Saturday, November 1, 2014

Ramai pemimpin terlupa bila MESTI berundur?

Dinsman (Hrkh 460, 17/1014)

Pemimpin tahu bila masanya dia harus berundur


1/Tak pasti di mana saya pernah membacanya. Suatu petikan kata-kata oleh seseorang mengenai pemimpin yang baik. Bahawa pemimpin itu perlu tahu atau dapat merasakan bila sebenarnya waktu atau ketika yang dia sepatutnya mengundurkan diri daripada kerusi atau jawatannya.

2/Di negara-negara tertentu misalnya di Amerika Syarikat, jawatan-jawatan penting seperti Presiden Amerika itu dihadkan tidak boleh lebih daripada dua penggal sahaja. Perlembagaannya menetapkan demikian. Tetapi bagi negara kita Perlembagaan tidak menetapkan tempoh tersebut.

3/Itu bagi Presiden atau ketua negara. Tetapi pemimpin yang kita maksudkan di sini tidak semestinya Presiden atau ketua negara sahaja. Presiden parti juga pemimpin. Timbalannya pun pemimpin. Presiden persatuan bukan kerajaan juga pemimpin. Pengerusi dewan perniagaan juga pemimpin. Ahli Parlimen dan Adun juga pemimpin.

4/Maksudnya pemimpin apa sahajalah, yang melibatkan kepentingan orang ramai. Apabila dia diangkat oleh orang ramai untuk menjadi pemimpin, dia sewajarnya sentiasalah sedar bahawa jawatan itu adalah suatu amanah untuk dia melaksanakan tugas dan tanggungjawab tertentu.

5/Memang pun kita selalu mendengar pemimpin-pemimpin kita berkata dan berucap demikian. Lebih-lebih lagi mereka yang berpelajaran agama. Bahawa jawatan yang sedang dipegangnya adalah suatu amanah untuk dia melaksanakan tanggungjawab tertentu dengan sebaiknya. Lalu dia pun membaca ayat al-Quran atau Hadis yang menepati maksud berkenaan.

6/Tetapi kebanyakannya manusia itu cepat lupa dan leka dengan nikmat-nikmat yang dikecapinya bersama dengan amanah yang disandarkan kepadanya itu. Baik pemimpin besar mahupun pemimpin kecil. Yang besar, dengan amanah dan nikmat yang besar; manakala yang kecil pula dengan amanah dan nikmat yang kecil.

7/Tak perlulah saya menurunkan kata-kata suci dari al-Quran ataupun Hadis mengenainya, kerana pemimpin-pemimpin bukan Islam yang tidak percayakan al-Quran dan Hadis pun selalunya lebih sedia mengamalkan nilai-nilai luhur itu daripada pemimpin-pemimpin kita yang percayakan al-Quran dan Hadis.

8/Mengapa terjadi begitu? Biarlah para pengkaji yang membuat kajian dan analisa ilmiahnya. Bagi kita cukuplah apa-apa yang dapat kita perhatikan di sekeliling kita, lebih-lebih lagi pada masa mutakhir ini. Dunia Islam seolah-olah penuh dengan krisis kepemimpinan, hinggakan orang ramai yang biasa-biasa pun turut sama mengkritik dan malah memaki dan menista para pemimpin.

9/Salah menyalahkan pun berlaku dan berlarutan hingga seperti tidak ada hujungnya untuk berhenti. Ia bersambut dan bersambung dan bersambut dan bersambung lagi. Dan tiba-tiba sahaja ramai orang berasa pandai dan tiba-tiba juga ramai orang-orang pandai menampakkan sisi-sisi kejahilan mereka, dan menyebabkan suasana pun menjadi lebih parah dan berdarah.

10/Laman-laman di media sosial jangan dikatalah, penuh dengan maki-hamun dan kata-nista serta carut-marut yang ditujukan kepada pemimpin-pemimpin. Paling menyedihkan ialah apabila golongan ulama juga turut menjadi sasaran maki-hamun tersebut.

11/Dalam keadaan sedih dan pilu itulah saya menerima beberapa mesej yang mengatakan seperti apa yang disebut di atas tadi. Bahawa pemimpin yang baik itu seharusnya dia tahu bilakah masanya yang dia sepatutnya mengundurkan diri daripada jawatannya. Dia tidak tunggu sehingga orang-orang di bawah menjadi begitu marah dan bangkit menolaknya.

12/Memang itu sebuah kata-kata yang sudah popular. Saya cuba mengingatkan siapakah tokoh pertama yang mengucapkan kata-kata itu, tetapi tak teringat. Tak mengapalah. Yang pentingnya bukan tokoh pertama itu. Yang pentingnya ialah mesej atau kehendak daripada kata-kata yang berupa “mutiara kata” itu.

13/Kini mutiara kata itu tiba-tiba menjadi sebutan di kalangan ramai orang. Mereka mengharap-kan pemimpin-pemimpin yang sudah tidak lagi dapat berfungsi untuk menunaikan amanah kepemimpinan dan membebaskan masyarakatnya daripada kemelut yang berlarutan – supaya menyedari kedudukan mereka dan mengambil tindakan berani untuk mengundurkan diri.

14/Perkara ini sebenarnya bukanlah menjadi rahsia lagi. Kalau anda mempunyai rangkaianwhatsapp yang luas atau anda rajin mengikuti komen-komen di hujung berita atau artikel tertentu di media sosial, anda akan melihat dan faham betapa parahnya situasi kita hari ini.

15/Tidaklah mudah sebenarnya bagi pemimpin untuk menyedari atau menyedarkan dirinya bahawa masanya sudah tiba untuk dia mengucapkan selamat tinggal kepada jawatannya. Bukan semata-mata kerana sifat dirinya sebagai manusia yang memang dijadikan lemah apabila berhadapan dengan ujian-ujian yang berupa nikmat itu, tetapi yang lebihnya ialah kerana orang-orang di sekelilingnya.

16/Itulah malangnya – apabila pemimpin dikelilingi oleh orang-orang yang ingin sama mengecap nikmat dari kedudukan pemimpin itu. Mereka inilah yang lebih-lebih sangat takutnya kalau pemimpin itu mengundurkan diri. Mereka takut mereka akan kehilangan segala kenikmatan yang mereka menumpang sekian lama. Maka merekalah yang menjadi benteng dan perisai menolak segala kemungkinan untuk pemimpin itu menyedari yang waktunya untuk berundur sudah tiba.

17/Memang tidak mudah! Dalam hal ini ternyata kebanyakan pemimpin itu lebih pandai bercakap daripada merealisasikan cakap-cakap mereka. Bahawa jawatan pemimpin itu adalah satu amanah. (Lalu dibacanya ayat al-Quran). Tetapi apakah dia mudah merealisasikananya apabila tiba waktunya?

18/Sangatlah susah. Percayalah cakap saya. Sangat susah. Maka janganlah diharap perkara itu akan berlaku dengan sendirinya. Sejarah pun telah banyak mengajar kita mengenai perkara ini. Maka eloklah difikirkan dan direnungkan semula akan “mutiara kata” tadi itu. Apakah hikmah sebenar yang tersembunyi di sebalik kata-kata itu?

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)
 (terimakasih sumber: http://barabarajiwa.blogspot.com/2014/10/ramai-pemimpin-terlupa-bila-mesti.html)

No comments: