Thursday, April 24, 2008

YB Datuk Ibrahim Ali


Ibrahim Ali janji tidak akan ‘ mengganas’ di parlimen...dan akan tetap berdiri teguh dengan Ketuanan Melayu

Oleh: LUKMAN ABDULLAH


Ahli Parlimen Pasir Mas,Kelantan Datuk Ibrahim Ali yang terkenal sebagai 'kaki bising' menolak tanggapan bahawa beliau akan 'mengganas' dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Sebaliknya bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu mendakwa beliau akan bertindak sebagai anggota parlimen bebas yang akan menegur ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang dilihatnya buat tidak betul.

Kini sudah lebih lapan tahun suara garangnya tidak kedengaran bergema di Parlimen.
Dalam interbiu ringkas dengan Agendadaily di Kuala Lumpur petang Rabu Ibrahim berkata beliau sudah bersedia untuk menjadi seorang ahli parlimen yang profesional dalam usaha menjadi apa yang disifatkannya sebagai 'World Class Parliamentarian'.

Menurutnya, beliau akan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang baru beraksi seluas-luasnya dan beliau hanya akan menyertai perbahasan dalam isu-isu tertentu sahaja.

Ibrahim juga menawarkan khidmatnya kepada semua rakyat serta pihak-pihak tertentu yang ingin menyuarakan apa juga permasalahan mereka dalam Dewan Rakyat dengan menyalurkan maklumat dan aduan terus ke pejabatnya di Kuala Lumpur.


Berikut adalah transkrip perbualan Ibrahim dengan Agendadaily:

Agendadaily : Bagaimana persiapan Datuk bagi menghadapi sesi Parlimen ini yang akan bermula 30 April ini ?


Ibrahim : Persiapan saya biasa saja, tugas sebagai Ahli Parlimen ialah mengambil bahagian membahas apa saja yang dibawa ke Dewan Rakyat seperti bil berkaitan undang-undang, belanjawan atau apa saja yang di bawa oleh kerajaan ke Parlimen, kita perlu membahaskannya.Saya anggap, saya ini orang lama, tidak merumitkan sangat tetapi banyak pihak memandang jumlah pembangkang yang ramai kali ini akan menyebabkan sidang Parlimen dijangka hangat.Hangat atau tidak hangat tidak timbul sekiranya seseorang Ahli Parlimen itu buat 'homework' supaya percakapan dalam dewan itu berasaskan pada fakta dan maklumat yang betul.


Agendadaily : Harapan Datuk pada Parlimen kali ini?


Ibrahim : Saya berharap Parlimen kali ini tidak dijadikan 'rubber stamp'. Setiap cadangan yang baik dibawa oleh Ahli Parlimen pemerintah ataupun pembangkang perlulah diambilkira.Kita tidak mahu ada sentimen perkara yang di bawa oleh pembangkang seringkali disangkal walaupun ianya merupakan perkara yang betul. Begitu juga pihak pembangkang perlu bersikap realistik sekiranya perkara yang dibawa oleh pemerintah itu baik tidak seharusnya dibangkang.Kita seharusnya mengambil pendekatan profesional yang meletakkan kepentingan negara dan rakyat perlu diperbahaskan berdasarkan fakta, kebenaran dan membawa cadangan yang baik manakala pihak kerajaan pula tidak terlalu sensitif. Saya kena 'updated' pengetahuan saya dengan banyak membaca kerana Parlimen sekarang perlu berbincang dan bercakap perkara yang berfaedah untuk negara serta rakyat.


Agendadaily : Bagaimana dengan persepsi Datuk akan 'mengganas' terhadap kerajaan semasa sesi perbahasan?


Ibrahim : Itu persepsi orang, saya tetap seperti saya dulu, orang boleh buat berbagai persepsi pada saya, orang kata saya sudah tamat riwayat politik tapi saya masih menang dan masuk semula Parlimen, Orang anggap saya 'gedebe' rakyat tidak terima, akhirnya rakyat terima juga.Pentingnya ialah rakyat akan lihat saya 'perform ' nanti sebagai Ahli Parlimen, tidak perlu ganas.


Agendadaily : Berdasarkan pengalaman berada dalam UMNO dan kerajaan telah timbul tanggapan bahawa sesetengah anggota Parlimen kerajaan sekarang akan jadi bahan 'makanan' Datuk dalam Dewan Rakyat nanti?


Ibrahim : Tidak, saya tidak akan cuba untuk 'dominant', melihat keadaan ramai anggota pembangkang, saya akan cuba memberi peluang kepada anggota Parlimen baru bercakap lebih dan saya anggap saya ini sebagai pemain simpanan.Ramai muka baru ini perlu diberi peluang untuk bercakap tetapi saya akan turut serta berbahas dalam perkara penting namun masa yang terhad dengan pelbagai rang undang-undang akan susah sikit.
Saya akan memilih isu-isu tertentu saja untuk mengambil bahagian dalam sidang nanti.


Agendadaily : Macamana dengan adanya sebilangan Ahli Parlimen baru pembangkang yang tidak berpengalaman?


Ibrahim : Ramai juga anggota pembangkang dari PAS, DAP yang ada pengalaman samada di Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya anggota Parlimen dari PKR saja yang dilihat kurang berpengalaman tetapi mereka sudah tentu ghairah untuk bercakap dalam Parlimen... kita kena beri peluang.


Agendadaily : Ada tanggapan kononnya anggota Parlimen kerajaan akan lebih berhati-hati dan sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan pembangkang terutama Datuk.?


Ibrahim : Tak usah takutlah, tidak ada apa yang hendak dibimbangkan, saya tahu pihak kerajaan juga sudah bersedia.


Agendadaily : Apakah Datuk berdendam dengan pihak kerajaan?


Ibrahim : Ianya tidak betul dan tidak timbul soal berdendam kerana saya adalah ahli Parlimen Bebas yang tidak akan memihak kepada mana-mana.Maknanya, apa juga perkara yang di bawa oleh kerajaan itu baik dan bagus, saya akan beri sokongan. Begitu juga apa yang baik yang dibawa oleh pembangkang, saya akan beri sokongan.
Tetapi, ada perkara yang pada pandangan saya perlu ditegur, tanpa kira ianya dari kerajaan atau pembangkang, saya akan tegur kerana saya tidak terikat dengan mana-mana parti.


Agendadaily : Datuk akan jadi ahli Parlimen Bebas yang macamana?


Ibrahim : Sayalah satu-satunya Ahli Parlimen Bebas, tidak semestinya saya senada dengan pembangkang ataupun kerajaan, 'I will be truly professional Parliamentarian and I want to be a good Parliamentarian members, without fear a favour. Saya tidak terikat dengan mana-mana parti, mereka semua terikat dengan parti masing-masing dan apa yang parti mereka buat, mereka kena sokong. Saya adalah anggota Parlimen Bebas, mereka tidak perlu takut pada saya.


Agendadaily : Macamana Datuk kata Datuk MP Bebas sedangkan Datuk tanding atas tiket PAS?


Ibrahim : Saya bukan ahli PAS... ahli PAS telah diberitahu lebih awal bahawa saya hanya diberi laluan oleh PAS untuk bertanding di kawasan Parlimen Pasir Mas dan pihak PAS telah memberi pilihan pada saya samada untuk meminjam simbol PAS atau memilih simbol sendiri yang terdapat dalam senarai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),,, ianya telah dipersetujui.Sebagai contoh Sivarasa bertanding atas simbol PKR tetapi bukan ahli PKR dan beliau pilih untuk kekal sebagai wakil PKR, saya memilih untuk duduk sebagai anggota Bebas.Saya sudah jelaskan pada ahli PAS di depan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz bahawa saya bekerjasama dengan PAS dalam pertandingan PRU 12 lepas sebagaimana PKR bekerjasama dengan DAP.


Agendadaily : Datuk akan berpendirian bagaimana dalam Dewan Rakyat nanti?


Ibrahim : Saya akan berperanan sebagai anggota Parlimen yang tidak akan memihak kepada mana-mana parti di Dewan Rakyat tetapi berasaskan pada kebenaran kerana dalam Parlimen tidak akan meletakkan diri seseorang itu sebagai mewakili parti tetapi mewakili rakyat. Saya ingin tegaskan bahawa saya akan bersikap bebas, saya tidak terikat dengan mana-mana parti dan mana-mana pihak.Contohnya, mengenai isu Ketuanan Melayu atau Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sentiasa dibangkang oleh pembangkang, saya akan bertegas dan terus mempertahankan hak Ketuanan Melayu dan DEB, saya akan beri sokongan. Dalam hal mengundi sesuatu keputusan dalam Dewan Rakyat, saya bebas mengundi mana-mana pihak yang pada saya anggap ianya betul dan baik untuk rakyat, saya tidak tertakluk pada kehendak mana-mana ketua whip.


Agendadaily : Harapan Datuk pada semua ahli-ahli Parlimen?


Ibrahim : Saya ingin menyeru ahli-ahli Parlimen agar bersikap terbuka sekiranya sayangkan negara dan ingin membela rakyat.'Be a true Parliamentarian'...untuk menuju sebagai negara maju, kita perlu mencontohi parlimen di Britain di mana penyokong parti tidak semestinya menyokong bil yang dibawa oleh partinya, mereka tidak akan dipecat sebagai anggota parti, kita perlu bebas dalam membuat keputusan berdasarkan pada keikhlasan hati.


Agendadaily : Adakah Datuk anggap itulah ciri-ciri 'World Class Parliamentarian'?


Ibrahim : Kita mesti berfikir dan membuat keputusan berdasarkan keikhlasan hati, 'be free to talk' sekiranya pendekatan ini diambil maka ianya akan menuju ke arah 'World Class Parliament'.Kita dianggap tidak ikhlas dalam membuat keputusan, kita selalu kata bercakap untuk negara, untuk rakyat tapi akhirnya kita buat keputusan ikut parti, inilah yang menjadi masalah kerana kita tidak ikhlas dalam membuat keputusan sendiri.Orang macam saya suka bercakap ikut keikhlasan, tapi ada ketikanya kita akan bertentangan dengan pucuk pimpinan, kita amalkan demokrasi dan bebas bercakap, bila kita bebas bercakap pemimpin akan ambil hati dan berdendam, inilah yang berlaku.
Maka yang berlaku sekarang setiap ahli parti akan cium tangan ketua parti masing-masing, Ahli PAS cium tangan ketuanya, ahli UMNO cium tangan ketuanya, ahli DAP cium tangan ketuanya, bila dah mula cium tangan ketua-ketua, ianya akan jadi tidak bebas, akan timbullah tidak boleh bercakap lebih sikit takut tidak dapat jadi calon atau tak dapat jadi exco, tak dapat jadi menteri, susah untuk berniaga dan macam-macam lagi.


Agendadaily : Datuk rasa Datuk boleh jadi model 'World Class Parliamentarian'?


Ibrahim : Saya tidak boleh dijadikan model kerana orang kata saya macam-macam, saya tidak layak tapi saya akan cuba jadi 'a good Parliamentarian'


Agendadaily : Apa yang Datuk boleh buat lagi sebagai ahli Parlimen Bebas.?


Ibrahim : Saya minta kepada sesiapa saja yang ingin menyalurkan apa juga maklumat atau perkara yang ingin disuarakan dalam Parlimen agar menghubungi atau memberi maklumat pada saya.Saya bersedia untuk bercakap bagi pihak mereka, saya akan bawa permasalahan mereka tanpa mengambilkira dari mana masalah atau pihak mana yang menyuarakannya.Silalah salurkan masalah, cadangan, maklumat dan apa juga yang boleh saya suarakan dalam Parlimen, tak kira mereka dari mana atau pihak mana, tanpa mengira batasan dalam negara ini boleh menyalurkan maklumat terus ke pejabat saya seperti berikut:


Datuk Ibrahim Ali
Ahli Dewan Rakyat Malaysia
No. 10.6.6 Level 10
Grand Season Avenue
72 Jalan Pahang
53000 Kuala Lumpur

Telefon : 03-2694 4102 atau 03-2694 5102
Fax : 03-2694 9102
Email : rosezie2003@yahoo.com -- 24/4/2008

Petikan dari: http://agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7c8bd161-3132372e-1e2e8cc0-f1142190

No comments: