Thursday, April 24, 2008

Bekerja Secara Berpasukan

PUTRAJAYA 23 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu setiausaha politik menteri-menteri bertugas sebagai satu pasukan dan mesra rakyat terutama dengan ketiadaan setiausaha Parlimen sekarang.

Perdana Menteri berkata, setiausaha politik memikul tanggungjawab yang berat dan penting.

"Memandangkan tiada lagi setiausaha Parlimen dan saudara sebagai setiausaha politik, tentulah akan menghadapi banyak tugas yang perlu dilaksanakan," katanya pada majlis Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia Setiausaha Politik, hari ini.

Seramai 27 orang setiausaha politik menteri-menteri mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Perdana Menteri di sini. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau menasihati setiausaha politik agar mengelak daripada apa-apa kegiatan yang boleh membawa perpecahan ataupun persengketaan anggota parti.

"Yang penting saudara mesti menolong menteri-menteri yang padanya saudara berkhidmat. Saudara mesti bekerja dengan satu sikap iaitu mesra, bukan sahaja mesra dengan ahli parti tetapi mesra dengan rakyat," katanya.

Ini kerana, kata Abdullah, sebagai setiausaha politik, mereka akan menerima kedatangan banyak anggota masyarakat, oleh itu mereka mesti tahu bagaimana untuk menjalinkan hubungan baik dengan orang ramai dan menolong mereka apabila mereka memerlukan pertolongan.

"Sekiranya saudara sendiri tidak dapat menyelesaikannya, saudara boleh buat hubungan dengan kawan-kawan yang juga setiausaha politik di kementerian yang lain, yang saudara fikir dapat memberi bantuan kepada pihak yang datang untuk mendapat pertolongan daripada saudara.

"Yang penting ialah saudara bekerja sebagai satu pasukan setiausaha politik Barisan Nasional yang bekerja di peringkat persekutuan," katanya.


Antara mereka yang mengangkat sumpah, adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad (ADUN Kok Lanas) dan Datuk Vincent Lim Kian Tick,Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh; Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Shafei Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tan Sri Bernard Dompok), Benedic Lasimbang.

Turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Shahruddin Md. Salleh (ADUN Jorak); Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz), Datuk Mohamed Ismail Othman; Setiausaha Politik Menteri Luar, Zainuddin Ismail; Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kedua, Hsbie Satar; Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Sebastian Ting Chiew Yew; dan Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Mohammad Khairi A. Malik.

Selainnya ialah Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr. Azmi Setapa; Julita Mojungki (Menteri Sains dan Teknologi); Dr. Richard Rapu @Aman ak Begri (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar); Wong Jee Yai (Menteri Pengangkutan); Wong Ban Seng (Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga); Mohammad Safie Asnawi (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Dr. Zainul Fithri Datuk Osman Abdullah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi); Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Menteri Kerja Raya); Yoo Wei How (Menteri Kesihatan); Dr. Junaidy Abd Wahab (Menteri Penerangan); Datuk Yahaya Bujan (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Ong Boon See (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); Mohd. Emil Azril Bahari Md. Noor (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim); dan Mohd Azizan Che Omar (Menteri Belia dan Sukan).

Utusan malaysia khamis 24.04.08

No comments: