Saturday, February 14, 2009

MKT2009; Soal Jawab: Pemuda kena berani jadi suara perubahan



Mohamad Khir Toyo

(BERITA MINGGU 08FEB2009)

Rakyat bosan jika asyik bercakap bagi pihak kerajaan

PERSAINGAN merebut kerusi jawatan Ketua Pemuda Umno bulan depan memang panas dan menjadi tumpuan. Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin dan Mohd Azis Ngah menemubual calon yang mendapat pencalonan kedua tertinggi bagi jawatan itu, bekas Menteri Besar Selangor yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bagi mendapatkan pandangannya.

BERITA MINGGU; MENGAPA Datuk Seri membuat keputusan bertanding jawatan ini?

Pertama, sejak empat lima tahun ini, saya melihat Pemuda tidak memainkan peranan sebaiknya sehinggakan peranan itu diambil alih badan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang. Bagi saya, Pemuda perlulah berani menjadi suara rakyat, cakap mengenai kepemimpinan dan kehendak rakyat. Pemuda tak boleh lagi bercakap bagi pihak kerajaan. Jika semua bercakap bagi pihak kerajaan, rakyat akan mencari media (saluran) lain menyuarakan harapan mereka. Akhirnya yang dianggap berkesan adalah NGO dan pembangkang. Apabila ini berlaku, mereka menganggap diri serasi dengan perjuangan pembangkang. Orang muda lebih kepada sifat idealis, melihat sesuatu perkara daripada aspek terbaik.

Saya lihat tidak ramai ahli pergerakan yang mengenali Umno, menjadi ahli Umno tetapi hakikatnya tidak menjiwai Umno. Tidak ramai ahli Pemuda dapat memberi jawapan tepat apabila ditanya tujuan menyertai Umno. Daripada 10 orang yang ditanya, hanya seorang bagi jawapan tepat. Paling sedih, ramai katanya Umno boleh beri mereka projek, kedudukan dan kuasa. Jarang kaitkan Umno untuk agama, bangsa dan negara. Oleh kerana mereka tidak menjiwai Umno, sikap untuk berkorban memang tiada. Ini masalah yang besar kerana apabila mereka bergerak, mereka akan minta habuan.



Jika kita nak buat pembaharuan dalam parti, perubahan tak memadai dalam keadaan Umno dilihat dalam keadaan kritikal. Oleh itu, Umno kena buat pembaharuan. Ia mestilah dimulai oleh Pemuda kerana ia tidak akan berlaku dalam tempoh semalaman, mungkin berlaku dalam tempoh lima tahun. Saya lihat Pemuda perlu diperbaharui, jika nak buat transformasi, kita cuma nak buat pembaharuan daripada struktur, peranan dan pendekatan. Jika kita gagal membaharui Pemuda, maka Umno akan pupus.

BERITA MINGGU; Apakah Datuk Seri berasakan latar belakang dan pengalaman sebelum ini memadai untuk bertanding bagi jawatan ini?

Saya tak fikirkan jawatan kerana perjuangan Umno perlu dikekalkan. Ramai kata Umno ini parti lama dan tak boleh mati. Keramat Umno kerana ahli memahami perjuangannya. Umno sekarang bersifat eksekutif, buat program pun di hotel lima bintang, pemimpin dihormati berlebihan hinggakan menegur pemimpin dianggap kurang ajar.

Saya sudah lalui semua, daripada asal orang susah, jadi Menteri Besar Selangor dan jatuh pada hari ini. Saya rasakan tak ramai orang macam ini hari ini. Tidak ramai pemimpin lahir daripada anak petani miskin, terpaksa minta derma nak masuk universiti, menjadi Menteri Besar Selangor pada usia 33 tahun. Selama lapan tahun di Selangor, saya bawa banyak kemajuan. Cuma pada Pilihan Raya Umum ke-12 kita kalah, kerana banyak faktor termasuk faktor nasional kerana kenaikan harga minyak dan kenaikan kos hidup tinggi. Orang Cina dan India pula tidak bersama kita.

Biarpun bermula dari bawah, naik ke puncak dan kembali semula ke bawah, saya tak lari daripada perjuangan. Inilah semangat yang perlu difahami Pemuda. Apabila kita pernah jatuh bangun dalam politik, macam Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah kalah dan bangun semula dalam politik, kita memahami erti tawaduk, memahami keadaan, yang tahu bagaimana kita dihina dan dicaci. Saya pernah dihalau pada jam 4 pagi di kediaman Menteri Besar Selangor. Cuma tinggal keluarga saja pada waktu itu. Anak saya sampai sekarang masih trauma. Kami dihina, dicaci pihak tertentu. Saya hadapi bersendirian kena halau tengah malam, mereka periksa beg, kotak yang tak sepatutnya. Orang Melayu perlu sedar supaya ia tidak berlaku kepada orang lain.

BERITA MINGGU; Adakah Pemuda gagal menarik generasi muda atau ahli sedia ada sebenarnya berkurangan?

Ahli bertambah tetapi tidak menjurus kepada pengorbanan. Sekitar 1960-an dan 1970-an, orang tua mempengaruhi orang muda tetapi sekarang sudah terbalik, orang muda yang mempengaruhi orang tua. Kena ingat, apabila orang muda dari Lembah Klang balik mengundi di kampung, mereka boleh paksa ahli keluarga, ibu bapa supaya undi pilihan mereka. Kalau katakan ada 30 peratus orang muda balik kampung mempengaruhi 20 peratus orang tua, itu sudah menjadi 50 peratus dan besar kesannya. Sudah tiba masanya Pemuda jadi suara rakyat dan inilah masanya membetulkan Umno kerana parti inilah yang memberi peluang dan pengalaman kepada saya.

BERITA MINGGU; Benarkah dulu Pemuda cukup berani apabila mereka menegur ramai akan menyokong dan Pemuda dilihat cukup kuat tetapi keadaan sekarang jauh berbeza? Komen Datuk Seri?

Sebab itu saya gunakan slogan 'Pemuda Berani.' Saya nak bangkitkan semangat berani dalam Pemuda. Jika nak berubah, mereka kena berani jadi suara rakyat, bukan setakat berubah pada nama. Dalam keadaan sekarang, jika mereka tak puas hati, mereka tak jumpa Pemuda sebaliknya jumpa kesatuan masing-masing. Dalam konsep perjuangan ini kita kena lihat dua aspek, pertama yang melaksanakan polisi dan kedua yang memantau polisi. Pemuda perlu memainkan peranan sebagai pemantau polisi. Mereka masih muda, jika buat silap pun masih boleh dimaafkan sebab masih muda dan jadi platform untuk jadi pemimpin akan datang. Ramai pemimpin hari ini tak datang dari bawah dan ramai tak faham kehendak dan masalah rakyat, sebab itu hari ini pemimpin buat lain, rakyat nak lain.

BERITA MINGGU; Dalam keadaan Datuk Seri tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan, adakah ini mampu untuk menangani pelbagai isu dalam keadaan Umno dianggap kritikal. Di manakah peranannya Pemuda berani?

Kerajaan banyak adakan program untuk rakyat. Tetapi berapa banyak program itu boleh membabitkan orang muda. Contohnya, isu paling besar ialah pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jika dulu orang muda terikat kerana dapat biasiswa, tetapi sekarang mereka dapat pinjaman sama macam bank. Pinjam dengan kerajaan atau pinjam dengan bank sama saja dan tetap kena bayar faedahnya. Macam mana muda orang nak dekatkan diri dengan kerajaan dan berasa terhutang budi dengan kerajaan. Kita pernah cadangkan, jika nak kena bayar pun, biarlah ketika tahun kelima atau keenam selepas bekerja, bukan tahun pertama.

Masa itulah nak kahwin, nak bantu keluarga, nak mula kerjaya, baru nak cari tapak berniaga. Mungkin kita boleh bagi diskaun jika mereka berkhidmat dalam kerajaan, sebab mereka curahkan semula khidmat kepada kerajaan selepas dapat pinjaman kerajaan. Saya boleh bercakap sebab di Selangor, kami bagi pinjaman pengajian tanpa faedah. Bila nak bayar, mereka boleh bincang.

BERITA MINGGU; Andai Datuk Seri dipilih sebagai Ketua Pemuda, apa yang boleh Datuk Seri lakukan?

Saya akan pimpin Pemuda menjadi berani, pendesak isu rakyat dengan memberi penekanan kepada pembaharuan Umno, Barisan Nasional (BN), peranan orang muda serta ekonomi. Parti mesti sentiasa diaktifkan, bukan hanya menjelang pilihan raya dan bilik gerakan mesti mewakili semangat BN sebenarnya. Tempat MCA, mesti ada Umno dan MIC. Semua aktiviti mesti berasaskan perjuangan BN. Pembaharuan dalam Umno juga penting dan Pemuda harus mengutarakan isu seperti struktur parti sendiri. Hari ini kita ada satu Timbalan Presiden, mengapa tidak letak dua Timbalan Presiden – satu dalam kerajaan dan seorang lagi jaga pengurusan atau di luar kerajaan supaya ada 'check and balance.' Naib Presiden juga tambah kepada empat orang. Dua di dalam dan dua lagi di luar kerajaan. Rakyat tidak ke mana sebab kepentingan mereka terbela.

Jika ada pemimpin yang berada dalam kerajaan gagal berkhidmat dengan baik, peranan mereka diambil alih rakan yang di luar kerajaan. Jadi sesiapa yang kerja, perlu bertugas dengan betul. Saya akan tumpu kepada isu ini.

Penstrukturan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri perlu lebih khusus. Kita lihat hari ini, pembabitan Pemuda dalam program kerajaan tiada. Contohnya dalam pelbagai suruhanjaya yang ditubuhkan, tiada orang muda langsung. Pengalaman itu perlu diwarisi. Bagaimana 10 tahun akan datang kita tubuhkan suruhanjaya lain dan ahli terdahulu sudah tiada? Timbalan Menteri, seharusnya dipilih orang muda. Ia menjadi cara melatih mereka menjadi pemimpin yang baik. Saya tak nampak perkara itu berlaku sekarang. Kita tidak boleh ambil pemimpin tangkap muat saja. Pemuda juga perlu berubah dengan kembali kepada asas perjuangan iaitu agama dan bangsa.

Kita perlu ubah sikap dan mentaliti materialistik. Lupakan hasrat mengadakan semua acara di hotel lima bintang. Sebaliknya, buat mesyuarat di kampung, manfaatkan program 'homestay' atau inap desa supaya lebih dekat dengan masyarakat serta menghayati kegiatan ekonomi rakyat. Selepas solat Maghrib dan tahlil, kita bincangkan perjuangan parti. Cara ini ada komunikasi dua hala. Sekarang, banyak aktiviti diadakan di hotel mewah. Pemimpin bercakap di atas pentas sedangkan ahli di bawah tidak faham. Cuma komunikasi sehala.

Selain itu, mantapkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana Umno tidak boleh ketepikan perjuangannya membela orang Melayu, agama dan bangsa. Dasar baru itu boleh dibuat dengan memfokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara rakyat. Pendapatan purata orang Melayu berkeluarga adalah RM2,800 sebulan dan bujang RM3,200. Bagi orang Cina berkeluarga, jumlahnya RM4,400 sebulan. Selagi orang Melayu tidak mengatasi atau samakan jurang pendapatan, selagi itu kerajaan perlu memberi lebih banyak bantuan kepada mereka.

BERITA MINGGU; Apakah ciri-ciri Ketua Pemuda bagi pandangan Datuk Seri?

Pemimpin yang menginsafi susah senang bangsanya dan mempunyai pegangan agama dan perlu memahami permasalahan yang wujud di sekelilingnya. Soal agama misalnya, Umno dilihat tidak berjuang untuk agama menyebabkan Pas mengambil alih segmen itu. Sebab itulah orang Melayu berpecah. Mereka yang fikirkan soal agama, memilih Pas. Imej Umno dari segi keagamaan itu terjejas dan ini perlu diperbetulkan.

Mereka yang lihat soal bangsa Melayu itu tidak diperjuangkan Umno pula lari kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menganggap pembangkang itu boleh jadi suara. Inilah hakikatnya dalam Umno. Jadi, kalau Umno balik kepada agama dan soal bangsa, tiada sebab berlaku masalah rakyat lari kepada Pas dan PKR. Ketua Pemuda mesti memahami kehendak anggotanya dan orang muda, termasuk isu semasa dan manfaatkan apa yang ada. Ini seperti faedah teknologi maklumat seperti peranan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pesanan multimedia lainnya. Hantar SMS kepada orang muda sekerap mungkin dan mana tahu selepas lima tahun, mereka boleh mengundi BN. Di sinilah peranan IT yang saya gelar sebagai 'forced information' atau maklumat secara paksa menerusi SMS, MMS dan pesanan suara. Suka atau tidak, mereka pasti akan membuka setiap mesej yang diterima. Ketua Pemuda perlu peka kepada senario semasa.

BERITA MINGGU; Datuk Seri semestinya sudah menemui ramai perwakilan ketika berkempen. Bagaimana Datuk Seri melihat peluang dalam persaingan ini?

Saya seorang 'dark horse' (calon bukan pilihan) dan itulah keadaannya sepanjang masa. Tetapi peluang saya mungkin juga 50/50. Harapan memang ada. Perlu diingat, ketika berkempen menemui orang, apa yang saya lakukan adalah memberitahu mereka apa yang mampu dibuat.

Sebagai calon bukan pilihan, saya berharap janganlah perwakilan menganaktirikan saya. Saya 'yatim piatu' dalam politik. Saya tidak membawa nama sesiapa kecuali diri sendiri.

Inilah hakikat politik di Malaysia dan kita perlu ubah. Bukan soal latar belakang semata-mata yang perlu jadi pilihan tetapi kemampuan calon. Apa yang saya mampu lakukan adalah tonjolkan kewibawaan dan pengalaman diri. Saya bermula dalam Umno dari peringkat bawah lagi dan meniti tangga hingga kepada kedudukan ini. Saya sudah melalui bermacam-macam pengalaman pahit, manis, buruk, indah dan semuanya dalam Umno. Biarpun berpengalaman, mujurlah saya masih muda dan mampu memberi sumbangan. Pengalaman lalu mendewasakan kita. Lihat saja pemimpin lalu seperti Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga pernah merasai jatuh bangun dalam Umno.

BERITA MINGGU; Tidakkah Datuk Seri melihat kekalahan Selangor di tangan pembangkang itu boleh menjejaskan peluang Datuk Seri?

Kalau kata saya kalah, saya cuma kalah pilihan raya tetapi majoriti meningkat di kawasan saya. Ini bererti kekalahan negeri disebabkan faktor lain. Sebagai Menteri Besar dulu, saya tidak gagal.

Buktinya, di bawah pentadbiran saya, masalah kemiskinan di Selangor daripada lima peratus berkurangan kepada di bawah satu peratus. Soal kebajikan orang Melayu saya juga jaga. Paling jelas, soal kutipan zakat daripada RM40 juta kepada RM240 juta pada 2007. Pelaburan, saya bawa masuk RM11 bilion. Masalah setinggan, daripada 47,000 kepada cuma tak sampai 500 orang. Pembangunan pula, Selangor menyumbang 25 peratus kepada pendapatan kasar negara. Jadi orang tidak boleh pertikai apa saya saya lakukan di Selangor. Oleh itu isu kekalahan Selangor tidak harus dijadikan alasan untuk perwakilan menolak saya.

BERITA MINGGU; Datuk Seri dikritik hebat kerana isu pemberian penyapu kepada pihak berkuasa tempatan ketika menjadi Menteri Besar dan turut disifatkan antara punca kekalahan BN di Selangor?

Kita kena berani melakukan sesuatu untuk kebaikan masyarakat. Kalau kita buat sesuatu yang baru dan drastik, memang ramai yang mengkritik. Tapi Alhamdulillah isu penyapu ini, ada hikmah yang berlaku. Dulu saya dikritik hebat. Tetapi tahun lalu, Pejabat Daerah dan pegawai sama (yang menerima penyapu) mendapat hadiah pertama kecemerlangan.

Kadar kutipan cukai pejabat berkenaan daripada 47 peratus meningkat kepada 94 peratus. Beliau mengakui dengan pemberian penyapu itu, semangatnya meningkat. Bagi saya, apa lebih penting ialah kesan daripada usaha yang dilakukan.

BERITA MINGGU; Pandangan Datuk Seri mengenai politik wang yang didakwa berleluasa hingga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mencadangkan supaya sayap Umno dibubarkan?

Bagi saya tidak wajar menyatakan anak muda perlu belajar lagi dan semua sayap itu perlu dibubarkan. Apa yang penting adalah pembaharuan yang dibuat dan tugasan diberikan kepada golongan ini dapat direalisasikan. Setiap sayap ada peranan dan jasa. Kita perlu menjadi masyarakat yang memandang ke depan. Politik wang perlu ditolak kerana ia tidak melahirkan pemimpin disegani sebaliknya perasuah. Umno boleh berkubur jika politik wang berleluasa. Kita beri harapan bukan menaburkan wang.

BERITA MINGGU; Apa pesanan Datuk Seri kepada perwakilan?

Kita dalam politik harus tolong kawan-kawan bukan tikam kawan. Sebab itu kita ada perwakilan yang diberi amanah untuk mengundi dan memilih pemimpin, bukan ketua. Perlu diingat, ketua tiada kuasa, tetapi pemimpin mempunyai kuasa dan tahu apa yang mahu dibuat. Ibarat bidalan lama, kalau mahu mencari tempat mandi pertamanya teluk yang keduanya pantai. Begitu jugalah kalau mencari pemimpin, pertamanya elok dan keduanya pandai. Jangan melihat yang pandai saja kerana yang pandai ini boleh 'menjual' kita. Sebab itu orang tua beri peringatan ini. Pemimpin yang elok ini merasai susah senang. Seperti Nabi Muhammad SAW, yang dipilih kerana elok dulu, iaitu pengalaman sebagai anak yatim, miskin, dijaga bapa saudaranya dan hidup susah. Selepas itulah baru Baginda menjadi pandai apabila diberi ilmu. Mengapa Nabi tidak dipilih dari kalangan anak raja? Sebabnya Allah SWT mahu individu yang merasai kesusahan dulu. Pengalaman itu yang memberinya kelebihan untuk berdepan apa juga situasi selepas itu. Malangnya, tidak ramai yang melihat perkara ini.

Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: