Sunday, March 22, 2009

Siapa jadi pilihan?

Detik penentuan bagi pemilihan UMNO sudah hampir. Setelah dikejutkan dengan keputusan Lembaga Disiplin melarang calon Timbalan Presiden, Ali Rustam daripada bertanding atas kesalahan politik wang, bahang pemilihan makin terasa panas.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden kini tertumpu antara Muhyiddin Yassin dan Muhammad Muhd. Taib. Banyak pihak daripada rakyat, ahli akademik sehinggalah kepada negarawan melihat Muhyiddin lebih layak menjadi gandingan Najib tetapi yang akan membuat penentuan adalah perwakilan.

Sejauh mana para perwakilan akan mengundi berdasarkan aspirasi masyarakat Melayu, adalah satu persoalan yang menarik. Mungkinkah Muhammad akan melakukan kejutan dengan andaian penyokong Ali akan mengalihkan sokongan kepada beliau? Sukar untuk dipastikan pada peringkat ini kerana Muhyiddin masih menjadi calon favourite dan sudah ada juga anggota jentera kempen Ali yang menyokong Muhyiddin atas pelbagai faktor.

Bagi pemilihan jawatan tersebut, para perwakilan dijangka membuat penilaian lebih ketat berbanding jawatan lain. Persaingan tersebut juga diwarnai dengan pelbagai cakap-cakap politik termasuk melihatnya sebagai ‘perang proksi’. Menurut ramai pemerhati, Abdullah dikatakan menyokong Muhammad sementara Najib dilihat memihak kepada Muhyiddin.

Siapa pula tiga calon Naib Presiden yang akan menang? Apakah kesemuanya muka baru dan agak muda atau mungkin ada gandingan pemimpin veteran. Setakat ini, difahamkan, Zahid Hamidi mendahului rating bagi jawatan itu yang menjadi rebutan lapan calon.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO, apakah Rafidah Aziz yang telah lebih dua dekad menjadi ketua pergerakan itu mampu mempertahankan jawatan atau pesaingnya, Shahrizat Abdul Jalil akan muncul sebagai ketua yang baru?

Tumpuan utama juga pastinya kepada jawatan Ketua Pemuda antara Mukhriz Mahathir, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin. Ketiga-tiganya dikatakan mempunyai peluang yang hampir sama untuk menang.

Tidak kurang mendapat perhatian ialah persaingan bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT), Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda. Kini semua calon dan ejen mereka memperhebatkan kempen menjelang saat-saat akhir.

Meskipun sudah ada pemimpin UMNO dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang tetapi berdasarkan banyak maklumat terkini, ia nampaknya tidak menakutkan calon apatah lagi perwakilan. Realitinya penggunaan wang masih berleluasa yang kemuncaknya dijangkakan pada malam sebelum pengundian.

Sudah banyak yang diperkatakan tentang politik wang tetapi tiada perubahan. Sementara UMNO mengambil langkah merombak sistem pemilihan parti, para perwakilan perlu diberikan gelombang peringatan terutama dalam ucapan Najib pada perasmian persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri serta amanat Presiden pada perasmian perhimpunan.

Awang juga mencadangkan agar sekretariat UMNO memperdengarkan bacaan ayat suci al- Quran untuk seketika di dewan pemilihan sebelum perwakilan mengundi. Al-Quran ada ‘frekuensinya’, semoga sedikit sebanyak dapat mendorong keberanian dan kebijaksanaan memilih barisan baru yang berwibawa demi agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya perwakilan menjadi penentu sama ada UMNO mampu bangkit atau tersungkur lebih awal. Tidak perlu pihak luar membunuh UMNO...

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

(sumber;utusan-online)

No comments: