Wednesday, March 18, 2009
Hasrat Mohd Ali Tersekat, Khairy Terselamat; A Kadir Jasin
Tuesday, March 17, 2009
Hasrat Mohd Ali Tersekat, Khairy Terselamat
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
[Versi Yang Dirombak, 18 Mac] – RAMAI pembahas membangkitkan kedudukan Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka, Khairy Jamaluddin sebagai calon Ketua Pemuda dan peranan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Saya telah mengulas sedikit dalam ruangan komen dan ingin memperluas dan menyiarkan dalam posting utama.
Pada pandangan peribadi saya, berikut adalah beberapa fakta sejarah dan perkembangan semasa yang mungkin boleh memberi panduan kepada kita semua.
1. Abdul Rahim Tamby Chik meletakkan jawatan KM Melaka apabila terbabit dengan "tuduhan" salah laku seks walaupun Peguam Negara pada waktu itu, Mohtar Abdullah, dalam pendedahan awamnya pada Oktober 1994 mengatakan, pendakwaan ke atas Rahim Tamby Chik tidak boleh dibuat kerana 'insufficient evidence' (kekurangan bukti);
2. Muhammad Muhd Taib meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan semua jawatan dalam politik setelah terbabit dengan kes "penyeludupan" wang di Australia. Dia dibebaskan setelah berjaya meyakinkan Mahkamah Australia yang dia tidak faham bahasa Inggeris;
3. Isa Abdul Samad meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas tuduhan politik wang pada pemilihan Umno lalu dan digantung keahlian;
4. Banyak lagi contoh dan kes MB, KM, Menteri dan Timbalan Menteri yang meletakkan jawatan setelah disabitkan kesalahan jenayah, melanggar disiplin parti atau isu peribadi yang memalukan;
5. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia boleh (dan perlu) menjalankan penyiasatan dan pendakwaan serentak ke atas calon dan wakil calon yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin;
6. Tindakan serentak penting kerana rasuah adalah kesalahan negara bukan kesalahan Umno sahaja. Justeru itu, parti-parti politik lain juga perlu diawasi oleh SPRM;
7. Lembaga Disiplin Umno juga wajib membuat pendirian mengenai mana-mana calon MT yang didakwa terlibat dengan rasuah politik wang oleh SPRM. Adakah tertuduh SPRM seperti Norza Zakaria masih layak bertanding?;
8. Ali Rustam mungkin kekal KM Melaka sekarang. Tetapi apakah Umno akan membelakangkan sentimen akar umbi yang mahu parti dibersihkan daripada gejala rasuah?
[Posting Asal]
SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah yang terjadi kepada dua calon utama pertandingan Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini.
Mereka didapati bersalah mengamalkan politik wang (rasuah) dan melanggar disiplin parti oleh Lembaga Disiplin Umno.
Mereka yang dibabitkan kesalahan adalah:
1. Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden. Kerana kesalahan itu dia diharamkan bertanding jawatan berkenaan.
2. Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda. Dia diberikan amaran tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.
Pengerusi lembaga, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan.
Dengan penyingkiran Mohd Ali, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Muhd Taib.
Dalam sidang akhbar itu, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 orang ahli parti.
Sepuluh digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.
Keputusan penyiasatan terhadap Mohd Ali tidak memeranjatkan kerana buat sekian lama wujud pelbagai tuduhan dan spekulasi mengenai pembabitannya dalam kegiatan yang melanggar disiplin dan peraturan parti, termasuk mengamalkan politik wang.
Yang pasti memeranjatkan umum adalah perbezaan antara hukuman berat yang dijatuhkan ke atas Mohd Ali dengan hanya amaran yang dikenakan ke atas Khairy.
Khairy serta merta mengisytiharkan dirinya tidak bersalah tetapi senada dengan itu berkata dia menghormati keputusan lembaga itu.
Soalnya, bagaimanakah di suatu pihak dia berkata dia tidak bersalah sedangkan di pihak yang lain dia berkata dia menghormati keputusan Lembaga Disiplin yang mendapatinya bersalah?
Malaysiakini dalam laporannya memetik Khairy sebagai berkata:
"Yang penting adalah saya hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding. Saya masih akan bertanding.”
Menantu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi itu berkata ada percubaan (agenda) untuk menyekat beliau daripada bertanding.
Turut didapati bersalah mengamalkan rasuah politik wang adalah wakil Mohd Ali yang juga Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun. Saadun digantung daripada parti selama tiga tahun.
Khairy juga didapati bertanggungjawab ke atas salah laku wakil. Tetapi kesalahan wakil Khairy, menurut Tengku Ahmad Raithauddeen, adalah lebih ringan daripada Saadun.
Maka ada tupai yang jatuh “gedebuk” ke tanah yang keras dan ada yang jatuh atas rumput yang lembut. Namun jatuh tetap jatuh dan terpalit lumpur tetap terpalit juga.
Soalnya apakah hanya dua ekor tupai yang terjatuh ke bumi? Apakah yang sudah atau sedang terjadi dengan ratusan aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin? Apakah politik wang yang diheboh-hebohkan itu melibatkan dua orang calon ini sahaja?
Kalau begitu eloklah. Kalau tidak, apa yang terjadi kepada ikan-ikan besar yang lain?
Posted by A KADIR JASIN at 6:37 PM
73 comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment