Wednesday, December 8, 2010

UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional

UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional
Oleh Nazura Ngah dan Mohd Zaky Zainuddin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/08
Pemimpin nafi wujud istilah abang besar, adik dalam parti

KUALA LUMPUR: UMNO menolak dakwaan wujud 'big brother' dan 'small brother' dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya pengaruh, kuasa dan haknya sebagai parti terbesar dan terkuat dalam gabungan itu kerana memiliki kerusi terbanyak di Parlimen memberinya pengaruh serta kuasa yang setimpal.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata politik adalah perjuangan berasaskan bilangan, kepentingan dan kedudukan Presiden UMNO selaku Perdana Menteri yang tidak boleh disamakan dengan presiden parti lain dalam BN.

“Memang tidak ada istilah 'abang besar' dalam BN tetapi Pengerusi BN tetap memiliki 'residual power' (kuasa lebihan) dan 'residual influence' (pengaruh lebihan) dari sudut perundangan dan kekuatan legislatif, dua ciri yang Dr Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan partinya (MCA) tak ada.

“Sejak Tunku Abdul Rahman hingga Najib, ia tidak pernah hilang atau digadaikan. Oleh itu kuasa Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO tidak terjejas dan tak pernah hilang.

“Pendapat Dr Chua itu adalah pendapat egalitarian (orang yang mendukung fahaman egalitarisme (fahaman bahawa semua orang sama rata) dan bersifat sosialisme tanpa mengambil kira fakta dan sejarah Parti Perikatan dan BN selama ini,” katanya.

Ahad lalu, Dr Chua ketika berucap di Konvensyen BN, menyarankan amalan ‘big brother’ (UMNO) atau `small brother’ (parti komponen lain) dalam BN dihapuskan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata BN memerlukan seorang pemimpin yang bertindak sebagai nakhoda dan pemimpin itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tetapi pada masa sama UMNO mendengar suara parti komponen lain.

“Kita perlu bersama membina negara ini. BN adalah barisan 1Malaysia,” katanya yang menyifatkan persepsi `big’ atau `small brother’ itu mungkin disebabkan UMNO mewakili Melayu dan Bumiputera iaitu dua pertiga atau 67 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, berkata Wanita BN akan meneliti saranan itu secara serius kerana ia menggambarkan rasa tidak puas hati parti lain terhadap peranan UMNO dalam BN.

Sambil menolak wujudnya konsep ‘big’ atau `small brother’ dalam BN, Kamilia berkata peranan UMNO sebagai `nakhoda’ mengemudi BN diiktiraf sejak dulu lagi.
“UMNO tidak pernah membuli atau bertindak sebagai abang,” katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata UMNO sentiasa menghormati parti komponen lain yang turut memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

“UMNO juga tidak pernah menganggap dirinya sebagai `big brother’ dan parti komponen lain sebagai ‘small brother’,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata konsep abang dan adik hanya persepsi, sebaliknya dalam BN istilah ketua atau nakhoda adalah lebih tepat untuk menggalas tugas menjaga satu keluarga besar.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNObertindaksebagainakhodaBarisanNasional/Article)

No comments: