Zulkiflee Bakar
APABILA hampir 2,500 perwakilan UMNO melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai Selasa ini, mereka mempunyai dua pilihan. Pertama, bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan parti bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO atau kedua, menjadi salah seorang yang akan membantu meruntuhkan UMNO.
Hakikatnya, semua pihak tidak perlu lagi memberikan peringatan kepada perwakilan betapa pentingnya pemilihan kali ini. Mereka sendiri sudah memahami bagaimana kedudukan UMNO sekarang yang ditafsirkan berada dalam keadaan cukup kritikal. Pemilihan kali ini dianggap penentu kepada perjalanan hidup mati UMNO dan di tangan perwakilanlah terletak nasib parti, bangsa, agama dan negara.
Semua itu bergantung sejauh manakah mereka menginsafi dan menggunakan segala kebijaksanaan bagi membariskan satu pasukan yang benar-benar mantap dan berwibawa untuk mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui parti dan negara. Justeru, ketika hendak membuat pengundian segala sentimen apatah lagi berkaitan simpati, fitnah, tohmahan dan keuntungan peribadi harus dipinggirkan.
Dalam soal ini, jika senarai calon-calon yang bertanding bagi semua jawatan kecuali Presiden dikaji, adalah jelas pasukan idaman yang diinginkan oleh Najib sudah tersedia cuma menanti nama mereka dipilih sahaja oleh perwakilan. Seperti mana kata Najib, beliau berharap perwakilan akan memberikan set kepimpinan yang boleh mengemudi perubahan dan bersedia menghadapi cabaran. Ertinya, kata beliau pemimpin yang sebaik-baiknya dipilih untuk parti.
Berdasarkan nasihat itu, perwakilan UMNO tidak boleh menyenaraikan atau memilih pemimpin yang hakikatnya mampu membawa masalah kepada parti. Ia bermakna, apabila terpilih UMNO terpaksa menyeret bersama ‘bagasi’ masalah yang ada kepada pemimpin tersebut.
Pemilihan ini adalah untuk mencari barisan pemimpin yang bersih dan berwibawa, inilah ciri-ciri penting yang perlu ada dalam perwakilan membuat keputusan. Lebih tepat lagi, barisan yang dipilih haruslah dilihat mantap untuk parti dan sedap mata memandang bagi rakyat.
Tumpuan utama pemilihan sudah pastilah ke arah penentuan siapakah bakal menjadi gandingan Najib, iaitu bagi kedudukan Timbalan Presiden yang seterusnya akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia menyaksikan pertarungan antara dua menteri kabinet, seorang bertaraf Ahli Parlimen dan seorang lagi Senator. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Senator Tan Sri Muhammad Muhd.Taib.
Dari segi pengalaman tidak dapat dinafikan kedua-dua mereka adalah bekas Menteri Besar yang berjaya memajukan negeri masing-masing, Muhyiddin di Johor manakala Muhammad di Selangor. Tetapi dalam Kabinet, Muhyiddin jauh lebih berpengalaman kerana pernah menjadi Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri serta menjadi menteri di empat kementerian termasuklah kini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dalam parti pula, Muhyiddin pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor, Ahli Majlis Tertinggi mulai 1985 dan dipilih sebagai Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 hingga sekarang.
Bagi Muhammad, beliau pernah menjadi Menteri Besar Selangor mulai 1986 hingga 1997, Naib Presiden UMNO (2000-2003) dan Ketua Penerangan UMNO (Mac 2008 - sekarang). Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Muhammad buat pertama kalinya dibawa ke dalam Kabinet sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Berdasarkan kepada pengalaman, di atas kertas rakyat, mereka sudah tahu siapa yang paling layak untuk digandingkan dengan Najib. Ini kerana Najib memerlukan seorang timbalan yang benar-benar mantap, berwibawa, tiada sejarah silam yang boleh mewujudkan persepsi buruk rakyat dan berkemampuan membantu menangani isu dalam dan luar negara. Namun sepanjang manapun rekod yang disenaraikan ia terserah kepada kebijaksanaan perwakilan menilainya. Apa yang pasti memetik kata seorang pemimpin kanan UMNO,‘‘ kriteria utama untuk menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri mestilah seorang yang sudah lama dalam kabinet dan parti.”
Bagi jawatan Naib Presiden pula, terdapat lapan calon yang bertanding iaitu Datuk Seri Mohd. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Berdasarkan tinjauan, Zahid, Hishammuddin, Shafie dan Rais bersaing hebat bersama-sama dengan Khaled.
Dalam soal ini, perwakilan mempunyai dua pilihan iaitu memilih gandingan mereka yang berlatar belakang agama, generasi muda dan veteran atau agama dan generasi muda sahaja. Jika pilihan pertama diambil, kecuali bagi latar belakang agama yang sudah pasti memihak kepada Zahid, Hishammuddin pula dilihat sesuai untuk mewakili generasi muda bersaing dengan Khaled dan Shafie manakala Rais dilihat berpeluang cerah mewakili veteran.
Ini kerana UMNO dikatakan memerlukan seorang pemimpin veteran bagi mengimbangi perubahan yang sedang berlaku dalam parti. Bagaimanapun jika pertimbangan hanya ingin menggandingkan generasi muda dan agama, Hishammuddin, Shafie dan Zahid mempunyai peluang cerah. Selain kewibawaan sepanjang berada dalam Kabinet, tradisi Ketua Pemuda dipilih menjadi Naib Presiden akan membantu Hishammuddin, kehadiran sebagai ‘wakil tunggal’ dari Sabah dan mewakili Borneo secara keseluruhannya akan membolehkan Shafie menjadi pilihan.
Bagi Zahid pula yang dilihat sebagai calon favourite, selain mewakili latar belakang agama, sejak berada dalam Kabinet mulai Mac 2004, Zahid sentiasa dilihat mempamerkan prestasi cemerlang. Namun begitu saingan daripada Khaled tidak boleh diketepikan, ada juga pihak melihat beliau mampu mewakili generasi muda. Syed Hamid pula tetap berpeluang jika perwakilan mengambil kira ketegasan dan kemampuan mengendalikan Kementerian Dalam Negeri.
Walaupun kehadiran Isa dan Rahim tidak boleh dipinggirkan namun dalam situasi UMNO sekarang, perwakilan sudah pasti tahu apa pendirian mereka dalam menentukan nasib kedua-dua pemimpin itu.
Bagi jawatan Ketua Pemuda, persaingan sengit berlaku antara tiga calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Secara nyata, Mukhriz dianggap calon selesa untuk UMNO berdasarkan kepada latar belakangnya yang dikatakan masih belum terpalit dengan sebarang rekod dan persepsi. Ada tafsiran yang menyatakan dengan memilih Mukhriz, UMNO tidak perlu bersoal jawab banyak kenapa beliau dipilih. Tetapi ada juga hujah yang menyatakan Mukhriz dilihat pemimpin yang belum diuji sepenuhnya berbanding dengan pesaing-pesaingnya itu.
Justeru bukanlah sesuatu yang luar biasa, jika Khairy dan Mohamad Khir juga turut menjadi pertimbangan perwakilan Pemuda kerana kedua-dua mereka tidak harus dikorbankan hanya semata-mata kerana persepsi apatah lagi fitnah. Khairy contohnya, selain dikatakan berada dalam usia yang sesuai dengan Pemuda, beliau juga dikatakan berkeupayaan menerajui Pemuda kerana dilihat berjaya memainkan peranan membantu Hishammuddin ketika menjadi Naib Ketua.
Mohamad Khir pula dilihat pemimpin yang sudah teruji berikutan kedudukannya yang pernah menerajui Selangor sebagai Menteri Besar sebelum kehilangan kedudukan berkenaan akibat tsunami politik yang berlaku. Hakikatnya, ketiga-tiga calon mempunyai keupayaan memimpin Pemuda, oleh itu perwakilan Pemuda haruslah berfikir tenang dan tidak melihat seseorang calon dari sudut negatif sahaja atau menolak seseorang calon itu sebelum menilai keupayaan dan kekuatannya.
Ini kerana seperti mana kata seorang pemerhati politik, Pemuda UMNO memerlukan lonjakan dan pacuan bagi meninggalkan zon krisis untuk kembali ke zon selamat, oleh itu penilaian harus dilakukan berdasarkan kepada calon manakah paling sesuai untuk melakukan lonjakan tersebut.
Bagi Ketua Wanita pula, siapa yang bakal ‘mewarisi’ kedudukan itu secara demokrasi turut menjadi tumpuan kerana ia menyaksikan pertarungan antara dua orang kuat pergerakan berkenaan iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil.
Secara dasar, kegagalan Rafidah untuk merasionalkan kenapa perlu peralihan kuasa dilakukan sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan beliau yang dilihat ingin terus berkuasa.
Walaupun Rafidah menegaskan bahawa pelan itu dilakukan bagi mengelakkan perpecahan, ia dianggap hujah yang boleh dipertikaikan memandangkan cara terbaik ialah awal-awal lagi Rafidah menarik diri daripada bertanding dan membiarkan ahli Wanita menentukan siapa ketua baru mereka. Soal perpecahan jika pertandingan berlaku tidak perlu dibangkitkan kerana hujah ini, tidak pun digunakan oleh kepimpinan UMNO apabila jawatan kedua terpenting dalam parti turut dipertandingkan.
Peluang Rafidah untuk mengekalkan jawatannya juga agak mencabar memandangkan jika isu perubahan terus dimainkan, kelebihan akan memihak kepada Shahrizat. Mungkin Rafidah mempunyai tafsiran tersendiri berhubung istilah perubahan tersebut tetapi pada tanggapan sama ada orang di dalam atau luar parti, apa ertinya perubahan kalau wajah-wajah lama masih berkuasa sedangkan masanya sudah sampai kepimpinan baru diberi peluang membuktikan kemampuan mereka.
Tidak dinafikan bahawa Rafidah dilihat seorang pemimpin yang tegas dan berwibawa tetapi ini tidak bermakna mana-mana pihak harus memperkecilkan Shahrizat. Pengalaman selama lapan tahun menjadi Naib Ketua kepada Rafidah sudah pasti memberi peluang kepada beliau belajar bagaimana hendak mengemudi pergerakan berkenaan.
Apa pun keadaannya, mungkin apa yang dipaparkan di sini tidak akan menyenangkan hati sesetengah pihak, tetapi penulis melihat dari sudut pandangan seorang rakyat. Oleh itu buatlah keputusan yang bijak demi parti, bangsa, agama dan negara, jangan lepas peluang keemasan ini bagi memilih barisan kepimpinan yang benar-benar layak dan paling penting diterima oleh rakyat.
(sumber;utusan-online)
No comments:
Post a Comment