Sunday, April 27, 2008

Politik: DAP Pemenang Sebenar di 3 negeri

Keputusan pilihan raya umum 2008 sungguh menarik dan penuh tanda tanya. Menarik kerana dari lima negeri yang diperolehi oleh DAP-PKR-Pas, hanya tiga negeri yang kukuh.

Yang kukuh ialah Kelantan dan Kedah di bawah Pas dan Pulau Pinang di bawah DAP. Manakala di Perak dan Selangor ia bukan sahaja tidak kukuh malah akan menyaksikan konflik pemerintahan yang berterusan.

Di Perak, Pas sebagai parti paling sedikit menang kerusi dilantik menjadi Menteri Besar. Pas hanya menang 6 kerusi berbanding DAP (18) dan PKR (7). Jika mereka merupakan gabungan yang mantap seperti BN tentu ini bukan persoalan besar. Namun ikatan rapuh berasaskan kepentingan semasa sahaja pasti akan memberi banyak implikasi masa hadapan.

Mahu tidak mahu, Pas akan menjadi Menteri Besar yang akur kepada DAP sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam ikatan longgar ini. Mampukah penyokong tradisonal Pas dan orang Melayu yang menyokong Pas menerima pendirian baru Pas nanti?


Di Selangor lebih menarik, PKR mendapat 15 kerusi, DAP 13 kerusi, Pas 8 dan BN 21 kerusi. Jika salah satu parti sahaja menerik diri dari gabungan DAP-PKR-PAS, maka kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil.

PKR-DAP masih kekal jika Pas menarik diri. Namun jika DAp menarik diri maka ikatan ini akan runtuh terus. Justeru mahu tidak mahu Menteri Besar dari PKR perlu memenuhi segala tuntutan DAP.


Lebih menarik kita akan melihat permainan kuasa ini bukan sahaja membabitkan negeri Perak dan selangor tetapi juga negeri-negeri lain yang dikuasai Pas. Sebarang dasar dan polisi yang tidak dipersetujui oleh DAP mustahil akan dilaksanakan kerana ia akan mengakibat kesan domino di Perak dan Selangor.

Justeru selain menguasai Pulau Pinang secara mutlak, DAP juga menguasai Perak dan Selangor melalui belakang tabir. Malah DAP juga boleh mengawal kerajaan Pas Kedah dan Kelantan.

Kestabilan kerajaan ini akan berada di dalam tandatanya sehinggalah tiba pilihan raya umum akan datang.

Posted by AMLG

No comments: