dia, saya tak nak sebut siapa, walaupun si polan-si polan ini saya tak suka tapi kalau Presiden parti pilih saya tetap menyokong dia, terima kasih Tun.

Saya juga terhutang budi kepada Pak Lah, atas sokongan yang diberikan pada saya secara berterusan dan teristimewa sekali atas dua perkara, yang pertama, dia sanggup melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden mengikut tradisi parti dengan cara yang begitu baik dan tepati, yang kedua, masa dia serah jawatan pada saya, dia kata; "Najib, I want to see you better than what I did. Terima kasih Pak Lah."

Kenapa saya sebut nama cikgu Seman, mengapa saya sebut wanita yang pukul 6.30 pagi dah 'cop' tempat dia, kenapa saya sebut Tun Mahathir, Pak Lah dan sebagainya, kerana kita akan turun gelanggang tak lama lagi...tak lama lagi...

Bila kita turun gelanggang, bererti bahawa kita akan berperang dan bila kita berperang, angkatan kita ini mestilah merupakan angkatan yang cukup kuat dan padu.

Saya percaya bahawa musuh tidak berapa kuat, saya yakin bahawa orang ramai akan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Yang saya khuatir sikit saja...sikit saja...saya khuatir sikit saja, orang Perlis sebut hun, ada saham kecil takut, soal kita sesama kita.

Tadi Datuk Zahid buat survey, dia umum survey, saya tak tahu apa survey tapi ada surveylah, 

kalau saya buat survey, saya boleh tanya satu soalan cepu emas, apa soalan nya... soalan cepu emasnya, kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih oleh UMNO dan Barisan Nasional?

Saya nak bagi lima kemungkinan;

Yang pertama sokong sepenuhnya.
Yang kedua sokong. Okey lagi. 
Yang ketiga tak kerja, tak bekerja. 
Yang keempat sabotaj...(disambut sorakan perwakilan) ada suara tu. 
Yang kelima lompat parti.

Survey ini penting ni, tanya diri sendiri ni. Tak payahlah, kita tak payah, takkan edar borang...tak ada...jangan bimbang...tak ada borang... tak ada.

Saya nak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam dewan ini, dalam perjalanan balik nanti, dalam kereta nanti, dalam bas ekspres nanti, cuba tepuk dada tanya selera.

 Walaupun kita lihat dalam suasana dewan ini gema begitu hebat tapi nak menghayatinya, nak bawa semangat ini, nak bertahan sampai masa pilihan raya, nak jumpa penyokong-penyokong kita bila balik, sebab di kalangan kita kadang-kadang banyak batu ronsonnya, banyak tukang kipasnya, yang akan cong kita, kalau tak kuat iman kita.

Daripada sokong sepenuhnya, dia turun kepada sokong ataupun daripada sokong dia buat dek orang kata, tak kerja ataupun lebih parah daripada itu, dia sabotaj parti atau lompat parti.

Saya sebut ini sebagai segala kemungkinan. Dalam dewan ini kebanyakan kita hampir semua ini penyokong tegar, setia pada perjuangan parti kita, setia.

Tapi jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti kita. Dia dah rasa nikmat jadi menteri, nikmat jadi timbalan menteri dan banyak lagi nikmat lain, tetapi hari ini kerana gila jawatan, kerana dirasuk oleh orang tertentu, hari ini menjadi orang yang menentang UMNO dan BN.

Sebab itu dalam perhimpunan ini, kita mesti kata, kita mesti dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak kepada soalan cepumas itu tidak lain tidak bukan, kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan BN.
Boleh tuan-tuan!!!
Boleh tuan-tuan!!!
Boleh tuan-tuan!!!
Terima kasih.
Kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya dalam hati kita, insya-Allah PRU 13 empunya kepada UMNO dan BN dengan kemenangan dua pertiga.

Saudara dan saudari sekalian,

Tan Sri Pengerusi,

Dekat masuk maghrib dah, masa sudah terbatas, ini baru masuk gear dua ini. Baik. Kita sebagai sebuah parti, kita sudah lakukan banyak perubahan. Hari ini kita lihat bahawa melalui dasar transformasi negara, semua orang mengakui bahawa pencapaian kita adalah luar biasa.

Madam Lagarde (Christine Lagarde), Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang jumpa saya baru-baru ini kata bahawa dari segi IMF, ini IMF baru, bukan IMF lama, IMF lama itu kawan dia tu.

IMF baru kata pada saya bahawa Malaysialah satu-satu negara di mana ramalan pertumbuhan ekonomi terpaksa diubah kepada pencapaian yang lebih tinggi lagi, dia kata. Ini Madam Lagarde beritahu saya.

Ada dalam laporan Financial Times bahawa pencapaian Malaysia ini adalah pencapaian yang gravity define dia kata, dan kita bukan sahaja bangga dari segi pencapaian yang besar, dari segi mikronya tetapi kita telah berjaya membawa nikmat, dasar kita hampir kepada setiap individu hari ini, telah mendapat nikmat daripada dasar transformasi nasional.

Dan kita memang berlaku adil. Kalau Pas dan puak-puaknya tuduh Felda ini bankrap katanya, dan ada puak-puak nak saman Felda, bila kita bagi durian runtuh, dia yang pertama tercegat situ dengan jubah dia. Dah bagi? Kita ni kerajaan yang adil. Kita tak kata kita bagi orang UMNO sahaja.

Kalau puak di sana dia nak buat, apa pun dia tengok, kalau orang UMNO buat dia tak bagi. Bukan saya cakap, perwakilan cakap. Yang mana? Ladang estet di Kelantan siapa dapat? Hak majlis daerah, hak kontrak-kontrak kelas F di Selangor siapa dapat? Habis kontraktor, penyokong UMNO di Selangor. Termasuk yang saya sebut hari itu. Kontraktor makanan pun habis ditarik balik kerana dia merupakan kontraktor UMNO.

Tapi kita ini, kerajaan kita, kerajaan yang adil. Di mana boleh dia kata, bahawa yang zalim jadi pemerintah, yang baik masuk penjara.

Mengapa dia cakap macam itu, saya tahulah, saya dapat macam-macam laporan, saya tahu betul ke yang baik masuk penjara? Saya nak tanya baik ke manusia itu? Baik... ish! ish! Kena jaga baik baik ke...

Kalau kita masih ingat lagi kalau dia masuk penjara dulu kerana apa? Yang pertama, kerana dia gunakan kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkan cawangan khas merubah afidavit yang membawa kepada perbuatan yang tidak bermoral itu. Ish, ish... menyalahgunakan kuasa... bukan kita, dia...

Ini bukan satu yang saya sebut-sebut saja, ini satu fakta dan kenyataan. Memaksa orang menukar afidavitnya dengan kuasa, kerana apa? Kerana nak tutup perbuatan tak bermoral. Ish, ish... Mmmmm.

Jadi daripada situ kita dah boleh nampak siapa yang sokong LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), tengok rentetan dia, tengok... ishh.. . ini baru saja sikit saya keluar ini.. banyak lagi saya simpan ini. Ini yang saya nak kata bahawa kitalah pada pihak benar, ini dia main labelling konon kita ni zalim... zalim mana?

Pengiktirafan dunia Islam pada Malaysia begitu tinggi hari ini, rakan-rakan ada sebut tadi daripada Bangsamoro, daripada King Abdullah dapat ini, dapat itu dan kejayaan kita menjadikan Islam ini sebagai ad-din, kesyumulan Islam, ketinggian Islam adalah perjuangan UMNO dari dulu sampai sekarang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan Tan Sri Pengerusi. 

Saya nak sebut di sini secara ringkas ada dua perkara, yang pertama, dalam proses membuat perubahan ini UMNO adalah parti yang merupakan gerakan massa (mass movement), jadinya kita ambil pintu terbuka siapa pun boleh masuk. Sudah sampai pada masanya pada pendapat saya dan rakan-rakan, saya bincang dengan Timbalan Presiden parti bahawa kita perlu untuk memperkukuhkan UMNO sebagai suatu institusi supaya kita akan mempunyai kekuatan.

Kekuatan dalam abad ke-21 ini berpunca daripada kekuatan minda, kekuatan ilmu yang lebih unggul, lebih hebat nak lawan orang lain sebab itulah UMNO mesti membangunkan nilai keintelektualan dalam UMNO ini dan saya bersetuju sama dengan Timbalan Presiden, bahawa cadangan daripada Pemuda dan Puteri supaya sebuah institusi UMNO diwujudkan dan kita akan lakukan ini serta-merta, kita tidak perlu pada parti pembangkang.

Marilah, marilah tuan-tuan dan puan-puan, genggamkan tangan kanan kita, dengan penuh yakin dan percaya, letakkan di dada kita, satukan hati dan katakan tuan-tuan, katakan dari hati dan jiwa kita demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi pribumi bertuah ini, demi anak cucu kita, kita mesti sedia setia pada perjuangan UMNO, demi kedaulatan dan kesucian agama Islam kerana UMNO mempertahankan Islam.
Kita mesti taat kepada pemimpin UMNO, demi kemenangan parti kerana UMNO pembela rakyat. Katakan tuan-tuan, kita mesti bersatu sesama ahli UMNO, jangan bersengketa kerana perpaduanlah tiang seri kepada kejayaan kita. Yakin dan percayalah, hanya UMNO yang mampu mempertahankan kesucian agama Islam, yakin dan percayalah hanya UMNO yang mampu membela untung nasib bangsa Melayu dan kaum lain.
Katakan dalam jiwa kita, hidup dan matiku hanyalah untuk Islam, akan aku mempertahankan UMNO dan UMNO mempertahankan Islam!

Tuan-tuan dan puan-puan,

Yakin dan percaya, satu undi untuk PKR, maksudnya satu undi untuk kerosakan akidah dan kehancuran kerajaan, satu undi untuk perpecahan Islam. Satu undi untuk DAP, maksudnya satu undi penindasan bangsa tercinta.

Yakin dan percaya, satu undi untuk UMNO dan BN, maksudnya satu undi untuk selamatkan akidah umat Islam.

Satu undi untuk BN, maksudnya satu undi perpaduan dan kekuatan umat, satu undi untuk BN maksudnya satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Marilah kita menadah tangan memohon pada Allah, memohon pertolongan Allah, Ya Allah kuatkan UMNO, Ya Allah kuatkan barisan, Ya Allah kuatkanlah kami Ya Allah, tolonglah kami untuk memelihara agama Islam, tolonglah kami untuk membela bangsa Melayu dan bangsa lain, tolonglah kami untuk berlaku adil kepada semua, peliharalah kami daripada fitnah manusia, pelihara kami daripada kerosakan bangsa, pelihara kami daripada kehancuran negara.

Ya Allah, berilah kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional, berilah kemenangan kepada kami demi agama Islam, bangsa dan negara, Ya Allah kabulkan doa dan permohonan kami, Amin Ya Rabbal Al-Amin.
Marilah kita sama-sama dalam dewan ini bersumpah dan berikrar dengan nama Allah, selagi darah masih mengalir, selagi hayat dikandung badan, agama suci Islam pasti kita daulatkan, bangsa Melayu pasti kita perjuangkan, rakyat Malaysia pasti kita makmurkan, negara tercinta pasti kita pertahankan.

Hidup UMNO! Hidup Barisan! Hidup Malaysia!
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Selamat berjuang!

(terimakasih sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121202/re_06/Sokong-penuh-calon-UMNOBN)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121202/re_06/Sokong-penuh-calon-UMNOBN#ixzz2E10y6dXV
© Utusan Melayu (M) Bhd