Tuesday, December 22, 2009

Ketua Penerangan PAS: Anak MB 'buka pekung' ulas isu suami


Anak MB 'buka pekung' ulas isu suami: Idris Ahmad

oleh:Salhan K Ahmad
Dis 21, 09 11:33am

Nik Amalina Nik Abdul Aziz tidak seharusnya "membuka pekung di dada" dengan mendedahkan isu-isu melibatkan kepentingan parti di blog peribadi anak menteri besar itu, kata ketua penerangan PAS.

"Banyak perkara yang melibatkan hal dalaman tidak bolehlah diceritakan kepada semua orang sebab akan jadi seperti membuka pekung di dada," kata Idris Ahmad

Tambahnya, tindakan anak perempuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang didesak melepaskan jawatan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), melalui blog "tidak sepatutnya dilakukan" kerana ia berkait dengan soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Perkara yang melibatkan masalah pentadbiran dan dasar parti ini tidak sepatutnya didedahkan dalam blog," kata Idris ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Jelasnya, isu melibatkan Abdul Ariffahmi, seperti yang diulas secara meluas di Internet, tidak sepatutnya disentuh oleh Nik Amalina dalam blognya Seri Suri (serisuri.wordpress.com), yang dimulakan pada 11 Disember itu.

Dalam coretannya, Nik Amalina antara lainnya mencabar seorang anggota exco Kelantan – yang tidak dinamakan – meletakkan jawatan, rentetan daripada kontroversi melibatkan suaminya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) PMBK.

"Kalau ditanya saya, tentunya saya jawab, kalau adapun exco yang patut letak jawatan, saya wajibkan seorang exco itu saja yang letak jawatan. Ada berani Exco yang seorang itu menyahut cabaran?" tulis Nik Amalina, 13 Disember lalu.

Exco yang dimaksudkan Nik Amalina itu dipercayai Datuk Husam Musa, pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, yang diketahui rapat dengan penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

Gesaan supaya Husam meletakkan jawatan itu dipercayai timbul berikutan serangan terbuka yang dilancarkan Syed Azidi, bekas pegawai perhubungan awam PMBK yang dipecat oleh Abdul Ariffahmi.
Penulis blog itu turut mempertikaikan Nik Abdul Aziz – yang disifatkannya “sandiwara” – atas kelengahan peletakan jawatan CEO itu.

Mengulas tindakan serang-menyerang di ruang siber antara Syed Azidi dan Nik Amalina, Idris berkata ketegangan antara kedua-duanya itu sepatutnya dapat diselesaikan secara rundingan.

"Perkara seperti ini lebih baik diselesaikan dengan cara perjumpaan, bukannya ditulis dalam blog sebab kita ada mekanisme untuk bermesyuarat, ikut saluran parti," kata Idris lagi.

"Sesiapapun boleh tulis blog. Saya sendiri pun ada blog, tetapi perkara ini tidak sepatutnya diulas lebih lanjut (oleh Nik Amalina).

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Abdul Ariffahmi dilaporkan enggan mengikut telunjuk Dewan Pemuda PAS Kelantan yang mendesaknya segera berundur – tidak seperti jadualnya untuk berundur 23 Mac tahun depan.

Gesaan dewan tersebut, yang turut dianggotai beliau sebagai sebagai exco, dibuat hujung minggu lalu susulan tekanan yang disuarakan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/120271)

No comments: