Wednesday, June 23, 2010

Ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas



(gamber hiasan)

Ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas

KENYATAAN Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai amalan politik sate di kalangan pendokong parti itu patut mendapat perhatian serius semua pihak termasuk pemimpin dan mereka yang dipimpin dalam parti berkenaan.

Sebenarnya amalan memburuk- burukkan pemimpin dalam parti UMNO sememangnya sudah berlaku beberapa tahun lalu tetapi tidak ramai yang ingin mengambil tahu. Pemimpin yang benar-benar bekerja untuk parti dan rakyat negara ini sering menjadi mangsa fitnah dan berjaya ditumbangkan dalam pemilihan pemimpin parti bila tiba masanya.

Sesetengah ahli UMNO menganggap amalan dan budaya itu sudah sebati dan diterima pakai kebanyakan ahli parti.

Ketika perpecahan orang Melayu dalam arena politik yang semakin meruncing di negara ini, saya menganggap kenyataan Ahmad Zahid harus diambil perhatian sebelum nasi menjadi bubur.

Orang Melayu perlu bersatu, rasional dan tidak sentiasa melayani emosi negatif agar pencapaian pemimpin UMNO dalam Pilihan Raya Ke-13 nanti disegani masyarakat Malaysia.

Saya bersetuju agar ahli UMNO berhenti mengamalkan budaya ‘politik sate’ yang berleluasa dalam parti itu kerana ia boleh menyemai perasaan benci di kalangan mereka sehingga menimbulkan perpecahan.

Sebarang perselisihan pendapat seharusnya diselesaikan segera supaya tidak berlarutan sehingga ke satu peringkat yang tidak boleh diselamatkan lagi.

Kita tidak boleh amalkan politik sate kerana unsur sate yang mungkin ada dalam parti UMNO pada masa kini boleh merosakkan kehidupan orang Melayu.

Memang benar dalam proses membuat sate ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas kerana dia akan bakar daging untuk orang lain makan.

Oleh itu ahli yang menjadi seperti tukang kipas dan tukang cucuk dalam UMNO adalah petualang parti yang mesti diketepikan sepanjang masa.

Nasihat Ahmad Zahid agar ahli UMNO tidak menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap pemimpin secara terbuka kerana ia boleh dijadikan modal pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan parti memang ada kebenarannya.

Saya ingin mencadangkan supaya UMNO mengaktifkan Biro Pengaduan Awamnya di setiap bahagian agar semua perasaan tidak puas hati diluahkan di situ.

Semua aduan hendaklah dilayan secara profesional dan ada pegawai berpengalaman mengendalikannya.

Banyak masalah dan isu boleh ditangani dengan lebih berkesan sekiranya biro ini diuruskan dengan baik dan teratur.

Pemimpin bertanggungjawab di peringkat bahagian hendaklah mengkaji dan meneliti aduan ahli UMNO sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

Semua tindakan pula hendaklah dimaklumkan semula kepada pengadu dalam tempoh yang singkat iaitu tiga hingga lima hari pada tarikh aduan diterima.


Meru Height, Ipoh">

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm)

No comments: