Sunday, February 1, 2009
UMNO; Politik wang ibarat kencing manis...
(petikan dari; agendadaily)
Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ
Tidak banyak orang yang menyedari kehadiran penyakit kencing manis atau diabetes dalam hidupnya. Penyakit ini hanya disedari apabila sudah sampai ke tahap bahaya ataupun parah yang memerlukan tindakan segera.
Lazimnya, diabetes, iaitu kandungan gula atau disebut dari sudut kesihatan sebagai glukos dalam anggota badan kita adalah terlalu tinggi, akan menyerang bahagian kaki. Jika sudah ke peringkat kritikal, jari-jari kaki menjadi hitam kerana terlalu parah atau sudah mati.
Untuk mengelaknya merebak ke anggota lain, jari berkenaan perlu dipotong dengan segera. Dengan memotong jari berkenaan, diharapkan serangan dapat dihentikan. Namun, adakalanya oleh kerana terlalu lambat bertindak, keseluruhan tapak kaki perlu dipotong. Yang lebih teruk lagi mungkin perlu kehilangnan setengah kaki iaitu dipotong sehingga paras lutut.
Ada juga yang terpaksa dipotong hingga lebih daripada itu, tetapi tidak juga dapat diselamatkan. Jikapun keseluruhan dua belah kaki telah diceraikan dari badan, diabetes tetap ada kerana perjalanan kandungan gula tidak mengikut atau menggunakan kaki. Sebaliknya ia menyusur melalui pengaliran darah. Diabetes adalah salah satu pembunuh senyap dalam hidup kita. Bahkan ada orang maut kerana diabetes tetapi tidak sempat mengetahui beliau diserang penyakit itu.
Jika analisis mudah ini digunakan untuk menggambarkan keadaan politik wang yang sedang menghantui UMNO sekarang, mungkin elok kita memberi sedikit perhatian terhadap syor yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.
Ahli veteran dan bekas menteri UMNO itu mengesyorkan agar sayap-sayap UMNO dibubarkan sahaja sebagai langkah membanteras politik wang dalam parti. Menurut beliau, dengan membubarkan sayap-sayap UMNO dapat mengurangkan gejala politik wang dalam parti itu.
Sandaran beliau, ialah apabila kurang pertandingan, kuranglah berlakunya politik wang kerana tiada perebutan di kalangan calon-calon. Jikapun perebutan jawatan di peringkat sayap sudah tiada, pertandingan di peringkat parti induk tetap ada.
Ada dua persoalan menarik di sini, iaitu yang pertamanya, apakah jaminan bahawa pertandingan di peringkat induk tidak akan melibatkan politik wang dan yang kedua adakah politik wang hanya berlaku di kalangan sAyap-sayap pArti sahaja? Atau dengan ringkasnya adakah politik wang berlaku dalam pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Putera UMNO sahaja?
Sejarah parti UMNO telah membuktikan bahawa politik wang dan rasuah berlaku di mana-mana dan tidak terhad atau terbatas kepada Pergerakan Pemuda UMNO sahaja. Sejarah juga membuktikan bahawa selain berlakunya kegiatan rasuah atau politik wang di kalangan pemimpin muda, gejala berkenaan juga berlaku di kalangan pemimpin tertinggi dan induk parti. Rasuah dan politik wang juga telah direkodkan terjadi di peringkat cawangan, bahagian dan juga Majlis Tertinggi parti. Pendek kata, di mana ada politik, di situ ada wang.
Ringkasnya, politik wang berlaku di mana-mana sahaja. Malah, kesanggupan untuk mengakui berlakunya gejala itu dalam parti adalah sesuatu yang mulia kerana tidak banyak pihak yang sanggup melakukan sedemikian. Kebanyakan daripada kita lebih sanggup menutup kes-kes sedemikian dengan cara apa sekalipun.
Apakah yang boleh dikategorikan sebagai pilitik wang ataupun rasuah. Apakah beza politik wang dengan derma, sumbangan dan sedekah? Tidak lama dahulu, kita pernah mendengar istilah sedekah seks di kalangan parti pembangkang di Perak. Kita juga pernah mendengar habuan yang disebut sebagai sumbangan
Jika wang RM200 yang diberi kepada perwakilan untuk memilih seseorang ahli jawatankuasa atau ketua bahagian dianggap rasuah, bagaimana pula dengan penganjuran rombongan ke luar negara atas nama lawatan sambil belajar?
Begitu juga dengan langkah menaja sesuatu majlis seperti makan malam, minum petang, pertandingan memancing dan sebagainya, adakah ia tidak boleh ditafsirkan sebagai wang politik atau rasuah terancang?
Memang amat sukar untuk menyatakan sama ada sesuatu sumbangan itu rasuah atau sebaliknya apatah lagi jika pemberian itu disebutkan sebagai sumbangan dan disebut pula sebagai ikhlas.
Sejarah hidup kita orang Melayu memang amat rapat dengan pemberian wang. Apabila menziarah bayi yang baru lahir, wang atau hadiah akan dihulurkan. Apabila dijemput menghadiri majlis harijadi bayi atau kanak-kanak berkenaan, wang akan tgerhambur lagi. Apabila dia dewasa dan melangsungkan pperkahwinan, wang ringgit bertukar tangan hinggalah akhirnya apabila dijemput oleh malaikatmaut, kita terus menghulurkan wang.
Ringkasnya, pemberian wang amat rapat dan sudah menjadi budaya dalam hidup orang Melayu dan kebetulan pula orang Melayulah yang menyertai UMNO. Dan kebetulan lagi, nampaknya UMNO sahajalah parti yang sibuk mengenai rasuah dan wang politik.
Adakah ini bermakna Melayu lain yang tidak menyertai UMNO tidak berjinak-jinak dengan pemberian wang atau rasuah. Adakah sedekah dan sumbangan tidak sama dengan rasuah jika maksud atau tujuannya adalah sama iaitu untuk mendapat imbuhan atau balasan?
Ringkasnya, rasuah dan kegiatan politik wang memerlukann pengertian tepat dan perlu pula meliputi perbuatan yang lebih luas dan menyeluruh. Jika pemberian RM200 dianggap rasuah, pemberian permit dan projek juga harus diberi perhatian yang sewajarnya.
Jika menganjurkan lawatan sambil belajar boleh dianggap sebagai gejala salahguna wang dan kuasa, tindakan membawa orang-orang tertentu dalam lawatan tertentu juga tidak harus dipandang ringan. Ini termasuklah langkah 'mulia' menaja perwakilan atau ahli jawatankuasa menunaikan umrah atau haji.
Berbalik kepada syor membubarkan sayap-sayap UMNO yang telah mengakibatkan banyak pihak 'naik angin' , eloklah kita melihat kembali keadaan pesakit kencing manis yang disebut pada awal catatan ini. Jika sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera mahu dibubarkan, samalah dengan langkah memotong jari, hingga ke pangkal peha, tetapi penyakit tidak hilang juga.
Yang hilang hanyalah kaki atau dalam UMNO, yang ghaib hanyalah sayapnya, tetapi gejala politik wang tetap ada sama seperti darah mengalir yang membawa bersamanya kuman atau virus yang menyerang.
Apa yang penting dalam hal ini bukanlah membuang anggota yang parah, tetapi mencari punca sebenar bagaimana rasuah berlaku dan pengertian semula rasuah yang sebenarnya.
Syor membubarkan sayap-sayap UMNO khususnya Wanita, yang telah begitu lama membuktikan peranan mereka memanglah sesuatu yang memedihkan. Bukan semua orang UMNO terlibat dengan rasuah dan syor membubarkan sesuatu sayap adalah ibarat menghukum semua orang yang bernaung di bawah sayap itu.
Langkah segera yang diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO pada hari Khamis membesarkan keanggotaan Lembaga Disiplin parti adalah langkah yang paling tepat. Pembesarannya tidak hanya dari segi anggota, tetapi juga bidang tugas dan litupan tugas. Jika dengan keanggotaan sekarang, Tengku Deen dan rakan-rakannya memang dan sudah pasti kepenatan dan dikhuatiri mereka akan naik muak pula.
Cuma, kita ingin bertanya, sebagai sayap-sayap yang lebih muda, ibarat anak yang mengikut bapanya ke hulu ke hilir, di mana dan daripada siapakah ahli-ahli sayap ini belajar rasuah dan terlibat dengan politik wang?-1/2/2009
Printable Version | Email to a Friend
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment