Thursday, June 17, 2010

Kedudukan Melayu berterusan dipersoal

Kedudukan Melayu berterusan dipersoal
Oleh Rejal Arbee

2010/06/17
Kelantangan orang Cina mahu hak sama rata jejas perpaduan

1.0 DALAM tempoh sebulan dua ini akhbar berbahasa Cina, iaitu Sin Chew Jit Poh, China Press dan Nanyang Siang Pau senada mempersoalkan kedudukan Melayu yang dikatakan mendapat segala keistimewaan hingga menjejas kedudukan bukan Melayu khususnya Cina.
Boleh dikatakan setiap hari ada saja makalah atau surat yang berterusan menimbulkan isu bagaimana Cina, terutama dianak tirikan walaupun kerajaan berterusan melaungkan slogan 1Malaysia.

2.0 Jadi pada mereka ini, apakah 1Malaysia itu bermakna Melayu harus ketepikan kedudukan mereka, walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Sesiapa saja yang cuba mempertahankan kedudukan yang dijamin Perlembagaan itu adalah pelampau?

3.0 Maka itulah, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut matlamat memperjuangkan Melayu dapat menguasai 30 peratus daripada ekonomi negara pun, akhbar Cina ini mempersoalkannya.

4.0 Dipersoalkan juga kenapa mahu berterusan dengan dasar diskriminasi begini? Tetapi apakah matlamat supaya orang Melayu menguasai 30 peratus ekonomi negara ini pun mahu dipertikaikan? Yang salahnya kerajaan terlalu konservatif menetapkan hanya 30 peratus, walaupun jumlah Melayu dalam negara ini sudah mencecah 60 peratus.

5.0 Akhbar itu juga mempersoalkan hasrat kerajaan hendak menambahkan hartanah kepunyaan Bumiputera, meningkatkan teknologi usahawan Bumiputera, mengembangkan jumlah usahawan Bumiputera serta mengambil profesional Bumiputera secara keseluruhan kononnya sebagai tidak senada dengan semangat Model Baru Ekonomi.

6.0 Kononnya ini bercanggah dengan hasrat awal hendak mengutamakan keberkesanan kemajuan ekonomi tanpa menghiraukan bangsa. Inilah sikap mereka yang tidak senang dengan usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum.

7.0 Dilihat pendapatan isi rumah Melayu dengan pendapatan isi rumah kaum India pun, orang Melayu masih ketinggalan, jangan kata hendak dibandingkan dengan pendapatan isi rumah orang Cina. Anehnya kebanyakan tulisan yang dimuatkan itu disebut sebagai tidak semestinya mencerminkan pandangan akhbar terbabit. Sungguh mudah untuk berselindung.

8.0 Maka tidak menghairankan kenapa timbul suara dalam akhbar Melayu apa lagi yang orang Cina mahu? Ini juga sudah pun dijawab beberapa orang Cina tertentu dan juga akhbar Cina. Mereka mahu kuota di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dihapuskan, biasiswa diberi mengikut kelayakan dan merit, tempat lebih banyak dalam perkhidmatan kerajaan, kenapa syarikat Cina saja dikehendaki juga dipegang 30 peratus Melayu, kontrak kerajaan jangan diberikan kepada Melayu saja.

9.0 Dengan itu Melayu sendiri sudah berasa amat gelisah dan tidak sedap hati dan berfikir apakah selama ini Cina dipinggirkan? Sebenarnya semua sepatutnya melihat persoalan ini secara rasional dan tidak harus digembar-gemburkan seolah-olah orang Melayu begitu ekstrem sekali hingga menyekat kedudukan masyarakat Cina.

10.0 Apa sebenarnya kedudukan mereka sekarang? Apa sebab Melayu masih mempertikaikan apa yang disuarakan orang Cina ini dan kenapa kini ada di kalangan Melayu memberi reaksi dengan menubuhkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

11.0 Tetapi dalam pada itu, penubuhan PERKASA juga tidak disenangi orang Cina kononnya mereka ini memperjuangkan keadaan yang mana bukan Melayu akan berterusan dipinggirkan hingga ada yang mengandaikannya sebagai satu perjuangan Quixotic, yang sia-sia seperti Mat Jenin, dengan mengambil cerita klasik Sepanyol, Don Quixote yang banyak berangan-angan tidak munasabah.

12.0 Sebenarnya, Melayu sendiri tidak pula mempertikaikan penubuhan pelbagai pertubuhan Cina, iaitu pelbagai Dong yang begitu lantang memperjuangkan kedudukan sekolah Cina dan lain-lainnya. Dalam pada itu, pertubuhan itu memberi gambaran orang Cina sepatutnya memasuki sekolah Cina saja.

13.0 Mereka ini seolah-olah tidak mahu wujudnya pergaulan antara kaum di sekolah. Sememangnya sekarang ini sudah tidak wujud lagi pergaulan sihat antara anak Melayu dan anak Cina khususnya apabila dilihat kedudukan jumlah murid di sekolah kebangsaan mengikut kaum. Jika ini berterusan apa akan jadi kepada negara ini?

14.0 Terakhir timbul pula soal kerajaan mahu semua peruncit yang menjual tiga barangan kawalan, gula, tepung dan minyak masak, dilesenkan yang dianggap sebagai sengaja mahu menyusahkan peruncit yang kebanyakannya terdiri daripada Cina. Mereka ini mempertikaikan keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

15.0 Ini disambut persatuan peruncit yang mengarahkan semua ahlinya memboikot jualan gula, tepung dan minyak masak. Ini pun sudah dijadikan suatu hal perkauman.

16.0 Dalam pada itu, wujud pula ancaman daripada mereka ini bahawa Cina tidak lagi akan mengundi BN pada pilihan raya akan datang sekiranya kerajaan berterusan hendak mensyaratkan mereka mempunyai lesen jualan barangan itu.

17.0 Mereka berkata, ini akan hanya menyusahkan peruncit dan pegawai penguat kuasa kementerian berkaitan akan mengganggu mereka serta memberikan satu lagi jalan untuk rasuah. Sebenarnya ini tidak akan berlaku sekiranya peruncit benar-benar patuh dengan soal tidak menyorok barang atau melakukan yang bertentangan peraturan.

18.0 Apa pun sasaran mereka ialah mempersoalkan kehendak Melayu juga diberi peluang untuk menguasai 30 peratus daripada ekonomi negara ini, tidak tepat. Apa yang sepatutnya mereka persoal dan perjuangkan ialah menghapuskan sistem patronage dan kroni di mana syarikat yang tidak layak diberi kontrak atau di mana yang mendapat kontrak mengagihkannya (beri kontrak (sub) projek itu kepada kontraktor lain) dengan mengambil komisyen saja.

19.0 Ini tentunya akan menyebabkan kerja yang dilaksanakan tidak menepati mutu dikehendaki. Misalnya apabila sesuatu kontrak bernilai RM100 juta diberikan kepada kontraktor yang tidak layak menerimanya, dia akan subkontrakkan kerja itu kepada kontraktor lain dengan harga yang lebih murah, iaitu harga setelah ditolak komisyennya mungkin sehingga 20 peratus.

20.0 Maka projek yang sepatutnya bernilai RM100 juta kini dilaksanakan sebagai sebuah projek bernilai RM80 juta saja. Jadi bagaimana hendak menjamin projek yang berkualiti? Maka itulah timbul pelbagai kejadian di mana projek apabila siap ada saja masalahnya.

21.0 Sistem patronage inilah yang sepatutnya dihapuskan dan yang orang Cina juga patut perjuangkan. Sistem ini sepatutnya sudah dihapuskan dan kontrak sedemikian dilaksanakan secara terbuka dan telus. Demikian juga pemberian kontrak sepatutnya diberikan kepada yang layak dan yang boleh melaksanakan sesuatu projek itu dengan baik dan dengan mutu seperti mana diharapkan.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KedudukanMelayuberterusandipersoal/Article)

No comments: