CEPAT KAYA SECARA MUDAH
1.0 AKHBAR China Press bertarikh 3 Oktober 2013 menyiarkan artikel mengenai pelbagai penyelewengan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
2.0 Artikel bertajuk Ilmu petua jadi kaya yang ditulis oleh Dong Guang Xuan disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.
3.0 Tidak kira sama ada penyanyi bernama Lui Fang menyanyikan lagu berjudul Takutkan isteri boleh jadi kaya atau guru-guru motivasi mengajar kita taktik menjadi kaya dan bagaimana mendapatkan tong penuh dengan jongkong emas yang pertama dalam hidup, di Malaysia semua petua itu telah ketinggalan zaman dan menyusahkan.
4.0Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, jika mahu menjadi kaya, kita perlu cekap dan pantas. Siapa ada masa lagi untuk meminta bantuan isteri, bergantung kepada sifat keazaman dan kecekalan atau meminta pertolongan daripada guru feng shui yang begitu lambat hasilnya?
5.0 Jika mahukan ilmu menjadi kaya, petua itu sebenarnya sudah berada di depan mata. Ia terkandung dalam buku rahsia, Laporan Ketua Audit Negara yang mengajar kita bagaimana seseorang itu boleh menjadi kaya-raya secara cepat dan mendadak.
6.0 Buku-buku yang ditulis tokoh pengurusan kewangan, guru feng shui dan pakar motivasi jika dibandingkan dengan buku rahsia ini, sudah tentu jauh ketinggalan dan sudah tidak berguna lagi.
7.0 Mahu cepat kaya, ada rahsianya. Kita perlu merapatkan diri kita dengan kerajaan. Yang pertama, kita boleh menjadi pegawai kerajaan atau yang kedua, kita sebagai peniaga perlu berbuat baik dengan pegawai kerajaan yang menguruskan pembelian barangan.
8.0 Sebagai pegawai kerajaan, semakin tinggi jawatan yang disandang maka semakin tinggilah nilai mereka, kerana mereka boleh menyedut wang dengan lebih cepat dan banyak. Pegawai kerajaan yang tiada kuasa harap maaflah. Diharapkan kamu semua pergilah belajar dan membaca buku-buku yang ditulis oleh mahaguru mengenai macam mana boleh menjadi kaya.
9.0 Dalam kerajaan, pegawai yang berpangkat tinggi sentiasa sibuk sepanjang hari kerana banyak tugasan harian yang tidak habis-habis. Jika mahu membuat keputusan untuk membeli barangan, mereka mana ada masa untuk fikirkan adakah ia mahal atau tidak?
10.0 Tetapi selalunya mereka tidak akan membeli barangan yang murah dan sentiasa berpegang kepada konsep beli dahulu baru boleh cerita. Sudah dibeli tetapi barangan tidak boleh digunakan. Bagi mereka, itu bukan masalah besar. Teropong, alat pengesan, jam dan makanan, mereka boleh beli secara sesuka hati. Sesudah dibeli, barulah mereka fikirkan bagaimana untuk digunakan.
11.0 Pegawai kerajaan terbabit masih dianggap banyak menabur jasa kepada negara walaupun telah membeli barangan dengan harga yang mahal atau barangan yang dibelinya tidak digunakan. Apa yang perlu dirisaukan jika mereka dituduh tiada otak? Apa salahnya jika tiada otak sekalipun? Di dalam dunia ini adakah orang yang dikatakan tiada otak itu dianggap satu kesalahan?
12.0 Jika kita tiada sebarang jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, pergilah berkenalan dengan mereka. Cuba lihat apakah barangan yang mereka perlukan. Berikan perkhidmatan dan bekalkan barang-barang kepada mereka sebanyak yang mungkin. Ketika berurusan, jangan sesekali menimbulkan isu kualiti barangan, sebaliknya hubungan erat kita dengan mereka perlu diutamakan. Kita perlu sentiasa ingat untuk membalas budi dan jangan sesekali lupa untuk memberi habuan kepada mereka.
13.0 Anda boleh berbuat baik dan mereka juga akan berbuat baik kepada anda. Ini akan menyenangkan kedua-dua belah pihak. Bukankah syarat-syarat untuk menjadi kaya itu tiada sebarang formula yang tetap? Ia bergantung kepada kecekapan seseorang. Lain orang, lain caranya.
14.0 Jika dibuat secara kecil-kecilan antara RM30,000 hingga RM40,000 atau secara sederhana antara RM1 hingga RM2 juta macam mana boleh menjadi kaya? Oleh itu, buatlah secara besar-besaran dengan nilai ratusan juta atau berbilion ringgit.
15.0 Antara sektor yang akan membolehkan kita mendapat paling banyak kekayaan adalah dalam industri petroleum, peralatan tentera, kayu balak, hartanah dan saham. Dalam sektor itu, kita boleh cepat kaya sehingga mengaut berbilion ringgit kerana dalam kitab kewangan tidak tertulis sebarang sekatan dan had angka keuntungan yang boleh dikaut seseorang itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131011/re_07/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2hNyVMS8P
© Utusan Melayu (M) Bhd
(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131011/re_07/ISU-ISU-AKHBAR-CINA)
zmsegamat kata:
kita perlu ingat bahawa penjawat awam bukan sahaja terdiri daripada penyokong kerajaan pusat (kerajaan BN) malah ramai juga Pegawai Kerajaan yang penyokong pembangkang...mengamalkan sikap pilih kasih, kroni, songlap, pembaziran kadangkala lebih kuat di amalkan oleh puak2 penyokong pembangkang ni....wallahuaklam
No comments:
Post a Comment