Apabila orang Melayu tak mengaku Melayu
Saranan Salleh
1.0 ADA segelintir orang Melayu sudah malu mengaku diri mereka orang Melayu, kata Sultan Selangor. Baginda telah menyampaikan titah mengenai keadaan orang Melayu pada hari yang tepat masanya dan wajar difikirkan oleh orang Melayu.
2.0 Sudah nampak orang Melayu yang inginkan sokongan bukan Melayu sanggup membuat pengakuan yang bangsa Melayu itu tidak penting.
3.0 Tujuan mereka tentulah berbau politik. Dalam kucar-kacir yang berlaku dalam arena politik kumpulan atau individu yang tidak faham mentadbir hari ini, kita tentulah tidak hairan kerana mereka yang menjadi pengikut begitu taksub sehingga sanggup melihat satu-satunya benteng orang Melayu, iaitu agama Islam dipermainkan dengan diberikan terjemahan yang lain dan orang Melayu yang berada di situ tidak ada yang berani bersuara.
4.0 Begitulah hinanya orang Melayu diletakkan oleh orang lain dan kita sendiri tidak berani mengatakan apa-apa. Sebab apa...,sebab takut nanti hilang sokongan bangsa lain kepada parti politik kita. Tidak cukup penghinaan yang begitu, kita sendiri mengatakan Ketuanan Melayu tidak penting. Apa-apa dasar yang memberikan pertolongan kepada orang Melayu tidak penting, kerana orang Melayu hari ini sudah tidak perlukan bantuan itu semua.
5.0 Tidak mengapalah kalau keadaan menunjukkan yang kita ini jauh tinggal di belakang bangsa lain. Tidak mengapalah kalau keadaan ketidaksamaan ini berlanjutan sampai bila-bila demi kepentingan politik kita. Berkaitan dengan keadaan ada segelintir orang Melayu yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang Melayu, kita juga berasa sedih apabila ramai dalam kalangan orang Melayu tidak pandai menggunakan bahasa Melayu.
6.0 Lihat saja persidangan akhbar syarikat-syarikat milik kerajaan yang diketuai orang Melayu. Boleh dikatakan tidak pernah berjalan dalam bahasa Melayu. Maklumlah ketua-ketua eksekutif kita terlatih di luar negara dan penguasaan bahasa Melayu mereka lemah sekali. Lagi pun, lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris, sebab ada wartawan-wartawan yang datang pun tak faham bahasa Melayu, tambahan lagi ada perkataan seperti Quantitative Easing yang susah hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
7.0 Tetapi siswa dan siswazah kita kena belajar di universiti kita dalam bahasa Melayu. Tak mengapalah kalau rakan mereka di universiti swasta belajar dalam bahasa Inggeris. Jadi, kalau mereka dari universiti awam ini mencari kerja di sektor swasta, mereka akan bersaing dengan siswa lulusan dari universiti swasta. Tidak mengapa jika mereka diketepikan kerana mereka boleh jadi petani moden.
8.0 Sesiapa yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada hari ini boleh dianggap ketinggalan zaman kerana yang penting hari ini adalah merit. Penjawat awam pun ramai yang enggan mengetengahkan hak dan kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, jumlah rungutan kepada Biro Pengaduan Awam tentang penjawat awam yang angkuh bertambah lagi.
9.0 Keadaan semasa menunjukkan bukan saja jurang antara orang Melayu dengan bangsa lain masih luas tetapi jurang sesama orang Melayu sendiri semakin meluas. Ertinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ketidakseimbangan antara negeri-negeri juga masih luas. Tetapi itu semua tidak penting kerana sesiapa yang tidak mampu bersaing dalam zaman liberalisasi dan globalisasi hari ini, mereka akan ketinggalan.
10.0 Lagi pun, di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, ramai rakyatnya yang merempat. Di India dan Indonesia misalnya, ramai yang masih tidur di bawah jambatan dan di ruang hadapan hotel-hotel. Jadi, apa hendak hairan kalau ada orang Melayu yang masih tinggal dalam rumah seperti reban ayam atau reban kambing.
11.0 Sekurang-kurangnya, mereka tidak tinggal di bawah jambatan atau di hadapan hotel Hilton atau Shangri-la.
12.0 Kalau sudah orang Melayu sendiri tidak mengaku diri mereka orang Melayu, elok sangatlah dilaksanakan cadangan yang dibuat oleh seseorang Melayu dahulu iaitu di bawah ruangan bangsa dalam kad pengenalan, letak sahaja perkataan Malaysia, bukan perkataan Melayu. Senang bukan?. Cuma orang-orang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak setuju, sebab dia mengira Melayu dahulu, rakyat Malaysia di tempat kedua.
13.0 Apalah nak jadi dengan orang Melayu yang tak mengaku diri mereka orang Melayu? Kita letakkan saja mereka di sebelah kerana dalam alif ba ta, sekali ba itu bangsa dan kalau sudah tak mahu mengaku bangsa biarkan sajalah. Tidak hairanlah kalau perkara yang lain-lain berkaitan dengan bangsa pun tidak penting lagi bagi mereka seperti budaya, agama dan penggunaan bahasa Melayu.
14.0 Mudah bagi kita untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa mereka yang tidak mahu mengaku orang Melayu ini mengganggu kita dari semasa kesemasa.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive)
2 comments:
Sedihnya....
saya nk tnya kepastian.
Adakah bugis itu melayu atau tergolong suku kaum lain kerana ada seorang yang mengaku bugis2 sedap2 kutuk melayu.
Post a Comment