Wednesday, February 4, 2009

MKT2009; Soal Jawab: Keikhlasan perjuangan perkasa semula Umno






Hishammuddin Hussein

(SUMBER BERITA MINGGU 01.02.2009)

PERSAINGAN sengit merebut kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan kali ini sememangnya ketara. Selain bilangan sembilan calon bertanding, faktor kepelbagaian latar belakang dan pengalaman calon turut menjadi tumpuan. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang pertama kali mencuba nasib, memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin dan Rohaniza Idris menemubual Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

BERITA MINGGU; Datuk Seri berada pada kedudukan teratas dari segi pencalonan. Tetapi, mengapa sehingga sekarang Datuk Seri tidak membuat sebarang pengumuman rasmi untuk bertanding.

Dunia hari ini sudah berubah. Negara dan rakyat Malaysia bakal merasai tempiasnya. Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menyesuaikan perjuangan parti apabila berhadapan dengan landskap Orde Baru Dunia ini. Sebelum ini, saya sudah umumkan hasrat tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan ada banyak sebab di sebalik tindakan ini. Walaupun 10 tahun memimpin Pemuda, bukan mudah bagi saya untuk lepaskan jawatan itu kerana ada agenda belum selesai. Tetapi keadaan semasa khususnya 48 peratus penduduk dunia terdiri daripada generasi muda yang semakin matang dan dewasa menuntut saya memberi ruang kepada muka baru.



Pada masa sama saya berpendapat hak untuk melepaskan jawatan sedikit sebanyak adalah hak saya. Tetapi saya juga sedar hak untuk menawarkan diri dan untuk menentukan kedudukan diri saya dalam parti adalah hak perwakilan dan bukan hak peribadi saya. Sebab itulah saya memilih tidak membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai pencalonan. Kedudukan diri saya selepas ini, saya serahkan kepada ahli Umno khususnya perwakilan.

BERITA MINGGU; Mengapa Datuk Seri memilih bertanding pada masa ini? Apakah ia ada kaitan dengan faktor kedudukan sepupu Datuk Seri iaitu Datuk Seri Najib Razak yang bakal menjadi Presiden serta Perdana Menteri.

Bagi saya, sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan Ketua Pemuda. Selepas tempoh sedekad bersama Pemuda, pergerakan itu perlu diberi suntikan baru dengan kepemimpinan baru. Tetapi semangat saya tetap sama walau apa juga jawatan yang saya sandang.

Mengenai kaitan dengan Datuk Seri Najib, sebenarnya keputusan saya tiada kaitan langsung dengan hubungan kekeluargaan itu. Dunia hari ini sedang berubah – krisis kewangan dan ekonomi global; pertembungan agama dan budaya; perubahan iklim yang datang bersama bencana alam yang tak diduga, wabak penyakit yang tidak mengenali batasan dan sempadan – bagaimana kita hendak sandarkan keputusan kepada sesuatu di mana iklim dan senario dunia yang masih belum jelas dan tidak menentu lagi?

BERITA MINGGU; Apakah Datuk Seri melihat sembilan calon yang bertanding itu sebagai persaingan sengit.

Ia tidak menjadi masalah jika proses pemilihannya bukan dilihat sebagai persaingan semata-mata kerana kita melaluinya dalam semangat kekeluargaan, kematangan dan akur ia satu proses demokrasi politik.

Ia satu proses yang sihat jika tidak menjejaskan parti. Tidak mengapa jika ramai menawarkan diri kerana apa yang penting, adalah cara kita menawarkan diri dan pembawaan diri. Jangan sampai kita berpecah-belah, memburuk-burukkan rakan seperjuangan atau memperlekeh nama baik Umno. Tugas sebenar kita menanti selepas pemilihan Mac ini.

Apa yang saya tidak mahu lihat ialah akibat persengketaan yang wujud, kita terpaksa membuang masa memperbetulkan keadaan dalam merapatkan barisan. Sebenarnya kita tidak ada masa untuk merombak struktur asas perjuangan parti kita ini.

BERITA MINGGU; Apakah faktor negeri boleh menggugat kedudukan Datuk Seri memandangkan ada tiga wakil dari Johor termasuk calon lebih senior berbanding Datuk Seri dilihat pemimpin generasi baru.

Ada pihak menganggap ini kelebihan dan ada yang kata ia bebanan. Mungkin ada kesan, tetapi saya harap itu tidak berlaku.

Dunia hari ini menempuh era globalisasi dunia tanpa sempadan dan perkampungan sejagat; dan jika kita di Malaysia masih melihat dalam konteks kenegerian, ia menidakkan landskap dunia hari ini. Kita tidak boleh terikat dengan pemikiran lama. Ini yang terpaksa dilalui arwah datuk saya, Datuk Onn Jaafar dulu ketika mahu memerdekakan negara. Cabaran bagaimana mahu menyatu padukan orang Melayu yang sangat tebal sikap kenegerian mereka. Suara kebangkitan Melayu pada masa itu adalah untuk menyatu padukan semua dengan merentasi sempadan negeri.

Hari ini selepas 52 tahun merdeka, saya melihat cabaran tidak kurang hebatnya. Malah lebih hebat kerana banyak perkara yang kita tidak nampak. Dulu kita tahu siapa musuh kita. Sekarang banyak perkara sedang berlaku yang memerlukan kita bersatu meniti arus tidak menentu ini. Tak dinafikan saya sayangkan orang Johor dan berterima kasih kepada Umno Johor yang memberikan pencalonan tetapi saya juga sedar ada sokongan dari negeri dan bahagian lain.

Saya percaya ahli Umno cukup matang dan mengharapkan sangat faktor kenegerian tidak menjadi teras pertimbangan dalam pemilihan kali ini. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya sudah berjaya memperoleh 153 pencalonan dan 100 pencalonan datangnya daripada bawah iaitu akar umbi.

BERITA MINGGU; Ada pendapat Datuk Seri menerima pencalonan tertinggi kerana legasi keluarga, termasuk kedudukan Datuk Seri Najib sebagai bakal Presiden. Komen?

Inilah hakikat yang saya hadapi sejak hari pertama memutuskan untuk menyertai arena politik. Saya tidak boleh nafikan legasi keluarga, malah berbangga menjadi pewaris pejuang iaitu arwah datuk dan bapa saya, Datuk Onn Jaafar dan Tun Hussein Onn. Tetapi seperti dibuktikan sejarah, bukan semua hubungan keluarga itu membantu kerana dalam perjuangan, akhirnya kita secara individu perlu membuktikan kemampuan dan kepemimpinan sendiri.

BERITA MINGGU; Datuk Seri mempunyai jawatan dalam Kabinet yang menjadi kelebihan kerana memudahkan mendapat sokongan peringkat akar umbi berbanding mereka di luar kerajaan.

Tidak semestinya kerana perlu diingat, setiap jawatan datang dengan amanah dan tanggungjawab. Orang akan menilai kita berdasarkan tanggungjawab yang diberikan itu. Ketika calon lain yang tidak memegang jawatan Kabinet, bebas menemui perwakilan, saya juga perlu memikul amanah sebagai Menteri Pelajaran yang menjadi tumpuan rakyat. Ini dilema kita dalam Umno. Yang akan menentukan kedudukan pada Mac ini adalah perwakilan. Tetapi yang menentukan kedudukan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak adalah pengundi.

BERITA MINGGU; Datuk Seri juga memegang jawatan dalam Kementerian yang banyak diselubungi isu panas. Tidakkah ini sedikit sebanyak menjejaskan Datuk Seri.

Saya tidak menafikan sejak menjadi Menteri Pelajaran, semua perkara menjadi isu dan tidak asing bagi saya. Tetapi ia tidak harus menjadi satu bebanan kepada mana-mana pemimpin pun. Kerana apa juga jawatan yang dipegang, kita tetap berdepan dengan isu. Jika tidak, tiada bezanya antara kita, pemimpin dengan orang yang dipimpin. Jika enggan mengharunginya, maka kita tidak layak menjadi pemimpin.

Saya tidak nafikan berbanding kementerian lain, Kementerian Pelajaran diselubungi banyak isu seperti beg sekolah berat, buku teks tak cukup, bumbung bocor dan sebagainya. Paling banyak dibincangkan soal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kedudukan bahasa kita dalam dasar itu. Saya sedar ini perkara yang datang bersama jawatan.

Bagi saya, selagi kita bersatu dalam satu barisan dan parti, apa juga ujian yang datang boleh dihadapi. Soal PPSMI ini, Insya-Allah, kalau kita ikhlas, jujur, telus dan keputusan bersandarkan fakta, tiada siapa boleh mempertikaikannya. Kementerian sudah menubuhkan jawatankuasa bagi menanganinya.

BERITA MINGGU; Apakah ciri seorang Naib Presiden kerana kini didakwa ada calon amal politik wang turut layak bertanding.

Pertamanya, Umno sedang melaksanakan transformasi dalaman untuk memastikan parti terus relevan dan diterima rakyat dalam landskap politik baru hari ini. Pemimpin yang dipilih perlu dilihat boleh membawa perubahan ini. Selepas pemilihan Umno, maka bermulalah transformasi kita untuk mendekatkan diri dengan rakyat supaya parti tetap diterima.

Maka yang penting ialah ciri sanggup bekerja sebagai satu pasukan berkongsi visi dan misi. Jika tidak, visi individu tidak akan menjadi kenyataan dan akhirnya apa yang dijanjikan hanya tinggal impian kosong saja.

Datuk Seri turut digelar sebagai 'Keris Man' kerana keberanian bertindak menghunus keris pada Perhimpunan Agung sebelum ini. Namun tindakan Datuk Seri memohon maaf April lalu mengundang kecaman orang Melayu. Apakah Datuk Seri kesal dengan tindakan itu.

Keris tetap merupakan warisan dan lambang budaya dan kekuatan bangsa Melayu. Saya sudah memohon maaf atas isu Keris Panca Warisan Pemuda kepada orang Melayu dan kaum lain bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat keris Melayu. Tetapi selepas empat tahun mempertahankannya, permohonan maaf itu saya suarakan dengan tujuan menzahirkan rasa amat kesal saya terhadap salah anggap segelintir pihak yang mengeksploitasikan bahawa keris adalah simbol permusuhan orang Melayu dengan kaum lain. Sehinggakan ia dikatakan sebagai salah satu punca yang mengalih sokongan kaum lain daripada BN.

Alhamdulillah hikmahnya, selepas permohonan maaf itu barulah orang Melayu bangkit menyedari dan menginsafi pentingnya keris kepada bangsanya. Walaupun kita sudah berada pada abad ke-21, keris masih tetap dianggap sebagai warisan yang berhubung kait maruah bangsanya. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang ibarat kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tergadah'.

BERITA MINGGU; Pandangan Datuk Seri mengenai tanggapan ahli dan masyarakat sesetengah calon yang menang menggunakan wang? Tidakkah ia tidak adil kepada mereka yang menang.

Semua pihak sudah pun menyedari bahawa politik wang bukan perkara baru. Jika dilihat, setiap kali pemilihan, perkara ini timbul. Kita sudah pun membincangkan perkara ini secara serius.

Namun dalam keadaan sekarang, perkara itu dibincangkan secara negatif berulang-ulang kali hingga menimbulkan persepsi seolah-olah perwakilan tiada nilai dan pendirian. Apa yang jadi pertimbangan cuma wang ringgit. Ini budaya yang tidak harus dibenarkan wujud. Tetapi kita juga perlu mengenal pasti punca gejala ini serta cara menanganinya.

BERITA MINGGU; Tidakkah pertandingan sengit bagi jawatan ini akan menjejaskan kekuatan parti.

Boleh. Tetapi saya berpegang kepada dua prinsip. Pertama, jika kita menawarkan diri dengan kesedaran selepas pertandingan, kita terima keputusan dengan hati terbuka dalam merapatkan barisan. Berikan sokongan kepada kepemimpinan baru iaitu Datuk Seri Najib sebagai Presiden. Pendirian ini membolehkan proses menyatu padukan ahli tidak sukar. Ahli parti perlu bergerak dengan satu suara, satu nada dan satu langkah selepas Mac ini. Bukan saja untuk Umno tetapi juga untuk BN.

Prinsip kedua, niat atau nawaitu kita ketika menawarkan diri juga mesti betul. Semua mesti menjaga hati dan memastikan nama baik Presiden sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak diaibkan hingga saat peralihan kuasa itu berlaku. Saya pernah melaluinya ketika arwah bapa berdepan keadaan itu sebelum ini. Apabila seseorang itu mahu menyerahkan jawatan, seperti biasa ada pihak yang kadang-kadang tidak mengambil berat pengorbanan dan jasa pemimpin terdahulu. Itu perlu ditekankan apabila kita hendak berdepan dengan transisi kepemimpinan dan tidak berpecah belah hingga sukar untuk bersatu membantu kepemimpinan baru. Kita perlu sedar dunia di luar sana juga turut mengamati proses ini.

BERITA MINGGU; Timbul kebimbangan pemimpin Umno terlalu ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting ialah memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Saya bersetuju kerana kita tidak boleh lalai dan leka dengan pemilihan semata-mata. Kadang-kadang kita rasa itu saja difikirkan tetapi perlu diingat, pemilihan sekali setiap empat tahun.

Ia bukan satu fenomena yang berlaku dan dibincangkan hari-hari. Bagi saya, tidak jadi kesalahan kerana memang perlu bincangkan soal itu. Sebab itu ke mana-mana saya pergi, saya akan tanya pemimpin yang jadi pilihan mereka. Tetapi kalau saya ke hulu ke hilir mencanangkan keburukan calon lain, menjanjikan imbuhan serta ugutan tertentu, itu bukan perjuangan bernilai. Sekarang, orang Umno perlu sedar, tindak-tanduk mereka tidak lagi dinilai orang dalam parti saja, tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Keterbukaan sekarang membabitkan media, ahli Umno juga meletakkan parti dalam landskap sedemikian. Sebab itu kita perlu sesuaikan diri perjuangan dan pendekatan kita selepas Mac nanti harus yang bertumpu kepada program yang tepat. Apa juga yang berlaku selepas itu, perjuangan kita tidak terhenti dan saya yakin dengan barisan yang mantap, Umno dan BN akan melipat gandakan usaha membangunkan negara.

BERITA MINGGU; Apa yang boleh Datuk Seri tawarkan jika dipilih Naib Presiden terutama ketika keadaan Umno dikatakan lemah.

Umno sudah melalui keadaan penuh mencabar sebelum ini. Sejarah membuktikan, setiap kali Umno berdepan keadaan seperti ini, alhamdulillah, kita dapat melaluinya. Setiap ahli Umno mampu bangkit dan bersatu menghadapinya serta membuat penyesuaian.

Apa yang menjadi harapan saya tidak penting kerana visi dan misi yang tidak dikongsi bersama, disahut dan digembleng bersama rakan pemimpin lain, cuma tinggal catatan atas kertas saja. Apa yang penting sekarang ialah dengan barisan baru yang bakal dipilih Mac nanti, kita perlu melihat hala tuju Umno dan bagaimana dapat menyokong visi itu. Segala visi dan hala tuju parti itu harus dibincang bersama.

Jadi saya cuma sebahagian daripada mereka yang boleh memberi input terhadap masa depan Umno dan BN. Saya cuma boleh menjanjikan komitmen, kesetiaan tidak berbelah-bahagi kepada parti. Setakat itu saja kerana lebih daripada itu, cuma tinggal visi kosong kerana apa juga matlamat perlu bersandarkan bumi yang nyata dan hakikat di depan mata. Saya akan tunggu hala tuju parti selepas Mac ini.

Secara peribadi, saya berharap diberi peluang untuk terus menjadi; pertama, jambatan antara Umno dengan golongan muda. Bagi saya suara mereka mesti terus didengari biarpun saya sudah meninggalkan jawatan Ketua Pemuda.

Kedua, menjadi mata dan telinga rakyat yang akhirnya menentukan kedudukan rakyat, termasuk anak-anak saya sendiri. Jadi saya pun ada kepentingan peribadi dalam melihat hala tuju parti. Sebagai Menteri Pelajaran, saya juga mesti menunjukkan visi kepada pegawai, guru dan pada masa sama menjadi wakil Umno. Jika kita kaku, kita akan gagal melaksanakan amanah yang diberikan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah agama, bangsa dan tanah air kita.

Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: