Sunday, February 20, 2011

Saya tak kisah...itu pendapat dia - Tan Sri Isa Samad


Saya tak kisah...itu pendapat dia

Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL

Petang Rabu Tan Sri Isa Samad kelihatan relaks saja sewaktu hadir di kompleks membeli belah AEON di AU2, Setiawangsa dekat Kuala Lumpur.

Beliau berada di situ untuk melancarkan Promosi Produk SAWARI (Satu Wilayah Satu Industri) Felda atas kapisitinya sebagai Pengerusi.

Wartawan yang pernah membuat liputan acaranya sejak beliau Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu tahu begitulah stailnya yang sentiasa nampak ceria tak kira apa situasi sekalipun.

Sejak dilantik sebagai Pengerusi FELDA nampaknya ada sahaja pihak yang cuba geletek beliau.

Sandaran mereka tidak lain daripada isu beliau digantung jawatan Naib Presiden UMNO oleh Lembaga Disiplin UMNO pada tahun 2005.

Sedangkan beliau sudah menjalani proses hukuman itu dengan baik dan menang dengan cemerlang kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang di Port Dickson melalui satu pilihanraya kecil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri lebih mengenali Isa dan pasti tahu kemampuannya dari segi politik dan pentabiran ketika melantiknya ke jawatan yang penting itu.

Sebagai orang politik yang sudah biasa melalui segala macam cabaran Isa juga steady ketika diminta mengulas komentar Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, yang menilai pelantikannya sebagai Pengerusi FELDA boleh mengakibatkan kebimbangan pasaran.

“Saya tak nak komen. Bagi saya, sedangkan Nabi yang dipilih oleh Tuhan pun ada yang tak suka, inikan saya, yang dipilih oleh manusia... Itu pendapat dia. Saya tak kisah.

“Dari mula saya pegang jawatan politik saya sudah banyak kena hentam dan sebagainya. ... Saya pun tak tahu latarbelakang dia, sama ada dia terlalu hebat atau pandai,” katanya.

Isa menegaskan beliau tetap komited dengan tugas yang diamanahkan ke atasnya untuk memajukan FELDA.

Katanya sekiranya diambil serius perkara itu, ia akan menghalang fokusnya untuk membangunkan FELDA dan memberikan taraf kehidupan lebih bermakna kepada peneroka di seluruh negara.

Sementara itu dalam ucapanya di majlis itu Isa berkata FELDA sudah melahirkan 36,187 usahawan di kalangan peneroka dan daripada jumlah itu 33 orang sudahpun bertaraf jutawan dengan pendapatan masing-masing melebihi RM1 juta setahun!

Beliau memberitahu nilai keseluruhan aktiviti perniagaan warga peneroka di rancangan FELDA pada tahun lalu mencapai RM1.06 billion dan beliau menganggarkan nilai itu akan bertambah sekali ganda tahun ini.

Turut hadir ialah Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab dan Nagahisa Oyama, Pengurus Besar AEON Co (M) Bhd. Promosi Produk SAWARI FELDA itu berlangsung di pusat membeli belah berkenaan pada 8 hingga 13 Februari.

Isa berkata, usaha promosi yang diadakan di antara Felda dan AEON Co (M) Bhd adalah untuk mempromosikan produk usahawan Felda bagi menembusi pasaran hypermarket tempatan dan luar negara, terutama Jepun.

Isa berkata, program pembangunan produk makanan dan kraf di FELDA digerakkan di bawah SAWARI dan Felda turut menganggotai Jawatankuasa SDSI peringkat kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan kejayaan program One Village One Product (OVOP) di Oita Prefecture, Jepun.

Pengerusi Felda itu berkata, melalui Model Baru Ekonomi, Felda mensasarkan setiap rancangan menjadi kuasa besar ekonomi pada 2020. – 9/2/11

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_2bdfe515-7f000010-2cbbb200-76aedd7a)

No comments: