Friday, April 5, 2013

Kontraktor ditipu kerugian RM150,000



PETALING JAYA 3 April - Seorang kontraktor kerugian RM150,000 setelah terpedaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang mengajaknya membuat pelaburan dalam satu projek pemasangan kipas di sebuah kolej swasta di Melaka, baru-baru ini yang sebenarnya tidak wujud.

Mangsa, Abdul Rashid Mohamad Ibrahim yang bersetuju membuat pelaburan menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus itu telah menyerahkan wang tersebut secara berperingkat kepada lelaki yang dikenali sebagai Shaik Mohamed.

Menurut Abdul Rashid, Shaik Mohamed telah diperkenalkan oleh sepupunya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, walaupun tanpa hitam putih dan kertas kerja berhubung projek itu, dia percaya pelaburan tersebut bakal memberi keuntungan, lebih-lebih lagi Shaik Mohamed mendakwa sekampung dengannya di Port Dickson.

"Oleh itu, hujung tahun lalu saya menyerahkan wang tunai kepadanya berperingkat-peringkat tetapi sehingga kini masih tiada keuntungan seperti yang dijanjikan. Sepatutnya saya mendapat untung beberapa minggu selepas itu.

"Saya kemudian bertemu dengan beberapa pihak di Port Dickson dan barulah mengetahui lelaki itu sebenarnya telah menipu ramai orang," katanya dalam satu sidang akhbar di Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, wang yang dilaburkan itu merupakan hasil keuntungan yang dikumpul dari perniagaannya selama beberapa tahun lalu.

"Saya tidak sangka melakukan pelaburan ini kerana apabila saya ke kolej swasta di Melaka itu, projek tersebut wujud tetapi dilakukan pihak lain.

"Malah beberapa individu yang diperkenalkan Shaik Mohamed kepada saya, yang didakwanya sebagai 'orang dalam' kolej itu sebenarnya tidak ada," ujarnya yang mempunyai dua salinan slip deposit bank sebagai bukti pembayaran kepada Shaik Mohamed.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, kes-kes penipuan seumpama itu banyak dilaporkan tetapi masyarakat masih mudah tertipu.

"Orang ramai dinasihati supaya menyelidik dahulu sebarang syarikat sama ada berdaftar atau tidak, sebelum pelaburan dibuat.

"Bagi kes Abdul Rashid ini, kita cadangkan dia membuat laporan polis di Port Dickson dan tidak takut dengan sebarang ugutan bagi memastikan tindakan lanjut dilakukan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130404/je_02/Kontraktor-ditipu-kerugian-RM150000#ixzz2PVv8nxjL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: