Sunday, March 22, 2009

Soal Jawab: Umno perlu laksana misi pembaharuan perkasa semula parti






Oleh Manja Ismail, Norhayati Md Said dan Zulkofli Jamaluddin



Najib yakin perubahan sikap, mentaliti pemimpin kembalikan keyakinan rakyat

SEMUA mata kini tertumpu kepada Perhimpunan Agung Umno bermula Selasa depan, yang bakal menyaksikan pucuk pimpinan parti berpindah daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak. Menjelang perhimpunan agung yang bersejarah ini, Timbalan Presiden Umno memberikan temuramah khas Berita Minggu, New Sunday Times dan Mingguan Malaysia. Dalam temuramah kira-kira sejam itu, Najib menghuraikan masalah dan cabaran parti serta harapan beliau pada perhimpunan agung kali ini. Berita Minggu diwakili Manja Ismail, Norhayati Md Said dan Zulkofli Jamaluddin.

BM; DATUK Seri akan memimpin Umno dalam keadaan parti yang cukup lemah apabila Barisan Nasional (BN) tewas di lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala negara pula menghadapi keadaan ekonomi yang teruk sepanjang sejarahnya. Komen Datuk Seri?

Memang saya sedar. Insya-Allah saya akan mengambil alih kepemimpinan Umno dan BN dalam keadaan yang sangat mencabar sama ada dari segi politik mahupun ekonomi. Ini ada persamaan apabila Allahyarham ayahanda saya, (Tun Abdul Razak Hussein) mengambil alih pada 1970 dalam keadaan negara kita mengalami peristiwa pahit, tragedi 13 Mei dan politik yang tidak begitu menentu di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Jadi ada juga persamaan dalam beberapa aspek. Memang ketika ini adalah yang paling kritikal dalam sejarah Umno dan BN. Kita tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Oleh itu, saya perlu melakukan pembaharuan sama ada dalam parti atau kerajaan kerana rakyat mahu kita menilai dan mentafsir apakah isyarat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Seterusnya menentukan hala tuju kerajaan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN. Saya sudah sebut secara terus-terang bahawa kalau kita tidak berani berubah, kita akan diubah oleh rakyat. Maknanya, itu satu pengakuan terbuka betapa penting dan perlunya kita menyahut cabaran ini dengan melakukan perubahan besar kepada parti dan kerajaan.

Rakyat, bukan saja ahli Umno mengharapkan satu perubahan berlaku dan memberi pengharapan besar kepada Perhimpunan Agung Umno kali ini untuk menangani politik wang. Bagaimanapun penjelasan Lembaga Disiplin mengenai keputusan diumumkan menerima reaksi yang pelbagai. Ramai mempersoalkan kesungguhan Umno membanteras politik wang.

Kita ada dua masalah dalaman parti yang perlu kita ubati dengan berkesan. Ini berdasarkan kepada pengamatan saya daripada keputusan pilihan raya umum lalu. Analisis kita dari segi persepsi rakyat kepada Umno dan BN bahawa kita ini dianggap sebagai sombong kuasa. Dalam pada itu kita kurang memberi tumpuan kepada rakyat, walaupun salah satu daripada cogan kata berkhidmat kepada rakyat. Jadi dalam proses perubahan ini, kita kena balik ke pangkal jalan.

Survival kita sebagai parti bergantung kepada sokongan rakyat. Mungkin dalam perjalanan kita selama ini, kita dibuai dengan proses dalaman parti, termasuk pemilihan parti dan berasakan bahawa matlamat kita tercapai apabila dapat duduk sebagai ketua bahagian dan sebagai pemimpin Umno pada peringkat nasional. Tapi sebenarnya, kedudukan politik kita, tidak menjamin kita mendapat sokongan mutlak daripada rakyat. Jadi maknanya kita perlu ubah sikap dan meletakkan kepentingan dan kesediaan berkhidmat untuk rakyat di tempat paling utama, bukan proses pemilihan dalam parti. Itu satu aspek.

Kedua, Umno dilihat sebagai parti yang masih mengamalkan budaya politik wang yang tidak sihat. Salah guna kuasa. Jadi, macam mana kita hendak tangani perkara ini. Saya fikir, cara menanganinya adalah membuat reform (perubahan), termasuk structure reform (perubahan struktur) dalam Umno. Kalau kita tidak lakukan stucture reform dalam Umno, termasuk kaedah pemilihan, kita tidak boleh membanteras masalah politik wang.

Jika kita hendak mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin, yang akan membantah adalah penyokong. Pemimpin ada penyokong. Penyokong itu sudah berjalan jauh sekian lama. Tiba-tiba pemimpin atau tauke mereka menghadapi tindakan. Jadi mereka tidak puas hati. Satu lagi yang tidak puas hati ialah mereka yang berasakan kita tidak mengambil tindakan lebih menyeluruh.

Maknanya, kita ada dua kumpulan yang tidak berpuas hati. Satu bersabit penyokong pemimpin yang dikenakan tindakan. Satu lagi kumpulan dalam dan luar parti yang tidak puas hati, berasakan kita belum mengambil tindakan secukupnya. Jadi dalam keadaan sekarang kita dalam keadaan politik dilema.

BM; Datuk Seri sudah ada idea untuk merombak sistem pemilihan parti?

Saya akan maklumkan waktu perhimpunan nanti atau masa yang sesuai. Saya akan beritahu apa yang akan dirombak nanti.

Apakah ini bermakna pemilihan kepemimpinan tertinggi parti tidak lagi akan ditentukan oleh 2,000 perwakilan?

Tak apalah... tunggulah masanya nanti. Orang kata, jika saya bayangkan... akan mendahului apa yang akan disebutkan nanti. Tapi maknanya, perubahan struktur dalam Umno dan kaedah pemilihan perlu kita laksanakan. Tidak memadai dengan kita cuma harap pada tindakan Lembaga Disiplin parti.

Mengenai isu gagasan Umno, ramai melihat Umno sudah tidak lagi berpegang konsep parti menguasai kerajaan?

Ada implikasi kepada konsep parti menguasai kerajaan. Dari satu aspek ada baiknya parti menguasai kerajaan, tapi jika kita terpisah daripada rakyat, kita hanya memikirkan mengenai tuntutan ahli parti saja... dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat yang akan menentukan sama ada kita berkuasa atau tidak. Jadi maknanya dalam apa-apa juga pertimbangan kita jangan ada terputus hubungan antara parti dan rakyat. Jadi jika parti mencerminkan kehendak rakyat, tak apa. Kalau parti tak cermin kehendak rakyat di situ letaknya bahaya.

Apa harapan Datuk Seri pada perwakilan pada perhimpunan agung kali ini?

Pertamanya, saya berharap dalam pemilihan ini mereka memberi saya set kepemimpinan yang boleh membantu saya mengemudi perubahan yang perlu kita lakukan. Maknanya, set kepemimpinan Umno bersedia menghadapi cabaran baru, bersedia untuk berubah, bersedia membuat reform dan bersedia melakukan apa-apa kebaikan untuk parti dan bukannya berbuat macam biasa atau business as usual. Kita tidak boleh berbuat demikian.

Apa ciri-ciri diharapkan daripada orang yang akan menjadi pasukan Datuk Seri nanti?

Pertamanya, kita mesti komited pada perjuangan Umno, lebih daripada kita memikirkan diri atau kelompok kita sendiri. Kedua, kita mesti bersikap terbuka. Maknanya bersedia untuk melakukan pembaharuan dan perubahan. Ketiga, kita mesti mahukan pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat... apa yang rakyat pandang baik. Ciri-ciri pemimpin sebeginilah yang sebaik-baiknya dipilih oleh parti untuk menduduki pelbagai jawatan dalam parti. Maknanya, pilihlah pemimpin yang ada kewibawaan dan kebolehan.

Kemungkinan ada kesilapan berlaku apabila ada pemimpin dipilih tidak diterima rakyat?

Sebab itu, saya kata mereka (perwakilan) mesti undi berdasarkan hati nurani mereka. Jika kita hendak lihat Umno sebagai hati nurani orang Melayu, hati nurani orang Malaysia, jadi kita pilih pemimpin yang mempunyai ciri yang terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan.

Adakah politik wang menyebabkan perwakilan tidak rasional dan akhirnya keputusan pemilihan tidak menggambarkan kehendak akar umbi?

Saya hanya boleh memohon saja. Kita sedar akhirnya bergantung kepada kuasa perwakilan. Saya cuma meminta dan merayu agar mereka memilih mengikut hati nurani mereka. Apa akan terjadi, kita lihatlah selepas pemilihan nanti.

Datuk Seri berpuas hati dengan langkah calon atau wakil calon berkempen pada pemilihan ini?

Dalam kempen itu ada aspek yang baik dan ada perbuatan terlajak yang dilakukan bukan oleh pemimpin, tetapi penyokong mereka. Orang kata lebih besar sudu daripada kuali (kuah). Itu perkara biasa yang berlaku ketika pemilihan.

Datuk Seri sudah menggariskan keutamaan Umno. Sebagai Perdana Menteri pula insya-Allah, apakah keutamaan?

Kalau saya cakap banyak sangat, nanti rosak pula ucapan yang hendak saya buat. Kita fokus kepada parti. Ucapan saya sedang rumuskan. Insya-Allah saya akan beritahu kemudian.

Tapi dalam demokrasi sukar mendapat begitu dan seandainya tidak dapat, bagaimana Datuk Seri?

Kita perlu bersikap realistik, maknanya kita bukan dalam 'utopia' (sistem masyarakat dan politik yang sempurna). Maknanya, kita tidak mungkin mendapat sesuatu yang sempurna, tetapi asalkan ada pasukan seimbang yang boleh saya bergantung harap. Itu sajalah yang mungkin menjamin masa depan kita.

Apakah ciri itu untuk Timbalan Presiden saja atau bagi semua jawatan?

Ini termasuk Timbalan, Naib dan ahli Majlis Tertinggi sebab kita mesti ada pasukan dan dalam pasukan itu masing-masing ada peranan. Begitu juga Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Dalam kempen ini, mungkin Datuk Seri ada dengar kadang-kadang ada ahli yang menggunakan nama Datuk Seri. Bolehkah perkara itu berlaku?

Memang biasa, sebab saya dengar ada yang mula ucapan mereka dengan cerita (Allahyarham) Tun Razak dan ada yang cerita saya. Itu saya terima. Apa yang penting sekali kita mesti ada penilaian sendiri mengenai kewibawaan pemimpin dan pilihlah pemimpin terbaik menggunakan hati nurani kita.

Datuk Seri sudah nampak pemimpin yang memenuhi ciri-ciri dikehendaki?

Memanglah... saya pun kena teropong juga. Takkan saya tidak memerhati apa yang sedang berlaku di kalangan pemimpin, walaupun saya tidak campur tangan dan saya tidak turun waktu pengenalan calon kerana tidak mahu dipengaruhi dan mempengaruhi sesiapa pun. Ini memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih. Tapi saya memerhati dan saya mengetahui, walaupun kadang kala saya tidak bercakap atau tidak bersuara, bukan bererti saya tidak mengetahui.

Dalam kepemimpinan ada gaya yang keras serta tegas dan ada yang lebih demokratik. Apa pandangan Datuk Seri?

Macam mana pun dalam parti, akhirnya keputusan yang dibuat oleh perwakilan juga yang menentukan. Kita hanya boleh merayu sebab dalam zaman empowerment sekarang, masing-masing tahu mengenai hak dia. Tak semestinya jika sebut nama sekali pun, mereka akan ikut. Jadi kita cuma boleh memohon kepada mereka dari segi pertimbangan dan kesedaran serta keinsafan mereka betapa pentingnya keadaan sekarang ini, kritikal untuk masa depan Umno. Kita sudah sampai persimpangan jalan selepas lebih 50 tahun berkuasa, inilah masa yang paling kritikal sekali. Ahli Umno mesti sedar dan mengundi memilih pemimpin berdasarkan realiti situasi sekarang.

Banyak kebimbangan bahawa Umno yang kini sudah berusia lebih 50 tahun. Parti seusia Umno seperti Kongres di India dan LDP (Jepun) tewas sebelum bangkit semula. Apa pandangan Datuk Seri mengenai ramai meramalkan Umno akan mengikut langkah parti berkenaan?

Janganlah kita kalah pilihan raya... nauzubillah. Kita sudah cukup perit dengan kekalahan di lima negeri.

Sepatutnya sudah memberi kesedaran yang cukup kepada kita. Memberi keinsafan bahawa kita tidak ada kekebalan politik. Walaupun Umno sebagai parti yang dominan selama 50 tahun, tetapi ia tidak memberi jaminan kerana berdasarkan sistem demokrasi berparlimen di negara lain, parti yang lama memerintah mengalami nasib sedemikian. Soalnya sama ada Umno akan senasib dengan parti lain, bergantung kepada kesedaran dan keinsafan kita serta tindakan yang kita lakukan.

Sepatutnya keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh memberi kesedaran lagi kepada Umno, tetapi dalam kempen ini kita lihat gejala politik wang masih wujud seolah-olah tidak ada kesedaran di kalangan ahli?

Dalam keadaan sekarang, dia (ahli) terlalu ghairah berkempen untuk jawatan dalam Umno. Saya tidak menyalahkan pemimpin, kadang-kadang pengikut lebih daripada pemimpin. Ini semua adalah ciri yang menyebabkan orang sangsi atau hilang kepercayaan kepada parti. Oleh sebab itu, mulai dari perhimpunan ini, saya harap mereka memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang saya sebut tadi. Selepas itu kita mesti melakukan perubahan dalam parti dan kerajaan.

Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai soal pembersihan dalam Umno?

Pembersihan secara total (menyeluruh), drastik bunyinya. Kita mulai dengan memilih pemimpin berdasarkan hati nurani kita. Kedua, kita lihat pada pembaharuan parti, termasuk kaedah pemilihan. Lepas itu kita lihat kepada usaha memperkukuhkan budaya dan nilai dalam Umno sebab saya lihat ada penghakisan nilai dalam Umno, tidak macam dulu.

Saya cadang untuk memperbanyakkan kursus dalam Umno. Dulu masa saya mula-mula dalam politik banyak kursus diadakan, tapi dibuang kursus diadakan seminar di hotel lima bintang. Tapi tidak ada kursus dalam erti kata kita menyinsing lengan dan sanggup melalui kesukaran dalam kursus untuk menaikkan semangat. Selain ilmu kita mesti ada semangat dan motivasi. Ini pembentukan nilai, maknanya nilai api perjuangan yang hidup membara, tetapi kini sudah malap. Kita mesti melakukan pengukuhan budaya dan sistem nilai pada semua peringkat.

Keputusan pilihan raya lalu banyak ditentukan oleh faktor pengundi muda yang dikatakan tidak menyokong BN, walaupun usaha untuk mendekati mereka sudah dilakukan?

Memang belum berkesan dan belum dapat meyakinkan pengundi baru serta generasi muda untuk menyokong Umno. Kita boleh bersandarkan pada jasa Umno. Tidak ada siapa pun yang menafikan Umno begitu berjasa pada negara, tetapi itu mereka lihat dalam lipatan sejarah. Mereka hendak tahu apa yang Umno hendak lakukan hari ini dan masa akan datang.

Kita mesti boleh membaca apa cita rasa generasi baru apa sebenarnya kecenderungan mereka. Apa aspirasi mereka. Kita mesti hubungkan mereka dengan tindakan, dasar dan program kita.

Bagaimana Datuk Seri melihat peranan Lembaga Disiplin?

Lembaga Disiplin pun mempunyai kekangan. Ketika ambil tindakan pun, bermacam-macam komen timbul, ada yang kata campur tangan luar seolah-olah lembaga ini orang luar sedangkan Lembaga Disiplin diwujudkan oleh Umno. Mereka terdiri daripada pemimpin Umno. Mereka memperuntukkan masa dan berkorban waktu untuk Umno. Jadi, tidak adil bagi kita untuk menyalahkan kewujudan dan peranan Lembaga Disiplin. Tapi, jika kita hendak kata Lembaga Disiplin harus bertindak agar lebih banyak pemimpin disabitkan kesalahan, mereka (Lembaga Disiplin) pun bergantung kepada laporan. Kalau berdasarkan syak wasangka atau cerita pada dakwaan atau khabar angin, ini tidak adil pada pemimpin.

Di sini letaknya keadaan yang amat sukar bagi sesiapa pun yang duduk sebagai ahli Lembaga Disiplin. Begitu juga sesiapa pun yang menganggotai SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia), mereka sukar sekali untuk memberi kepuasan kepada semua pihak. Tidak mungkin. Sebab orang yang dikenakan tindakan dan penyokongnya tentu tidak puas hati. Ada pula mengatakan kita tidak serius sebab tidak begitu ramai yang kena. Mereka juga berasa tidak puas hati. Ada pemimpin yang dipanggil pun rasa tidak puas hati, ini belum lagi dikenakan apa-apa tindakan.

Jadi kita kena terima seperti undang-undang perangkap laju... maknanya ikut nasiblah. Ramai yang laju... kebetulan yang kena itu, kenalah... apa nak buat.

Ketidakpuasan hati itu kerana kasihan ahli kepada pemimpin tertentu atau disebabkan kesetiaan ahli kepada parti?

Itulah yang paling ideal, tapi kita tidak hidup dalam dunia yang ideal itu. Kita hidup dalam realiti. Dalam realiti, ahli bergantung kepada pemimpin untuk bermacam alasan. Yalah, dia dapat rezeki daripada pemimpin dan masa depan bergantung kepada pemimpin. Kalau tauke dia naik, cerah masa depannya. Jika orang lain putuslah harapan. Bermacam-macam pertimbangan. Inilah realiti dunia. Mereka akan berasa tidak puas hati kerana tauke tidak naik.

Sama macam dalam press (akhbar) juga. Kalau tukar editor... dia tukar yang lain... Ya, itu realiti. Anda tidak tahu sama ada pengurusan editorial yang baru akan favour (memihak) kepada anda atau tidak. Sudah tentu jika anda dilayan baik bekas pengurusan atau editor, anda tentu akan mempertahankan bekas editor atau pengurusan itu. Ini realiti. Tidakkah wartawan akan memberi reaksi yang sama? Dalam setiap organisasi, termasuk akhbar. Percayalah saya... anda semua tidak berbeza.

Tindakan disiplin yang diambil mengambil seolah-olah Umno teruk sangat. Apakah usaha menangani tanggapan ini?

Sebenarnya kita cuba untuk membetulkan keadaan ini. Bukan senang dan sekarang saja, dulu pun kita sudah cuba. (Bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri kata salah satu kekecewaannya ialah tidak dapat membanteras masalah ini. Jadi ini satu perjalanan dan proses yang memakan masa, tapi kita perlu ada kesungguhan untuk mengatasinya. Dilihat bahawa kita buat sesuatu untuk membetulkan keadaan. Apa-apa pun tak mungkin sempurna, asalkan orang lihat bahawa kita ada keikhlasan untuk membuat perubahan.

Jika ada orang Melayu bertanya apakah relevan Umno hari ini. Apakah reaksi Datuk Seri?

Sebenarnya, dari segi perjuangan untuk orang Melayu khususnya dan negara amnya memang tidak ada alternatif, selain Umno. Walaupun dalam fikiran rakyat sudah mula lihat bahawa Umno boleh diganti dengan parti lain sebagai pemerintah, tetapi hakikatnya dari segi track record, Umno sudah membuktikan kemampuan dan kejayaannya, terutama dalam permuafakatan dengan parti komponen BN dan sebagainya.

Lihat parti pembangkang mereka tidak mendaftar sebagai satu parti. Mereka tidak ada simbol dan tidak ada ideologi manifesto bersama. Dalam Parlimen pun mereka tidak berani membuat Kabinet bayangan. Cuba mereka buat Kabinet bayangan... kita nak tengok siapa Kabinet mereka... tak berani mereka. Ini menunjukkan (parti dalam pakatan) pembangkang punyai ideologi dan dasar parti yang terlalu ekstrim. Banyak orang tidak sedar ini.

Ini yang berlaku di Perak, mereka (dua Adun PKR dan seorang DAP) meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat berpunca daripada rasa tidak puas hati. Sepatutnya dia (pembangkang) tidak boleh tuduh Umno culik Adun mereka atau menjadi perampas, rasa tidak puas hati sudah ada terlebih dulu dalam pentadbiran negeri.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno kali ini, apa harapan Datuk Seri terhadap perbahasan perwakilan dan usul yang akan dibawa?

Biasanya, bila tahun pemilihan, fokusnya terlalu sangat pada pemilihan. Jadi usul sesuatu yang tidak sepenting pemilihan... itu realiti. Apapun saya harap dalam ucapan nanti terutama perbahasan ucapan Presiden, beri satu gambaran bahawa perwakilan sanggup memberi kepercayaan kepada Umno untuk membuat perubahan dan melakukan reform... maknanya memberi mandat kepada pucuk pimpinan dan kepemimpinan parti. Ini penting walaupun tidak ada cadangan khusus, tapi sekurang-kurangnya dari segi sokongan moral, mandat pada kepemimpinan parti untuk membuat apa-apa yang perlu untuk mengembalikan semula kekuatan Umno.

Bagaimana Umno mahu memenuhi kehendak orang Melayu dan mengurus pelbagai permintaan bukan Melayu?

Kita mesti faham bahawa keadaan sudah berubah. Pada mula-mula kita melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita melihat orang Melayu lebih ketinggalan. Jadi selepas dilaksanakan DEB kedudukan orang Melayu hari ini tidak seperti mana ketika kita laksanakan DEB. Jika disebut kemiskinan, majoritinya masih lagi orang Melayu. Kalau kita sebut masyarakat luar bandar, masih lagi orang Melayu majoritinya.

Tapi jangan lupa dalam definisi orang miskin dan luar bandar, ada kaum lain. Apabila kita ingin memperjuangkan orang miskin, ia mesti melambangkan keprihatinan kita kepada semua golongan etnik. Bukan saja retorik, tetapi progress. Di samping itu, bila kita tolong orang Melayu biar kita tolong orang Melayu yang terbaik di kalangan kita. Jangan pula di kalangan orang Melayu, ada kumpulan yang mendapat keistimewaan berbanding dengan orang lain. Timbul ungkapan Umnoputra dan sebagainya. Itu tidak sihat. Nak tolong orang Melayu, biar kita tolong berdasarkan merit. Jadi beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian.

Bagaimana pula kemiskinan bandar?

Keadaan di bandar jangan kita lupa, walaupun pendapatan kita RM3,000 ke bawah kita boleh kira air di paras hidung. Jangan cakap pendapatan sebanyak RM720. Pendapatan RM3,000 pun dengan anak dua atau tiga orang, susah bagi kita. Maknanya apa pun dasar atau program kita mesti ambil kira situasi ini.

Apa perasaan Datuk Seri hendak melepaskan jawatan Timbalan dan melangkah untuk menjawat jawatan Presiden?

Itulah satu detik yang begitu menyentuh perasaan saya secara peribadi. Maknanya atas kesabaran dan ketabahan selama ini, saya naik setingkat demi setingkat. Saya tidak pernah melawan atau mencabar sesiapa dalam sejarah hidup. Akhirnya saya sampai juga ke jawatan Presiden parti, insya-Allah.

Jadi saya berasa macam satu ganjaran adil daripada kesabaran dan ketabahan saya selama ini. Apabila sampai ke peringkat ini, maknanya daripada menteri ke Timbalan Perdana Menteri ada peningkatan, daripada Timbalan kepada Perdana Menteri, satu lagi lonjakan. Keadaan itu bererti kita tidak boleh menoleh dan melihat pada sesiapa... kitalah paling penghujung dalam membuat apa-apa keputusan dan dasar. Tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas amat berat, saya insaf dan berasakan ini satu amanah yang sangat berat. Perkara ini dinasihatkan Pak Lah kepada saya, sebab beliau pun melalui proses sama. Beliau kata daripada Timbalan kepada Perdana Menteri satu lagi lonjakan. Beliau banyak memberi nasihat dan sebahagian daripada nasihat itu, biarlah saya simpan. Berdasarkan kepada pengalaman saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri, insya-Allah saya bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Berkat sokongan dan doa restu rakyat, insya-Allah kita akan bergerak ke hadapan untuk menghadapi apa juga cabaran dan dengan izin Allah kita akan berjaya.

Cetak artikel | Hantar pada kawan

Penentu masa depan UMNO

Zulkiflee Bakar

APABILA hampir 2,500 perwakilan UMNO melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai Selasa ini, mereka mempunyai dua pilihan. Pertama, bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan parti bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO atau kedua, menjadi salah seorang yang akan membantu meruntuhkan UMNO.

Hakikatnya, semua pihak tidak perlu lagi memberikan peringatan kepada perwakilan betapa pentingnya pemilihan kali ini. Mereka sendiri sudah memahami bagaimana kedudukan UMNO sekarang yang ditafsirkan berada dalam keadaan cukup kritikal. Pemilihan kali ini dianggap penentu kepada perjalanan hidup mati UMNO dan di tangan perwakilanlah terletak nasib parti, bangsa, agama dan negara.

Semua itu bergantung sejauh manakah mereka menginsafi dan menggunakan segala kebijaksanaan bagi membariskan satu pasukan yang benar-benar mantap dan berwibawa untuk mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui parti dan negara. Justeru, ketika hendak membuat pengundian segala sentimen apatah lagi berkaitan simpati, fitnah, tohmahan dan keuntungan peribadi harus dipinggirkan.

Dalam soal ini, jika senarai calon-calon yang bertanding bagi semua jawatan kecuali Presiden dikaji, adalah jelas pasukan idaman yang diinginkan oleh Najib sudah tersedia cuma menanti nama mereka dipilih sahaja oleh perwakilan. Seperti mana kata Najib, beliau berharap perwakilan akan memberikan set kepimpinan yang boleh mengemudi perubahan dan bersedia menghadapi cabaran. Ertinya, kata beliau pemimpin yang sebaik-baiknya dipilih untuk parti.

Berdasarkan nasihat itu, perwakilan UMNO tidak boleh menyenaraikan atau memilih pemimpin yang hakikatnya mampu membawa masalah kepada parti. Ia bermakna, apabila terpilih UMNO terpaksa menyeret bersama ‘bagasi’ masalah yang ada kepada pemimpin tersebut.

Pemilihan ini adalah untuk mencari barisan pemimpin yang bersih dan berwibawa, inilah ciri-ciri penting yang perlu ada dalam perwakilan membuat keputusan. Lebih tepat lagi, barisan yang dipilih haruslah dilihat mantap untuk parti dan sedap mata memandang bagi rakyat.

Tumpuan utama pemilihan sudah pastilah ke arah penentuan siapakah bakal menjadi gandingan Najib, iaitu bagi kedudukan Timbalan Presiden yang seterusnya akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia menyaksikan pertarungan antara dua menteri kabinet, seorang bertaraf Ahli Parlimen dan seorang lagi Senator. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Senator Tan Sri Muhammad Muhd.Taib.

Dari segi pengalaman tidak dapat dinafikan kedua-dua mereka adalah bekas Menteri Besar yang berjaya memajukan negeri masing-masing, Muhyiddin di Johor manakala Muhammad di Selangor. Tetapi dalam Kabinet, Muhyiddin jauh lebih berpengalaman kerana pernah menjadi Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri serta menjadi menteri di empat kementerian termasuklah kini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam parti pula, Muhyiddin pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor, Ahli Majlis Tertinggi mulai 1985 dan dipilih sebagai Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 hingga sekarang.

Bagi Muhammad, beliau pernah menjadi Menteri Besar Selangor mulai 1986 hingga 1997, Naib Presiden UMNO (2000-2003) dan Ketua Penerangan UMNO (Mac 2008 - sekarang). Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Muhammad buat pertama kalinya dibawa ke dalam Kabinet sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Berdasarkan kepada pengalaman, di atas kertas rakyat, mereka sudah tahu siapa yang paling layak untuk digandingkan dengan Najib. Ini kerana Najib memerlukan seorang timbalan yang benar-benar mantap, berwibawa, tiada sejarah silam yang boleh mewujudkan persepsi buruk rakyat dan berkemampuan membantu menangani isu dalam dan luar negara. Namun sepanjang manapun rekod yang disenaraikan ia terserah kepada kebijaksanaan perwakilan menilainya. Apa yang pasti memetik kata seorang pemimpin kanan UMNO,‘‘ kriteria utama untuk menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri mestilah seorang yang sudah lama dalam kabinet dan parti.”

Bagi jawatan Naib Presiden pula, terdapat lapan calon yang bertanding iaitu Datuk Seri Mohd. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Berdasarkan tinjauan, Zahid, Hishammuddin, Shafie dan Rais bersaing hebat bersama-sama dengan Khaled.

Dalam soal ini, perwakilan mempunyai dua pilihan iaitu memilih gandingan mereka yang berlatar belakang agama, generasi muda dan veteran atau agama dan generasi muda sahaja. Jika pilihan pertama diambil, kecuali bagi latar belakang agama yang sudah pasti memihak kepada Zahid, Hishammuddin pula dilihat sesuai untuk mewakili generasi muda bersaing dengan Khaled dan Shafie manakala Rais dilihat berpeluang cerah mewakili veteran.

Ini kerana UMNO dikatakan memerlukan seorang pemimpin veteran bagi mengimbangi perubahan yang sedang berlaku dalam parti. Bagaimanapun jika pertimbangan hanya ingin menggandingkan generasi muda dan agama, Hishammuddin, Shafie dan Zahid mempunyai peluang cerah. Selain kewibawaan sepanjang berada dalam Kabinet, tradisi Ketua Pemuda dipilih menjadi Naib Presiden akan membantu Hishammuddin, kehadiran sebagai ‘wakil tunggal’ dari Sabah dan mewakili Borneo secara keseluruhannya akan membolehkan Shafie menjadi pilihan.

Bagi Zahid pula yang dilihat sebagai calon favourite, selain mewakili latar belakang agama, sejak berada dalam Kabinet mulai Mac 2004, Zahid sentiasa dilihat mempamerkan prestasi cemerlang. Namun begitu saingan daripada Khaled tidak boleh diketepikan, ada juga pihak melihat beliau mampu mewakili generasi muda. Syed Hamid pula tetap berpeluang jika perwakilan mengambil kira ketegasan dan kemampuan mengendalikan Kementerian Dalam Negeri.

Walaupun kehadiran Isa dan Rahim tidak boleh dipinggirkan namun dalam situasi UMNO sekarang, perwakilan sudah pasti tahu apa pendirian mereka dalam menentukan nasib kedua-dua pemimpin itu.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, persaingan sengit berlaku antara tiga calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Secara nyata, Mukhriz dianggap calon selesa untuk UMNO berdasarkan kepada latar belakangnya yang dikatakan masih belum terpalit dengan sebarang rekod dan persepsi. Ada tafsiran yang menyatakan dengan memilih Mukhriz, UMNO tidak perlu bersoal jawab banyak kenapa beliau dipilih. Tetapi ada juga hujah yang menyatakan Mukhriz dilihat pemimpin yang belum diuji sepenuhnya berbanding dengan pesaing-pesaingnya itu.

Justeru bukanlah sesuatu yang luar biasa, jika Khairy dan Mohamad Khir juga turut menjadi pertimbangan perwakilan Pemuda kerana kedua-dua mereka tidak harus dikorbankan hanya semata-mata kerana persepsi apatah lagi fitnah. Khairy contohnya, selain dikatakan berada dalam usia yang sesuai dengan Pemuda, beliau juga dikatakan berkeupayaan menerajui Pemuda kerana dilihat berjaya memainkan peranan membantu Hishammuddin ketika menjadi Naib Ketua.

Mohamad Khir pula dilihat pemimpin yang sudah teruji berikutan kedudukannya yang pernah menerajui Selangor sebagai Menteri Besar sebelum kehilangan kedudukan berkenaan akibat tsunami politik yang berlaku. Hakikatnya, ketiga-tiga calon mempunyai keupayaan memimpin Pemuda, oleh itu perwakilan Pemuda haruslah berfikir tenang dan tidak melihat seseorang calon dari sudut negatif sahaja atau menolak seseorang calon itu sebelum menilai keupayaan dan kekuatannya.

Ini kerana seperti mana kata seorang pemerhati politik, Pemuda UMNO memerlukan lonjakan dan pacuan bagi meninggalkan zon krisis untuk kembali ke zon selamat, oleh itu penilaian harus dilakukan berdasarkan kepada calon manakah paling sesuai untuk melakukan lonjakan tersebut.

Bagi Ketua Wanita pula, siapa yang bakal ‘mewarisi’ kedudukan itu secara demokrasi turut menjadi tumpuan kerana ia menyaksikan pertarungan antara dua orang kuat pergerakan berkenaan iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil.

Secara dasar, kegagalan Rafidah untuk merasionalkan kenapa perlu peralihan kuasa dilakukan sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan beliau yang dilihat ingin terus berkuasa.

Walaupun Rafidah menegaskan bahawa pelan itu dilakukan bagi mengelakkan perpecahan, ia dianggap hujah yang boleh dipertikaikan memandangkan cara terbaik ialah awal-awal lagi Rafidah menarik diri daripada bertanding dan membiarkan ahli Wanita menentukan siapa ketua baru mereka. Soal perpecahan jika pertandingan berlaku tidak perlu dibangkitkan kerana hujah ini, tidak pun digunakan oleh kepimpinan UMNO apabila jawatan kedua terpenting dalam parti turut dipertandingkan.

Peluang Rafidah untuk mengekalkan jawatannya juga agak mencabar memandangkan jika isu perubahan terus dimainkan, kelebihan akan memihak kepada Shahrizat. Mungkin Rafidah mempunyai tafsiran tersendiri berhubung istilah perubahan tersebut tetapi pada tanggapan sama ada orang di dalam atau luar parti, apa ertinya perubahan kalau wajah-wajah lama masih berkuasa sedangkan masanya sudah sampai kepimpinan baru diberi peluang membuktikan kemampuan mereka.

Tidak dinafikan bahawa Rafidah dilihat seorang pemimpin yang tegas dan berwibawa tetapi ini tidak bermakna mana-mana pihak harus memperkecilkan Shahrizat. Pengalaman selama lapan tahun menjadi Naib Ketua kepada Rafidah sudah pasti memberi peluang kepada beliau belajar bagaimana hendak mengemudi pergerakan berkenaan.

Apa pun keadaannya, mungkin apa yang dipaparkan di sini tidak akan menyenangkan hati sesetengah pihak, tetapi penulis melihat dari sudut pandangan seorang rakyat. Oleh itu buatlah keputusan yang bijak demi parti, bangsa, agama dan negara, jangan lepas peluang keemasan ini bagi memilih barisan kepimpinan yang benar-benar layak dan paling penting diterima oleh rakyat.

(sumber;utusan-online)

‘Detik mencabar dalam hidup’

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 21 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden parti sebagai detik paling mencabar dalam tempoh 41 tahun beliau berkecimpung dalam parti.

Namun begitu, beliau yang menyertai parti sejak berusia 18 tahun boleh menghadapi serta menerima keputusan itu dengan tenang dan hati terbuka kerana niatnya ikhlas untuk berkhidmat kepada parti, rakyat dan negara.

“Saya fikir ini adalah detik yang mencabar. Saya telah melalui proses ini begitu lama daripada peringkat cawangan hingga ke Naib Presiden UMNO, jadi dah tengok banyak insiden dalam UMNO dan saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita.

“Saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita. Niat saya untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada parti, bangsa dan negara. Inilah pegangan saya, sebab itu kalau ada apa-apa berlaku saya sudah bersedia menghadapinya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan Alias Mihad, 23, dengan pasangannya Nurfadila Noorle, 21, di Taman Saujana Indah, Bukit Katil di sini hari ini.

Mohd. Ali mengulas keputusan Panel Rayuan UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zuki Kamaluddin semalam, menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin yang melarang beliau bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Zuki berkata, keputusan Lembaga Disiplin dikekalkan dan ia berkuat kuasa serta-merta seperti yang tertakluk di bawah Fasal 29C Perlembagaan UMNO.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen membuat keputusan melarang Mohd. Ali bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan.

Beliau didapati bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya mengamalkan politik wang.

Mohd. Ali menjelaskan, beliau menerima keputusan Panel Rayuan menolak permohonannya untuk mengetepikan larangan Lembaga Disiplin daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Menurutnya, beliau hanya mampu berdoa supaya rayuan itu diterima ketika menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Lembaga Disiplin dan Panel Rayuan pada 18 Mac lalu.

Sehubungan itu beliau akan tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bermula Selasa ini selain menjalankan tugas-tugas parti dan kerajaan seperti biasa.

“Saya menerima keputusan Panel Rayuan untuk meneruskan apa yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin sebelum ini dengan hati terbuka.

“Bagi saya tidak wujud rasa kecewa dengan keputusan ini. Saya sentiasa berpendapat kita perlu menghadapi sebarang keadaan,’’ katanya.

Beliau turut meminta penyokong agar bersikap tenang dan bersabar menerima keputusan yang dibuat oleh Panel Rayuan parti.

“Saya minta mereka semua menghadiri Perhimpunan Agung UMNO seperti biasa kerana saya juga akan hadir,” katanya.

Ditanya adakah karier politiknya sudah berakhir selepas gagal dalam rayuannya untuk bertanding, Mohd. Ali berkata:

“Ini saya serahkan kepada keadaan. Yang penting, saya nak berkhidmat kepada parti, negara dan rakyat sebaik mungkin untuk membela rakyat jelata.

“Inilah juga asas perjuangan UMNO untuk membela bangsa, agama dan tanah air. Yang lain-lain adalah perkara kedua.”

Siapa jadi pilihan?

Detik penentuan bagi pemilihan UMNO sudah hampir. Setelah dikejutkan dengan keputusan Lembaga Disiplin melarang calon Timbalan Presiden, Ali Rustam daripada bertanding atas kesalahan politik wang, bahang pemilihan makin terasa panas.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden kini tertumpu antara Muhyiddin Yassin dan Muhammad Muhd. Taib. Banyak pihak daripada rakyat, ahli akademik sehinggalah kepada negarawan melihat Muhyiddin lebih layak menjadi gandingan Najib tetapi yang akan membuat penentuan adalah perwakilan.

Sejauh mana para perwakilan akan mengundi berdasarkan aspirasi masyarakat Melayu, adalah satu persoalan yang menarik. Mungkinkah Muhammad akan melakukan kejutan dengan andaian penyokong Ali akan mengalihkan sokongan kepada beliau? Sukar untuk dipastikan pada peringkat ini kerana Muhyiddin masih menjadi calon favourite dan sudah ada juga anggota jentera kempen Ali yang menyokong Muhyiddin atas pelbagai faktor.

Bagi pemilihan jawatan tersebut, para perwakilan dijangka membuat penilaian lebih ketat berbanding jawatan lain. Persaingan tersebut juga diwarnai dengan pelbagai cakap-cakap politik termasuk melihatnya sebagai ‘perang proksi’. Menurut ramai pemerhati, Abdullah dikatakan menyokong Muhammad sementara Najib dilihat memihak kepada Muhyiddin.

Siapa pula tiga calon Naib Presiden yang akan menang? Apakah kesemuanya muka baru dan agak muda atau mungkin ada gandingan pemimpin veteran. Setakat ini, difahamkan, Zahid Hamidi mendahului rating bagi jawatan itu yang menjadi rebutan lapan calon.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO, apakah Rafidah Aziz yang telah lebih dua dekad menjadi ketua pergerakan itu mampu mempertahankan jawatan atau pesaingnya, Shahrizat Abdul Jalil akan muncul sebagai ketua yang baru?

Tumpuan utama juga pastinya kepada jawatan Ketua Pemuda antara Mukhriz Mahathir, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin. Ketiga-tiganya dikatakan mempunyai peluang yang hampir sama untuk menang.

Tidak kurang mendapat perhatian ialah persaingan bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT), Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda. Kini semua calon dan ejen mereka memperhebatkan kempen menjelang saat-saat akhir.

Meskipun sudah ada pemimpin UMNO dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang tetapi berdasarkan banyak maklumat terkini, ia nampaknya tidak menakutkan calon apatah lagi perwakilan. Realitinya penggunaan wang masih berleluasa yang kemuncaknya dijangkakan pada malam sebelum pengundian.

Sudah banyak yang diperkatakan tentang politik wang tetapi tiada perubahan. Sementara UMNO mengambil langkah merombak sistem pemilihan parti, para perwakilan perlu diberikan gelombang peringatan terutama dalam ucapan Najib pada perasmian persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri serta amanat Presiden pada perasmian perhimpunan.

Awang juga mencadangkan agar sekretariat UMNO memperdengarkan bacaan ayat suci al- Quran untuk seketika di dewan pemilihan sebelum perwakilan mengundi. Al-Quran ada ‘frekuensinya’, semoga sedikit sebanyak dapat mendorong keberanian dan kebijaksanaan memilih barisan baru yang berwibawa demi agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya perwakilan menjadi penentu sama ada UMNO mampu bangkit atau tersungkur lebih awal. Tidak perlu pihak luar membunuh UMNO...

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

(sumber;utusan-online)

Pilih barisan berwibawa

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

KUALA LUMPUR 21 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan UMNO mahu pemimpin yang berwibawa, berkebolehan dan diterima rakyat membarisi set kepimpinannya.

Timbalan Perdana Menteri yakin ciri-ciri kepimpinan sedemikian mampu membantu beliau mengemudi perubahan dalam parti itu dan negara.

Ditanya apa akan berlaku seandainya pemilihan parti bermula 24 Mac ini tidak mencapai apa yang diinginkan, Najib berkata, beliau hanya boleh merayu kerana menyedari ia adalah kuasa perwakilan untuk membuat keputusan.

‘‘Sebab itu saya kata, mereka mesti mengundi berdasarkan hati nurani. Pilihlah pemimpin yang mempunyai ciri terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan,’’ katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia dan Kumpulan NSTP menjelang Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Najib seterusnya memperincikan makna set kepimpinan dalam UMNO ialah mereka yang bersedia menghadapi cabaran baru, sedia untuk berubah, sedia untuk buat perubahan dan sedia untuk melakukan kebaikan.

Timbalan Presiden UMNO itu seterusnya menggariskan tiga ciri yang perlu ada pada pemimpin yang hendak dipilih.

Ciri-ciri tersebut kata Najib ialah:

- Pertama, komited dalam perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok;

- Kedua, mesti bersikap terbuka maknanya bersedia melakukan perubahan dan;

- Ketiga, mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik

di sisi rakyat.

‘‘Apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin itu, maka pemimpin itu yang sebaik-baiknya dipilih bagi menduduki pelbagai jawatan dalam parti,’’ katanya.

Najib menegaskan, beliau memerlukan sebuah pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan berhadapan dengan keadaan yang begitu mencabar.

‘‘Saya tidak mungkin mampu menghadapi cabaran ini tanpa disokong dan didokong oleh kepimpinan tertinggi parti yang sehaluan, mempunyai fikiran yang sama dan iltizam serta kehendak politik yang sama.

‘‘Jadi inilah yang amat penting sekali. Jika saya bersama beberapa kerat sahaja yang mencerminkan sikap sedemikian, tidak mungkin kita dapat membawa perubahan sehingga mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata, beliau tidak perlu menyebut senarai barisan kepimpinan yang diinginkan kerana tidak semestinya ia akan dipatuhi.

‘‘Kita cuma boleh merayu sahaja kepada mereka (perwakilan) dari segi pertimbangan dan kesedaran serta keinsafan mereka, betapa pentingnya keadaan sekarang yang kritikal untuk masa depan UMNO.

‘‘Kita sudah sampai di persimpangan jalan di mana setelah lebih 50 tahun kita berkuasa, inilah ketikanya paling kritikal. Jadi ahli UMNO mesti sedar ini dan mesti mengundi memilih pemimpin berdasarkan kepada realiti situasi sekarang,’’ katanya.

(sumber;utusan-online)

Perdana Menteri BN yang terakhir

Ahmad Lutfi Othman
Sat | Mar 21, 09 | 5:19:11 am MYT

Dari awal, saya memang tidak tertarik dengan teori konspirasi dalam Umno, apa lagi terhadapdakwaan bahawa Abdulllah Ahmad Badawi kemungkinan besar tidak akan menyerahkan jawatan tertingginya dalam kerajaan kepada Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno nanti. Abdullah bukannya seorang tokoh yang bersedia mendepani cabaran dan gugatan sehingga sanggup bertahan dengan prinsip yang didokong. Beliau kelihatan mudah tunduk dengan tekanan dan suka mengelak daripada bertembung dalam suasana lebih sukar.


Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan -- malah tidak difahami rakyat -- ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.

Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Muhyiddin Yassin -- yang juga dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim -- sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.

Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.

Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa -- apatah lagi menjayakan -- suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.

Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN.

(sumber:harakahdaily)

Saturday, March 21, 2009

pihak Majlis Peguam mempamerkan sikap anti Islamnya ..


sekali lagi pihak Majlis Peguam mempamerkan sikap anti Islamnya apabila membuat suatu pangundian online berkaitan penggunaan nama ALLAH.

Didalam laman webnya www.malysianbar.org Majlis Peguam mengemukakan tajuk undian online dengan soalan saperti berikut:

1. "Sama ada wajar mana-mana bangsa seperti penganut Islam mendapat hak eksklusif menggunakan perkataan ALLAH";

2. "Samada penerbitan bukan Islam wajar diberi hak menggunakan perkataan ALLAH"
.
Melalui undian online ini, para peserta hanya perlu mengundi ya atau tidak. Dan ini akan dijadikan sandaran kelak untuk menentukan hak menggunakan perkataan ALLAH oleh bukan Islam.

Nampaknya pertukaran kepimpinan Majlis Peguam daripada Datuk S. Ambiga kepada Ragunath Kesavan sebagai Presiden Majlis Peguam tidak mebawa apa-apa makna dari segi sikap anti Islam mereka. Ini jelas membuktikan bahawa sememangnya Majlis Peguam peguam amat tebal sikap anti Islamnya.

Selain online polling yang jelas mencabar umat Islam, Majlis Peguam juga adalah badan yang mendalangi penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama), Kumpulan Artikel 11 (yang memperjuangkan hak untuk murtad oleh umat Islam), menyokong tuntutan Azlina Jailani @ Lina Joy di Mahkamah Persekutuan (yang menuntut hak untuk murtad dari Islam), mengadakan pelbagai forum dan seminar yang mencabar Islam (saperti forum Masuk Islam:Menilai kes Subashini & Shamala) dan lain-lain lagi.

Dalam isu online polling berkaitan hak penggunaan nama ALLAH, saya tidak nampak langsung apa relevennya pungutan suara online tersebut dengan peranan Majlis Peguam. Adalah jelas Majlis Peguam telah melampaui skop dan bidangtugasya apabila membuat pengundian online tersebut.

Adalah jelas juga Majlis Peguam langsung tidak pernah mengambil kira sensiviti umat Islam dalam menjalankan pengundian tersebut. Apakah Majlis Peguam sudah menjadi badan yang pekak dan buta terhadap sensitiviti orang lain? Atau adakah sikap angkuh dan sombong mereka sudah melampaui batas-batas susila masyarakat timur.

Sikap golongan saperti Majlis Peguam inilah yang akan menimbulkan persengketaan dan perasaan tidak puas hati dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang telah hidup dengan aman dan harmoni selama ini dan saling hormat dan menghormati sesama sendiri.

Majlis Peguam sebagai badan yang berlatar belakangkan perundangan sepatutnya sedar bahawa tindak-tanduknya dalam hal ini jelas membelakangkan semangat dan peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Peguam juga dengan sedar melakukan suatu pelanggaran terhadap Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan sama ada orang Islam atau bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan agama bukan Islam.

Saya mendesak supaya satu tindakan yang tegas diambil terhadap Majlis Peguam termasuk para pegawai dan exconya yang jelas makin angkuh dan bongkak dengan sikap mereka, seolah-olah mereka ini kebal dari segi undang-undang.

Saya mendesak supaya tindakan pendakwaan jenayah dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab samada dibawah Sekyen 9 diatas atau Seksyen 299A Kanun Keseksaan.

Sudah tiba masanya Majlis Peguam dan golongan yang sewaktu dengannya diberi pengajaran yang jelas supaya perkara saperti ini tidak berulang lagi dimasa akan datang.

Sebagai langkah jangka panjang, saya mendesak kerajaan supaya mengkaji semula Akta Profesion Guaman dengan melakukan pindaan yang jelas untuk menghadkan skop dan bidangtugas Majlis Peguam hanya kepada mengawal selia dan mendisiplinkan para peguam.

Kerajaan juga mungkin perlu mengkaji kemungkinan membenarkan penubuhan sebuah badan peguam yang lain sebagai alternatif dan mengimbangi Majlis Peguam. Saya lihat kerana hak monopoli dan eksklusif yang diberikan kepada Majlis Peguam dalam perihal profesion guaman menyebabkan mereka menjadi angkuh dan sombong seolah-olah mereka adalah kumpulan yang "untouchable".

Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia memberi mesej yang jelas dan terang kepada Majlis Peguam: "enough is enough".

Moga ALLAH memberikan kita umat Islam petunjuk dan hidayahNya serta kekuatan dan istiqomah dalam perjuangan Islam.

Sekian terima kasih.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bdr Bharu
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

(sumber;zul4kulim.blogspot)

Muhyiddin atau Muhammad: Teka teki makin ligat berputar…



(sumber;agendadaily)

Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz



Menjelang 26 Mac ini bila mana para perwakilan UMNO memangkah untuk memilih barisan pimpinan utama parti teka teki yang paling popular dipasaran ialah kemana undi Datuk Seri Mohd Ali Rustam nak beralih arah?

Ketua Menteri Melaka itu tiba-tiba dikatakan menjadi ‘ faktor’ dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden setelah beliau sah tidak boleh bertanding.

Siapa yang bakal dapat ‘ durian runtuh’ – Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Muhammad Muhd Taib?

Dari tiga calon kini hanya tinggal dua.Mahu tidak mahu para penyokong Ali perlu memilih.

Sebelum keputusan Lembaga Disiplin UMNO pada 17 Mac,ramai para pemerhati yang menilai saingan berat pertandingan jawatan itu bertumpu pada Muhyiddin dan Ali manakala Muhammad terus menjadi underdog.

Namun kini keadaan sudah berubah selari dengan kefahaman tentang istilah politik dimana nothing is imposibble.

Melihat pada senario terbaru ini ada yang merasakan agak sukar untuk membuat satu ramalan yang pasti.

Jentera Muhyiddin dikatakan cukup sedar dengan ‘ kekurangan’ yang mereka perlu hadapi manakala jentera Muhammad sudah nampak ada suatu ‘ kelebihan’ yang tiba-tiba menjelma dari fiasco Ali.

Muhyiddin dan Muhammad pernah berlayar dalam satu kapal yakni jawatan Naib Presiden lama sebelum Ali menyertai mereka dalam jawatan itu.

Masing-masing mempunyai ‘track records’ tersendiri’ Jika Muhammad dilihat sebagai pemimpin teruji atas sifatnya sebagai bekas Menteri Besar Selangor, apa pula kurangnya Muhyiddin sebagai bekas Menteri Besar Johor.

Jika jawatan menteri hendak dipertaruhkan, kedua-duanya berjawatan yang sama dan jika usia dan pengalaman pula hendak dijadikan sandaran, juga tidak banyak bezanya.

Antara tandatanya kini ialah apakah perkiraan para perwakilan dalam membuat keputusan untuk memberi undi mereka yang sangat berharga itu?

Ada juga pemerhati yang menilai ‘ signal’ Ali boleh mempengaruhi corak pengundian.

Sebab itu ada juga yang gemar mengintai gerak langkah Ketua Menteri Melaka itu menjelang hari pengundian.

Namun, ada perkiraan lain yang yang dikatakan turut menjadi perhatian.

Presiden sudah pasti di tangan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden.

Dengan siapakah Najib lebih serasi - bersama Muhammad kah, atau bersama Muhyiddin?

Keserasian adalah amat penting kerana sejarah sebelum ini membuktikan bahawa Dr. Mahathir terpaksa menghadapi bersilih ganti timbalan presiden parti dan juga timbalan perdana menteri.

Beliau tidak boleh ‘ngam’ dengan Tun Musa Hitam yang kemudiannya diganti oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba yang gagal dipertahankannya kerana badai yang dibawa oleh timbalannya yang berikut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar juga didapati tidak sesuai dan diganti pula dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Begitulah perjalanan para timbalan Dr. Mahathir. Abdullah dalam jangka masa dua penggal ini hanya mempunyai seorang timbalan.

Zahirnya Najib nampaknya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan Muhammad dan begitu juga Muhyiddin. Masalah yang ada hanyalah untuk memilih satu daripada dua.

Tolak sebelah segala sentimen peribadi atau emosi semua orang setuju Najib sangat memerlukan seorang timbalan yang dapat sink and swin dengan beliau dalam keadaan UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran sejak tsunami pilihanraya umum Mac 2008.

Banyak kerja yang perlu dibuat untuk kembalikan kegemilangan UMNO

Soalnya Muhyiddin atau Muhammad kah yang dapat penuhi kriteria itu ?- 21/3/2009

















Printable Version | Email to a Friend

Muhd Taib: Bersatu jika orang Melayu nak selamat...



(sumber;malaysiakini)

Mar 21, 09 12:38pm

Kalau orang Melayu hendak selamat, maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri, harus ada balik, kata calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Orang Melayu kena bersatu, atau kita akan ulang balik keadaan ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, kera di hutan disusukan, anak dikendong
mati kelaparan.

"Apa yang diungkapkan oleh Aminudiin Baki akan berlaku lagi. Kalau tak mahu bersatu, anak kita akan kehilangan hak," kata Muhd Taib dalam wawancara dengan Bernama.

Umno, tegas ketua penerangan Umno itu, perlu restorasi untuk mendengar suara, idea orang muda dan mengekalkan perjuangan asal.

"Seperti Restorasi Meiji kira-kira 150 tahun lepas. Dulu Jepun diperintah Shogun dan perang. Ia diambil alih dan dilakukan restorasi kesemua nilai-nilai yang baik, iaitu pendidikan dan ketaatan kepada raja, diterapkan.

"Bila rakyat kata ini apa yang mereka mahu, rakyat akan ikut. Proses restorasi ke arah perjuangan asal mesti dilakukan," tambahnya.

Berikut adalah wawancara penuh Muhd Taib dengan Bernama:

Soalan: Apa yang mendorong Tan Sri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno?

Jawapan: Saya nak berjuang untuk orang Melayu. Saya mewakili parti yang bernama Umno, Umno adalah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu di samping berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia. Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, memang kita memberi keutamaan kepada orang Melayu, tetapi ini tidak bermakna orang bukan Melayu kita tinggalkan. Sebagai anak Melayu dan sebagai orang yang berkecimpung dalam parti, saya hendak meneruskan khidmat saya ke peringkat tertinggi untuk bantu orang Melayu terutama di kampung, nak meninggikan peluang orang Melayu.

S: Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh Umno untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap parti ini selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu?

J: Umno kena ada proses Restorasi. Pada satu ketika dulu Umno terdiri daripada pelbagai kumpulan. Masa tubuh 1946, Umno tak ada, yang ada persatuan guru, persatuan penulis, persatuan pingan mangkuk kampung baru, persatuan anak Melayu Kelantan, Terengganu, Pahang, imam-imam. Umno barangkali sudah detached daripada kumpulan ini. Banyak perubahan telah berlaku selepas DEB (Dasar Ekonomi Baru) pada tahun 1970-1990.

Orang Melayu asalnya petani, penoreh getah. Tiada kumpulan perdagangan, dulu hanya ada orang yang boleh berkhidmat. Aminudin Baki pernah berkata kita seolah-olah ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, anak dikendong mati kehausan, kera di hutan disusukan. Selepas itu bangkit usaha untuk membawa perubahan. Maka lahirlah selepas 13 Mei Dasar Ekonomi Baru apabila pada 1969 kuasa politik nak hilang.

Tahun 1970 di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, telah diancarkan DEB untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Selepas itu baru ada usaha melatih anak Melayu di MRSM (Maktab Rendah Sains MARA), bank-bank, skim pelajaran, skim ekonomi dan sosial selama 20 tahun dengan matlamat 30 peratus (pegangan ekuiti bagi bumiputera).

Menjelang 1990 tercapai 18 peratus, maknanya ada kejayaan. Hari ini Umno bergaul dengan orang berniaga. Orang Melayu dah jauh berubah kerana faktor pendidikan. Ada kemudahan pelajaran daripada peringkat taska hingga ke peringkat universiti. Infrastruktur telah disediakan di kampung-kampung. Mereka berjaya ke institusi pengajian tinggi, maka hasilnya wujudlah kelas menengah Melayu. Wujud peluang DEB, seperti peluang kontraktor kelas F, peluang perniagaan, pinjaman bank, bank bumiputera dan bank pertanian yang bagi kemudahan istimewa untuk orang Melayu.

Dari segi kemudahan pelajaran dan peluang ekonomi orang Melayu dah berada pada satu tahap yang berbeza. Orang Melayu sudah mampu memiliki kilang-kilang dan ini dicapai atas persetujuan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Gagasan ini dipersetujui. Dasar pembangunan nasional, penekanan dibuat untuk semua kaum, terutamanya golongan yang miskin. Orang Melayu dah ramai yang berhijrah ke bandar dan mampu pula bersaing di bandar. Walaupun mereka meningkat sepertimana orang Jepun dan bangsa maju lain seperti Korea, Taiwan dan Amerika, semangat untuk menjadi bangsa yang sedar untuk majukan bangsa mesti terus dijadikan pegangan.

S: Pada masa ini nampaknya masih ada yang melihat dasar-dasar kerajaan, terutamanya DEB memberi kelebihan kepada orang Melayu?

J: Francis Light membuka Pulau Pinang pada 1786, Raffles di Singapura pada 1819, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Pangkor 1873. Daripada 1786 sudah 250 tahun kaum yang datang seolah-olah dapat DEB selama 250 tahun. DEB yang mereka nikmati di bawah payung Inggeris mereka bolot. Dari segi pelajaran siapa pergi Victoria Institution, St. John Institution, Anderson School, Penang Free School, King Edward dan Raffles School di Singapura, semua ini terdiri daripada golongan imigran. Orang Melayu berada di tepi pantai seolah-olah dipetisejukkan dan mundur. Hanya sekolah agama, tak belajar ekonomi.

Orang Melayu hanya belajar fardu kifayah, fardu ain dan keadaan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam dunianya selama 250 tahun. Apakah 20 tahun cukup untuk bangunkan satu kaum yang begitu lama ketinggalan kerana dipetisejukkan di tepi sungai dan pantai dengan mentaliti yang terperangkap? Apakah 20 tahun boleh kejar orang lain. Kalau jadi kontraktor mana nak beli besi dan simen?

Orang lain dah kawal beratus-ratus tahun, macam mana nak kata tak payah pakai DEB. Kita sebagai anak watan mesti diberi peluang untuk mencapai taraf itu. Ramai yang terkial-kial, tiba-tiba kata compete freely. Orang Melayu masih ketinggalan dan mereka perlu diberi bimbingan, di mana kaum lain yang miskin mereka juga perlu dibantu. Janganlah kerana kita dah lepas, kata tak perlu pula.

S: Tapi Tan Sri, ada persepsi bahawa Umno itu tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu tapi Umno memperjuangkan kelompok tertentu, perjuangan untuk kroni?

J: Proses restorasi mesti ada, maknanya letakkan apa yang hak dalam Umno. Bawa kembali persatuan kepada Umno. Usaha meletakkan kumpulan ini bersama parti mesti ada. Mungkin kita panggil "Umno plus plus" termasuk badan-badan NGO, sertakan dalam pergerakan untuk majukan orang Melayu. Sekarang NGO main peranan yang penting seperti persatuan teksi, nelayan, pekebun, ketua kampung, dewan perniagaan. Satu pendekatan baru melibatkan badan ini mesti ada, termasuk badan belia.

S: Adakah ahli Umno sedia untuk bawa perubahan yang Tan Sri maksudkan ini?

J: Mengapa Datuk Onn Jaafar (pengasas Umno) boleh satukan orang Melayu dengan satu tujuan. Kata Datuk Onn selagi orang Melayu tidak bersatu selagi itu orang Inggeris akan menjajah negara ini sampai kiamat. Itu dikata bersatu teguh, bercerai roboh. Perkataan bersatu itu dimasukkan dalam cogankata Umno. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Kalau orang Melayu nak selamat maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri harus ada balik. Tiada yang mustahil.

Orang Melayu kena bersatu, atau kita akan ulang balik keadaan ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, kera di hutan disusukan, anak dikendong mati kelaparan. Apa yang diungkapkan oleh Aminudiin Baki akan berlaku lagi. Kalau tak mahu bersatu, anak kita akan kehilangan hak.

S: PRU ke-12 menyaksikan golongan muda menjauhkan diri dari Umno dan BN. Apakah yang perlu dilakukan oleh parti ini untuk mengembalikan keyakinan generasi muda?

J: Umno harus incorporate falsafah dan idea orang muda. Orang muda nak ketelusan dan sesuatu yang adil, maka Umno perlu ada pendekatan baru yang sesuai. Setiap zaman berbeza kehendak. Umno mesti berubah mengikut kehendak, walaupun definisi orang muda adalah relatif. Orang muda tahun 50-an tidak akan sama dengan orang muda tahun 60-an.

S: Apakah harapan Tan Sri kepada perwakilan menjelang pemilihan minggu depan?

J: Perwakilan kena pilih pemimpin yang boleh selamatkan parti bukan pemimpin yang bawa keadaan menggoncangkan parti. Kena tengok "track record" dan bawa pembaharuan. (Pada) 1970 Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) kata siapa bekerjasama kafir, tak payah Yahudi atau Nasrani dia adalah kafir. Sekarang slogan "PAS for All". Kita tidak dengar lagi amanat Haji Hadi dilaungkan. Maknanya PAS buat adjustment. UMNO tak boleh statik. Kena berubah atas dasar mengikut kehendak zaman, kalau tidak Umno akan ketinggalan.

S: Apakah perbezaan Umno dulu dan Umno sekarang?

J: Umno tak sorok hukuman, terbuka dan boleh dikritik, dasar terbuka yang menyebabkan rakyat boleh bersuara dan mengkritik dan memperbetulkan kesalahan yang ada. Jangan pendek melihat Umno, dengan dasar terbuka, media terbuka, rakyat nampak kita tak tutup. Dasar keterbukaan jangka pendek dapat faedah kepada pembangkang dan mereka ambil kesempatan seluas-luasnya.

Umno perlu restorasi untuk mendengar suara, idea orang muda dan mengekalkan perjuangan asal. Seperti Restorasi Meiji kira-kira 150 tahun lepas. Dulu Jepun diperintah Shogun dan perang. Ia diambil alih dan dilakukan restorasi "all the good values" iaitu education dan loyalty kepada raja diterapkan. Bila rakyat kata ini apa yang mereka mahu, rakyat akan ikut. Proses restorasi ke arah perjuangan asal mesti dilakukan.

Orang bukan Melayu akan suka dengan Umno yang sesuai kerana Umno yang memajukan, yang memastikan sekolah Cina dan sekolah India ada. It was Umno yang adil, yang beri peluang kepada semua kaum. Parti lain belum ada satu yang nak dimegahkan dan bawa ke depan sehingga simbol pun masih tiada lagi. Mereka ini dari semasa ke semasa sentiasa bertelagah. BN simbol satu, perjuangan

S: Bagaimanakah Tan Sri melihat peluang Tan Sri dipilih sebagai timbalan presiden Umno?

J: Ini peluang yang terbaik untuk perwakilan memilih, kaji track rekod sebagai pemimpin. Bagaimana saya wujudkan bandar Melayu di Selangor; Shah Alam, Bangi dan Damansara.

S: Apakah perkara pertama yang Tan Sri akan lakukan sekiranya terpilih sebagai timbalan presiden Umno?

J: Saya akan kukuhkan parti. Hanya parti kuat yang boleh selamatkan negara. Kalau parti lemah dan bertelagah, kita dah lihat pertelagahan PM dan TPM, orang Melayu akan lemah dan orang Melayu berpecah. Wujudnya Parti Semangat 46 dan PKR kerana wujud pertelagahan. Negara kita ini unik, ada masyarakat berbilang kaum, kita tidak mampu untuk menerima keadaan perpecahan ini.

Kedudukan Hishammuddin merosot?


(sumber;malaysiakini)

Mar 20, 09 3:40pm

Tindakan Lembaga Disiplin Umno melarangkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden telah mengubah senario sokongan politik terhadap calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno, khususnya bagi jawatan timbalan dan naib presiden.

Dengan peluang Tan Sri Muhammad Muhd Taib kini dilihat semakin cerah memenangi jawatan timbalan, tetapi kedudukan Datuk Seri Hishammuddin Hussein - yang sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan - telah merosot dan terkeluar dari tiga calon teratas.

Tanggapan bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Mohd Ali yang dilihat sebagai penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka Hishammudin yang merupakan sepupu Datuk Seri Najib Tun Razak, turut terkena tempiasnya.

Di samping itu, Hishammuddin - selaku menteri pelajaran - juga dilihat tidak tegas dalam menangani bantahan supaya dimansuhkan program pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Dengan tinggal enam hari sahaja lagi berlangsungnya pemilihan bagi jawatan timbalan dan naib presiden serta kerusi Majlis Tertinggi, kecenderungan perwakilan menunjukkan Datuk Shafie Apdal mendahului senarai calon yang bertanding jawatan naib presiden.

Tempat kedua kini diduduki oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi manakala Datuk Khaled Nordin di tempat ketiga.

Hishammuddin kini difahamkan berada di tempat keempat.

Tiga pemenang teratas akan terpilih sebagai naib presiden, manakala dua lagi disandang oleh ketua Pemuda dan ketua Wanita Umno.

Manakala Datuk Seri Rais Yatim pula berada di tempat kelima, diikuti oleh Datuk Syed Hamid Albar, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Isa Samad.

Bagi jawatan ketua Pemuda pula, Khairy Jamaluddin dikatakan menjadi pilihan utama, dengan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengekori rapat di belakang.

Beberapa pemimpin Umno berpendapat walaupun Mukhriz mendapat pencalonan terbanyak tetapi majoriti perwakilan yang akan mengundi bagi memilih ketua Pemuda Umno minggu depan, lebih cenderung kepada Khairy.

Menurut mereka, selain kelebihan Khairy sebagai naib ketua Pemuda Umno, perkembangan politik semasa juga memihak kepadanya.

"Ini ekoran timbulnya tanggapan berlakunya pertembungan antara penyokong bapa mertuanya, Abdullah dengan penyokong Najib.

"Walaupun perkara ini telah dinafikan oleh pucuk pimpinan tetapi ia tidak dapat menghakis 100 peratus tanggapan tersebut di kalangan para perwakilan," kata seorang pemimpin Umno.

4,885 perwakilan berkampung di PWTC

(sumber;malaysiakini)

Abdul Rahim Sabri | Mar 20, 09 8:33pm

Seramai 4,885 perwakilan, termasuk dari ketiga-tiga sayap, daripada 191 bahagian akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 28 Mac ini bagi mengikuti Perhimpunan Agung Umno.

Mereka terdiri daripada 2,509 perwakilan ke perhimpunan agung Umno, 796 (pergerakan Wanita), 791 (Pemuda) dan 789 (Puteri).

Perhimpunan tersebut juga bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti yang baru untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Turut hadir wakil daripada 70 buah Kelab Umno luar negera yang telah mengesahkan kehadiran mereka di perhimpunan kali ini.

Perhimpunan tersebut akan bermula dengan majlis perasmian serentak perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 24 Mac di Dewan Merdeka.

Seramai 2,376 perwakilan dari ketiga-tiga sayap tersebut akan mengadakan mesyuarat mereka pada pagi keesokan harinya.

Manakala proses pemilihan pucuk pimpinan ketiga-tiga sayap tersebut akan berlangsung pada hari Rabu.

Pilihanraya kecil

Pengundian dijadualkan bermula jam 11 pagi manakala keputusannya dijangka diketahui pada jam 9 malam hari yang sama.

Majlis perasmian perhimpunan agung Umno akan berlangsung pada 26 Mac oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum itu, Abdullah akan memeriksa perbarisan oleh pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, serta upacara menaikkan bendera Umno.

Proses pengundian pemilihan jawatan timbalan dan naib presiden serta kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno akan berlangsung selepas majlis perasmian tersebut.

Pengundian dijadual bermula jam 11 hingga manakala keputusannya dijangka diumumkan pada jam 10 malam yang sama.

Perhimpunan agung tersebut diteruskan pada hari kedua dan ketiga (27 dan 28 Mac) dengan perbahasan ucapan dasar presiden dan membahas usul ekonomi, agama dan pendidikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perhimpunan pada hari terakhir akan selesai lebih awal untuk membolehkan para perwakilan pulang membuat persiapan bagi penamaan calon bagi tiga pilihanraya kecil pada keesokannya.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calaon bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak) pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April ini.

Muhyiddin: Umno di hujung jalan...




(sumber;malaysiakini)

Mar 20, 09 5:56pm

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu kini sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera berubah untuk mengembalikan pengaruhnya seperti dulu.

Umno, katanya, hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah sebelum diadili semula oleh rakyat pada pilihanraya umum ke-13.

Dalam masa yang sangat terbatas itu, tambahnya, semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti termasuk sedia menerima perubahan.

"Ada orang kata Umno sudah sampai ke persimpangan jalan, saya kata Umno dah sampai ke penghujung jalan. Tempoh yang terakhir adalah empat tahun," katanya dalam temubual dengan Bernama.

Muhyiddin, yang akan bertanding kerusi timbalan presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, mengakui bahawa tugas itu bukan mudah, namun Umno harus bersedia melakukannya walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan pihak tertentu.

"Bagi saya, kalau ikut tempoh masa pembaharuan ini, kita kena mula sebaik saja selepas perhimpunan agung. Katakanlah dalam tempoh dalam masa sembilan bulan selepas itu kita telah meletakkan asas-asas, pemimpin parti semua dibawa masuk bincang dalam Umno.

"Inilah pendekatan yang nak diambil oleh Datuk Seri Najib (Razak), dibantu oleh saya dan rakan-rakan lain.

"Merencanakan jadual-jadual... pertama balik ke 'sekolah politik' iaitu kursus (bagi) semua pemimpin Umno, fahami asas perjuangan Umno supaya kita dilihat telah balik ke pangkal jalan, jangan ada lagi nilai-nilai negatif. Ini bukannya mudah," kata Muhyiddin.

Najib dijadual mengambil alih kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama selepas perhimpunan agung yang berakhir 28 Mac ini.

Muhyiddin berkata, nilai negatif yang mesti dibuang daripada dalam diri ahli antaranya sikap mengutamakan diri sendiri agar persepsi mereka mengenai ahli dan parti dapat diperbetulkan.

Katanya, usaha itu boleh dijayakan melalui penganjuran kursus dan program latihan besar-besaran bagi melatih semula semua peringkat dalam pelajaran politik.

"Sebab saya lihat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ni, kita agak lari, banyak orang lihat kita ini self-serving (utamakan diri), apa yang ada... mesti Umno dulu, ada kontrak... Umno dulu, kalau ada projek... Umno dulu.

"Sejarah Umno (semasa) Datuk Onn Jaafar dulu tak macam itu. Ada sesuatu dia bagi yang rakyat dulu. Kita ini sebagai pejuang tak apa , kita hidup papa, yang luar mesti hidup selesa.

"Sekarang ini tidak (seperti dulu), kita mesti pentingkan kita dulu, yang ketua bahagian mesti jaga ketua cawangan, mesti jadi ahli dulu, padahal ahli-ahli yang di bawah itu untuk bela nasib orang Melayu di luar," katanya.

Beliau berharap pembaharuan yang dilakukan itu akan dapat dirasai oleh masyarakat Melayu khususnya dalam tahun ketiga dan pada tahun keempat dari pemilihan Umno tahun ini supaya bersedia untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihanraya umum depan.

Muhyiddin berkata Umno tidak harus hanya menjadi parti untuk ahli-ahlinya sahaja, sebaliknya juga parti yang memberi khidmat kepada semua orang Melayu serta rakyat Malaysia.

Tambahnya, sikap lama yang mengutamakan ahli untuk pemberian bantuan tertentu misalnya mesti diperbetulkan kerana semua kaum mesti dibantu.

Muhyiddin, yang juga anggota parlimen Pagoh, berkata beliau sedang cuba membuat pembaharuan di kawasan yang diwakilinya itu dengan meminta ahli Umno menyelesaikan masalah kaum lain.

Bukan lagi seperti dulu iaitu masalah orang Melayu diselesaikan oleh Umno, masalah orang Cina diselesaikan oleh MCA dan masalah India diselesaikan oleh MIC, tambahnya.

"Sekarang saya pusing... bayangkan kalau Pemuda Umno buat gotong-royong di kawasan Cina dan India, begitu juga sebaliknya, apa persepsi masyarakat? Mula-mula orang kata mengada-ngada, kalau dibuat selalu, bukan mengada, atau kita dilihat sebagai membantu bukan saja puak-puak kita, tapi membantu semua.

"Ini bentuk format gerak kerja yang kita nak buat, sebab rakyat menilai kita daripada segi apa yang kita buat untuk mereka. Ini adalah kandungan pembaharuan dan perubahan.

"Jadi empat tahun cukup, tapi rakyat akan adili kita," katanya.

Muhyiddin berkata ahli-ahli Umno tidak mempunyai pilihan dan perlu bersedia menerima perubahan untuk kelangsungan hidup parti.

"Kena ada muafakat antara pimpinan dan ahli tentang apa agenda kita dan dalam proses itu mesti dijelaskan kalau tak buat begini, ini kesannya risiko bagi kita.

"Yang paling bahaya kita hilang kuasa. Jadi kita kena beritahu inilah pilihan kita. Untuk pilihan ini, kamu mesti bersedia untuk berkorban, ubah gaya (lama) yang tidak secocok dengan gaya baru," katanya.

Muhyiddin berkata Umno tidak boleh menunggu 10 tahun lagi untuk berubah kerana pada masa itu ia sudah terlambat.

"Saya bayangkan, kalau kita sudah hilang kuasa, nak dapatkan balik kuasa itu payah. Jadi apa pilihan kita?

"Kamu nak terus kuasa dan berubah atau kamu nak hilang kuasa? Tidak ada pilihan. Umno dan BN tidak banyak pilihan," katanya.

Muhyiddin juga berharap pergerakan Pemuda dan Puteri dapat memainkan peranan penting untuk menggerakkan parti ke arah yang lebih positif, terutamanya kerana pada masa ini golongan muda mewakili 50 hingga 60 peratus daripada pengundi.

Adalah penting kedua-dua pergerakan itu dibarisi oleh pemimpin yang bukan saja bersemangat, tetapi berpengalaman, rasional, mempunyai ketokohan, pandai menilai situasi dan politik semasa, tahu cara-cara menyumbang kepada kepimpinan sekarang, memikirkan semangat kerjasama, perpaduan dan mesti faham kehendak rakyat.

Beliau berpendapat kepimpinan golongan muda mesti berorientasikan hasil, mampu memberi kesan positif dan meningkatkan keyakinan golongan muda.

"Saya pernah sebutkan sebelum ini, setiap apa yang kita lakukan baik di Wanita, Pemuda atau Puteri, kita mesti lihat kepada dividen politik, bukan kelebihan tapi dividen.

"Kita biar belanja RM1, tapi dividennya RM10. Kita tidak boleh macam dulu, seronok, syok-syok sendiri, lepas itu akhirnya harap orang itu akan sokong kita.

"Sekarang kita buat sesuatu nilai dulu, apa impak kalau ini yang aku buat kesannya kepada kita, kesan kepada masyarakat," katanya.

Friday, March 20, 2009

Banyak belum terjawab....



Wednesday, March 18, 2009

BANYAK BELUM TERJAWAB
(sumber;hambali1.blogspot)

Persoalan awal sudah terjawab. Lembaga Disiplin UMNO sudah memutuskannya.
Tetapi dah jadi dengan lebih kurang 870 aduan lagi?


Saya terima sms daripada seseorang menggelarkan dirinya sritribuana. Saya rasa pengirim ini seorang pemimpin UMNO yang menjadi ‘mangsa’ akibat perlakuan rasuah politik di bahagiannya.

Persoalan beliau ialah:

Hasil mahsul keputusan Lembaga UMNO telah dengan sendirinya mengamit beberapa persoalan;

1.Dah selesai kah semua 900 aduan?

2. Hukuman dan mangsa-mangsa LDP semacam selektif sahaja? Sebabnya ialah, kesalahan sama,satu dilarang bertanding,yang satu lagi amaran. Tidak kah itu 'double standard' namanya? Menampakkan UMNO mengamal budaya ANTARA DUA DARJAT.

3. Apabila LDP mendapati ada elemen politik wang dan memperakuinya melalui hukuman(verdict)tak kira samada kena gantung atau amaran tak boleh bertanding dan amaran boleh bertanding(kelamkabut bentuk keputusannya)bermakna elemen rasuah sudah wujud.Sepatutnya LDP kena serahkan atau membuat lapuran kepada SPRM untuk diambil tindakan selanjutnya.

Persoalan juga ialah apakah satu kesalahan apabila ada elemen rasuah berlaku, orang yang mengetahuinya tidak melaporkan kepada SPRM. Melindungi Rasuah namanya tu.

Kata sritribuana, sedih melihat Ku Din nampak macam stress ‘gila’.

“Nampak macam ada sesuatu tekanan. Dari segi saikologi, itu lah potret seorang professional yang tertekan.Berada dipersimpangan samada melaksanakan keadilan atau membaca keputusan yang telah dirancang. YM Ku Din bukan seorang pelakun handalan macam penasihat undang-undang yang disebelahnya tu,” kata pengirim sms itu.

Bagi saya, yang menarik daripada apa juga keputusan Lembaga Disiplin ialah apa pun bagi kes-kes yang terlepas(tidak sangkut) Lembaga Disiplin juga harus memberi penjelasan dengan terperinci.

Ini bagi membolehkan ahli-ahli UMNO mengambil tindakan menyaman pelapur atas 'tuduhan palsu'.

Pelapor-pelapor dengan 'tuduhan palsu' boleh dibawa ke Mahkamah kerana;

1.Mengaibkan si kena tuduh.

2.Mngelirukan ahli-ahli UMNO dari bahagian berkenaan

3.Ahli-ahli UMNO mempunyai 'locus standi'untuk membersihkan nama baik bahagian.

4.Menghindarkan daripada ahli-ahli UMNO membuat sesuatu tuduhan berdasarkan fitnah,hasad dengki dan seumpamanya berleluasa dimasa hadapan.

5.Pelapur-pelapur palsu ini harus dinyahkan daripada UMNO kerana telah membawa budaya yang boleh menghancurkan UMNO.

Tugas dan tanggungjawab 'pelapor palsu'lah membuktikan kebenaran laporan mereka di mahkamah kelak.

Dan sekirannya 'pelapur palsu’ ini dapat membuktikan dimahkamah bahawa laporan mereka adalah benar dan mahkamah juga memutuskan ada kebenaran,vmaka Lembaga Disiplin harus bertanggungjawab kerana menjalankan tugas dengan cuai yang disengajakan.

Lembaga siasatan disiplin UMNO sewajarnya dikenakan siasatan oleh SPRM.

Apa komen pembaca dan pelayar?


Posted by Hambali Abd Latiff at 2:43 PM 1 comments
Labels: Politik Wang, rasuah, UMNO

DAR; Panas hanya seketika........,






Panas hanya seketika….

Oleh: Hanafiah Man

(sumber;agendadaily)

Majlis memperkenalkan calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada para perwakilan Negeri Sembilan di Seremban Khamis malam melakarkan suasana yang cukup menarik.

Ia dilihat sekaligus meredakan ‘ketegangan’ ekoran daripada keputusan Lembaga Disiplin Selasa melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Ini berikutan berlegarnya berbagai spekulasi termasuk ada yang bimbang berlaku krisis dalam parti kerana tindakan itu.

Tanpa diduga Ketua Menteri Melaka itu muncul pada jam 9.05 malam iaitu 25 minit sebelum majlis berkenaan berlangsung di dewan sebuah hotel di bandar itu.

Melihat kehadirannya itu para ahli UMNO yang berada sekitar lobi hotel berkenaan spontan memberi tepukan gemuruh.

Beliau kemudian berjalan beriringan dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang tiba beberapa minit lebih awal.

Mereka sama-sama masuk ke dewan makan dan duduk di meja bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sampai lebih awal.

Sewaktu majlis memperkenalkan calon dalam dewan,Ali duduk diatas pentas di barisan depan sebaris dengan Muhyiddin dan Muhammad.

Ali terus berada di sekitar hotel itu lama selepas selesai majlis pada jam 10.30 malam dimana beliau kelihatan berbual dan meramah mesra dengan para ahli UMNO yang masih berada di situ.



Kehadiran Ali pada majlis berkenaan bukan sahaja menjadi bukti beliau menerima keputusan tersebut malah apa yang lebih penting, tindakan yang dikenakan ke atasnya semacam sudah dapat diterima oleh para perwakilan dan ahli-ahli UMNO… paling tidak yang hadir di majlis berkenaan.

Kesempatan bertemu dengan beliau selepas majlis berkenaan, Agendadaily tidak melepaskan peluang mengajukan beberapa soalan bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut Ali sendiri.

Antaranya ialah mengenai tohamahan yang menuduh seorang lagi calon Timbalan Presiden yakni Muhyiddin sebagai orang yang bertanggungjawab mempengaruhi keputusan Lembaga Disiplin untuk menyekat ‘kemaraan’ beliau dalam saingan merebut jawatan tersebut.

Menjawab soalan itu, beliau mengulangi pendiriannya menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin.

Lebih menarik apabila beliau dengan tenang dan memperlihatkan kematangan sebagai orang lama berpolitik menjelaskan pendiriannya itu dengan lebih lanjut.

“Lembaga Disiplin…dia jalankan tugas atas arahan UMNO…jadi mereka jalankan tugas sebagaimana diarah…jadi apa yang diputuskan kita kena terima secara terbuka dan berlapang dada.

“Saya terima dengan hati terbuka dan tak perlulah tuduh sesiapa dalam soal ini,” katanya dengan harapan isu tuduhan dan tohmahan tidak akan dijadikan cakap-cakap politik yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Ekoran tuduhan berkenaan, kini banyak diperkatakan ke mana arah sokongan para penyokong beliau setelah beliau dilarang bertanding.

Ada cakap-cakap yang menyatakan kerana marahkan Muhyiddin, kalangan penyokong Ali sudah tentu akan beralih arah kepada Muhammad yang juga merupakan pesaing bagi jawatan Timbalan Presiden.

Namun Ali memberikan jawapan ringkas sahaja “perwakilan bijak membuat keputusan” .

Ditanya mengenai kehadiran beliau pada majlis berkenaan walaupun telah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin, jawapan yang diberikan amat menarik.

“Saya datang nak bagi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. UMNO masih kuat dan bersatu. Habis pertandingan kita akan rapatkan semula barisan.

“Walaupun saya terkeluar awal sedikit, saya tak rasa kecewa…biasa saja. Saya datang nak bagi sokongan dan semangat kepada kawan-kawan…takkan lepas terkeluar (daripada bertanding) saya nak ambil cuti pula,” ujar beliau.

Mengakhiri temubual rigkas itu Ali turut menzahirkan harapannya kepada semua calon yang bertanding.

“Apa yang penting jika menang jadilah pemimpin yang baik dan jika tak berjaya jadilah pengikut yang baik, InsyaAllah parti selamat,” katanya

Terdahulu semasa majlis memperkenalkan calon, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sembilan,Datuk Mohamad Hassan sempat menyentuh mengenai kehadiran Ali.

Menurut beliau, kehadiran Ali membuktikan beliau merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti.

Malah katanya, kenyataan Ali yang meminta para penyokongnya untuk terus memastikan parti kukuh dan bersatu adalah tindakan yang terpuji.

“Pemilihan kali ini bukan yang terakhir..tiga tahun lagi akan da pemilihan parti dan pada masa itu kita berpeluang untuk menawarkan diri sekali lagi,” jelasnya.

Malah semasa memperkenalkan calon Timbalan Presiden, Mohamad secara berjenaka berkata, ‘sebelum ini ada tiga calon tapi Datuk Seri Ali telah menarik diri…biarlah kita cakap berlapik sedikit”. – 19/3/2009

Thursday, March 19, 2009

persepsi umno parti korup




Wednesday, March 18, 2009

PERSEPSI UMNO PARTI KORUP


(sumber;dakwat-kertas.blogspot)

DUA TOKOH Phd DALAM SATU PLATFORM

Seronok melihat perbincangan antara dua tokoh UMNO yang akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO dan seorang lagi untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Mereka adalah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Jabatan Perdana Menteri dan Dr. Mohd Puad Zarkashi, ahli parlimen Batu Pahat. Dua tokoh politik yang mendapat ijazah doctor Phd dalam bidang masing-masing.

Petangnya saya menerima mesej pesanan ringkas (sms) dari penyokong masing-masing sebagai promosi supaya para perwakilan UMNO menonton siaran program Agenda Awani yang disiarkan mulai jam 8.30 malam melalui Astro Awani saluran 501.

Ianya dipengerusikan oleh penganalisa terkenal Sulaimi Sulaiman bersama-sama tiga tetamu yang dijemput untuk bertanyakan soalan. Tajuknya “Persepsi UMNO Parti Korup”.

Tajuknya agak berat kerana ia bukan sahaja memerlukan gabungan kepakaran ahli media dan pakar mass psychology untuk menganalisanya, tetapi juga pakar bedah politik yang mampu meneropong penyakit UMNO dari dalam.

Bila kita bercakap soal 'perception' atau 'tanggapan' sebenarnya kita berbicara tentang sikap atau pemahaman yang diperolehi oleh orang ramai berdasarkan apa yang mereka perhatikan, dengar atau fikirkan. Ertinya, sesuatu tanggapan itu dibuat berasaskan imej yang dilihat oleh rakyat atau yang ingin dilihat oleh pemimpin.

Biasanya tanggapan terhadap imej itu hanya dapat dinilai secara luaran dan jarang dapat menerobosi intipati yang sebenarnya. Dengan yang demikian lahirlah syarikat konsultan yang menguruskan khusus tentang pembinaan imej luaran seseorang pemimpin supaya disenangi rakyat. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar dunia termasuk Barack Obama yang memenangi presiden dalam Pilihanraya Amerika Syarikat yang lalu.

Tanggapan atau persepsi yang negatif terhadap seseorang atau parti boleh membawa kepada hilangnya kepercayaan seterusnya sokongan terhadap mereka yang berkenaan. Ini disebut sebagai ‘krisis kepercayaan’ seperti yang dihadapi oleh UMNO dalam pilihanraya ke 12 yang lalu. Inilah yang paling ditakuti oleh ahli-ahli politik atau pun artis-artis popular.

Tetapi harus diingat sesuatu tanggapan atau persepsi itu tidak semestinya benar. Melihat seseorang itu berimejkan agama tidak semestinya itu merupakan keadaan dalaman beliau sebenarnya.

Begitu jua persepsi terhadap keburukan seseorang itu tidak semesti sifatnya demikian. Ada juga orang yang berimejkan agama melakukan kerja-kerja setan dibelakang rakyat. Tetapi dikaca mata rakyat tokoh ini pejuang kerana itulah persepsi yang dilihat. Yang tertipu adalah rakyat, sebab namanya pun rakyat yang didorong ke hulu ke hilir lantaran terpesona pukauan pemimpin !!.

Berbalik kepada perbincangan Astro Awani tadi saya merasakan Dr. Mohd Puad Zarkashi berjaya mengupas tajuk ini dengan baik dan petak sekali. Beliau ternyata sekali memonopoli perbincangan dan menjadi rujukan daripada penal yang lain. Dr. Mohd Puad berpendapat bahawa soal korupsi adalah penyakit manusia dalam mana parti politik sekalipun, samada dikalangan parti pemerintah atau parti pembangkang.

Tetapi disebabkan UMNO telah begitu lama berkuasa dan UMNO mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli parti yang melakukan rasuah maka UMNO yang yang menjadi tumpuan terhadap persepsi yang negatif ini.

Saya pernah bertanya kepada Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam perbincangan dengan ahli jawatankuasa PERKASA beberapa hari yang lalu tentang tidakkah kekerapan bercakap soal membersihkan UMNO akan menyebabkan usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO semakin sukar.

Tun Mahathir menjawab lebih sukar lagi untuk kita memulihkan UMNO sekiranya orang yang rasuah dan korup dipilih dan menang dalam pemilihan UMNO yang akan datang ini.

Lebih baik kita bercakap mengenainya supaya menjadi panduan kepada perwakilan. Tetapi setelah kita bercakap, orang yang rasuah masih menang, maka sekianlah sahaja tamatnya riwayat UMNO dalam pilihanraya yang akan datang.

Saya amat tertarik apabila Dr. Mohd Puad mempunyai kesimpulan yang hampir sama dengan Lord Acton yang menyatakan “power is corrupt, absolute power corrupt absolutely..” Mungkin kerana begitu lama UMNO berkuasa dengan menguasai 2/3 majoriti dewan maka kurangnya berlaku timbang tara dikalangan ahli dewan parlimen dan ditambah keangkuhan dan perlakuan individu yang tamak dan rakus mengaut harta sebaik sahaja memegang kuasa.

Disamping itu juga peranan pemimpin dan parti pembangkang yang berterus-terusan mengeksploitasi persepsi korup terhadap imej pemimpin parti yang di lawan juga memberikan kesan yang besar terutama dalam kebebasan media tanpa sempadan melalui blog, website, forum letronik dan sebagainya.

Dr. Mohd Puad mencadangkan supaya pemimpin melihat penglibatan mereka dalam politik sebagai satu ibadah atau pengabdian diri kepada Allah swt. Beliau juga menyebut pentingnya jati diri dan budaya mendasari pemimpin politik UMNO.

Bagi saya ini merupakan fakta terpenting beliau yang mencerminkan latarbelakang beliau yang meminati agama dan penyertaannya dalam PAS sebelum menyertai UMNO. Beliau memberikan contoh-contoh pemimpin yang berjaya dalam sejarah Islam seperti Omar Abdul Aziz dan sebagainya. Ini mengingatkan saya ulangan matapelajaran kertas am yang pernah diajarkan kepada anak-anak muridnya dulu.

Mohd Puad adalah seorang bekas pemimpin pelajar di Universiti Malaya yang amat meminati Haji Hadi Awang. Beliau antara orang yang awal bersama penulis akhbar Watan, Subky Latif, yang mempopularkan istilah ‘Tuan Guru’ kepada Hadi Awang.

Haji Hadi ketika itu merupakan pemimpin PAS Terengganu yang terkenal dengan ‘fatwa takfir’ terhadap UMNO. Semasa dalam ABIM, Haji Hadi yang juga pernah memimpin ABIM Terengganu adalah salah seorang yang tidak disenangi oleh Anwar Ibrahim lantaran sikap tegasnya dalam menghukum.

Mohd Puad juga pernah menjadi guru sementara di Yayasan Anda Akademik dan pernah memakai serban semasa majlis-majlis usrah dan qiamulail untuk pelajar-pelajar Yayasan Anda, sebuah sekolah swasta yang di asaskan oleh Anwar Ibrahim.

Beliau sering berdebat dengan saya pada sekitar pertengahan tahun 80an kerana sokongan saya terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa dan agama. Mohd Puad cuba mengajak pelajar-pelajar Yayasan Anda ketika itu menyokong PAS.

Kini saya berbangga kerana Mohd Puad yang saya kenali dahulu berada dipentas yang berlainan tetapi mempertahankan prinsip yang sama yakni untuk membersihkan UMNO daripada tanggapan korup oleh masyarakat. Beliau menganggap penglibatannya ini sebagai satu ibadah, satu kenyataan yang belum saya dengar dari calon-calon MT yang lain.

Beliau adalah antara ahli parlimen yang rajin bercakap dalam dewan dengan ‘homework’ yang disediakan lebih awal. Bagi saya Dr. Mohd Puad layak dan wajar diberi peluang untuk memenangi kerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO kali ini.


Saya juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan saya terhadap sahabat saya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ternyata hambar, kontang idea dan tenggelam dalam kepetahan Dr. Puad..

Saya kecewa seorang yang berpengalaman seperti Dr. Zahid ternyata lemah sekali dalam berhujah dan inilah juga tanggapan ramai terhadap Dr. Zahid seperti yang disampaikan oleh kawan-kawan saya.

Beliau menyebut berkali-kali tentang perlunya beliau menang untuk membolehkannya membuat perubahan dan rombakan terhadap sistem politik UMNO di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Nampak macam beliau ‘enjoy’ menyebut hubungan baiknya dengan Najib.

Dr. Zahid berjanji untuk membuat kursus-kursus untuk mendidik ahli-ahli UMNO sekiranya beliau menang. Soalnya beliau telahpun berkuasa sekian lama dan menjadi ahli majlis tertinggi yang paling atas melalui persepsi ahli-ahli UMNO yang tinggi terhadap beliau.

Dr. Zahid gagal mengupas tajuk ini dengan bernas dan petah. Beliau nyata teragak-agak dan khayal dalam kelancaran Dr. Mohd Puad. Ini jelas apabila ditanya oleh salah seorang ahli penal mengenai bagaimana Islam boleh membenteras rasuah, beliau menjawab, “semua agama menganggap rasuah itu haram” dan “kita kena melakukan kaedah face to face untuk mencegah rasuah”. Full Stop.

Tercenggang saya akan jawapan beliau. Saya amat mengharapkan seorang yang keluar dari Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dapat memberikan huraian Islam mengenainya, ternyata hampa. Tidak terserlah keintelektualannya.

Salah seorang kawan saya yang bekerja di media letronik memberikan komennya bersahaja. “Mungkin tajuk itu terlalu berat dan beliau ada 'baggage' yang dibawa”. Begitu mendalam mesej beliau, namun saya menjangkakan Dr. Zahid akan menang salah satu daripada jawatan Naib Presiden yang ditandinginya. Jika tidak siapa lagi yang tinggal dalam UMNO, Hishamuddin ?



Posted by fuhas at 10:52 AM 0 comments
Labels: Politik