Tuesday, October 8, 2013

Saya kerja 'tiga syif' demi kesejahteraan rakyat



KATA DATUK SERI MOHD. ALI RUSTAM kepada kami, kalau nak berehat dari dunia politik, beliau memang sudah lama melakukannya.
Ini lebih-lebih lagi selepas kalah mengejut di kerusi Parlimen Bukit Katil, Melaka, 5 Mei lalu. Tapi, kata beliau, masih ada kerja yang belum lagi diselesaikannya.
Ketika ditemui Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan KAMIL MASLIH serta jurugambar ASWAD YAHYA di pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di Plaza Sentral, Kuala Lumpur Isnin lalu, Mohd. Ali yang tidak lekang dengan songkoknya, berkongsi hasrat untuk bertanding Naib Presiden UMNO.
Antaranya dalam melihat betapa pentingnya hak Melayu, bumiputera dan agama Islam perlu dipertahankan setiap masa mengikut Perlembagaan negara.
MINGGUAN: Ada pihak mempersoalkan mengapa Datuk Seri masih mahu bertanding Naib Presiden sedangkan telah kalah dalam pilihan raya umum lepas di Parlimen Bukit Katil. Kata mereka `buat apa nak popular sangat dalam parti sedangkan rakyat tolak dalam pilihan raya’?

MOHD ALI: Kita masuk parti untuk berjuang terutamanya dalam UMNO yang asas perjuangannya adalah untuk mempertahankan hak orang Melayu, bumiputera dan agama Islam mengikut Perlembagaan negara. Ini asas perjuangan yang saya pegang teguh. Kerana itu, walau hadapi pelbagai cabaran, perjuangan mesti diteruskan.

 Dan kalau kita lihat konsep kalah, banyak pemimpin juga di masa lepas telah kalah pilihan raya misalannya, Lim Kit Siang pernah kalah dua kali, sekali di Melaka dan sekali di Perak tetapi masih berjuang walaupun telah lepasi umur 70 tahun. Karpal Singh sendiri pernah kalah di Pulau Pinang, sudah lepas usia 70 tahun pun masih berjuang. Kalau lihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, macam itu juga, pernah kalah di Terengganu pun, lepas umur 70 tahun masih berjuang. Kalau lihat perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah kalah di Kedah dan beliau terus berjuang dan berjaya bawa Malaysia seperti hari ini. 

Dan saya adalah seorang pejuang untuk bangsa Melayu, agama Islam dan negara kita. Kekalahan saya dalam pilihan raya lepas kerana tsunami pengundi Cina. Kalau buat perbandingan, saya boleh teruskan perjuangan bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan agama Islam untuk pastikan ia terus dipertahankan mengikut Perlembagaan.


MINGGUAN:Ada pihak akui Datuk Seri memang rapat dengan ahli akar umbi, malah mereka senang dengan Datuk Seri. Tapi waktu itu Datuk Seri ada kuasa (Ketua Menteri Melaka). Tapi sekarang lain. Kata mereka, Datuk Seri kini keseorangan. Majlis-majlis yang dihadiri pun tidak banyak kelibat yang hadir. Apa kata Datuk Seri?

MOHD ALI: Dalam lawatan saya ke beberapa tempat, nampaknya sambutan masih lagi baik seperti dahulu. Ada jawatan pun ada kelebihan, tiada jawatan pun ada juga sedikit kelebihan. Saya boleh bertemu dengan lebih kerap dengan akar umbi dan ahli-ahli parti bagi mendengar masalah mereka dan bawa ke peringkat tertinggi. Ini membantu memperkuatkan lagi parti, kerajaan dan membantu juga Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.


MINGGUAN:Bagaimana Datuk Seri melihat sistem pemilihan UMNO kali ini yang memberi mandat kepada kira-kira 146,000 perwakilan untuk memilih pemimpin mereka?

MOHD ALI: Sistem baru ini memberi peluang kepada akar umbi membuat pilihan secara terus. Ia dapat menunjukkan keterbukaan akar umbi memilih pemimpin mereka mengikut kriteria yang mereka inginkan. Ini adalah proses baik yang diperkenalkan. Saya berpendapat wajar saya juga menawarkan diri untuk proses pemilihan ini agar parti mempunyai peluang untuk memilih dan membuat penilaian di kalangan pemimpin-pemimpin yang ada. Saya tiada niat untuk menidakkan sesiapa, semuanya kawan-kawan kita dan mereka memegang jawatan dan berpengalaman. Semuanya sahabat termasuk yang baru juga. Saya percaya yang menang, tidak menang semua, yang kalah, tidak kalah semua.


MINGGUAN: Selepas PRU-13, Datuk Seri ada tak mendapatkan maklum balas dari orang Cina?

MOHD ALI: Bila saya duduk dengan rakan-rakan MCA seminggu selepas pilihan raya, saya kata apa yang mereka (orang Cina) hendak, mereka kata MCA tidak boleh jawab sebab DAP dan Dong Zong telah cucuk masyarakat Cina, katanya 'Ini kalilah' untuk mengambil alih kerajaan negeri Melaka dan kerajaan pusat dan Putrajaya. Jadi, jasa saya langsung mereka tidak kisah sehingga banyak orang MCA dan Gerakan pun terpengaruh.


MINGGUAN: Adakah ini bermakna orang Melayu memang amat perlu bersatu hati?

MOHD ALI: Kalau orang Melayu terus berpecah, masa depan negara seperti telur di hujung tanduk. Jadi kita perlukan semangat baharu yang lebih berkobar-kobar untuk pertahankan hak orang Melayu dan hak Islam mengikut perlembagaan. DAP sedang mendesak dan kita mesti menghadapinya. Saya kalau hendak berhenti memang boleh tetapi takkan saya hendak biar berlalu depan mata sedangkan kita telah alami tsunami Cina bagaimana mereka tidak menghargai jasa-jasa kita.

Saya sedia berjuang bersama. Oleh kerana dalam sistem negara, politik menentukan kerajaan, jadi saya yakin UMNO adalah wadah terbaik untuk memelihara hak orang Melayu dan agama Islam. Saya berpendapat lebih elok saya tawar diri untuk mempertahankan hak orang Islam mengikut Perlembagaan dan terpulang kepada ahli-ahli UMNO membuat pertimbangkan. Saya ada pengalaman luas dalam parti, dalam kerajaan di peringkat negeri dan nasional dan peringkat antarabangsa.


MINGGUAN: Dengan umur Datuk Seri yang memasuki 64 tahun, tidakkah ini dilihat `bertentangan’ dengan usaha untuk meremajakan UMNO?

MOHD ALI: Saya lihat banyak orang-orang muda yang menawarkan diri dalam Majlis Tertinggi, ini adalah perkembangan yang amat baik. Dan kalau kita lihat semua calon-calon Naib Presiden, semuanya melepasi usia 40 tahun, semua dah masuk golongan pertengahan usia. Saya, walaupun sudah berusia 64 tahun tetapi saya ikut cara di Jepun, 'Life began at 60' (hidup bermula pada 60). Walaupun usia saya 64 tahun tetapi tenaga saya macam 24 tahun, masih boleh bekerja lagi. Tentang usia, saya berpendapat orang lama juga perlu bersama. Tiada yang lama, tiada yang baharu.


MINGGUAN: Mahu tidak mahu akan ada orang kaitkan Datuk Seri dengan soal integriti yang mana Datuk Seri telah dilucutkan hak bertanding untuk Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan 2009?

MOHD. ALI: Saya fikir yang terbaik menjawabnya adalah Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO. Mereka adalah yang terbaik untuk menjawabnya. Saya sudah sebut dalam pemilihan yang lepas, saya tiada apa hendak jawab lagi. Kalau ada apa-apa, yang terbaik menjawabnya adalah Pengerusi Lembaga Disiplin.


MINGGUAN: Walaupun kalah pilihan raya, Datuk Seri seolah-olah mendapat 'nyawa kedua' apabila dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB). Apa komen Datuk Seri?

MOHD. ALI: Terpulanglah kepada siapa pun hendak mentafsirnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik saya sebagai Pengerusi PUNB. Saya lihat banyak boleh saya sumbangkan untuk memperkasakan bumiputera dalam bidang ekonomi. PUNB adalah salah satu daripada agensi yang bertanggungjawab membantu bumiputera untuk mencapai hasrat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita lihat dari dari tahun 1970 hingga 1990, DEB tidak berjaya sepenuhnya.

Bila saya sampai di sini (PUNB), saya lihat salah satu punca matlamat penguasaan bumiputera tidak dicapai adalah kerana kita tidak menetapkan sasaran yang jelas. Bidang mana yang hendak mencapai 30 peratus, bidang mana nak capai 60 peratus. Baru-baru ini saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), saya minta untuk ditetapkan matlamat dan berapa banyak tugas untuk PUNB. 

Saya telah menubuhkan jawatankuasa kecil antara pegawai-pegawai PUNB dengan EPU dan kita jangkakan pelan perancangan akan dikeluarkan pada akhir tahun ini. Tentang berapa banyak peranan PUNB, itu terpulanglah kepada EPU dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Kita tidak mahu mengeluh atau terburu-buru menjelang tahun 2020.


MINGGUAN: Adakah Datuk Seri memerlukan pasukan untuk bergandingan bersama dalam pemilihan ini?

MOHD. ALI: UMNO tidak membenarkan adanya berpasukan, ini adalah tradisi. Kalau ada kebetulan, orang sebut-sebut, itu tiada masalah. Saya memang bergerak solo dan sudah tentunya ada tiga tempat untuk Naib Presiden. Kalau berlakunya berpasukan seperti dahulu adanya Team Wawasan dan bukan Team Wawasan, akan berlakunya masalah. Bagaimanapun, saya yakin ahli-ahli UMNO sudah matang.


MINGGUAN: Laporan muka depan Utusan Malaysia baru-baru menyebut Datuk Seri akan menarik diri daripada bertanding Naib Presiden. Adakah ini gimik untuk menaikkan lagi rating Datuk Seri?

MOHD ALI: Semua itu spekulasi, adat bertanding, orang akan kata macam-macam, kita terima sahaja, itulah politik. Saya pun tidak tahu dari mana datang puncanya, macam-macam orang buat spekulasi.


MINGGUAN: Dengan tarikh 19 September kian hampir, bagaimana tahap keyakinan Datuk Seri untuk mengisi slot tiga kerusi Naib Presiden?

MOHD. ALI: Macam sahabat-sahabat yang lain, semuanya kata yakin berjaya mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Bila semua kata mereka boleh berjaya, saya pun nampak saya boleh mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Semua ada peluang yang baik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_07/Saya-kerja-tiga-syif-demi-kesejahteraan-rakyat#ixzz2h3OkaD8X
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_07/Saya-kerja-tiga-syif-demi-kesejahteraan-rakyat)

No comments: