Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
1/DALAM satu artikel sebelum ini, ada saya fokuskan mengenai kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter. Apabila bahan bakar lebih mahal, harga barangan keperluan juga naik; yang terpaksa menanggungnya orang ramai; yang paling terkesan adalah golongan bawahan.
2/Berikutan 'kesan berantai' ini, tidak guna kita berkeluh kesah, marah-marah dan melakukan pelbagai tindakan negatif lain, tetapi carilah jalan keluar daripada kemelut ini.Yalah protes, protes juga, tetapi hari tetap berjalan, yang mana 'semua aktiviti' perlukan wang!
3/Ahli ekonomi malah politik menyarankan dua langkah bagi menghadapi permasalahan ini - satu, berjimat cermat dan kedua, menambah pendapatan.
4/Bagi berjimat, mungkin jika dulu selalunya kita mendapatkan rawatan sakit di klinik swasta, kini cuba-cubalah di klinik komuniti atau klinik 1Malaysia yang mengenakan caj RM1 saja bagi pesakit bukan kakitangan kerajaan. Ya 'save' juga duit kita daripada kena bayar RM30-RM50 untuk sekali rawatan misalnya demam kepada RM1 saja.
5/Kita juga boleh menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan menyewa rumah lebih jauh dari tempat kerja kerana kediaman di luar kota insya-Allah adalah lebih murah. Mungkin dengan menaiki bas, kos 'transport' kita dapat kurangkan...yalah ini satu langkah berjimat cermat menepati saranan 'orang-orang besar' agar kita 'ubah cara hidup'.
6/Bagi menambah pendapatan pula, apakata kita 'apply' satu lagi kerja. Jika kita budak pejabat atau kerani, apa kata kita jadi atendan pam minyak atau 'jaga' pada sebelah malam, Ya, kita habis kerja jam 5.00 petang; pukul 6.00 petang kita 'masuk kerja kedua' sampai jam 12.00 tengah malam. Masalahnya jika kita mahu kerja di pam minyak, 'mana mahu letak budak Bangla yang ramai-ramai tu'?
7/Bagi yang pandai memasak dan berbakat berniaga, apa kata kita 'buat nasi lemak atau kuih' dan jual di tepi jalan. Jual di atas 'boot' kereta pun boleh. Yang penting mahu tambah pendapatan bagi menghadapi kenaikan harga barang. Ataupun pada hujung-hujung minggu kita jadi 'salesman' - jual produk seperti pencuci malah karpet seperti dibuat sesetengah 'Bangla dan Pakistani' yang rupa mereka mirip-mirip Shah Rukh Khan.
8/Pandai-pandailah kita berniaga sebab sekarang ini sudah ramai orang jual nasi lemak di tepi jalan. Ramai juga anak muda sudah jual burger. Jangan pula kita begitu beriya-iya nak berniaga sehingga bergaduh dengan 'dia orang'.
9/Wahai pembaca yang mahu berjimat cermat atau memulakan perniagaan, buatlah apa yang sesuai bagi menghadapi zaman susah ini, tetapi ada satu pesanan seorang 'tok guru' saya yang wajar dikuti oleh tuan puan sekalian. Kata 'tok guru' saya itu manfaatkan masa anda tidak kiralah zaman senang atau zaman susah anda!
10/Sekalipun anda ada dua kerja dan sibuk bagaimanapun; pastikan anda menunaikan tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim yang beriman.Yalah, dulu semasa ada satu kerja, anda ada masa untuk solat maghrib dan isyak secara berjemaah malah mengikuti kuliah di masjid sekarang tidak lagi sebab sibuk di 'petrol pump', tetapi iktiharkan agar dapat terus solat berjemaah.
11/Kemudian pada masa bekerja (misalnya menjadi jaga yang duduk-duduk saja tu), penuhkan masa itu dengan berzikir dan berselawat. Bayangkan jika kita istiqamah dapat berzikir dari awal malam hingga subuh sambil 'menjaga kawasan kita' berapa banyak pahala yang sudah kita dapat.
12/Demikian juga ketika menjual nasi lemak - sambil duduk-duduk menunggu pelanggan itu, berzikir dan berselawatlah. Jangan biarkan waktu berlalu dengan termenung kosong dan bagi penjual perempuan tolonglah mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya - ini tidak ramai makcik dan kakak menjual nasi lemak memakai kemeja-T lengan pendek, banyak mata memandang jadi berapa banyak dosa yang kita tanggung! Rezeki masuk sikit, dosa menggunung pula, jadi 'pakailah betul-betul'!
13/Kemudian bagi yang menaiki bas dan menunggu lama di klinik, manfaatkan masa itu dengan membaca buku atau lebih baik lagi baca al-Quran. Membaca al-Quran di mana ada kesempatan ini banyak diamalkan di negara Arab tetapi ia amat asing di negara kita. Kalau tak dapat baca Quran, perbanyakkan zikir dan selawat; ini tak orang kita asyik termenung dan berbual-bual kosong saja.
14/Demikian juga apabila beratur panjang nak isi borang dan ambil wang BR1M yang telah dinaikkan kepada RM950 nanti (heh, heh, heh, ambil jangan tak ambil), ringankanlah mulut itu untuk berzikir, mengingat-ingat Allah. Daripada berbual 'benda mengarut' dengan orang di depan dan belakang kita, lebih baiklah ucap 'Alhamdulillah' banyak-banyak.
15/Yalah, takkan susah nak sebut, Alhamdulillah...Alhamdulillah....Alhamdulillah. Kalau susah sangat, nyanyikan lagu nasyid ini; "Alhamdullillah syukur nikmat, kepada Tuhan yang memberi rahmat, oh oh oh oh..." Ya jangan sesekali kita sia-siakan masa kerana di dunia ini kita sudah susah (termasuk berikutan kenaikan harga minyak), takkah di akhirat nanti kita nak susah juga?
(terimakasih sumber:lanh14.blogspot.com/.../manfaatkan-masa-ketika-zam.)