Saturday, February 5, 2011

Faktor Najib jadi pendorong Cina undi BN


Faktor Najib jadi pendorong Cina undi BN
Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my
2011/02/05
Kemenangan Azahar di Tenang bukti gagasan 1Malaysia dapat tempat di hati nurani kaum

MCA belum boleh mendakwa keyakinan dan sokongan komuniti Cina terhadap parti itu mulai pulih berdasarkan kemenangan tiga daripa-da empat peti undi majoriti kaum itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahad minggu lalu.

Walaupun ada tanda kecil peningkatan undi komuniti itu, kemenangan Mohd Azahar Ibrahim, hampir keseluruhan disumbang faktor penerimaan kepemimpinan baru Datuk Seri Najib Razak, kesetiaan pengundi Melayu di FELDA dan kampung tradisional kepada Barisan Nasional (BN), selain calon serta gerak kerja jentera kempen.

Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan perincian perangkaan keputusan pilihan raya kecil DUN Tenang kerana cuti Hari Wilayah Persekutuan (Selasa lalu) dan sambutan Tahun Baru Cina sekarang. Tetapi Berita Harian difahamkan, ramai pengundi Cina yang tidak keluar mengundi kerana ‘faktor yang belum diketahui’.

Keseluruhan pengundi Cina di Tenang Station ialah 1,054 orang, Labis Timur (1,379), Labis Tengah (2,137) dan Labis (751). Ternyata, memang sebahagian mereka tidak keluar mengundi, sekali gus hujan lebat dan banjir yang melanda pagi Ahad itu boleh dijadikan alasan MCA, PAS dan DAP mengenai ketidakhadiran pengundi ke pusat pembuangan undi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dilaporkan bertemu Perdana Menteri di Putrajaya, petang Isnin lalu. Beliau mungkin melaporkan mengenai prestasi jentera kempen MCA dan Najib mungkin bertanya sejauh mana penerimaan pengundi Cina terhadap parti itu sekali gus mendorong mereka mengundi calon BN.

Kemenangan Azahar di peti undi di Tenang Station (393) dan menang tipis di Labis Timur (37), Labis (64) serta kekalahan dengan 486 undi di Labis Tengah terlebih dulu digambarkan melalui sambutan agak hangat terhadap ceramah PAS yang dihadiri pemimpin DAP di sekitar peti undi Labis Timur, Labis Tengah dan Labis. Ceramah anjuran MCA di lokasi sama pula agak suram walaupun difahamkan 80 peratus jenteranya anak tempatan. Namun ramai pengundi Cina di Tenang Station sekian lama memihak kepada BN dan buktinya sebanyak 744 undi diberi kepada calon BN melalui peti undi di situ.

Berbeza di Labis Tengah selaku kubu kuat DAP sejak dulu dan BN hanya sekali memenangi peti undi itu pada pilihan raya umum 2004. Ini diakui Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, yang awal-awal mengklasifikasikan Labis Tengah ‘ada latar belakang dan sejarah tersendiri’ untuk tidak menyokong calon BN.

Cuma difahamkan, perarakan kira-kira 500 orang dengan kemeja-T lambang 1Malaysia mendapat sambutan komuniti Cina di pekan Labis dan membuktikan gagasan ini kian mendapat tempat dalam nurani kaum itu sekali gus faktor Najib menjadi pendorong pengundi Cina memangkah calon BN.

Jika hujan lebat dan banjir dijadikan alasan pengundi Cina di kawasan pekan tidak mengundi, sebenarnya kebanyakan kawasan FELDA serta kampung tradisi Melayu lebih buruk keadaannya. Tetapi kenapa peratusan undi kepada calon BN meningkat? FELDA Tenang, FELDA Chempelak Barat dan FELDA Chempelak saja menyumbang 1,356 undi majoriti (63 peratus undi majoriti keseluruhan) daripada 3,707 undi kepada Azhar. Di ketiga-tiga FELDA itu, calon PAS, Normala Sudirman hanya mendapat 437 undi.

“Saya terharu dengan semangat dan sikap orang Johor yang sememangnya unik – orang tua dan uzur pun tetap keluar mengundi dalam hujan lebat dan meranduk banjir,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memberi mesej bahawa hujan dan banjir tidak boleh dijadikan alasan seperti dakwaan pembangkang kononnya penyokong calon PAS tidak dapat keluar mengundi kerana faktor cuaca itu.

Beliau turut menyifatkan kemenangan di DUN Tenang adalah kemenangan rakyat melalui calon terbaik yang ditawarkan BN untuk mewakili kepentingan mereka di situ.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, ketika ditemui di Putrajaya, Isnin lalu berkata: “Pengundi FELDA menyumbang 63 peratus undi majoriti tetapi kita tidak puas hati di kawasan tertentu. Cuma ada sedikit pergerakan undi Cina. Ini bererti ada kesan politik di peti undi Cina walaupun kemenangannya tidak banyak.”

Komuniti Cina yang tidak keluar mengundi kerana ‘faktor yang belum diketahui’ juga difahamkan ada kaitan dengan ketidakserasian antara DAP dengan PAS yang mengelirukan pengundi di Tenang.

Diistilahkan hubungan kedua-dua parti itu sebagai ‘unholy alliance’ (sekutu tidak suci), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, akhirnya membuat kenyataan yang menggambarkan kekecewaan partinya apabila mendakwa jentera pilihan raya PAS gagal menjalankan tugas meraih undi terutama di kawasan FELDA. Apakah kekecewaan itu ekoran Guan Eng merasakan DAP sudah melakukan yang terbaik memikat undi Cina di pekan Labis supaya menyokong calon PAS?

Pengakuan Guan Eng bahawa jentera BN di Tenang lebih cekap secara tidak langsung membawa maksud jentera PAS pada pilihan raya kecil itu lemah dan tidak berkesan. ‘Kejutan’ yang digembar-gemburkan pemimpin PAS sekadar paluan tin kosong. Sikap PAS yang begitu ‘budget’ (berjimat) bukan saja dilihat dari segi poster dan bendera, malah suasana bilik gerakan kecil di serata tempat yang kebanyakan lengang. Mencalonkan Normala bukan saja satu kesilapan percaturan PAS tetapi mungkin disengajakan untuk ‘menjimatkan’ calon kerana peluang kemenangannya sangat tipis dan calon terbaik parti itu boleh diturunkan ketika pilihan raya umum kelak.

Kelibat tiga kali Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenang juga dikatakan membawa padah kerana difahamkan ada ahli dan pemimpin PAS tempatan tidak suka beliau ‘campur tangan’ dengan datang berkempen. Apatah lagi, sebagai sekutu PAS dan DAP, tindakan Ahli Parlimen (PKR) Bagan Serai, N Gobalakrishnan, sehari sebelum pilihan raya kecil turut memalitkan kesan lumpur ke muka PAS.

“Pakatan parti pembangkang carca-marba dan ini memberi kelebihan kepada BN apabila pengundi semakin bijak menilai ketiga-tiganya yang kian kalut dan semakin tidak serasi,” kata Ahmad lagi.

Katanya, faktor lain yang memberi kemenangan bergaya kepada calon BN ialah kemampuan mengetengahkan calon boleh menang serta gerakan jentera kempen termasuk sayap penerangan di bawah kawalan Menteri Besar, Datuk Ghani Othman, seawal hari pertama selepas kematian Datuk Sulaiman Taha.

Selain itu, kemampuan BN mempertahankan dan menjaga kubunya di FELDA Tenang, Chempelak dan Chempelak Barat memberi pulangan berbaloi apabila warganya menyumbang 2,778 undi daripada 6,699 undi keseluruhan. Moral undi ini ialah pengundi FELDA tetap penyokong kuat kerajaan dan parti pembangkang akan terus berusaha merobek Johor kerana 25 peratus kerusi Parlimen ada di situ.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/FaktorNajibjadipendorongCinaundiBN/Article)

No comments: