Tuesday, June 22, 2010

'Serang' pembangkang lebih agresif - TPM

ARKIB utusan: 21/06/2010
'Serang' pembangkang lebih agresif - TPM

MUAR 20 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pendekatan 'menyerang' yang lebih agresif digunakan para pemimpin Barisan Nasional (BN) bagi menggempur pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilontarkan pakatan pembangkang terhadap parti itu serta kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, taktik bertahan yang dipraktikkan selama ini mengakibatkan semakin banyak fitnah terhadap BN tersebar luas melalui pelbagai medium terutama dalam Internet dan blog sehingga berjaya memperdayakan masyarakat.

Beliau berkata, ancaman yang dibawa pakatan pembangkang perlu dipatahkan dan BN perlu bangkit daripada tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mahu pemimpin BN beri tumpuan kepada soal yang lebih utama, (iaitu) soal beri penjelasan kepada rakyat, penipuan dan pembohongan yang berlaku dan fitnah disebar oleh pembangkang.

"Kita kena ambil pendekatan offensive (menyerang), jangan lihat kita defensif bila ada isu dan masalah. Kita hanya jelaskan sahaja tanpa kita ambil langkah offensive, seperti orang kata pegang lembu pada kepala dan lawan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Dewan Sri Pekembar dekat sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengingatkan semua pemimpin BN supaya tidak bertelagah sesama sendiri secara terbuka sebaliknya mesti fokus untuk menghadapi cabaran musuh politik sebenar iaitu parti pembangkang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pertelagahan sesama sendiri merupakan perbuatan yang mendedahkan kelemahan sedangkan pembangkang pula bijak menyembunyikan pelbagai kelemahan mereka.

Muhyiddin berkata, seruan Perdana Menteri itu perlu diberi perhatian serius supaya parti komponen BN tidak bergelumang dalam masalah sehingga menjejaskan peluang pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya pun pernah berkata kita harus tumpukan usaha mengukuhkan parti dan sebab itu langkah-langkah perlu dibuat untuk memperbetulkan kelemahan dalam parti.

"Kalau ada perpecahan dan pertembungan sehingga timbul puak bertentangan antara satu sama lain, itu akan menjejaskan kewibawaan dan keberkesanan BN," katanya.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penularan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di negara ini merupakan gimik politik, Muhyiddin berkata, amaran tersebut dikeluarkan pihak polis berdasarkan fakta dan bukannya isu politik.

Beliau berkata, sikap tidak serius yang diambil oleh Anwar itu amat berbahaya kerana JI dan Al-Qaeda mempunyai rangkaian di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali kerana ia terbuka kepada pelancong serta pelajar asing.

"Sekiranya ketua pembangkang menidakkan perkara itu walaupun telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa keselamatan, dia seolah-olah tidak kisah dengan kehadiran kumpulan tersebut," katanya.

Muhyiddin berkata, isu keselamatan merupakan perkara yang serius dan rakyat harus mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa keselamatan negara yang bertindak atas bukti-bukti jelas.

"Kalau dengan sebab itu (pendedahan mengenai JI) rakyat melihat kerajaan tegas dan tahu apa yang berlaku, pembangkang rasa itu memperlihatkan kelemahan mereka, sebab itu mereka menidakkan perkara itu agar rakyat tidak percaya," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm)

No comments: