ARKIB UTUSAN : 03/12/2012
1.0 SELAMA lima hari mata dan telinga tertumpu ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kini perhatian beralih pula ke setiap pelusuk bahagian dan kawasan pilihan raya di seluruh negara. Adakah jentera UMNO akan bergerak seperti yang diharapkan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu?
2.0 Sepanjang minggu lalu, orang politik dan masyarakat seluruhnya sudah melihat dan mendengar apa yang berlaku semasa perhimpunan itu sama ada melalui media cetak, media elektronik atau media baru. Perhimpunan kali ini nampak lebih tersusun dan lebih fokus kepada memanaskan suasana pilihan raya umum (PRU). Ia berakhir dengan penuh emosi, menyuntik semangat baru untuk menyatakan kesetiaan kepada parti bagi meneruskan perjuangan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
3.0 Tidak banyak bola tanggung yang dilontarkan melalui perbahasan untuk diambil kesempatan oleh musuh-musuh politik yang sentiasa mencari ruang dan bahan untuk disensasikan dengan mengaitkannya sebagai isu yang sensitif, rasis, ekstremis dan macam-macam lagi.
4.0 Perhimpunan ini juga sedikit sebanyak telah mendedahkan wajah sebenar Pas, begitu juga dengan DAP dan PKR. Masih banyak kepincangan Pas, DAP dan PKR perlu didedahkan untuk dijadikan senjata menghadapi penyokong-penyokong tegar pakatan itu.
5.0 Walaupun perbahasan kali ini selamat tetapi akan ada dua tiga perkara yang cuba diputar sebaik mungkin oleh musuh-musuh politik untuk dijadikan isu. Biar apa pun yang cuba disensasikan, sekarang adalah masa untuk anggota UMNO menunaikan ikrar dan janji yang telah dibuat sepanjang perhimpunan itu. Inilah tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebaik sahaja perwakilan UMNO dari Perlis hingga ke Sabah meninggalkan Dewan Merdeka, dewan keramat UMNO yang telah menyaksikan kejayaan dan kekecewaan parti yang sudah menjangkau usia 66 tahun itu. Semangat yang dicetuskan tidak boleh dibiarkan luntur atau padam sebaik sahaja Kuala Lumpur yang dikuasai pakatan pembangkang ditinggalkan.
6.0 Tugas perwakilan yang dipilih untuk duduk di dalam dewan itu bukan sekadar untuk bercakap, mendengar amanat, bertepuk tangan atau menitiskan air mata terharu mendengar hujah perwakilan. Tugas mereka yang lebih besar adalah menghayati segala pesanan yang dibuat oleh pemimpin dan terjemahkannya dalam bentuk tindakan kerja yang lebih bersungguh-sungguh apabila pulang ke kawasan masing-masing. Jangan sekadar menang sorak dan emosi di PWTC. Setiap mereka yang hadir pada perhimpunan itu yang mewakili lebih 3.3 juta ahli perlu menggerakkan jentera untuk menghadapi PRU yang semakin hampir. Setiap pimpinan bahagian perlu bertanya diri sendiri adakah mereka bersedia menghadapi jentera pakatan DAP, Pas, PKR yang berjaya mengejutkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008?
7.0 Memang diakui, cabaran getir yang akan dihadapi oleh UMNO dan BN pada PRU nanti tetapi adakah cabaran itu disebabkan pakatan benar-benar kuat? Senjata dalam menghadapi peperangan pada PRU ini bukanlah roket, peluru berpandu atau bom yang boleh memusnahkan seperti yang dirasai oleh rakyat Palestin akibat diganyang tentera Israel. Selain air liur, senjata utama kepada perjuangan pada PRU nanti, adalah kesiapsiagaan dan kesetiaan setiap anggota parti di setiap peringkat - cawangan, bahagian dan negeri.
8.0 Kesetiaan menjadi fokus utama pemimpin-pemimpin UMNO pada hari terakhir perhimpunan. Sebenarnya, bukanlah kali pertama peringatan seumpama ini dibuat. Pemimpin sudah mengingatkan anggota parti untuk bangkit berubah, meninggalkan fiil buruk yang sering berlaku setiap kali PRU.
Jika setiap anggota berpegang kepada moto, slogan atau lagu UMNO iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, sudah tentu pemimpin tidak perlu mengulangi ingatan berkaitan kesetiaan ini. Berpeganglah kepada bersatu, bersetia dan berkhidmat (3B). Inilah sebenarnya senjata untuk menghadapi peperangan dalam PRU. Dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin, mereka harus berpegang kepada 3B ini.
9.0 Jangan rosakkan jentera perang dengan askar berpecah membawa haluan masing-masing ketika menuju medan perang. Jangan berpaling tadah apabila bertembung dengan musuh. Jangan pula askar berpeluk tubuh melihat panglima perang bertungkus lumus mengatur strategi. Jika masing-masing berpecah, berpaling tadah dan mengambil sikap tunggu dan lihat, jangan haraplah untuk mencapai kemenangan. Maka tidak ada pilihan lain selain memperkukuhkan jentera perang ini dengan berpegang kepada slogan 3B.
10.0 Hentikan cah keting dan sabotaj dalam kalangan anggota parti yang merupakan satu penyakit yang sering menyerang askar-askar di setiap peringkat menjelang PRU. Bilik gerakan pilihan raya atau war room perlu digerakkan sepenuhnya seperti yang diminta oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin. Jangan dibiarkan pemimpin bersendirian ke sana sini untuk menyuntik semangat terhadap anggota parti. Ingatlah PRU akan datang adalah lebih besar cabarannya. UMNO dan BN bukan lagi berada di zon selesa sebaliknya dalam zon berbahaya. Pada masa yang sama jangan ambil mudah dengan label kawasan tertentu sebagai kelabu, hitam atau putih. Biar apa pun warna, gerak kerja perlu dilakukan.
11.0 Dalam tempoh beberapa bulan ini juga, jangan membenarkan sebarang kesilapan berlaku. Jika tersilap langkah ia akan menjejaskan jentera perang ini. Jangan membiarkan diri dirasuk unsur-unsur yang boleh melemahkan semangat. Jika di Kuala Lumpur, anda semua sudah berikrar untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat, maka teruskanlah semangat itu. Jangan apabila sampai masanya, anda semua berpecah membawa haluan masing-masing apabila tidak dipilih sebagai calon atau calon pilihan ditolak.
12.0 Elok diselak kembali ucapan seorang perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2009. Ismail Yaakob atau Man Pen dari Langkawi dalam rangkap pantunnya berkata: Ramai ketua bahagian rasa amat kecewa; Kerana tak dicalon dalam pilihan raya; Kepada parti mereka tidak menderhaka; Cuma hari mengundi depa tak buat apa.
13.0 Begitu juga pantun Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam iaitu: Hang Tuah pahlawan terbilang; Bunuh Jebat kerana raja; UMNO tidak akan hilang; Selagi ahlinya tetap setia.
Begitulah pentingnya semangat bersatu, bersetia dan berkhidmat dalam menghadapi PRU akan datang. Semangat ini tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi slogan.
(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121203/re_03/Jangan-sekadar-?menang-sorak-dan-emosi?-di-Dewan-Merdeka)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121203/re_03/Jangan-sekadar-?menang-sorak-dan-emosi?-di-Dewan-Merdeka#ixzz2E162k2F9
© Utusan Melayu (M) Bhd
1 comment:
Salam Perkenalan dari KLPOS News Media : www.klpos.com
Blog anda sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri.
Di harap dapat berkongsi maklumat bersama kami.
Mohon jasa baik anda agar turut memberi ruang kepada KLPOS disenaraikan menerusi senarai blog pilihan di blog anda.
Sekian. Jutaan Terima Kasih.
Post a Comment