Friday, July 2, 2010

Kunta Kinte: Peniaga Melayu perlu pengeras

Kunta Kinte: Peniaga Melayu perlu pengeras


2010/07/02

1.0 MINGGU ini, Kunta Kinte nak cakap sikit lagi pasal perniagaan Bumiputera. Mula-mula sekali, Kunta Kinte nak bangkang anggapan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera bukan bangsa perniagaan.

2.0 Anggapan ini adalah kesan dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris. Inggeris dan bangsa penjajah Eropah lain datang ke rantau kita ini kerana perniagaan.

3.0 Siapakah yang berniaga di rantau ini kalau bukan suku kaum Melayu Nusantara? Lama sebelum penjajah Barat muncul di dunia Melayu, orang Melayu sudah berniaga dengan orang Arab, India dan China.

4.0 Apabila Laksamana China, Cheng Ho atau Zheng He atau Haji Mahmud Shams melayari Laut China Selatan dan Lautan Hindi antara tahun 1405 dan 1433 dia singgah lima kali di Melaka.

5.0 Apa pasal sampai lima kali? Pasal dia dapati pelabuhan-pelabuhan Nusantara, khasnya Melaka, sarat dengan pedagang Melayu, India dan Arab.

6.0 Malah dicatatkan dalam laporan pelayarannya yang wanita Melayu memainkan peranan penting sebagai pedagang dan perantara dalam urusan perniagaan.

7.0 Tapi apabila Inggeris mula bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, pegawai tadbir dan penulisnya mula mencipta mitos ‘the lazy Malays’ (Melayu malas), sama ada kerana naif atau berniat jahat.

8.0 Malangnya, kelicikan Inggeris membuat dakyah melalui penulisan dan pengisahan, ramai orang Melayu percaya kepada mitos Melayu malas ini dan orang Melayu hanya boleh bertani dan makan gaji.

9.0 Ini langsung tidak benar. Tapi kerana kesan dakyah yang sangat dalam ini, sampai hari ini pun ada lagi orang Melayu yang curiga kepada bangsa sendiri.

10.0 Kalau kita tengok balik sejarah, kita dapati lepas Perang Dunia Kedua dan sebelum Merdeka, ramai orang Melayu berniaga bagi mengisi ruang yang dikosongkan oleh orang Cina. Orang Cina bercempera masa penjajahan Jepun dan sekali lagi apabila Inggeris isytihar Darurat pada 1948.

11.0 Banyak perniagaan Cina terjejas pada zaman Jepun dan bila jadi darurat komunis, banyak kedai Cina di pedalaman ditutup kerana pemiliknya dipindahkan ke kampung-kampung baru.

12.0 Masa itu, bukan saja peniaga Melayu cergas, syarikat kerjasama Melayu pun banyak. Ada kilang beras Melayu, kilang papan Melayu, percetakan Melayu dan toko-toko buku Melayu.

13.0 Tapi orang Melayu dari dulu lagi kurang modal. Jadi bila orang Cina dengan modal yang lebih besar bina balik perniagaan mereka lepas merdeka, mulalah perniagaan Melayu merosot kerana tak mampu bersaing.

14.0 Dasar Ekonomi Baru bagi sikit anjakan kepada masyarakat perniagaan dan perindustrian Melayu, tapi tetap tidak cukup kuat untuk berlawan dengan Cina.

15.0 Jadi, walaupun bilangan peniaga Melayu bertambah, tapi nisbah mereka jauh tertinggal daripada peniaga Cina. Malah dengan orang India pun kalah. Minat berniaga merosot bila peluang makan gaji dengan swasta meningkat mulai 1960-an hasil Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan dasar menggalakkan perindustrian.
Orang Melayu suka kepada idea lebih senang dan lebih selamat makan gaji dengan kerajaan dan di kilang daripada jadi peniaga.

16.0 Tapi ini tak bermakna orang Melayu tak berminat berniaga. Mereka berminat dan boleh berniaga. Ramai anggota generasi muda Melayu yang berminat berniaga atau sudah pun masuk bidang itu.

17.0 Tapi kalau diharapkan mereka berlawan peniaga Cina dengan tak ada bantuan, Kunta Kinte rasa sampai bila-bila pun peniaga Melayu akan jadi peniaga kelas dua dan peniaga cukup makan saja.

18.0 Majoriti peniaga yang jadi anggota atau diwakili oleh Dewan Perniagaan Melayu adalah orang miskin yang dapat untung RM1,500 hingga RM2,500 sebulan. Inilah nasib majoriti Melayu yang berniaga.

19.0 Pasal itulah mereka sangat perlukan suntikan semangat dan tempat berlindung macam MARA dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

20.0 Bukan pasal semua dapat bantuan daripada MARA atau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tapi pasal agensi macam inilah yang jadi ‘pengeras’ masyarakat perniagaan dan perindustrian Bumiputera (MPPB).

21.0 Lagi teruklah MPPB kalau dasar utama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah buat keuntungan maksimum hingga sanggup berlawan dan bunuh peniaga dan pengusaha Melayu/Bumiputera.

22.0 Dah pun berlaku. Banyak kontrak dan projek yang dulu dibahagi-bahagikan kepada usahawan Bumiputera sekarang dibolot dan dimonopoli oleh GLC.

23.0 Merekalah kontraktor utama dan mereka jugalah subkontraktor. Merekalah pemaju utama dan mereka jugalah kontraktor. Jadi macam mana usahawan Bumiputera nak bersaing dan maju.

24.0 Sekali lagi Kunta Kinte pinjam ungkap ikonik pelawak Nabil, ‘lu fikirlah
sendiri’

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuntaKinte_PeniagaMelayuperlupengeras/Article)

No comments: